Aktiviti Dakwah

Lawatan Sambil Belajar Tingkatkan Ilmu Islam Mualaf

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI


“Program lawatan sambil belajar banyak memberi manfaat kepada pelajar-pelajar kelas terutamanya golongan mualaf yang sebelum ini hanya mempelajari ilmu-ilmu agama Islam dalam suasana kelas sahaja,” kata Muhammad Jais Mariappan Abdullah.

Ia juga dapat menambah dan meningkatkan pengetahuan pelajar Kelas Pengajian Islam Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan (KPIPK).

Jais selaku Penyelaras KPIPK berkata ketika di program Lawatan Sambil Belajar KPIPK ke Melaka dan Negeri Sembilan anjuran PERKIM Kebangsaan pada 12 hingga 14 Disember 2019 lalu.

Seramai 80 pelajar terdiri daripada pelajar saudara baharu berketurunan Cina, India, Bidayuh, Melanau, Iban serta warga negara dari Thailand, Indonesia, Filipina dan Kenya menaiki dua buah bas persiaran dari Kuala Lumpur menuju ke Melaka.

Hadir sama, 20 tenaga pengajar KPIPK dan enam urus setia PERKIM Kebangsaan.

Turut hadir ialah Pengarah Program dan Pentadbiran, Mamat Che Chik; Timbalan Pengarah Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan (UPPP) PERKIM, Mohd. Yusof Ahmad.

Ujar Jais, selain dapat kenal mengenal antara satu sama lain, mereka juga dapat merapatkan hubungan ukhuwah Islamiah dan silaturahim sesama mereka.

Program itu juga mewujudkan sikap tolong-menolong, bantu membantu dan berkasih sayang antara satu sama lain kerana ada di antara pelajar saudara baharu terdiri dari pelbagai peringkat umur iaitu remaja, dewasa dan warga emas.

“Seperti mana mata pelajaran akhlak yang mereka pelajari di dalam kelas, ilmu itu direalisasikan dan membentuk keperibadian diri tinggi selain dilatih untuk menepati masa dan disiplin diri.

Kata Jais, program yang julung kali diadakan sangat bermakna buat mereka dan mereka teruja serta bergembira dengan pejelajahan di dua buah negeri dalam melihat keindahan Islam yang sebenar.

Turut diadakan perkongsian ilmu mengenai permusafiran, solat jamak dan qasar disampaikan oleh Khadijah Ishak dan kuiz Islam pula disampaikan oleh Muhammad Farhan Tee Abdullah dan Siti Fatimah Ladda Abdullah sepanjang perjalanan lebih dua jam sejauh 134 kilometer.

Pelajar teruja dan terpegun setelah tiba di perkarangan Masjid Cina Negeri Melaka yang merupakan sebuah masjid terletak di Krubong, Melaka.

Menurut Imam Masjid Cina Negeri Melaka, Murad Ahmat, masjid dibina pada tahun 2011 dan sempurna pembinaannya pada tahun 2014 dengan rekaan senibina yang unik dengan pagoda dan kaligrafi Cina daripada gabungan reka bentuk beberapa masjid di Beijing, Shanghai dan Xi’an, China.

Ia mempunyai dua menara pagoda lima tingkat dan boleh menampung kira-kira lebih 2,000 jemaah serta ia merupakan cetusan Persatuan Cina Muslim Tionghua Melaka (PERTIM) dan diusahakan oleh Majlis Agama Islam Melaka dan Jabatan Agama Islam Melaka.

Majoriti jemaah masjid adalah penduduk kawasan perumahan Krubong dan Paya Rumput. Kadang kala jemaah merupakan pelancong dari dalam dan luar negara, kadang kala jemaah merupakan penonton bola sepak berhampiran Stadium Hang Jebat.

Keindahan dan kesenian Islam terdapat di Masjid Cina meyakinkan bahawa Islam itu bukan sahaja dianuti oleh satu golongan sahaja, malah pelbagai kaum dan bangsa.

Turut diadakan sesi soal jawab antara pelajar KPIPK dengan Bilal Masjid Cina Negeri Melaka, Kamarul Ariffin mengenai sejarah dan fungsi masjid tersebut.

Selain menambah pengetahuan dan pengalaman pelajar, ia dapat mendekatkan diri mereka dengan masjid.

