Aktiviti Dakwah

Pantai Batu Feringghi Jadi Medan Dakwah Lapangan PERKIM

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝐏𝐔𝐋𝐀𝐔 𝐏𝐈𝐍𝐀𝐍𝐆, 𝟐𝟎 𝐒𝐄𝐏𝐓𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menganjurkan program Street Dakwah kepada masyarakat bukan Islam di Pantai Batu Feringghi, dekat sini pada petang tadi.

Program yang mendapat kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Pulau Pinang itu telah menghimpunkan seramai 18 orang peserta termasuk mahasiswa Kelab PERKIM Universiti Sains Malaysia (KPU USM).

Turut menyertai program itu ialah Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Pulau Pinang, YBhg Dr Amin Malik Shah Abdul Majid; Ketua Pegawai Eksekutif PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad; Eksekutif Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin serta Bendahari Kehormat PERKIM Pulau Pinang, Abdul Fattah Mohamed Abbu Bakar yang bersama-sama turun ke padang untuk bertemu dengan pelancong ataupun non-Muslim.


𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐚𝐫𝐚𝐬 𝐩𝐫𝐨𝐠𝐫𝐚𝐦, 𝐍𝐮𝐫 𝐒𝐲𝐚𝐡𝐢𝐫𝐚𝐡 𝐌𝐮𝐬𝐚 berkata penganjuran Street Dakwah kali ini memberi fokus kepada usaha mendekati golongan bukan Islam yang sering berkunjung ke lokasi tumpuan pelancong seperti Pantai Batu Feringghi.

Kawasan tersebut terkenal sebagai destinasi peranginan dan menjadi titik pertemuan pelbagai lapisan masyarakat sekali gus menjadikan ia medan sesuai untuk menjalankan aktiviti dakwah lapangan yang santai dan inklusif.

Katanya, Street Dakwah dianjurkan bagi menyampaikan mesej Islam secara lebih terbuka dan mesra kepada masyarakat bukan Islam yang mungkin kurang terdedah kepada kefahaman sebenar mengenai ajaran agama itu.

Menurut beliau, tujuan utama ialah untuk mengetengahkan nilai-nilai sejagat yang dibawa Islam seperti keamanan, toleransi, kasih sayang dan saling menghormati.

“Melalui program ini, kami berusaha mendekati mad’u dengan cara berhikmah, tanpa paksaan, sebaliknya melalui senyuman, sapaan mesra dan dialog yang membina.

Apa yang penting, mereka dapat melihat sendiri bahawa Islam bukan agama yang asing, sebaliknya membawa mesej sejagat yang boleh difahami oleh semua manusia,” katanya.

Beliau menambah, program ini juga bertujuan melatih para mahasiswa KPU USM serta sukarelawan muda untuk terlibat secara langsung dalam dakwah lapangan.

Katanya, melalui pengalaman turun padang, mereka berpeluang berinteraksi dengan golongan bukan Islam, mengasah keyakinan diri dan meningkatkan kefahaman tentang kepelbagaian masyarakat di negara ini.

Selain itu, katanya, Street Dakwah turut diadakan bagi memecahkan salah tanggapan yang sering dikaitkan dengan Islam.

Menurut beliau, masih ramai bukan Islam yang mempunyai imej stereotaip terhadap agama ini kerana terpengaruh dengan maklumat tidak tepat di media sosial atau sumber luar. Dengan adanya dakwah lapangan, mereka boleh bertanya secara terus kepada pendakwah yang bertauliah sekali gus memberi ruang untuk penjelasan yang lebih jelas dan tepat.

Nur Syahirah berkata lagi, penganjuran program ini membuktikan kesungguhan PERKIM untuk terus relevan dalam pendekatan dakwah, seiring dengan keperluan semasa.

“Kita tidak boleh hanya menunggu mad’u datang kepada kita sebaliknya kita yang perlu turun mendekati mereka dengan penuh kasih sayang dan hormat. Itulah prinsip dakwah Rasulullah SAW yang menjadi contoh kepada kita semua,” ujarnya.

Sebelum bergerak ke lokasi, semua peserta berkumpul di Ibu Pejabat PERKIM Bahagian Negeri Pulau Pinang di Sungai Nibong bagi mengikuti sesi taklimat ‘Do and Don’ts’ yang disampaikan oleh Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah.

Dalam taklimat tersebut, beliau mengingatkan sukarelawan supaya berhikmah dalam setiap tutur kata dan perbuatan, mengutamakan sikap hormat serta tidak memaksa mad’u menerima mesej yang disampaikan.

Beliau menekankan bahawa dakwah perlu disampaikan dengan sabar, bijaksana dan penuh kasih sayang selaras dengan ajaran Rasulullah SAW.

Selepas taklimat, peserta mengambil masa lebih 30 minit perjalanan dari Sungai Nibong menuju ke Pantai Batu Feringghi.

Setibanya di sana, mereka berkumpul di Masjid Jamek Ar-Rahman Batu Feringghi sebagai pusat pertemuan.

