Tingkatkan Prestasi, Laksanakan Tugas Terbaik Tahun 2025 – SUA PERKIM
oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 6 JANUARI 2025 – “Selamat Menyambut Tahun Baharu 2025 kepada Warga Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dan diharap kita dapat memajukan lagi organisasi kita,” kata Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Dr Yusof Noor berkata ketika menyampaikan ucapan amanatnya bersama lebih 40 pegawai dan kakitangan di Majlis Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM Kebangsaan bertempat di Dataran Dakwah, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, dekat sini pada pagi Isnin.
Perhimpunan itu turut dihadiri kakitangan Institut Dakwah Antarabangsa Islam PERKIM (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).
Majlis tersebut telah diacarakan oleh Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Nur Syahirah Musa diikuti dengan nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.
Bacaan doa pembuka majlis pula dipimpin oleh Pegawai UDPI, Muhammad Jais Mariappan Abdullah.
Menurut Dr Yusof Noor, dalam membuka lembaran baharu, beliau percaya warganya dapat membuat rumusan daripada prestasi mereka pada tahun lalu di mana jika mereka sudah melaksanakan tugas yang terbaik, perlu wujudkan iltizam untuk menjadi lebih baik lagi daripada tahun lalu.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada lebih 100 warga pentadbir PERKIM di seluruh negara kerana telah memberikan sumbangan, khidmat dan bakti pada tahun lalu.
Katanya, kita tidak boleh menyangka bahawa angka yang kecil ini tidak boleh menghasilkan sesuatu yang besar kerana kadang-kala angka yang lebih besar itu menghasilkan sesuatu yang lemah.
Ujarnya, angka yang kecil boleh menyumbangkan sumbangan yang lebih besar jika mereka bekerja dengan lebih bersungguh-sungguh.
Jelas Dr Yusof Noor, salah satu daripada rumusannya ialah kita dapati bahawa pertambahan orang Islam di negara kita agak berkurangan berbanding peningkatan orang memeluk Islam di negara luar seperti di Eropah, Amerika, Perancis, England, Spain dan lain-lain.
Keadaan tersebut agak luar biasa walaupun negara tersebut merupakan minoriti Muslim. Ramai yang berhijrah masuk kepada agama Islam yang telah mengakibatkan Islam diserang oleh musuh Islam.
Menyedari akan hal itu, eloklah kita merancang bagaimanakah kita menggunakan kekuatan kita walaupun warga pentadbiran tidak begitu ramai tetapi kerja dakwah mereka mantap, berkualiti, berkesan dan cekap.
Kita dapati dalam al Quran sendiri yang menyebutkan bahawa kumpulan yang kecil yang boleh mengalahkan kumpulan yang besar seperti mana firman Allah SWT di dalam Surah al-Baqarah, ayat 249 bermaksud: “Berapa banyak (yang pernah terjadi), golongan yang sedikit berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah.”
Selain daripada memantapkan hubungan sesama kita, kita akan meningkatkan pertambahan rangkaian dan kerjasama dengan badan lain yang mempunyai komitmen dan matlamat yang sama.
Katanya, salah satu daripada sebab kenapa jumlah Muslim tidak bertambah adalah kerana banyak kegiatan Islam tertumpu sesama sendiri sesama Islam.
Salah satu usaha seperti IDIPKL juga, kita akan membina rangkaian dan kerjasama dengan institusi-institusi yang lain supaya kita dapat membuat pendekatan yang lebih bererti sekali gus memperluaskan kegiatan dakwah.
Beliau berharap warganya dapat memberi khidmat dan sumbangan yang menyeronokkan sekali gus menghasilkan produk terbaik yang ditunggu-tunggukan.
Dr Yusof Noor juga menasihatkan supaya tidak mencari kelemahan orang lain, tetapi mencari kelemahan sendiri dan memperbaikinya.
Tahun ini, kita akan membuat pendekatan kepada non-Muslim secara langsung selain daripada mengadakan kegiatan sesama Muslim.
“Kegiatan kita hanya tertumpu kepada Muslim sahaja kadang-kala tidak berkesan dan itulah yang akan kita bincangkan bersama organisasi lain supaya ianya dapat menyentuh hati orang non-Muslim.
“Kita bukan memaksa, tetapi menjelaskan Islam menerusi bicara atau pun dialog kepada non-Muslim yang berada di negara kita dari semasa ke semasa.
“Jika kita boleh fikir bahawa kita yang terbaik, itulah bukti bahawa kita yang paling lemah sekali kerana keegoan terlalu kuat di dalam diri dan kita mesti sifarkan ego dalam diri kita.
“Jika tidak boleh sifarkan keegoan kita, kita berusahalah untuk menyifarkannya bersempena tahun baharu ini,” kata beliau mengakhiri ucapannya.
Dr Yusof Noor turut mengucapkan selamat datang ke PERKIM Kebangsaan dan selamat bertugas sambil memperkenalkan warga baharunya iaitu Mohamad Azrol Mohd Azmi selaku Penolong Pegawai Kewangan di Pejabat Bendahari Kehormat dan Farah Irisha Hazlizam selaku Pembantu Tadbir di Unit Dakwah dan Pembangunan Insan.
Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun.
Nur Syahirah mengacarakan Majlis Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM Kebangsaan.
Warga PERKIM berdiri tegak sambil menyanyikan lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.
Kepimpinan PERKIM berdiri hormat ketika menyanyikan lagu Negaraku.
Jais Mariappan memimpin bacaan doa pembuka majlis.
Warga PERKIM menadah tangan dan mengaminkan ketika doa dibacakan.
Dr Yusof Noor menyampaikan ucapan amanatnya sambil mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2025.
Dr Yusof Noor menggesa warganya supaya wujudkan iltizam untuk menjadi lebih baik lagi daripada tahun lalu.
Dr Yusof Noor berharap meski pun warga pentadbiran tidak begitu ramai tetapi kerja dakwah perlulah mantap, berkualiti, berkesan dan cekap.
Dr Yusof Noor juga menggesa warganya supaya berusaha untuk menyifarkan keegoan bersempena tahun baharu.
Tan Sri Setiausaha Kehormat PERKIM turut mengucapkan selamat datang ke PERKIM Kebangsaan sambil memperkenalkan warga baharunya, Farah Irisha (kiri) dan Azrol Azmi (kanan).