PERKIM Kukuhkan Silaturahim Dalam Program Muhibbah Bersama Masyarakat Orang Asli Kg Penderas
ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
𝐊𝐔𝐀𝐋𝐀 𝐊𝐑𝐀𝐔, 𝟐𝟓 𝐒𝐄𝐏𝐓𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Surau Kampung Orang Asli Kampung Penderas menjadi saksi berlangsungnya Program Muhibbah Masyarakat Majmuk Orang Asli anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Program kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Pahang dan Jabatan Agama Islam Daerah Temerloh itu secara tidak langsung menghimpunkan masyarakat dalam suasana harmoni serta semangat perpaduan.

𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐚𝐫𝐚𝐬 𝐏𝐫𝐨𝐠𝐫𝐚𝐦, 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 𝐉𝐚𝐢𝐬 𝐌𝐚𝐫𝐢𝐚𝐩𝐩𝐚𝐧 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥𝐥𝐚𝐡 menjelaskan, inisiatif yang dilaksanakan itu berperanan sebagai jambatan muhibbah antara masyarakat Orang Asli dengan agensi agama, badan dakwah dan pertubuhan bukan kerajaan.
Katanya, objektif utama program adalah memberi pendedahan kepada masyarakat setempat tentang kepentingan kerjasama dalam membangunkan komuniti, selain menyediakan ruang interaksi sihat antara orang ramai dengan agensi pelaksana program.
Beliau menambah, melalui program sebegini, PERKIM dan rakan strategik berhasrat untuk menyemai nilai kasih sayang, sikap prihatin dan saling menghormati agar masyarakat majmuk dapat hidup dalam keadaan harmoni.
Secara tidak langsung ia dapat memperkukuh hubungan silaturahim, mengeratkan perpaduan dan kesejahteraan masyarakat Kampung Penderas yang majoritinya terdiri daripada suku kaum Jah Hut dengan jumlah seramai 317 orang.
“Program ini bukan sekadar kunjungan biasa, sebaliknya ia melibatkan pendekatan menyeluruh dengan aktiviti ziarah, gotong-royong, sukaneka, jamuan serta sesi perkongsian ilmu yang mampu memberi manfaat jangka panjang kepada masyarakat,” katanya.
Ustaz Jais Mariappan turut menegaskan bahawa program muhibbah ini selari dengan visi PERKIM untuk mendekati masyarakat pelbagai latar belakang sekali gus menunaikan tanggungjawab dakwah dalam suasana penuh hikmah.
Seawal pagi, urus setia PERKIM Kebangsaan memulakan persiapan dengan membeli barangan perkakasan bagi membaiki tandas surau serta peralatan gotong-royong.
Selain itu, 50 pek makanan juga disediakan untuk penduduk Kampung Penderas sebagai tanda keprihatinan.
PERKIM Bahagian Negeri Pahang yang diketuai Setiausaha Kehormatnya, Mahadi Deraman turut bergotong-royong menyediakan kelengkapan program serta menambah lebih 100 pek makanan untuk diagihkan.
Gotong-royong ini bukan sahaja mengeratkan hubungan urus setia dengan masyarakat kampung, malah mencerminkan semangat kebersamaan yang menjadi teras Program Muhibbah.
Sebelum sesi ziarah dimulakan, 𝐘𝐁 𝐒𝐞𝐧𝐚𝐭𝐨𝐫 𝐒𝐡𝐚𝐡𝐫𝐨𝐥 𝐖𝐢𝐳𝐚𝐧 𝐒𝐮𝐥𝐨𝐧𝐠, 𝐀𝐡𝐥𝐢 𝐃𝐞𝐰𝐚𝐧 𝐍𝐞𝐠𝐚𝐫𝐚 𝐦𝐞𝐫𝐚𝐧𝐠𝐤𝐚𝐩 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐞𝐫𝐮𝐬𝐢 𝐒𝐮𝐫𝐚𝐮 𝐊𝐚𝐦𝐩𝐮𝐧𝐠 𝐎𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐀𝐬𝐥𝐢 𝐏𝐞𝐧𝐝𝐞𝐫𝐚𝐬 menyampaikan taklimat ringkas kepada ahli rombongan.
YB Senator Shahrol Wizan menasihati semua ahli agar menjaga adab ketika berkunjung, berhati-hati dengan tutur kata dan perlakuan serta mengelakkan perkara yang boleh menyinggung perasaan masyarakat kampung.
Rombongan dibahagikan kepada dua kumpulan kemudian bergerak menziarahi 10 buah rumah penduduk.
Rumah pertama ialah kediaman Eadie A/L Sagarudin, 41, yang masih belum memeluk Islam dan mengalami masalah ketumbuhan di bahagian kepala. Beliau tinggal bersama kakaknya yang telah memeluk Islam.
Rumah kedua diziarahi ialah Zainab Abdullah, 65, yang menghidap sakit buah pinggang. Rombongan sempat mendoakan agar beliau segera sembuh.
Kunjungan seterusnya adalah ke rumah pesara guru, Sulaiman Putih, yang baru sebulan memeluk Islam. Beliau kini uzur akibat strok dan bergantung kepada kerusi roda.
Rumah keempat diziarahi ialah kediaman Suhana Labah, seorang ibu tunggal yang menyara anaknya berusia empat tahun sambil berdepan masalah anxiety.
Manakala rumah terakhir ialah milik Saadiah Tot, anak kepada Tot Hassan yang masih belum Islam.
Pada setiap kunjungan, Ustaz Jais Mariappan bersama rombongan menyampaikan pek makanan asasi seperti beras, gula, minyak, tepung, sardin, susu, biskut, teh dan barangan lain selain sedikit saguhati untuk meringankan beban keluarga.
Selepas ziarah, program diteruskan dengan sukaneka kanak-kanak pada sebelah petang.
Antara acara menarik ialah isi air dalam botol menggunakan span, membawa bola pingpong dengan sudu, lumba lari dengan bola di antara paha, boling botol serta mencari gula-gula dalam tepung.
Sukaneka yang meriah itu disambut penuh kegembiraan oleh anak-anak kampung, sekali gus menceriakan suasana dan mengeratkan hubungan antara penganjur dan masyarakat Orang Asli.

