Program Ziarah Muhibbah PERKIM Semai Kepedulian Masyarakat Majmuk India di Kluang
ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
𝐊𝐋𝐔𝐀𝐍𝐆, 𝟐𝟗 𝐍𝐎𝐕𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Program Ziarah Muhibbah Masyarakat Majmuk India anjuran bersama PERKIM Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah berlangsung selepas menunaikan solat Zohor di sekitar daerah Kluang.
Program yang mendapat kerjasama PERKIM Cawangan Kluang dan Persatuan Mualaf India SeMalaysia (MIRA) Negeri Johor itu disertai seramai 15 peserta ziarah yang memberi tumpuan kepada komuniti memerlukan.

𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐚𝐫𝐚𝐬 𝐩𝐫𝐨𝐠𝐫𝐚𝐦, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐉𝐚𝐢𝐬 𝐌𝐚𝐫𝐢𝐚𝐩𝐩𝐚𝐧 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡 berkata ziarah tersebut merupakan platform menyantuni masyarakat India yang terdiri daripada fakir miskin, orang kelainan upaya (OKU), pesakit kronik serta keluarga susah yang memerlukan perhatian.
Menurutnya, usaha turun padang seperti ini adalah tradisi PERKIM dalam memastikan kebajikan masyarakat majmuk terus terbela tanpa mengira latar belakang.
Beliau menegaskan bahawa setiap kunjungan bukan sekadar menyampaikan bantuan, tetapi membawa mesej keprihatinan, kasih sayang dan nilai kemanusiaan yang menjadi asas perpaduan negara.
Tambahnya lagi, program ziarah ini dirancang secara teliti bagi memastikan setiap keluarga yang diziarahi menerima perhatian sewajarnya.
Setiap ahli rombongan diberi peranan tersendiri termasuk menyantuni warga sakit, memantau keperluan harian, menyampaikan sumbangan serta memberikan sokongan moral kepada keluarga terlibat.
Beliau berkata kehadiran rombongan berjaya mengukir senyuman kepada keluarga yang diziarahi, sekali gus membuktikan bahawa semangat muhibbah dan kebersamaan masih utuh dalam masyarakat majmuk.
Rumah pertama diziarahi ialah kediaman Ustaz Mohammad Hussain Abdullah Al-Hind, 78, di Taman Mengkibol. Ketibaan rombongan disambut mesra oleh ahli keluarganya.
Ustaz Hussain yang pernah menerbitkan Buku Asas Fardu Ain dalam Bahasa Tamil PERKIM kini terlantar akibat strok dan menghidap beberapa komplikasi termasuk glaukoma serta jangkitan paru-paru yang menjejaskan kesihatannya sejak lima tahun lalu.
Menurut anak beliau, Syafinas Mohammad Hussain, ayahnya pernah berkhidmat sebagai Pegawai Dakwah PERKIM Kebangsaan sebelum bersara pada 1997, kemudian dipanggil bertugas sementara di PERKIM Negeri Johor dan aktif bersama jemaah Tabligh di Seri Petaling.
Beliau turut dikenang kerana pernah mengajar di Penjara Kajang sehingga ada banduan memeluk Islam.
Di akhir kunjungan, 𝐔𝐫𝐮𝐬 𝐒𝐞𝐭𝐢𝐚 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐀𝐦𝐫𝐚𝐧 𝐀𝐧𝐛𝐚𝐫𝐚𝐬𝐮 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡 menyerahkan sumbangan makanan dan saguhati kepada keluarga.
Rombongan kemudian meneruskan ziarah dibantu oleh pemandu arah yang juga merupakan Ahli Persatuan Urimai Kural Malaysia, Raman a/l Kuppusamy ke rumah Sarojini a/p Sadayan di Jalan Adam Hussin, seorang ibu tunggal.
Di Jalan Ilham 46, ziarah diteruskan kepada Pramaladavi a/p Nadarajan, suri rumah sepenuh masa yang menjaga suami menghidap strok dan berstatus OKU.
Turut diziarahi ialah Sivasrathi a/p Ellomalai di Jalan 12, yang mengalami masalah strok serta menzahirkan penghargaan kepada rombongan kerana prihatin bertanyakan khabar.
Seterusnya, rombongan berkunjung ke rumah Shakun Tala a/p Ramasamy, seorang pekerja sambilan yang menyewa bilik dan hilang tempat bergantung selepas suaminya meninggal dunia.
Di Jalan Suria 7, rombongan menyantuni Puspa a/p G. Pavadai, ibu tunggal yang tinggal bersama enam orang anak dan cucu dalam keadaan serba kekurangan.
Selang beberapa rumah, ziarah diteruskan ke kediaman Sreetharan a/l Kanna, yang kudung tangan kiri akibat kemalangan kilang 10 tahun lalu. Selain itu, beliau turut menghidap strok ringan dan tinggal bersama isteri serta anak bongsu.
Di Jalan Talapia, rombongan menziarahi Vijeyen a/p Konagini, yang berkerusi roda selepas kaki kanannya dipotong akibat diabetes. Beliau juga merupakan ibu tunggal.
Tidak jauh dari situ, rombongan berjalan kaki ke rumah Durga Devi a/p Saravanan, isteri kepada seorang pengawal keselamatan dan ibu kepada tiga anak kecil yang menyewa rumah RM900 sebulan.
Selang beberapa rumah, rombongan menziarahi Pramaladavi a/p Nadarajan, ibu tunggal yang kehilangan suami akibat sakit jantung pada 2001 dan tinggal bersama seorang anak.
Ziarah terakhir diadakan di Jalan Pelangi Indah 3 bagi menyantuni isteri kepada Ustaz Mohd Shafiq Vijaya Abdullah, yang menderita penyakit buah pinggang dan menjalani rawatan dialisis sejak 12 tahun lalu sebanyak 16 kali sebulan.
Menurut Ustaz Shafiq, rawatan tersebut mendapat bantuan Baitulmal Majlis Agama Islam Johor yang meringankan beban keluarga.
Mereka yang diziarahi masing-masing menerima sumbangan barangan makanan iaitu beras, tepung, minyak masak, biskut, mi segera, susu, minuman dan wang saguhati.
Program ini turut disertai oleh 𝐀𝐳𝐮𝐫𝐚 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥 𝐑𝐚𝐡𝐦𝐚𝐧, 𝐅𝐚𝐭𝐢𝐧 𝐀𝐤𝐦𝐚𝐥 𝐀𝐤𝐬𝐚𝐡, 𝐌𝐮𝐚𝐥𝐢𝐬𝐡 𝐒𝐡𝐚𝐡 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐝 𝐀𝐧𝐮𝐚𝐫 𝐝𝐚𝐧 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐑𝐨𝐬𝐲𝐚𝐦 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡 yang memainkan peranan membantu menyampaikan sumbangan dan menyantuni semua keluarga terbabit.
Program ziarah berkenaan bukan sahaja memberi sinar harapan kepada penerima, malah memperkukuh semangat perpaduan dalam masyarakat majmuk di daerah ini.