Sebelum memulakan aktiviti dakwah, Dato’ Haji Razali menyampaikan ucapan ringkas yang menekankan kepentingan ikhlas dalam berdakwah serta mengingatkan peserta agar menjadi duta kecil Islam dengan akhlak yang terpuji.

Pemilihan Pantai Batu Feringghi sebagai lokasi program dianggap strategik kerana ia menjadi antara pusat pelancongan utama di Pulau Pinang yang dikunjungi masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Kehadiran pelancong asing serta warga tempatan memberikan peluang besar kepada para sukarelawan untuk mendekati golongan bukan Islam dalam suasana santai dan mesra.

Di samping edaran risalah, payung, bunga ros dan coklat yang terkandung di dalam beg cenderahati eksklusif PERKIM serta borang kajian, sukarelawan juga menjalankan perbualan bersemuka dengan pengunjung pantai.

Antara pendekatan yang digunakan ialah memperkenalkan Nabi Muhammad SAW bersempena Maulidur Rasul SAW.

Kajian tersebut bukan sahaja membantu memahami tahap pengetahuan masyarakat bukan Islam terhadap Rasulullah, malah membuka ruang perbualan santai mengenai keperibadian baginda yang penuh rahmat.

Kehadiran pimpinan tertinggi ini bukan sahaja memberi semangat kepada sukarelawan muda, malah menjadi bukti komitmen PERKIM dalam memastikan gerak kerja dakwah dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Dr Amin Malik Shah ketika ditemui berkata, program seumpama ini perlu diperluaskan kerana ia berjaya mewujudkan interaksi positif antara Muslim dan bukan Muslim.

“Dakwah lapangan ini amat penting kerana ia membolehkan kita menyampaikan mesej Islam secara terus kepada mereka yang mungkin tidak pernah berpeluang mengenali Islam. Dengan cara ini, kita dapat menunjukkan wajah sebenar Islam sebagai agama rahmat untuk semua,” katanya.

Menurut Nur Syahirah, respons positif ini menunjukkan bahawa masyarakat bukan Islam sebenarnya terbuka untuk mengenali Islam, asalkan pendekatan yang digunakan bersesuaian. Katanya, sikap mesra dan santun para sukarelawan telah berjaya mewujudkan suasana harmoni dan selesa untuk berdialog.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima amat menggalakkan. Ada yang sekadar ingin tahu, ada juga yang benar-benar berminat untuk mendalami lebih lanjut tentang Islam. Apa yang penting, kita berjaya memecahkan jurang komunikasi dan membuka ruang perkenalan yang lebih baik,” jelasnya.

Beliau optimis bahawa program sebegini wajar dijalankan secara berterusan, bukan sahaja di lokasi pelancongan tetapi juga di kawasan perumahan dan bandar yang mempunyai komuniti bukan Islam yang ramai.

Turut hadir ialah urus setia program, Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong, Siti Nasyrah Rosli, Mohamad Azrol Mohd Azmi, Umi Musfirah Abdul Ghani, Nur Syahira Ismail dan Mualish Shah Haji Mohd Anuar.

 


Urus setia dan sukarelawan Street Dakwah PERKIM berhimpun di PERKIM Bahagian Negeri Pulau Pinang untuk diberi taklimat.

 


Ustaz Farhan Tee memberikan taklimat kepada urus setia dan sukarelawan Street Dakwah.

 

 


Pelancong atau non-Muslim akan menerima beg cenderahati istimewa daripada PERKIM.

 


Dr Amin Malik mendengar cadangan atau pandangan daripada mahasiswa KPU USM.

 


Urus setia Street Dakwah berkumpul di Masjid Jamek Ar-Rahman Batu Feringgi sebelum menuju ke pantai.

 


Urus setia program menunjukkan cenderahati yang akan diberikan.

 


Sukarelawan PERKIM memperkenalkan Nabi Muhammad SAW ketika bertemu non-Muslim.

 


Azrol menghadiahkan beg cenderahati kepada non-Muslim setelah mereka mengetahui mengenai Islam dan Rasulullah SAW.

 


Ustaz Farhan Tee menyampaikan beg cenderahati manakala Nur Syahirah memaklumkan kepada non-Muslim mengenai bulan kelahiran Nabi Muhammad.

 


Ustaz Sulaiman Ding memberikan beg cenderahati kepada pelancong dari negara China.

 


Pelancong dari luar negara berminat untuk menjawab soalan daripada urus setia dan sukarelawan PERKIM sambil dihadiahkan beg cenderahati.

 


CEO PERKIM, Dr Suariza menghadiahkan pelancong asing beg cenderahati sambil bertanyakan khabar dan menyampaikan dakwah.

 


Non Muslim gembira menerima beg cenderahati daripada Ustaz Sulaiman Ding.

 


Non Muslim menjawab beberapa soalan sebelum dihadiahkan beg cenderahati PERKIM oleh Ustaz Farhan Tee.

 


Syahira Ismail bertemu dan menghadiahkan beg cenderahati kepada keluarga non-Muslim.

 

 


Kepimpinan PERKIM Pulau Pinang bergambar bersama urus setia di akhir program street dakwah.

Related Articles

Back to top button