Aktiviti Dakwah

Majlis Anugerah Kecemerlangan Kelas Pengajian Islam PERKIM 2016

oleh: FLT

Kuala Lumpur, 18 Feb 2017: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan telah menganjurkan Majlis Anugerah Kecemerlangan Kelas Pengajian Islam PERKIM 2016 bertempat di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara, di sini.

Majlis tersebut merupakan acara tahunan wajib kepada PERKIM sebagai tanda penghargaan kepada pelajar Kelas Pengajian Islam PERKIM terutama mereka yang bergelar Muallaf.

ridwanMajlis telah dimulakan dengan bacaan doa yang diketuai oleh Encik Mohamed Ridzwan Abdullah, seorang Muallaf yang juga merupakan pelajar Kelas Pengajian Islam PERKIM.

abdul azizY.Bhg. Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, selaku Pengerusi Jawatankuasa Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara dalam ucapan aluan beliau berkata, pihak Masjid mengalu-alukan program seperti ini diadakan selalu di situ. “Usaha untuk berdakwah terutamanya kepada non-muslim amat penting kerana ia bukan sahaja menyampaikan ‘hak’ mereka kepada Islam walaupun hidayah itu milik Allah, tetapi juga untuk memberi kefahaman terhadap mereka tentang Islam agar kita semua dapat hidup dalam keadaan yang harmoni” kata beliau dalam ucapan aluannya.

Tambahnya, “Islamophobia dilihat semakin meruncing walaupun terdapat perkembangan positif di negara barat terutamanya kerana jumlah mereka yang memeluk Islam semakin meningkat. Ketakutan terhadap peningkatan ini jelas dapat dilihat dikalangan golongan atasan pihak barat dan buktinya, Presiden Amerika Syarikat terbaharu, Donald Trump menggunakan pendekatan untuk menyekat kemasukan warga asing ke sana terutamanya dari 7 buah negara Islam!” jelas beliau panjang lebar. Beliau juga berharap agar kerjasama PERKIM dan Masjid Saidina Umar dapat diteruskan pada masa hadapan sebelum mengakhiri ucapan aluannya.

dr mohd yusof noorSementara itu, Y.Bhg. Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor dalam ucapan perasmiannya berkata, PERKIM amat bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada pihak Masjid Saidina Umar Al-Khattab kerana sudi bekerjasama dengan PERKIM dalam menjayakan program tersebut. “Pihak PERKIM akan berusaha dengan lebih giat lagi dalam menyampaikan dakwah islamiah dan saranan Y.Bhg Tan Sri Abdul Aziz untuk meneruskan usahasama antara pihak PERKIM dan Masjid Saidina Umar amatlah dihargai” katanya.

“PERKIM ini ditubuhkan oleh mantan pemimpin nombor satu negara iaitu Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra dengan visi agama Islam di Malaysia dapat dikembangkan dan agar penduduk di negara ini dapat hidup dalam keadaan lebih harmoni kerana mereka memahami dan menghormati pegangan agama masing-masing” tambahnya.

Tidak seperti kebiasaan di mana aktiviti pengisian majlis disulam dengan ceramah ringkas oleh penceramah jemputan, aktiviti majlis pada kali ini telah diisi dengan persembahan ‘koir’ oleh kumpulan ‘Ikhwanul Muslimin PERKIM’ yang dianggotai para Pelajar Kelas Pengajian Islam PERKIM secara acapella dan menggunakan alat muzik kitar semula seperti baldi, gayung, kayu lama dan sebagainya.

Majlis juga turut diserikan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran yang telah disampaikan oleh Pemenang Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Kelas Pengajian Islam PERKIM. Uniknya, pemenang bagi Pertandingan Tilawah tersebut dibahagikan kepada dua iaitu Kategori Saudara Muslim dan Kategori Muslim Asal (Islam sejak lahir). Ia menunjukkan bahawa dakwah PERKIM bukan hanya terhad kepada mereka yang bergelar non-muslim dan ‘saudara baru’(sekarang dikenali sebagai Saudara Muslim), seperti tanggapan masyarakat di Malaysia. Pada majlis tersebut juga, Pemenang Pertandingan Azan Peringkat Kelas Pengajian Islam PERKIM juga turut mengalunkan Azan sebagai simbolik kemenangan beliau.

