Aktiviti Dakwah

Tun Dr Mahathir Rasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-59 (2020) Secara Maya

[youtube url=”https://www.youtube.com/watch?v=Io_o-izVgMw&t=14s” width=”700″ height=”376″]

Oleh: UMI MUSFIRAH ABDUL GHANI

26 DISEMBER 2020 – PUTRAJAYA. “19 Ogos 2020 lalu merupakan Sambutan Jubli Intan Ke-60 Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) di mana sambutan masih lagi ditangguhkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan oleh kerajaan. Bukan sahaja negara kita sahaja bahkan seluruh dunia diserang oleh penyakit yang mudah dijangkiti iaitu wabak COVID-19,” kata Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad.

Kata beliau, kita akan menyambutnya pada masa yang lain dan kita perlu melakukan beberapa cara untuk mengelak daripada penularan penyakit tersebut dan pada masa yang sama, kita juga perlu faham bahawa COVID-19 bukanlah selamanya.


Dr Mahathir berucap ketika menyampaikan ucapan dasar Yang Dipertua PERKIM di Persidangan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-59 secara maya bertempat di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Turut hadir ialah pimpinan PERKIM, Timbalan Yang Dipertua, YABhg Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim; Naib Yang Dipertua, YBhg Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah; Naib Yang Dipertua, YBhg Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah; Naib Yang Dipertua, YBhg Dato’ Haji Mohd Nakhaie Haji Ahmad; Pengerusi Tetap; YBhg Dato’ Dr Abu Bakar Shaari; Bendahari Kehormat, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung Kehormat, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa.

Naib Yang Dipertua, YB Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim; Ketua Wanita PERKIM, YTM Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj serta bersama Pengerusi, Setiausaha Kehormat dan lebih 70 perwakilan-perwakilan PERKIM Bahagian Negeri-negeri hadir di persidangan secara lintas langsung menerusi platform aplikasi Cisco Webex.

Menurut Tun Dr Mahathir, dalam tempoh 60 tahun penubuhan PERKIM, ia bermula dengan 16 orang pelopor dari pelbagai bangsa yang telah bermesyuarat pertama kalinya di Residensi Kediaman Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur, PERKIM kemudiannya dikembangkan ke seluruh negara dengan menubuhkan bahagian di setiap negeri.

Aktivis PERKIM di pusat dan juga di bahagian-bahagian telah menggerakkan PERKIM dengan kegiatan-kegiatan kebajikan dan dakwah sehingga menarik minat ramai orang awam yang ingin turut serta dalam kegiatan PERKIM.  Selepas itu cawangan-cawangan ditubuhkan di peringkat daerah sehingga kini keahlian PERKIM meningkat lebih 37,000 ahli.

Jelas beliau, golongan awal PERKIM dengan usaha tekun dan gigih menabur bakti secara sukarela, melakukan pelbagai usaha iaitu dengan mengadakan mesyuarat, menambah ahli, mencari dana, merancang dan melaksana aktiviti, sehingga PERKIM dapat bertapak dalam hati masyarakat.

Katanya, ramai pula di antara mereka, telah kembali ke Rahmatullah dan diharap semoga segala jasa murni dan khidmat bakti mereka diterima dan diredhai oleh Allah SWT sebagai amal makruf yang dikurniakan ganjaran dunia dan akhirat. 

Ulas Dr Mahathir, PERKIM yang wujud selama 60 tahun sudah pasti sarat dengan pelbagai peristiwa, cabaran dan ujian serta amat sesuai PERKIM melakukan pemeriksaan dan bedah siasat untuk mengenal pasti tahap keupayaan dan kelemahan organisasi.

Di samping itu, PERKIM perlu memperkenalkan pengubahsuaian supaya kelemahan dapat diperbaiki dan kekuatan dapat diperkukuhkan.

Jelas beliau, suasana ketika PERKIM ditubuhkan 60 tahun dahulu amat berbeza dengan suasana sekarang kerana ketika ditubuhkan pada tahun 1960, PERKIM adalah antara pertubuhan awal mempelopori kegiatan dakwah dan kebajikan.