Rombongan lawatan kemudiannya berehat sejenak dengan membawa bagasi ke penginapan di Tun Fatimah Riverside.

Pelajar kemudiannya dibawa ke Restoran Asam Pedas Pak Man di Kompleks Niaga Melaka Perdana untuk menikmati  hidangan makan malam istimewa Negeri Melaka iaitu masakan asam pedas jenahak dan pari yang termasyhur.

Masjid Raudhatul Jannah Bukit Bayan, Bukit Katil menjadi lokasi untuk menunaikan solat fardu Maghrib dan Isyak berjemaah.

Pelajar KPIPK dibawa menjelajah melalui Sungai Melaka dengan menaiki bot Melaka River Cruise bermula di jeti TF Riverside.

Bot membawa pelajar melalui enam buah jambatan iaitu Jambatan Tan Kim Seng, Jambatan Chan Koon Cheng, Jambatan Kg. Jawa, Jambatan Pasar, Jabatan Old Bus Station dan Jambatan Hang Jebat yang dihiasi warna warni lampu neon yang indah, lukisan menarik di dinding-dinding bangunan di tebing sungai selain melalui Kampung Morten iaitu kampung Melayu tertua di Malaysia.

Selain itu tedapat beberapa bangunan lama di tepi sungai itu dijadikan hotel, restoran, cafe, kraftangan malah panggung wayang Cathay dan kincir air Kesultanan Melaka dapat dilihat dari atas bot semasa menyusuri Sungai Melaka selama 45 minit.

Di tepi Sungai Melaka ini terdapat hutan paya bakau yang dipelihara bagi menghalang hakisan tebing sungai.

Pada keesokan harinya, Naib Yang DiPertua PERKIM, Muhammad Fitri Abdullah memimpin solat Subuh berjemaah disusuli dengan wirid dan doa.

Bagi melihat sendiri bukti kewujudan awal Islam di Melaka dari agama-agama lain, pelajar KPIPK membuat lawatan ke Muzim Islam Melaka sementara tenaga pengajar bersama kepimpinan PERKIM pula mengadakan Mesyuarat Kerja Kurikulum dan Keberkesanan Pembelajaran KPIPK dipengerusikan oleh Pengarah Program dan Pentadbiran, Mamat Che Chik.

Seramai 20 ahli mesyuarat membincangkan serta memberi buah fikiran dan idea yang bernas bagi meningkatkan mutu dan kualiti KPIPK.

Hadir sama, Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, Dr Ann Wan Seng dan Pengarah Institut Dakwah Antarabangsa Kuala Lumpur (IDIP-KL), Dr Suariza Hidayah Muhammad.

Fitri dalam ucapan mesyuarat itu berkata, beliau sendiri pernah mengajar di kelas-kelas pengajian saudara baharu di Serendah dan diberi elaun oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) kepada guru-guru dan murid. Kemudian kelas itu di tambah di tempat-tempat yang berbeza sehingga menjadi sembilan kelas di Selangor dan kelas-kelas yang diadakan bukan sekadar kelas pengajian sahaja malah kelas motivasi kepada mualaf.

Beliau turut menyarankan supaya PERKIM yang menyebarkan idea ini ke seluruh Malaysia memandangkan PERKIM terdapat di setiap negeri.

Jelas Fitri, idea ini kita boleh selaraskan dan wujudkan satu modul serta dalam lima tahun kita boleh membentuk dan mengeluarkan seorang ikon mualaf.

Selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Alami MITC Melaka, pelajar di bawa ke Kompleks Al-Sa’adah, Seremban.

Kuiz bacaan al-Quran dan doa-doa pilihan menjadi aktiviti sepanjang perjalanan satu jam dengan jarak 83.4 kilometer ke destinasi berikutnya.

Eksekutif Kompleks Al-Sa’adah, Bukhari Safian bersama ahli jawatankuasanya menyambut pelajar dan tenaga pengajar KPIPK setibanya mereka di hadapan kompleks tersebut.

Bukhari dalam ucapannya berkata, maksud Al-Sa’adah ialah kebahagiaan dan disebabkan itu, setiap pelajar yang turun dari bas di sambut dengan senyum dan kebahagiaan kerana senyum itu sedekah.

Katanya, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda yang bermaksud senyuman pada wajah itu kepada orang lain adalah sedekah.

