Aktiviti Kebajikan

Kunjungan Kasih PERKIM Ke Tasputra PERKIM

KUALA LUMPUR | 21 APRIL 2021 – Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor mengetuai rombongan menziarahi TASPUTRA PERKIM di Jalan U-Thant dekat sini.

Turut hadir ialah kepimpinan PERKIM, Bendahari Kehormat, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim; Pengarah Aset dan Pembangunan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Setiausaha Kerja Program dan Pentadbiran, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik; Setiausaha Kerja PERKIM Bahagian dan Cawangan, Encik Zulkefli Arifin dan Pengerusi TASPUTRA, Puan Hajjah Elahe Norman serta Penolong Pengerusi TASPUTRA, Serenade Norman.

Amalan ziarah-menziarahi merupakan satu amalan mulia yang dituntut agama kerana dapat mengeratkan silaturahim berdasarkan sepotong hadis Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang ingin rezekinya diperluas dan umurnya ditambah, maka hendaklah ia menyambung silaturahim.” (Riwayat Anas bin Malik)

Tuntutan menghubung silaturahim ditekankan kerana dengan cara itu akan dapat membentuk perpaduan dan ukhuwah sesama Islam.

Kesempatan berada pada Ramadan yang mulia amatlah dituntut lebih-lebih lagi dengan organisasi di bawah kelolaan PERKIM.

Tasputra PERKIM telah ditubuhkan pada bulan November 1987, di mana gabungan antara nama Taman Asuhan (TAS) dan Pengasas PERKIM iaitu (PUTRA) AlMarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj yang menempatkan kanak-kanak istimewa.

AlMarhum Tunku pada ketika itu merupakan Perdana Menteri Malaysia pertama secara peribadi menyumbangkan sebanyak RM10,000 Ringgit kepada TASPUTRA dan kemudiannya disumbang pula oleh isteri Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali serta Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) sebanyak RM50,000.

Tan Sri Dr Yusof Noor dan Tuan Haji Mamat berkesempatan melihat aktiviti-aktiviti seperti physiotherapy, occupational therapy, aqua therapy, sensory stimulation dan lain-lain yang dilakukan oleh kanak-kanak istimewa di situ.

Jumlah kanak-kanak di situ berkurangan daripada 30 orang ke 15 orang sejak Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak COVID-19 sejak Mac 2020 lalu.

Rombongan PERKIM turut dibawa ke tempat terapi, kelas, kolam renang, dan melihat alat-alat bantuan sokongan. 

Di akhir lawatan, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menyampaikan sampul Aidilfitri kepada seluruh kakitangan Tasputra Centre PERKIM dan kanak-kanak istimewa di situ.

Related Articles

Back to top button