Kerajaan Malaysia adalah unik kerana di atas inisiatif Perdana Menteri sendiri yang menggalakkan aktiviti dakwah dan kita harus bersyukur kerana di beberapa negara lain, berdakwah dihalang dan terpaksa disembunyi.

Tambah beliau, Almarhum Tunku Abdul Rahman telah mengambil langkah yang bijak dengan membuka ruang NGO-NGO Islam bergiat dalam bidang dakwah dan kebajikan.

Justeru, kerajaan sendiri terlibat secara langsung dalam usaha mengembangkan Islam yang menjadi agama rasmi negara melalui PERKIM di era Tunku dan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) ketika di era Tun Abdul Razak dengan mengadakan pelbagai program dakwah.

Selain itu, banyak aktiviti dakwah yang disumbangkan oleh pertubuhan bukan kerajaan Islam.

Kata Tun Dr Mahathir, kegiatan dakwah di negara kita semakin digalakkan apabila pada awal 1980-an telah diperkenalkan Dasar Penerapan Nilai-Nilai Islam dalam pentadbiran kerajaan yang bertujuan membudayakan nilai-nilai murni Islam yang universal seperti bersih, cekap dan amanah.

Dasar tersebut digubal dan dilaksanakan bertujuan membuktikan Islam bukan sahaja satu ajaran agama tetapi ia adalah juga satu Ad-Din, atau cara hidup way of life yang lengkap menjamin keadilan kepada semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

Katanya lagi, dalam menerajui era moden dan canggih di mana proses globalisasi dan penyebaran maklumat melalui internet telah mempengaruhi akidah anak muda kita.

Selain itu, kita juga dikelirukan oleh dakyah orientalis barat di mana ajaran, fahaman dan amalan Islam sebenar telah diseleweng oleh penganut Islam sendiri melalui pelbagai tafsiran. Akibat daripada perbezaan tafsiran dan pendapat itu, umat Islam berpecah dan bermusuh sesama mereka.

Ujarnya, terdapat golongan radikal yang ekstrem dan berpegang kepada keganasan apabila  berhadapan dengan bukan Islam dan juga orang-orang Islam yang tidak sehaluan. Terdapat juga golongan mempergunakan Islam dan sanggup mengkafirkan orang Islam yang lain.

Kesan penyelewengan itu, ramai orang Islam khususnya generasi muda yang keliru tentang agama yang mereka warisi turun temurun.

Tambah Dr Mahathir, golongan saudara baru juga turut berasa pelik apabila melihat realiti kehidupan umat Islam jauh daripada apa yang mereka ajar, baca dan kaji kerana Islam yang dikatakan agama indah hidup bersatu dan bersaudara sebaliknya mereka bertelagah dan bermusuh sesama sendiri.

Terdapat juga pimpinan umat Islam berpecah belah kerana berbeza pendangan agama dan perbezaan politik.

MEMBINA ISLAM

Menurut Dr Mahathir, Kerajaan Malaysia telah bertindak membawa pembangunan infrastruktur fizikal dan juga pembangunan kerohanian (Islamisasi) melalui institusi Islam seperti Lembaga Tabung Haji, Bank Islam, insuran Islam (takaful), pajak gadai Islam (ar-rahnu), institut pengajian tinggi (IPT) Islam seperti Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) serta Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan sebagainya.

Kemajuan ini telah memperkukuh kedudukan di dalam negara umat Islam yang berjaya memberi sumbangan kepada perkembangan agama Islam melalui keterlibatan dalam program agama dan berzakat, dan kutipan mencecah RM 2 bilion setahun.

Di atas semangat ini, sempena sambutan 60 Tahun Jubli Intan, PERKIM berusaha terus memperkukuh organisasi dengan Memperkasa Kapasiti Organisasi PERKIM (PERKIM Capacity Building) dengan menilai semula fungsi, peranan dan pendekatan yang digunakan sebelum ini, supaya PERKIM dapat meningkatkan prestasi dalam aktiviti dakwah dan kebajikan.