Senyuman itu ada harganya serta mendapat pahala dan ditimbang untuk masuk ke syurga sebab sudah di katakan oleh baginda Nabi Muhammad SAW.

Jelas Bukhari, beliau dengan PERKIM ini tidak jauh kerana suatu masa dahulu aktif dengan Kelab PERKIM Universiti (KPU) Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan beliau sudah biasa ke Bangunan PERKIM untuk urusan KPU.

Menurutnya, Kompleks Al-Sa’adah adalah di bawah Perbadanan Baitulmal Negeri Sembilan dan fungsi-fungsinya ialah sebagai pusat ilmu mualaf dan komuniti; pusat peningkatan ilmu dan pemurnian akidah kepada mualaf; pusat khidmat kaunseling serta nasihat dalam hal ehwal kebajikan mualaf.

Ia mula dibina pada awal 2008 dan didirikan atas tujuan sebagai sebuah Pusat Kegiatan Saudara Baru Negeri Sembilan.

Kompleks tersebut dirasmikan oleh Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Ibni AlMarhum Tuanku Munawir pada 19 Januari 2012 dan terdapat surah Al- Baqarah ayat 21 tertulis pada mihrab yang bermaksud: “Wahai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa.”

Sebanyak RM7.76 juta dengan peruntukan Kerajaan Persekutuan menerusi Jabatan Wakaf Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bagi menyiapkan kompleks tersebut.

Dewan solat kompleks itu boleh menampung seramai 300 orang sahaja dalam satu masa. Semasa solat Jumaat, termasuk kiri dan kanan dewan, boleh menampung seramai 500 ke 600 orang Jemaah.

Konsep senibina Kompleks Al-Sa’adah mengambil konsep Masjid di China, rekabentuk dari Uzbekistan dan ukuran serta hiasan dindingnya diimport khas dari China.

Menara pagoda tujuh tingkat mempunyai makna simbolik iaitu tujuh petala langit, tujuh hari dalam seminggu, tujuh fasa penciptaan manusia, tujuh pusingan tawaf, tujuh ulang alik sa’ie, tujuh biji batu melontar jamrah dan tujuh takbir solat raya.

Majlis berakhir dengan jamuan makanan istimewa Negeri Sembilan, masak lemak cili api dan penyampaian cenderahati kepada pelajar.

Pelajar kemudiannya dibawa menginap di Klana Beach Resort, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) bertempat di Telok Kemang, Port Dickson.

Pelajar KPIPK menikmati makan malam dengan hidangan makanan laut seperti ikan kerapu, ketam, udang, pahat-pahat di Restoran Cina Muslim Seafood Telok Kemang.

Seterusnya pelajar ke Kompleks Baitul Hilal, Balai Cerap Teluk Kemang Port Dickson untuk belajar dan menambah ilmu mengenai bidang astronomi.

Selain itu ia merupakan tempat untuk mengembangkan ilmu falak dan astronomi melalui pelbagai aktiviti dan kajian.

Pelajar diberi peluang untuk berada di hadapan teleskop terbesar di Malaysia yang mampu mencerap dan mengambi l gambar objek angkasa.

Pelajar juga diberi pendedahan mengenai planet-planet seperti utarid, zuhrah, marikh, musytari, zuhal, Uranus, neptun, pluto, bumi, bulan, matahari dan lain-lain.

Ilmu pengetahuan mengenai dunia astronomi turut bercambah kerana galeri astronomi menceritakan kehebatan cendekiawan falak Islam seperti Al Khawarizmi, Al Biruni, Al Zarqali, Al Khawarizmi dan Al Battani.

Projek Baitul Hilal menelan belanja sebanyak RM30 juta yang mana RM18 juta dibiayai melalui peruntukan JAWHAR manakala selebihnya peruntukan MAINS.

Hari ketiga pelajar KPIPK di bawa ke Masjid Sri Sendayan di Bandar Sri Sendayan di mana masjid tersebut merupakan gabungan senibina daripada Taj Mahal, Masjid Nabawi dan Masjid Kerajaan Uthmaniyah.

Masjid yang mula dibina pada tahun 2015 melalui konsep wakaf itu mampu memuatkan sehingga 5,000 jemaah pada satu-satu masa, sekali gus menjadi masjid terbesar di Negeri Sembilan.

