Aktiviti Kebajikan

PERKIM Ziarah Mualaf Di Kangar, Arau, Padang Besar

ᵒˡᵉʰ : ᵁᵐᶦ ᴹᵘˢᶠᶦʳᵃʰ ᴬᵇᵈᵘˡ ᴳʰᵃⁿᶦ| ᴹᴼᴴᴰ ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝐊𝐀𝐍𝐆𝐀𝐑, 𝟑 𝐎𝐊𝐓𝐎𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dengan kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Perlis melaksanakan program ziarah Saudara Muslim di sekitar tiga parlimen negeri ini meliputi kawasan Arau, Kangar dan Padang Besar.

Seawal pagi, sukarelawan dan urus setia berhimpun di Pusat Aktiviti Dakwah PERKIM Bahagian Negeri Perlis, Jalan Raja Syed Saffi, dekat sini bagi sesi taklimat ringkas yang disampaikan oleh 𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐚𝐫𝐚𝐬 𝐏𝐫𝐨𝐠𝐫𝐚𝐦, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐅𝐚𝐫𝐡𝐚𝐧 𝐓𝐞𝐞 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡.

Program yang turut disokong dana Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu dilaksanakan sebagai agenda tahunan PERKIM Kebangsaan dalam menyantuni saudara Muslim di negeri-negeri terpilih.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang dipimpin 𝐄𝐤𝐬𝐞𝐤𝐮𝐭𝐢𝐟 𝐃𝐚𝐤𝐰𝐚𝐡 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐁𝐚𝐡𝐚𝐠𝐢𝐚𝐧 𝐍𝐞𝐠𝐞𝐫𝐢 𝐏𝐞𝐫𝐥𝐢𝐬, 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐦𝐮𝐛𝐞𝐞𝐧 𝐘𝐚𝐧𝐲𝐚 sebelum rombongan dibahagikan kepada tiga kumpulan yang bergerak ke lokasi masing-masing.

Turut hadir memberi sokongan, Setiausaha Kehormat PERKIM Perlis, Tuan Haji Abdul Shukor Shamsuddin dan Bendahari Kehormat PERKIM Perlis, Tuan Haji Mohd Arshad Daud.

“Program ziarah ini bukan sahaja menyampaikan sumbangan makanan dan kewangan, malah menjadi jambatan ukhuwah serta menguatkan sokongan moral kepada Saudara Muslim yang rata-ratanya berdepan cabaran hidup,” jelas Ustaz Farhan Tee yang juga selaku Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan,

Kumpulan pertama diketuai oleh Ustaz Farhan Tee sendiri bergerak menuju ke Kampung Kubang Perun bagi menziarahi Hasnah Abdullah, 67, seorang mualaf warga Thailand yang memeluk Islam pada 6 Julai 1986.

Sejak kematian suaminya 25 tahun lalu, Hasnah membesarkan tiga orang anak dengan penuh kesabaran.

Kumpulan ini turut disertai oleh Ahli Jawatankuasa PERKIM Bahagian Negeri Perlis, Ustazah Che Latifah Ismail dan Ustazah Ain Naszurien Abdul Kamal serta beberapa sukarelawan iaitu Maisarah Abdullah, Siti Nur Diana Abdullah dan Marina Sivikoon.

Lawatan kemudian diteruskan ke rumah Khalid Chaloemket Abdullah, 47, yang baru sahaja memeluk Islam pada 16 April lalu.

Beliau menetap bersama isterinya, Chida, di sebuah rumah daif yang pada asalnya merupakan kandang kambing diubahsuai menjadi rumah papan yang tidak sempurna di atas tanah milik seorang saudara, Jafri Mahmud.

Khalid yang datang ke Perlis sebelum tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyara hidup dengan kerja kampung.

Di Kampung Kubang Menerung, Padang Besar, rombongan menziarahi Bonmee Chankanok Hawa Abdullah, seorang mualaf Thailand yang memeluk Islam pada 1988.

Selesai di situ, kumpulan ini meneruskan kunjungan ke Kampung Kolam untuk bertemu Juwairiyah Abdullah, 40, yang berasal dari Songkhla.

Beliau memeluk Islam pada 3 Mac 2009 dan kini bekerja sebagai pembantu kedai makan, meskipun menghidap darah tinggi serta kencing manis.

Rumah terakhir diziarahi ialah kediaman Somboon Mookkhamsai atau Norazlina, mualaf berketurunan dari wilayah Chiang Rai yang memeluk Islam pada 4 Mei 1983.

Norazlina bekerja sebagai tukang masak dengan pendapatan harian sekitar RM50 sambil menyara dua anak perempuan dan dua cucu.

Kumpulan kedua diketuai oleh Ustaz Abdulmubeen bersama Timbalan Eksekutif Kewangan, Mohamad Azrol Mohd Azmi serta dua sukarelawan PERKIM Bahagian Negeri Perlis, Amelia Rabiab Abdullah dan Linda Id Abdullah yang bertindak sebagai penunjuk jalan.

Destinasi pertama mereka ialah ke Kampung Dalam Masjid Al Hassan bagi menziarahi Juspinah Crispina, seorang mualaf berasal dari Sabah.

Juspinah menetap di rumah sewa yang dibayar oleh baitulmal bersama anaknya berusia 14 tahun. Juspinah tidak lagi bekerja atas faktor kesihatan, beliau mengikuti kelas fardu ain anjuran PERKIM Perlis.