Walaupun matlamat kita tetap sama namun PERKIM perlu melakukan rombakan dan perubahan pendekatan dakwah untuk kekal relevan.

Bagi tujuan memperkukuhkan PERKIM selain merubah imej PERKIM yang sering disalah anggap sebagai pertubuhan orang pesara, mulai tahun ini juga kita telah melaksanakan Agenda Peremajaan PERKIM dengan menubuhkan Majlis Belia PERKIM yang merupakan sayap khas dengan ahli-ahli terdiri daripada pemuda dan pemudi Islam dari seluruh negara.

Proses peremajaan dan pembinaan pemimpin pelapis sebelum ini adalah melalui Kelab PERKIM Universiti (KPU) yang diserapkan secara rasmi melalui cadangan penubuhan Belia PERKIM di seluruh bahagian dan cawangan PERKIM.

Beliau berkata, di era siber dan komunikasi teknologi maklumat (ICT), PERKIM perlu mengguna pendekatan dakwah digital yang lebih sesuai dengan peredaran zaman dan selari dengan selera generasi muda.

Untuk itu, Unit Dakwah PERKIM melalui program Digital Dakwah PERKIM telah menggunakan komunikasi internet dan aplikasi siber seperti laman sesawang, blog, facebook, twitter, instagram dan lain-lain untuk menyampaikan mesej dakwah secara berkesan kepada generasi muda, namun dakwah cara tradisi seperti ceramah agama, penerbitan dan kerja-kerja amal perlu diteruskan.

Seperti yang kita maklum, PERKIM merupakan satu pertubuhan kebangsaan (Perkara 7) yang akar umbinya terletak di cawangan-cawangan dan bahagian atau negeri.  Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari di bahagian atau negeri perlu memainkan peranan sebagai pemimpin bagi menggerakkan PERKIM negeri-negeri dan PERKIM cawangan-cawangan.

Kata Dr Mahathir lagi, pemimpin perlu menunjukkan inisiatif dalam menggerakkan aktiviti PERKIM berdasarkan empat tunggak iaitu dakwah, kebajikan, pelajaran dan kerjasama dengan pihak-pihak yang lain untuk memajukan agama Islam di negeri dan daerah masing-masing.

Untuk semua ini dana diperlukan, selain sumbangan dari pusat, tiap-tiap bahagian hendaklah berusaha untuk mendapat dana dengan usaha sendiri.

“Saya percaya jika PERKIM bahagian dan cawangan dapat bergerak aktif dengan pelbagai program, dan Ahli-ahli Majlis Kebangsaan serta ahli-ahli jawatankuasa PERKIM negeri-negeri dapat menunaikan amanah dan tanggungjawab masing-masing serta mengelak terlibat dalam kegiatan yang tidak membawa faedah kepada PERKIM.  

Dr Mahathir berharap PERKIM akan dilihat sebagai sebuah pertubuhan dakwah dan kebajikan yang segar serta dinamik di Malaysia.

Sebelum itu, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menyampaikan ucapan aluannya.


Dr Yusof Noor mengucapkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana dengan izin-Nya kita dapat mengadakan Mesyuarat Agung PERKIM Kebangsaan Kali ke-59 walaupun secara maya kerana rancangan untuk mengadakan persidangan tersebut tergendala beberapa kali akibat pandemik COVID-19 yang dihadapi oleh dunia seluruhnya.

Jelas beliau, tentunya cara ini tidak memberi keselesaan kepada kita tetapi inilah sahaja yang diupayakan untuk kita melakukannya dalam kekangan masa dan demi maslahat yang lebih besar lagi.

Menurutnya, pendaftaran yang terakhir direkodkan, seramai 41 orang Ahli Majlis Kebangsaan turut mengikuti persidangan Mesyuarat Majlis Kebangsaan ini secara langsung dan telah melebihi korum sebanyak lapan orang.

