Aktiviti Dakwah

PERKIM Anjur Kesyukuran Raikan Kejayaan Mesyuarat Agung

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI


“Tahniah kepada Tan Sri Dr Mohd. Yusof Noor kerana beliau sekali lagi telah diberi kepercayaan untuk menyandang jawatan Setiausaha Agung Kehormat pada penggal 2019-2022,” kata Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim.

Dr Muhammad Rais yang juga Bendahari Kehormat PERKIM berkata, hari ini merupakan hari yang istimewa pada kami bertiga dan juga Datuk Hasbullah L. Isa juga sekali lagi diperbaharui kontraknya bagi jawatan Penolong Setiausaha Agung Kehormat.

“Syukur Alhamdulillah, ini satu kepercayaan dan juga tanggungjawab harus kita laksanakan dengan sempurna,” kata beliau ketika menyampaikan ucapan di Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat Sempena Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan bertempat di Surau PERKIM, Bangunan PERKIM, Kuala Lumpur pada 6 Disember 2019 lalu.

Turut hadir ialah Pengarah Program dan Pentadbiran, Mamat Che Chik; Pengarah Aset dan Pembangunan, Dato’ Ahmad Mustafa, Penyelaras Unit Komunikasi dan Media Baru, Datuk Idris Mamat serta Setiausaha Kerja, Zulkefli Arifin.

Ujar Dr Muhammad Rais, PERKIM punyai visi dan misi yang jelas iaitu melaksanakan kebajikan untuk umat Islam selaras dengan apa yang diperjuangkan dan dimulakan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

“Sekarang ini kita berada dalam bangunan yang dirancang dan dibina di zaman Tunku Abdul Rahman.

“Bangunan ini masih lagi baik ini dan surau ini pun telah diperbaharui dan perlu ditambah baik sistem siar rayanya.

“Ada juga cadangan dari Tan Sri Dr Yusof Noor untuk menjadikan surau sebagai tempat solat Jumaat.

“Namun ada kebaikan dan kekurangannya. Kebaikannya memudahkan kakitangan untuk menunaikan solat Jumaat di surau ini dan kekurangannya berkemungkinan akan menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas di luar bangunan PERKIM.

Kita telah selesai melangsungkan mesyuarat agung dan terdapat beberapa wajah baru di barisan pemimpin sama ada peringkat tinggi atau sederhana, tahniah saya ucapkan. Semoga kita dapat bekerjasama dengan mereka.


Majlis diserikan lagi dengan ucapan dari Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr Mohd. Yusof Noor.

Dr Yusof Noor turut memaklumkan bahawa bapa kepada kakitangan PERKIM, Mariati Mohd. Amin telah kembali ke rahmatullah pada pagi Jumaat yang mulia ini.

Majlis turut menghadiahkan surah Al-Fatihah kepada arwah.

Allahyarham Mohd. Amin Sulong, 79 meninggal dunia akibat jangkitan kuman di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chengal, Temerloh, Pahang.

Menurut Dr Yusof Noor lagi, majlis ini dirancang untuk diadakan di tingkat 23 tetapi apabila mendapat berita bahawa orang yang penting dalam PERKIM iaitu Datuk Zainal Abidin Ab. Kadir berada di Hospital Selayang kerana terpaksa menjalani pembedahan dan rawatan perubatan.

Katanya, Zainal Abidin yang telah selesai menjalani pembedahan itu merupakan Pengarah Tajdid Pemikiran Islam PERKIM Kebangsaan dan perunding PERKIM sejak beberapa tahun lalu.

“PERKIM merupakan satu keluarga dan marilah kita berdoa beramai-ramai mudah-mudahan Allah memberikan beliau kesihatan yang segera serta sembuh seperti sediakala.

Beliau mengajak supaya mendoakan ahli keluarga yang sakit diberi kesembuhan oleh Allah SWT serta mengurniakan kesihatan kepada semua.

Kata beliau, perjumpaan ini juga diadakan bertujuan untuk meraikan kejayaan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-58 pada 29 dan 30 November lalu.

“Kita perlu bersyukur kepada Allah SWT yang telah memberikan kita kemudahan walaupun nampak urusan itu mudah, namun urusan itu tidaklah semudah seperti yang difikirkan oleh sesetengah pihak.

Justeru, majlis ini diadakan untuk memberi penghargaan terima kasih kepada semua warga PERKIM yang bertungkus lumus menjayakan majlis itu dengan baik walaupun terdapat kerumitan yang kecil.

Mesyuarat agung PERKIM tahun ini sepatutnya diadakan di negeri Johor kerana jika ingin mengadakan mesyuarat agung di mana-mana negeri pun, kita akan berbincang dengan PERKIM negeri-negeri. Nampak seperti mudah, namun ianya tidak semudah yang disangkakan.

