PERKIM Sedia Agih Sumbangan Asnaf Sempena Ramadan
Terima kasih yang tidak terhingga kepada Pasukan Kebajikan PERKIM yang bertungkus lumus dalam penyediaan 1000 kotak yang diisi keperluan barangan makanan untuk diagihkan kepada golongan asnaf saudara baru, fakir, miskin dan lain-lain di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Pasukan tersebut mula memunggah barang makanan daripada beberapa buah lori pasaraya borong dan membawa ke ruang legar untuk dikeluarkan daripada kotak karton dan mengisi semula bersama makanan lain ke dalam kotak yang berlabel Program Bantuan Makanan PERKIM.
Antara barangan makanan yang diisi ke dalam kotak ialah beras, tepung, gula, sardin, krimer, biskut, kopi, teh, kurma, kordial, mi segera, bihun, minyak masak, sos cili, kicap dan garam.
Manakala barangan kebersihan ialah ubat gigi, pencuci pinggan, sabun badan, sabun pencuci baju, topeng muka dan pencuci tangan (hand sanitizer).
Pasukan Kebajikan PERKIM terdiri daripada Pegawai, kakitangan dan sukarelawan PERKIM Kebangsaan. Unit kebersihan dan pengawal keselamatan juga tidak melepaskan peluang untuk membantu meringankan tugasan.
Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Kebangsaan, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor turut memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada Pasukan Kebajikan PERKIM menerusi aplikasi Whatsapp.
Dr Yusof Noor juga mendoakan semoga Allah SWT memberikan ganjaran kebaikan yang berganda kepada pasukan ini dan berharap semuanya berjalan mengikut Prosedur Kendalian Standard (SOP).