Kunjungan Hormat Wanita PERKIM Kebangsaan Ke YADIM
oleh: SRZ
PUTRAJAYA, 15 OGOS 2024 – Ketua Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, YTM Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah berkenan membuat kunjungan hormat kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) bertempat di Aras 4, Kompleks Islam Putrajaya Blok D, Jalan Tun Abdul Razak, Presint 3, dekat sini pada pagi Khamis.
Kunjungan hormat itu disambut mesra oleh YBrs Ustaz Haji Zamri Zainal Abidin selaku Ketua Pengarah Eksekutif YADIM.
Kunjungan itu disertai oleh Bendahari Kehormat Wanita PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Nur’azah Dato’ Abdul Manaf; Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan, YBhg Datin Hajah Mawanchik Che Jais, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad dan Pegawai Tadbir Wanita PERKIM Kebangsaan, Fatin Hamizah Ismail.
Ustaz Zamri dalam ucapannya berkata, YADIM akan bekerjasama dengan semua pihak sama ada agensi kerajaan atau badan-badan bukan kerajaan yang memberikan kekuatan kepada kami dalam menggerakkan aktiviti dan program dakwah dan kebajikan untuk wanita selaras dengan agenda kerajaan.
Jelasnya, ruang tersebut boleh dijalin menerusi Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita YADIM yang melaksanakan pelbagai program bersesuaian di lapangan.
YADIM akan terus menggerakkan kegiatannya dengan penuh keyakinan bagi mencapai visi serta misi sesuai dengan tuntutan syarak, di samping bersedia menghadapi cabaran-cabaran globalisasi yang semakin hebat.
Beliau berharap pertemuan pada kali ini dapat mempergiatkan lagi program dan aktiviti kolaborasi di antara YADIM dan Wanita PERKIM Kebangsaan.
Tunku Noor Hayati dalam titah ucapannya mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan izinnya kunjungan ini disambut baik oleh YADIM.
Menurut beliau, pada tahun 1974, ayahandanya, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan Wanita PERKIM atas nasihat memandangkan betapa ramainya wanita di kalangan saudara baru yang mempunyai masalah dengan keluarga asal mereka yang bukan Islam setelah mereka menganuti agama Islam.
Tambahnya, kunjungan hormat itu bertujuan untuk mewujudkan hubungan yang lebih akrab di antara Wanita PERKIM Kebangsaan dengan YADIM di samping bertukar-tukar pandangan serta idea bagi menggarap usaha dakwah, kebajikan dan pendidikan kepada wanita mualaf PERKIM di seluruh negara.
Ujarnya, kunjungan tersebut memberi input-input yang segar bagi merancang serta menjalankan program serta aktiviti dakwah, kebajikan dan pendidikan kepada wanita mualaf sekali gus dapat membendung masalah-masalah yang dihadapi oleh wanita mualaf.
Jelas Tunku Noor Hayati lagi, antara peranan Wanita PERKIM ialah memberi bantuan sosial dan kemanusiaan, pendidikan agama, peningkatan martabat wanita, penyebaran kesedaran, penglibatan dalam aktiviti kebajikan dan memperkasakan komuniti.
Ulas beliau, Wanita PERKIM berkontribusi secara signifikan kepada masyarakat dan kepada pembangunan wanita mualaf di Malaysia.
Jelasnya, tidak seperti sangkaan ramai, tumpuan Wanita PERKIM bukan hanya kepada pemerkasaan semata-mata, malah ia sebenarnya lebih luas meliputi wanita dan psikososial dan mental.
Katanya, Wanita PERKIM Kebangsaan telah melaksanakan Pelan Pembangunan Wanita Mualaf di Malaysia kerjasama penyelidikan kolaboratif bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Melalui penganjuran Program Rundingan Meja Bulat Wanita Mualaf PERKIM yang diadakan di seluruh negeri bagi mengumpul data mengenai isu serta permasalahan wanita mualaf, ianya memberi kesan kepada kami untuk mendalami serta menyelami kehidupan wanita mualaf yang terpaksa menghadapi pelbagai bentuk cabaran dan tekanan sehingga menggugat kepercayaan mereka kepada Allah SWT.
Antara masalah yang dikenalpasti ialah ditinggalkan suami, bercerai, hilang tempat bergantung, tiada tempat tinggal, tiada sumber kewangan, mengalami masalah penjagaan anak selepas bercerai, tiada sijil pendaftaran nikah dan lain-lain lagi.
Dalam pada itu, Dr Suariza berkesempatan membentangkan objektif kajian Pembentukan Kajian Pelan Pembangunan Wanita Mualaf di Malaysia.