Masjid yang terletak kira-kira 10 kilometer dari Seremban itu, diwakafkan oleh pengasas syarikat perbankan Kumpulan RHB, Tan Sri Abd. Rashid Hussain.

Tarikan utama Masjid Sri Sendayan yang dibina dengan kos lebih RM100 juta itu adalah hasil seni dan arkitek yang dibawa hampir sepenuhnya dari luar negara.

Masjid itu mempunyai tiga dewan solat dan dilengkapi dengan bilik kuliah, perpustakaan, dewan serba guna, bilik pengurusan jenazah, bangunan pentadbiran, dewan makan, enam unit rumah sebagai kediaman petugas masjid.

Setelah selesai menunaikan solat dan melihat keindahan rumah Allah, rombongan pulang ke Kuala Lumpur dengan mendapat banyak pengalaman manis dan ilmu yang manfaat sepanjang program lawatan.


Farhan Tee menceriakan pelajar KPIPK dengan soalan kuiz Islam.


Pelajar KPIPK terpegun melihat senibina dan rekabentuk masjid setibanya di Masjid Cina Melaka.


Pelajar KPIPK menunaikan solat jamak dan qasar.


Bilal Masjid Cina, Kamarul Arifin memberikan penerangan dan taklimat mengenai Masjid Cina Melaka.


Pelajar KPIPK bergambar di hadapan perkarangan Masjid Cina Melaka.


Tun Fatimah Riverside menjadi tempat penginapan pelajar KPIPK.


Pelajar KPIPK pelbagai bangsa menikmati hidangan istimewa di Restoran Asam Pedas Pak Man Melaka.


Pelajar KPIPK di bawa bersiar-siar menggunakan Melaka River Cruise melalui Sungai Melaka.


Fitri memimpin solat Subuh berjemaah bersama pelajar saudara baharu KPIPK.


Tenaga pengajar mengadakan Mesyuarat Kerja Kurikulum dan Keberkesanan Pembelajaran KPIPK.


Naib Yang DiPertua PERKIM, Muhammad Fitri Abdullah menyampaikan ucaptama di mesyuarat.


Ahli Mesyuarat Kerja Kurikulum dan Keberkesanan Pembelajaran yang terdiri daripada tenaga pengajar KPIPK dan kepimpinan PERKIM.


Pelajar KPIPK dibawa melawat ke Kompleks Al-Saadah, Seremban.


Pelajar KPIPK mendengar taklimat disampaikan oleh Ekesekutif Kompleks Al-Saadah, Bukhari Safian di dewan solat Kompleks Al-Saadah.


Bukhari memberikan penerangan dan taklimat mengenai sejarah dan fungsi Kompleks Al-Saadah.


Pengarah Program dan Pentadbiran, Mamat Che Chik (kanan) menerima plak cenderahati daripada Bukhari (kiri).


Pelajar KPIPK bersama ahli jawatankuasa Kompleks Al-Saadah merakamkan kenangan manis di dalam dewan solat Kompleks Al-Saadah.


Klana Beach Resort Port Dickson merupakan tempat penginapan pelajar KPIPK.


Pelajar KPIPK menikmati makan malam di Restoran Makanan Laut Cina Muslim di Telok Kemang.

Salah seorang pelajar KPIPK mencuba melihat bulan melalui teropong di Baitul Hilal.


Petugas Baitul Hilal memberikan taklimat mengenai ilmu astronomi, planet, bulan dan matahari.


Petugas Baitul Hilal memberi penerangan mengenai teleskop dan ilmu falak saudara baharu.


Pelajar diberi peluang berada di hadapan teleskop Baitul Hilal terbesar di Malaysia.


Penolong Pengurus Balai Cerap Telok Kemang, Muzamir Mazlan menyampaikan taklimat mengenai sejarah permulaan dan kejayaan Balai Cerap Telok Kemang.


Mohd. Yusof Ahmad (kanan) menyampaikan plak cenderahati kepada Muzamir (kiri).


Masjid Sri Sendayan merupakan destinasi terakhir lawatan pelajar KPIPK.


Senibina dan corak rekabentuk Masjid Sri Sendayan yang menarik diambil rekaan dari Taj Mahal, Masjid Nabawi dan Masjid Kerajaan Uthmaniyah.


Farhan Tee memimpin solat berjemaah bersama pelajar KPIPK.

Related Articles

Back to top button