100 Saudara Baru Terima Duit Raya PERKIM

KUALA LUMPUR, 11 MEI 2021 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan telah mengadakan Majlis Bantuan Raya Kepada Saudara Muslim bertempat di Tingkat 4, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, ibu negara pagi tadi.
Seramai 20 orang penerima bantuan raya terdiri daripada saudara baru berketurunan Cina, India, Bidayuh, Kadazan dan warganegara dari Filipina, Kenya dan Thailand.
Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa dan Setiausaha Kerja PERKIM Bahagian dan Cawangan,YDh Encik Zulkefli Arifin.
Majlis dimulakan dengan bacaan doa dipimpin oleh Pegawai Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan (UPPP) PERKIM Kebangsaan, YBrs Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah serta diacarakan oleh Pegawai UPPP, YBrs Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah.
Majlis diserikan lagi dengan ucapan Setiausaha Kerja Pentadbiran dan Program, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik bagi mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Tuan Haji Mamat dalam ucapannya, memohon maaf kepada hadirin kerana YBhg Tan Sri Setiausaha Agung Kehormat PERKIM tidak dapat hadir disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan dan tambahnya, beliau turut menyampaikan salam kepada semua penerima-penerima Bantuan Aidilfitri PERKIM Kebangsaan dengan lafaz Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Kata Haji Mamat lagi, beliau mengucapkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana diberi peluang untuk bersama asnaf di dalam majlis penyampaian kebajikan yang menjadi amalan PERKIM Kebangsaan pada saban tahun.
Seperti yang kita maklum, bulan Ramadan adalah bulan yang penuh dengan keberkatan di mana di dalam bulan ini amalan kita diberi ganjaran berlipat ganda oleh Allah SWT apatah lagi dalam kita mengharungi hari-hari yang terakhir Ramadan sebelum menyambut Aidilfitri.
Ujarnya, dalam sibuk merebut pahala dan meraih ganjaran yang berlipat kali ganda, kita juga turut memburu malam yang lebih baik daripada seribu bulan iaitu malam lailatul qadar dengan memperbanyakkan amal ibadah di malam hari.
PERKIM Kebangsaan terus mengorak langkah dalam menganjur pelbagai aktiviti dan program khususnya untuk memberi sumbangan kepada golongan miskin, yang memerlukan dan khasnya kepada saudara Muslim.
Walaupun kita berada di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, yang menyukarkan penerima untuk bergerak atau bertemu dengan golongan ini, tetapi di dalam keadaan kritikal hari ini, kita berjaya memanggil sebahagian daripada penerima sumbangan.
PERKIM juga ada memberi sumbangan kepada golongan miskin dan saudara Muslim, tetapi sumbangan ini adalah melalui badan-badan korporat, syarikat-syarikat swasta dan individu yang ingin berkongsi rezeki bersama asnaf.
Kita akan memberikan sumbangan berbentuk wang tunai kepada 100 penerima yang terdiri daripada saudara baru yang fakir, miskin, ibu tunggal dan mereka yang memerlukan di mana 20 daripada penerima awal akan disampaikan terus kepada penerima tersebut dan 80 penerima lain akan didepositkan ke dalam akaun bank berikutan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP).
Jelas Tuan Haji Mamat lagi, nilai yang diberikan oleh PERKIM Kebangsaan tidaklah begitu banyak, tetapi diharapkan sedikit sebanyak dapat memberi kegembiraan dalam menjalani ibadah puasa dan keceriaan menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.
Kerja murni adalah satu lambang keprihatinan PERKIM Kebangsaan khususnya kepada saudara baru yang memerlukan dan kita berharap ia akan dilaksanakan pada tahun-tahun yang akan datang.
Beliau turut mengucapkan penghargaan terima kasih kepada pegawai dan kakitangan PERKIM yang bertungkus lumus menjayakan majlis tersebut. Semoga segala khidmat bakti yang diberikan mendapat keredaan daripada Allah SWT.
Di akhir ucapannya, beliau berharap supaya hadirin dapat meningkatkan amal ibadah dalam mengerjakan ibadah puasa di bulan Ramadan dan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin.
Majlis berakhir dengan penyampaian Bantuan Aidilfitri PERKIM Kebangsaan kepada 20 penerima masing-masing disampaikan oleh Datuk Hasbullah, Tuan Haji Mamat dan Encik Zulkefli.