Ustaz Amran menyampaikan sumbangan barangan makanan dan saguhati kepada bekas Pegawai PERKIM Kebangsaan, Ustaz Mohammad Hussain Abdullah yang terlantar akibat kencing manis di kediamannya di Taman Mengkibol.

Azura menyampaikan sumbangan saguhati dan barangan makanan kepada ibu tunggal, Sarojini a/p Sadayan di Jalan Adam Hussin.

Ustaz Jais Mariappan menyampaikan sumbangan barangan makanan dan saguhati kepada suri rumah, Pramaladavi a/p Nadarajan di Jalan Ilham 46, yang menjaga suami menghidap strok dan berstatus OKU.

Fatin Aksah menyampaikan sumbangan bersama barangan makanan kepada Sivasrathi a/p Ellomalai di Jalan 12 yang mengalami masalah strok.

Ustaz Amran menyampaikan sumbangan saguhati dan barangan makanan kepada Shakun Tala a/p Ramasamy yang merupakan seorang pekerja sambilan yang menyewa bilik dan hilang tempat bergantung selepas suaminya meninggal dunia.

Di Jalan Suria 7, rombongan PERKIM menyantuni ibu tunggal, Puspa A/P G. Pavadai.

Ustaz Jais Mariappan menyerahkan wang saguhati dan barangan makanan kepada Sreetharan a/l Kanna, yang kudung tangan kiri akibat kemalangan kilang 10 tahun lalu.

Rombongan ziarah PERKIM menziarahi Vijeyen A/P Konagini yang berkerusi roda selepas kaki kanannya dipotong akibat diabetes.

Ustaz Jais Mariappan menyampaikan sumbangan wang saguhati dan barangan makanan kepada suami Durga Devi a/p Saravanan, ibu kepada tiga anak kecil.

Pramaladavi a/p Nadarajan, seorang ibu tunggal yang kehilangan suami akibat sakit jantung diziarahi rombongan PERKIM sambil menyampaikan wang saguhati dan barangan makanan.

Rombongan PERKIM menziarahi isteri kepada Ustaz Mohd Shafiq Vijaya Abdullah, yang menderita penyakit buah pinggang dan menjalani rawatan dialisis sejak 12 tahun lalu di Jalan Pelangi Indah 3.