Manakala bagi pertandingan Pengetahuan Islam, pemenang atau Johan ketagori tersebut dimenangi oleh seorang wanita yang masih belum lagi memeluk agama Islam. Inilah keunikan yang terdapat di PERKIM, para pelajarnya bukan sahaja terdiri dari golongan Saudara Muslim dan Muslim Asal, malah mereka yang masih belum memeluk Islam juga turut mengikuti kelas agama PERKIM. Berbeza dengan sekolah, para pelajar bebas untuk belajar mana-mana subjek melainkan subjek teras, kerana mereka berada di dalam sekolah kebangsaan di mana terdapat semua kaum yang belajar di sana. Namun PERKIM sebagai NGO Islam yang jelas berteraskan agama, masih menerima pelajar bukan Islam untuk belajar di sana.

Majlis telah diakhiri dengan penyampaian hadiah berbentuk trofi, wang tunai dan sijil kepada Pelajar Cemerlang dan pemenang pelbagai pertandingan ilmu Islam serta Jamuan tengah hari dan solat zohor berjemaah.

Berikut adalah senarai nama pelajar cemerlang dan pemenang pertandingan Kelas Pengajian Islam PERKIM 2016:

Senarai Nama Pelajar Cemerlang Tahap Asas

  1. Cemerlang : Mariam Joceline Gongora Lumiwan
  2. Terbaik : Haslinda Binti Bar
  3. Baik : Mohamad Ali Kuberan

Senarai Nama Pelajar Cemerlang Tahap Pertengahan

  1. Cemerlang : Ros An’nureleena Chong Binti Abdullah
  2. Terbaik : Bainah Binti Abdullah
  3. Baik : Nur Iman Ruiz Daniel

Senarai Nama Pelajar Cemerlang Tahap Lanjutan

  1. Cemerlang : Saiful Sim Bin Abdullah
  2. Terbaik : Rasidah Begum Binti Abdullah
  3. Baik : Nur Aisyah Dairit Binti Abdullah

Pertandingan Azan

  1. Johan : Muhammad Jauharul Arifin
  2. Naib Johan : Muhammad Zaini Wong
  3. Ketiga : Mohd Abu Bakar Bin Abdullah

Pertandingan Tilawah Al-Quran (Muslim Asal)

  1. Johan : Fauziah Binti Haji Ibrahim
  2. Naib Johan : Azizah Binti Musa
  3. Ketiga : Noor Salmah Binti Lebai Yusof

Pertandingan Tilawah Al-Quran (Saudara Muslim)

  1. Johan : Dahlia Binti Abdullah
  2. Naib Johan : Mohd Abu Bakar Bin Abdullah
  3. Ketiga : Aisha Acuna

Pertandingan Pengetahuan Islam

  1. Johan : Wong Yiew Kwan (Jasmine)
  2. Naib Johan : Fatimah Binti Yunus
  3. Ketiga : Siti Sarah Binti Abdullah

 

 

001
Persembahan ‘koir’ oleh kumpulan ‘Ikhwanul Muslimin PERKIM’ yang dianggotai para Pelajar Kelas Pengajian Islam PERKIM.

 

002
Barisan Pelajar Cemerlang dan Pemenang Pertandingan Kelas Pengajian Islam PERKIM

 

 

003
Dr. Yusof Noor, Setiausaha Agung Kehormat menyampaikan sijil penghargaan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang diwakili oleh Ustaz Kamarunnizam Suhaimi (berbaju batik biru).

 

004
Muhammad Jauharul Arifin merangkul johan Pertandingan Azan, Kelas Pengajian Islam PERKIM 2016

 

 

 

005
Dahlia Abdullah, Johan, Pertandingan Tilawah Al-Quran kategori Saudara Muslim

 

 

 

 

 

 

 

006
Fauziah Haji Ibrahim, Johan, Pertandingan Tilawah Al-Quran kategori Muslim.

 

007
Wong Yiew Kwan @ Jasmine, Johan, Pertandingan Pengetahuan Islam.

 

 

 

 

 

008
Pelajar menunjukkan isyarat ibu jari menandakan kelas PERKIM terbaik ketika bergambar beramai-ramai di akhir program.

Related Articles

Back to top button