Aktiviti Kebajikan

PERKIM Agih Kurma Terakhir Di Hujung Ramadan

KUALA LUMPUR, 9 MEI 2021 – “Sebanyak 3,000 kotak kurma telah diagihkan kepada masyarakat pelbagai bangsa & agama menerusi Program Pengagihan Kurma Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan sepanjang Bulan Ramadan 1442H,” kata Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM, YBrs Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah.

Pada petang hari, beliau dan urus setia bersama sukarelawan PERKIM Kebangsan mengagihkan 312 kotak kurma yang terakhir daripada 3,000 kotak di sekitar Bazar Ramadan Jalan Raja Alang dan Masjid Jamek Kampung Bharu dekat ibu negara.

Pada semalam, pasukan yang sama telah mengagihkan sebanyak 240 kotak di sekitar Bangunan CIMB HQ dan Kompleks Sogo Jalan Raja Laut.

Pasukan mengagihkan ke semua kurma terakhir memandangkan tiga hari lagi Ramadan akan berlalu pergi dan banyak kawasan tumpuan ditutup disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan oleh kerajaan.

Farhan juga mendoakan supaya Allah SWT memberikan pahala berlipat kali ganda kepada penaja kurma dan beliau turut berterima kasih kepada pasukan agihan yang komited dan bertungkus lumus menjalankan agihan di beberapa kawasan ibu negara dengan penuh tanggung jawab.

Alhamdulillah, PERKIM mendapat respon yang positif daripada masyarakat dan pihak berkuasa serta barisan hadapan turut memberi kerjasama yang ckup baik.

Tambah Farhan, inilah jariah yang termampu kami berikan dalam memberikan khidmat makanan kepada masyarakat melalui pemberian kurma.

Katanya, terdapat pelbagai hikmah yang boleh dipelajari sewaktu pengagihan kurma tahun ini kerana terasa sedikit kelainan berbanding pengagihan dari Ramadan tahun-tahun yang lalu.

Sememangnya dahsyat kita menerima ujian COVID-19 yang amat hebat ini. Namun, masih lagi terukir senyuman di wajah masyarakat tidak kira pelbagai agama & bangsa.

Farhan berharap agar pandemik COVID-19 ini berakhir dan diangkat oleh Allah SWT.

Related Articles

Back to top button