Selepas menunaikan solat fardu Maghrib berjemaah, 𝐄𝐤𝐬𝐞𝐤𝐮𝐭𝐢𝐟 𝐊𝐚𝐧𝐚𝐧 𝐃𝐚𝐤𝐰𝐚𝐡 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐘𝐁𝐡𝐠. 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐑𝐚𝐳𝐚𝐥𝐢 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐒𝐡𝐚𝐡𝐚𝐛𝐮𝐝𝐢𝐧 yang mewakili 𝐒𝐞𝐭𝐢𝐚𝐮𝐬𝐚𝐡𝐚 𝐀𝐠𝐮𝐧𝐠 𝐊𝐞𝐡𝐨𝐫𝐦𝐚𝐭 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌, 𝐘𝐁𝐡𝐠. 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐃𝐫 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐌𝐚𝐫𝐳𝐮𝐤𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐎𝐦𝐚𝐫 menyampaikan ucapan perasmiannya.
Beliau dalam ucapannya, menzahirkan rasa syukur kerana program ini dapat dilaksanakan dengan baik hasil sokongan pelbagai pihak.
Dato’ Razali menjelaskan, program ini merupakan sebahagian daripada siri aktiviti “turun padang” yang dilaksanakan selama tiga hari di beberapa lokasi terpilih di Pahang dan Terengganu.
Menggariskan konsep “tiga dalam satu”, beliau berkata aktiviti yang dijalankan merangkumi tiga program utama iaitu pertemuan bersama komuniti Cina di Kampung Bera, Pahang; perhimpunan belia Orang Asli di Kampung Sungai Pergam Kemaman, Terengganu serta Program Muhibbah Bersama Masyarakat Orang Asli di Kampung Penderas.
Dato’ Razali turut berkongsi pengalamannya menghadiri perhimpunan belia Orang Asli di Kemaman yang berjaya menarik ramai anak muda melalui ceramah, motivasi dan pemeriksaan kesihatan percuma.
Katanya lagi, Kampung Penderas menjadi lokasi pertama di Malaysia tahun ini dipilih sebagai tuan rumah program muhibbah bersama masyarakat Orang Asli.
Beliau menekankan pemilihan itu sebagai tanda penghargaan kepada keterbukaan masyarakat setempat selain sokongan padu daripada MAIWP yang meluluskan beberapa peruntukan khas untuk menjayakan program di antara lima hingga sepuluh komuniti di seluruh negara.
“Semoga segala aktiviti sepanjang tiga hari ini memberi manfaat kepada masyarakat, mempereratkan hubungan antara pelbagai kaum serta menjadi wadah perkongsian ilmu dan nilai murni,” katanya.