Dr Yusof Noor turut memaklumkan kepada sidang perwakilan PERKIM bahawa mesyuarat tersebut diadakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) semasa tempoh PKPB dan selaras dengan arahan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) bagi mengelak dari sebarang implikasi perundangan serta peraturan dengan kehadiran fizikal yang minimum sebagai satu usaha dari mengelak dari risiko pandemik COVID-19.

Ujar beliau, di atas sebab-sebab kesempitan masa dan suasana masa, PERKIM berpeluang menyempurnakan dua urusan dalam satu hari iaitu Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bil.2/58 dan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-59.

Beliau turut mengajak ahli-ahli majlis dan perwakilan berdoa ke hadrat Allah SWT semoga segala kesulitan yang dialami kali ini akan berakhir dan dapat meneruskan misi PERKIM seperti sediakala serta menghasilkan natijah yang lebih baik. Beliau juga mendoakan agar kita semua dijauhi dari sebarang penyakit yang berat dan sukar ditanggung serta terselamat dari segala marabahaya.

Beliau juga menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Yang Dipertua atas kesudian memberikan kemudahan tempat dan perkhidmatan kakitangan pejabat sendiri untuk diadakan persidangan ini.

Antara agenda Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-59 ialah meluluskan minit Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-58; menerima Laporan Tahunan PERKIM Kebangsaan dan PERKIM Bahagian-bahagian dan Wanita 2019; meluluskan akaun bagi tahun berakhir 31 Disember 2019; meluluskan Anggaran Pendapatan dan Perbelanjaan bagi Tahun 2021 serta membincang dan meluluskan usul.

YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad turut menyampaikan ucapan penangguhan sebelum persidangan berakhir.

Beliau berucap kepada sidang ahli mesyuarat yang berlansung secara maya bahawa kaedah tersebut merupakan teknologi moden yang membolehkan kita mengadakan mesyuarat dengan begitu ramai tanpa bertemu di satu-satu tempat.

Walaupun kita berada jauh daripada sini, umpamanya jika kita berada di New York atau pun di London kita masih boleh mengadakan mesyuarat bersama secara maya. Ini adalah satu nikmat yang kita harus bersyukur kerana di masa COVID-19 ini kita tidak boleh mendekati antara satu sama lain, tidak boleh berjalan ke sana sini dan pergerakkan kita terhad kerana kita ingin mengelakkan daripada jangkitan wabak COVID-19.

Dr Mahathir memanjatkan rasa kesyukuran kerana walaupun ada sekatan kita masih boleh mengadakan satu mesyuarat dengan penyertaan ramai daripada ahli-ahli mesyuarat melalui teknologi baru.

Beliau berharap, perwakilan dapat menerima hakikat bahawa di musim pandemik ini, kita tidak boleh bertemu secara fizikal, berkumpul di dalam satu bilik yang sama dan sebagainya, tetapi kita masih boleh mengadakan mesyuarat dan PERKIM perlu menyesuaikan diri dengan keadaan ini.

Kata Dr Mahahtir, walaupun kita tidak dapat bergerak seperti dahulu tetapi melalui sistem komunikasi yang moden, kita masih boleh berhubung dengan Ahli-ahli Majlis Kebangsaan, Pengerusi, Setiausaha Kehormat dan perwakilan PERKIM Bahagian Negeri-negeri.

Ujarnya, kita harus menggunakan teknologi ini untuk meneruskan kegiatan kita sebagai badan dakwah yang utama di Malaysia ini.

PERKIM telah berjalan dengan baik walaupun ada sekatan-sekatan yang tidak dapat dielakkan tetapi kerja-kerja PERKIM perlulah diteruskan dengan mengadakan mesyuarat ketika diperlukan melalui atas talian atau pun bagi sebuah pejabat yang ahlinya tidak begitu ramai kita masih boleh mengadakan mesyuarat dengan syarat kita menentukan jarak antara setiap seorang itu tidak kurang daripada satu meter.