“Pada hemat saya, semuanya telah ditakdirkan oleh Allah SWT dalam menentukan tempat yang terbaik.

Tentu ada makna yang besar bila PERKIM dipimpin oleh Perdana Menteri kerana sebuah organisasi itu akan terserlah jika ianya dipimpin oleh Perdana Menteri dan ditakdirkan suatu masa dahulu PERKIM dimulakan oleh Perdana Menteri Pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, kemudiannya pada masa ini ianya dipimpin oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita sebagai warga PERKIM perlu bersyukur kepada Allah SWT kerana di samping Perdana Menteri menjadi ketua dalam kerajaan, beliau turut menjadi pemimpin kita.

“Jika kita memuji sesuatu yang baik pada orang kita tidak akan peroleh apa-apa. Saya perlu maklum pada warga di sini, Tun Mahathir tidak pernah minta saya sebut yang baik-baik mengenai diriniya di PERKIM.

“Tun Mahathir sudah biasa dikritik, tetapi tidak salah saya menyebut mengenai kebaikannya. Saya fikir tidak salah malah itu kewajipan kita berterima kasih kepada Tun Mahathir kerana sanggup menerima PERKIM.

“Semasa saya masuk PERKIM, Tun Mahathir bukan Perdana Menteri, namun negara ini ditakdirkan bergelora, maka beliau dipilih semula menjadi Perdana Menteri. 

“Saya bertanya sama ada Tun Mahathir hendak meneruskan atau tidak memimpin PERKIM? Lalu Tun Mahathir membalas bahawa beliau tahu tugas sebagai Perdana Menteri banyak, tetapi amat sukar memisahkan hatinya dengan PERKIM.

“Tun Mahathir berhasrat dan mengambil keputusan untuk meneruskan perjuangannya bersama PERKIM,” jelas Dr Yusof Noor.

Di dalam perlembagaan PERKIM ada menyebutkan bahawa Setiausaha Agung Kehormat, Bendahari Kehormat dan Penolong Setiausaha Agung Kehormat berkewajipan mengambil arahan daripada Yang DiPertua PERKIM dan melaksanakan keputusan Majlis Kebangsaan sahaja seperti yang tertulis dalam perlembagaan.

Sesi yang lepas tempohnya sudah tamat pada 29 November 2019 yang lalu, maka selesailah lantikan-lantikan yang dibuat oleh Ahli Majlis Kebangsaan dan juga Yang DiPertua dalam konteks perkara-perkara yang menjadi kuasa majlis kebangsaan.

30 November 2019 bermula dengan sesi baru dengan kumpulan yang baru.

“Alhamdulillah kami masih bekerja kerana ianya telah diputuskan dan kami menerima amanah yang diberi, tetapi tugas ini tidak boleh berjaya sekiranya tiada kerjasama.

“Jadi apabila mesyuarat agung di Johor tertangguh, kemudian tarikh dan tempat berubah dua kali di Johor maka berlaku dua kali penyusunan.

Setelah berpindah-pindah akhirnya Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM berjaya dilaksanakan dan saya merakamkan ucapan terima kasih kepada semua kakitangan dan yang telah bekerja keras dan membantu kelancaran mesyuarat.

Syukur kepada Allah SWT kerana memberi ruang kepada PERKIM untuk beroperasi dengan baik dan saya turut berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat atau tidak dalam menjayakan mesyuarat agung.

“Tahun hadapan usia PERKIM genap 60 tahun dan tahun ke 60 ini amat penting bagi kita menyusun strategi baru. ‘

“Kita pelu menggagaskan rancangan-rancangan untuk kebajikan masyarakat seluruh Malaysia dan saya berharap Allah SWT memberi keredaan dan kemudahan kepada kita untuk meneruskan tanggungjawab kita,” ujar Dr. Yusof Noor mengakhiri ucapannya.

Majlis berakhir dengan bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat dipimpin oleh Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Datuk Hasbullah L. Isa dan jamuan makan tengah hari.

 


Dr Muhammad Rais menyampaikan ucapan di Surau PERKIM.

 


Kakitangan PERKIM mendengar ucapan Setiausaha Agung Kehormat, Dr Yusof Noor.

 


Staf PERKIM menyertai majlis bacaan yasin dan tahlil.

 


Hasbullah (kiri) memimpin majlis bacaan yasin, tahlil dan doa selamat.

 


Kakitangan PERKIM menadah tangan ketika doa dibacakan.

 


Muslimat mengaminkan ketika doa dibacakan oleh Datuk Hasbullah.

Related Articles

Back to top button