Destinasi seterusnya ialah Kampung Jejawi Utan Buloh untuk menziarahi Irwan Abdullah, seorang mualaf berbangsa Siam yang memeluk Islam pada 2012 di Jabatan Agama Islam Negeri Perlis.

Irwan kini menganggur dan menerima bantuan bulanan daripada baitulmal serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Beliau mempunyai seorang anak berusia 12 tahun.

Di Kampung Guring Mukim, Kurung Anai, kumpulan kedua bertemu Siti Nur Abdullah, seorang ibu tunggal yang mengusahakan perniagaan gerai makan secara kecil-kecilan di rumah peninggalan arwah suaminya.

Pasukan ini kemudian menziarahi Siti Maisarah Nudaeng atau nama asalnya Nudaeng Kamphason di Kampung Guring Pauh. Maisarah kini lumpuh separuh badan dan tidak lagi boleh berjalan.

Kampung Banat pula menjadi lokasi berikutnya bagi menziarahi Mohammad Hakim Lee Abaau, seorang mualaf baharu yang memeluk Islam kurang dua bulan lalu di Kedah.

Beliau bekerja sebagai kontraktor sambilan dan bakal mendirikan rumah tangga bulan hadapan.

Destinasi terakhir kumpulan kedua ialah Kampung Hutan Kandis, rumah Rohana Nongnut yang menyara hidup dengan menjual kuih secara kecil-kecilan kepada restoran sekitar.

Kumpulan ketiga diketuai oleh Penolong Pegawai Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Ustaz Haji Amran Anbarasu Abdullah bersama dua sukarelawan iaitu Norain Abdullah dan Rafidah Abdullah.

Antara yang diziarahi ialah Aminah Dhanam di Jalan Padang Besar, Sungai, Kangar. Mualaf berbangsa India berusia lebih 60 tahun itu tinggal sendirian di rumah pusaka keluarganya.

Beliau menghadapi masalah kesihatan termasuk sakit lutut dan baru menjalani pembedahan mata.

Rombongan kemudian beralih ke Jalan Kuala Perlis menziarahi Noriyah Leyah, seorang mualaf berbangsa Bidayuh yang memeluk Islam di Sarawak.

Beliau kini menetap di Perlis bersama suaminya dan mengusahakan kedai makan mee udang serta sup tulang di hadapan rumah yang didiami hasil bantuan baitulmal.

Turut diziarahi ialah Umi Kalsom atau nama asalnya Koo Som Nai Deng dari Kampung Nelayan, Kuala Perlis.

Mualaf asal Kedah ini memeluk Islam di Thailand dan kini uzur, bergantung kepada kerusi roda akibat penyakit kencing manis serta darah tinggi.

Walaupun begitu, beliau dikenali sebagai seorang mualaf rajin menuntut ilmu agama ketika sihat dahulu.

Rumah terakhir yang dikunjungi ialah kediaman Pani Prani dari Kampung Ujong Tanjong, Kuala Perlis. Beliau merupakan mualaf Thailand yang mempunyai enam anak.

Bersama suaminya, mereka menjalankan perniagaan kecil-kecilan untuk menampung hidup.

Suaminya baru-baru ini mengalami kecederaan akibat kemalangan dan masih dalam proses pemulihan, sekali gus memerlukan Pani untuk menguruskan hampir keseluruhan tanggungjawab keluarga.

Sepanjang ziarah, setiap keluarga yang ditemui menerima bungkusan makanan asas seperti beras, gula, minyak masak, bihun, sardin, susu pekat, tepung, biskut, teh, kicap, sos dan mi segera serta sumbagan saguhati sebagai tanda prihatin.

Program ziarah ini menempuh perjalanan sejauh lebih 40 kilometer keseluruhannya, bermula di rumah pertama dengan jarak kira-kira 16 kilometer dari pusat operasi.

Menurut Abdulmubeen, usaha ini tidak hanya meringankan beban kehidupan seharian saudara baharu, malah memberi dorongan kepada mereka agar terus istiqamah dalam agama yang baru dianuti.

“Saudara Muslim ini sebahagiannya hidup dalam keadaan serba kekurangan, namun tetap tabah menghadapi ujian. Kehadiran PERKIM bersama sukarelawan memberi mereka semangat bahawa masyarakat Islam tidak pernah melupakan mereka,” ujarnya.


Wakil PERKIM Kebangsaan, PERKIM Bahagian Negeri Perlis dan sukarelawan bersama barangan sumbangan berkumpul di hadapan Pusat Aktiviti PERKIM Bahagian Negeri Perlis.


Ustaz Abdulmubeen Yanya memimpin bacaan doa sebelum pasukan ziarah memulakan aktiviti ziarah ke destinasi masing-masing.


Pasukan ziarah diketuai oleh Ustaz Farhan Tee (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada Bonmee Chankanok Hawa Abdullah.


Ustaz Farhan Tee (kiri) dan Ustazah Ain (kanan)  mendengar luahan hati penerima bantuan di Padang Besar.


Encik Arshad (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Juspinah Crispina di Kampung Dalam Masjid Al Hassan.


Ustaz Abdulmubeen (tengah)  bertanyakan khabar Saudara Irwan yang diziarahi.


Ustaz Amran (dua dari kiri)  mewakili PERKIM Kebangsaan menyampaikan sumbangan kepada Aminah Dhanam di Jalan Padang Besar, Kangar.


Ustaz Amran menyampaikan sumbangan kepada Umi Kalsom atau nama asalnya Koo Som Nai Deng dari Kampung Nelayan, Kuala Perlis.

 

 

Related Articles

Back to top button