Alhamdulillah, sekurang-kurangnya kita ada cara untuk mengelak daripada jangkitan COVID-19 jika tidak, mungkin kita semua akan diserang penyakit dengan ini dan sedia maklum bahawa penyakit ini sudah merebak ke seluruh dunia.

Sebenarnya kita menghadapi masalah walaupun sudah ada vaksin untuk disuntik bertujuan melindungi kita daripada dijangkiti namun jumlah kes COVID-19 dari seluruh dunia telah meningkat kepada 7.4 billion dan kita perlu suntik hampir semua daripada mereka.

Sekurang-kurangnya 5 ke 6 billion hendaklah disuntik baik dari kalangan yang tua, muda mahu pun kanak-kanak serta ia akan mengambil masa mungkin sehingga satu tahun atau lebih sebelum kita dapat suntik dengan pelali dan inilah sesuatu yang kita perlu terima.

“Kita perlulah mengikuti cara-cara yang ditentukan oleh pihak yang bertanggung jawab iaitu kita perlu memakai pelitup muka, kerap membasuh tangan atau menggunakan pencuci sanitasi, memeriksa suhu badan serta mengamalkan penjarakan fizikal supaya kita tidak mudah dijangkiti,” kata bekas Perdana Menteri.

Ini semua adalah harapan kita kerana kita tidak tahu sama ada berkesan atau pun tidak vaksin itu dan jikalau berkesan berapa lamakah ia boleh bertahan. Jadi semua ini kita perlu terima kerana ini adalah satu jenis ujian kepada kita.

Tambah beliau, walaupun kita telah maju jauh ke hadapan hingga ke tahap kita boleh menyediakan ubat untuk pelbagai penyakit dan kita juga mahir dalam dalam usaha berperang dan sebagainya, namun apabila kita menghadapi wabak ini, makhluk yang tidak kelihatan ini kita kalah dalam jangka masa yang pendek sehingga kita tidak dapat bergerak seperti biasa.

Kata Dr Mahathir lagi, kita perlu ingat bahawa ini semua adalah kuasa Tuhan dan kita diberi kebolehan untuk mencari jalan supaya terselamat dari wabak ini.

“Saya amat berbangga kerana orang Islam Turki yang tinggal di Jerman berjaya mencipta vaksin bersama syarikat Pfizer yang merupakan syarikat gergasi dalam bidang farmakologi di Jerman,” ujar beliau.

Ada juga orang Islam yang berpengalaman, berilmu yang boleh menciptakan vaksin untuk melindungi kita dari penyakit tetapi janganlah kita cuma berhenti di situ sahaja. Kita dapati bahawa ilmu terutamanya ilmu sains sudah menjadi sesuatu yang penting bagi kita.

Pada zaman dahulu, orang Islamlah yang pakar dalam bidang sains tetapi tidak tahu kenapa kita ketinggalan sekarang ini sebaliknya kita mempunyai peluang sekali lagi memahami dan mempelajari dalam bidang sains ini kerana kebolehan dalam bidang ini juga adalah kurniaan Allah SWT kepada kita dengan menguasai ilmu yang digunakan untuk melindungi kita.

Beliau berharap semoga ujian COVID-19 menjadi satu dari pengajaran daripada Allah SWT buat kita tempuhi dengan menguasai ilmu sains perubatan.

Saya berpendapat bahawa di antara dakwah termasuklah dakwah tentang ilmu yang perlu ada pada orang Islam supaya mereka dapat mempertahankan diri mereka dengan menyumbang kepada keselamatan jiwa manusia keseluruhannya.

Dengan adanya sistem baru ini kita dapat meneruskan mesyuarat-mesyuarat kita dan kerja dakwah kita kerana dakwah yang berkesan ialah kejayaan orang Islam.

Turut diadakan penyampaian Sijil Kelayakan Sukarelawan PERKIM daripada Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad kepada saudara Muhd Rizq Abdul Aziz manakala Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor pula menyampaikan Buku Warisan dan Wawasan PERKIM bersempena Sambutan Jubli Intan Ke-60 PERKIM kepada YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad.

Related Articles

Back to top button