Antaranya ialah menganalisis isu dan permasalahan dalam kalangan wanita mualaf di Malaysia; menyediakan inisiatif sebagai mekanisme rujukan bagi menyelesaikan permasalahan wanita mualaf di Malaysia; membangunkan pelan bagi pembanguann wanita mualaf di Malaysia serta melaksanakan strategi bersama rakan strategik bagi membantu wanita mualaf PERKIM.
Dr Suariza juga turut membentangkan ‘Langkah dan Proses Kajian Pelan Pembangunan Wanita Mualaf di Malaysia’ serta ‘Analisis Permasalahan Dalam Kalangan Peserta Kajian Wanita Mualaf’.
Antara enam teras utama permasalah peserta wanita mualaf ialah Hal Ehwal Agama, Sosiobudaya, Ekonomi dan Kewangan, Perundangan Syariah, Kaunseling, Psikologi dan Keluarga serta Pendidikan.
Sebelum itu, Pegawai Pakar Bidang Khusus, Unit Penyelidikan Dakwah (UPD) YADIM, Dr Masitah Esa membentangkan Program ‘Simposium Solusi Kesihatan Mental Daripada Perspektif Dakwah’ (SMILED).
Simposium itu akan diadakan dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaya (UM), Wanita PERKIM Kebangsaan, Pertubuhan IKRAM Malaysia, Persatuan Suri Rumah Rahmah Malaysia (SURI).
Katanya, penganjuran program SMILED yang bakal berlangsung pada 15 Oktober 2024 itu merupakan hasil penyelidikan daripada Kumpulan Pakar Institut Kekeluargaan di bawah Pusat Penyelidikan Pengurusan YADIM (YRMC) yang merupakan sebuah badan khas yang dipengerusikan oleh Lembaga Pemegang Amanah YADIM, YBhg Datuk Dr Harlina Halizah Siraj.
Penganjuran SMILED yang sememangnya selari dengan program-program Wanita PERKIM, disambut baik sekaligus menyatakan minat untuk turut serta.
Di akhir kunjungan, Ustaz Zamri berkesempatan menyampaikan plak cenderahati YADIM kepada Tunku Noor Hayati manakala Tunku Noor Hayati menyampaikan produk minuman kesihatan Kopi Pracampuran Cappucino Wanita PERKIM kepada Ustaz Zamri.
Tunku Noor Hayati turut diberi kesempatan untuk menandatangani buku pelawat YADIM dan melawat galeri sejarah YADIM.
Turut hadir ialah Pengarah Kanan Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita, Ahmad Saparudin Yusup; Pegawai Bahagian Penyelarasan NGO dan Rakan Strategik YADIM, Norazira Jaafar; Ketua Unit Perhubungan Awam YADIM, Zamzarizal Mad Ariffin; Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan serta Nur Syahirah Musa; Ahli Wanita PERKIM, Nooraida Ariffin, Nur Tasneem Ahmad Raston serta Pegawai Pengiring, Mohamad Hafizul Omar.
Warga YADIM menyambut mesra kunjungan Wanita PERKIM Kebangsaan ke YADIM.
Ustaz Zamri selaku Ketua Pengarah Eksekutif berkata Wanita PERKIM Kebangsaan boleh menjalinkan kerjasama menerusi Sektor Pembangunan Ummah dan Wanita YADIM yang melaksanakan pelbagai program.
Tunku Noor Hayati menyampaikan titah ucapannya selaku Ketua Wanita PERKIM.
Menurut Tunku Noor Hayati, di antara peranan Wanita PERKIM ialah memberi bantuan sosial dan kemanusiaan, pendidikan agama, peningkatan martabat wanita mualaf dan lain-lain.
Dr Masitah Esa membentangkan Program ‘Simposium Solusi Kesihatan Mental Daripada Perspektif Dakwah’ (SMILED) kepada delegasi Wanita PERKIM Kebangsaan.
Dr Suariza berkesempatan membentangkan Pelan Pembangunan Wanita Mualaf di Malaysia.
Datin Mawanchik turut melontarkan buah fikiran dan cadangan berkenaan masalah wanita mualaf kepada YADIM.
Ustaz Zamri menyampaikan plak cenderahati YADIM kepada Tunku Noor Hayati.
Tunku Noor Hayati menyampaikan produk minuman kesihatan Kopi Pracampuran Cappucino Wanita PERKIM kepada Ustaz Zamri sebagai cenderahati balas.
Kepimpinan Warga YADIM bergambar kenang-kenangan bersama delegasi Wanita PERKIM Kebangsaan.
Tunku Noor Hayati menurunkan tandatangan dalam sesi menandatangani buku pelawat YADIM.
Tunku Noor Hayati berkesempatan melawat galeri sejarah YADIM.
Keberangkatan pulang Tunku Noor Hayati disambut dengan penuh mesra oleh warga YADIM.
Wajah-wajah Wanita PERKIM Kebangsaan yang menyertai kunjungan hormat ke YADIM.