Sementara itu, 𝐐𝐚𝐝𝐡𝐢 𝐃𝐚𝐞𝐫𝐚𝐡 𝐓𝐞𝐦𝐞𝐫𝐥𝐨𝐡, 𝐘𝐁𝐡𝐠. 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥 𝐀𝐳𝐢𝐳 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥 𝐊𝐚𝐫𝐢𝐦 dalam ucapan aluannya turut menzahirkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana program berlangsung dengan lancar.
Beliau merakamkan penghargaan kepada PERKIM Kebangsaan, PERKIM Bahagian Negeri Pahang, PERKIM Cawangan Temerloh, MAIWP, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UnIPSAS), Yang Beradat Batin-Batin serta masyarakat kampung yang bekerjasama menjayakan program.
Menurutnya, surau tersebut, telah mendapat perkenan Sultan Pahang serta kelulusan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) untuk menunaikan solat Jumaat, sekali gus memudahkan penduduk kampung beribadah.
Beliau turut memaklumkan bahawa esoknya program akan diteruskan dengan gotong-royong, solat Jumaat, jamuan makan beramai-ramai serta Jualan Rahmah pada hari Jumaat dan Sabtu.
Ustaz Abdul Aziz juga menyeru ibu bapa Orang Asli agar menghantar anak-anak ke kelas Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) dan mengambil peluang menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Agama Negeri Pahang (SEMAN) yang ditawarkan secara percuma hingga Tingkatan 5.
“Pendidikan adalah kunci masa depan. Kita mahu anak-anak kita berjaya, bukan sahaja di dunia malah di akhirat,” tegas beliau.
Beliau menutup ucapan dengan doa agar program ini menjadi platform mengeratkan silaturahim, memperkukuh pendidikan agama serta melahirkan generasi berilmu.
Selepas berucap, Dato’ Razali menyampaikan hadiah hamper kepada pemenang sukaneka diikuti dengan penyampaian plak cenderamata PERKIM kepada Ustaz Haji Abdul Aziz dan YB Senator Shahrol Wizan.
Seterusnya, Setiausaha Kehormat PERKIM Negeri Pahang, Mahadi Deraman, menyerahkan sejadah eksklusif kepada YB Senator Shahrol Wizan khusus untuk kegunaan imam surau.
Majlis ditutup dengan penyampaian 45 pek makanan asasi kepada penduduk kampung disampaikan oleh Ustaz Jais Mariappan serta jamuan makan malam.
Turut hadir ialah Pegawai JAKOA Daerah Temerloh, Muzamir Md Shukri; Tok Batin Kampung Penderas, Fendi Yunus Seman, yang juga Pengerusi Batin Islam Negeri Pahang.
Kehadiran mereka melengkapkan lagi program muhibbah yang bukan sahaja meriah tetapi penuh dengan pengisian bermanfaat kepada masyarakat.
Hadir sama ialah urus setia PERKIM Kebangsaan iaitu Azura Abdul Rahman, Fatin Akmal Aksah, Farah Irisha Haslizam dan Mohamad Fardly Johan.

Urus setia mengangkat beras yang dibeli untuk dibawa ke Kampung Orang Asli Penderas.

Plastik berisi makanan asasi dimasukkan ke dalam van untuk diagihkan kepada masyarakat Orang Asli Kampung Penderas.

Barang makanan yang telah dibeli dikeluarkan dari van untuk diletakkan di stor surau.

Sukarelawan bergotong-royong menyiapkan juadah makan malam.

YB Senator Shahrol Wizan (tengah) memberikan taklimat sebelum menziarahi masyarakat kampung.

Doa dibacakan sebelum aktiviti ziarah dimulakan.

Ustaz Jais Mariappan menyerahkan bungkusan makanan dan saguhati kepada Eadie A/L Sagarudin selepas menziarahinya.

Zainab Abdullah diziarahi oleh ahli rombongan termasuk PERKIM Cawangan Temerloh.

Pesara guru, Sulaiman Putih (berkerusi roda) menerima saguhati dan barangan makanan selepas diziarahi ahli rombongan.

Urus setia menyerahkan barang makanan dan saguhati kepada Suhana Labah, seorang ibu tunggal.

Ahli rombongan berkunjung ke rumah terakhir, Saadiah Tot selepas memberi sumbangan barangan makanan dan saguhati.

Selepas ziarah, diadakan aktiviti sukaneka kepada kanak-kanak kampung.

Lari dengan bola di antara paha merupakan aktiviti sukaneka yang digemari kanak-kanak kampung.

Qadhi Temerloh, Ustaz Abdul Aziz menyeru masyarakat kampung supaya mengutamakan pendidikan agar anak mereka beroleh kejayaan dunia dan akhirat.

Masyarakat kampung mendengar ucapan yang disampaikan.

Wanita kampung juga turut tidak kecuali mendengar ucapan yang disampaikan.

Dato’ Razali menyampaikan ucapan perasmiannya mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.

Menurut Dato’ Razali, Kampung Penderas menjadi lokasi pertama di Malaysia tahun ini dipilih sebagai tuan rumah bagi Program Muhibbah Bersama Masyarakat Orang Asli.

Dato’ Razali menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada Tok Batin Kampung Penderas, Fendi Yunus Seman.

YB Senator Shahrol Wizan turut menyampaikan sumbangan barangan makanan kepada penduduk kampung.

YB Shahrol Wizan turut menyampaikan hadiah hamper kepada pemenang sukaneka.

Dato’ Razali menyampaikan plak cenderahati PERKIM kepada Ustaz Abdul Aziz.

YB Senator Shahrol Wizan menerima plak cenderahati PERKIM daripada Dato’ Razali.

Tetamu kehormat bergambar kenangan di akhir program.

Masyarakat kampung menikmati juadah makan malam bersama ahli keluarga.

Tetamu kehormat menikmati jamuan makan malam.

Penduduk kampung makan secara beramai-ramai selepas program perasmian.

Ustaz Jais Mariappan menyampaikan sumbangan barangan makanan dan saguhati kepada penduduk kampung.

Penduduk Kampung Orang Asli Penderas menerima barangan makanan dan saguhati daripada Ustaz Jais Mariappan.



