Kunjungan Hormat Delegasi UNIMEL Ke Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan
oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 8 OGOS 2024 – Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor telah menyambut mesra dan mengalu-alukan kunjungan hormat Naib Canselor Universiti Islam Melaka (UNIMEL), YBhg Prof Datuk Dr Haji Mohd Taib Haji Dora ke Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan, Jalan Sultan Azlan Shah pada pagi Khamis.
Menurut Dr Mohd Taib, kunjungan hormat itu bertujuan untuk mewujudkan hubungan yang lebih akrab di antara UNIMEL dengan PERKIM Kebangsaan dan bertukar-tukar pandangan serta idea bagi menggarap usaha pendidikan kepada mualaf khususnya.
Katanya lagi, UNIMEL atau nama sebelumnya Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) telah ditubuhkan pada 1994 sebagai kolej universiti swasta dan dimiliki sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Melaka.
Penubuhannya secara rasmi pada 1 Julai 2009 sebagai sebuah kolej universiti juga membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam membangunkan agenda pendidikan dan kecemerlangan ilmu.
Kunjungan UNIMEL turut disertai Timbalan Naib Canselor Akademik, YBhg Dr Anas Tajudin; Dekan Fakulti Keilmuan Islam, YBhg Dr Rahisam Ramli; Pengarah Bahagian Program Luar, Fahmi Md Fisol; Pensyarah Fakulti Keilmuan Islam, Mohd Norazam Nordin serta Pegawai Perhubungan Awam, Mohd Kadri Md Saleh.
Jelas Dr Mohd Taib lagi, kini UNIMEL mempunyai pelajar seramai 3,500 orang yang menawarkan 56 program asasi, diploma, ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan doktor falsafah serta mempunyai seramai lebih 300 kakitangan dan pensyarah yang terletak di Kuala Sungai Baru, Melaka.
Tambahnya, setakat ini kita telah melahirkan seramai 17,000 pelajar dan selepas penaik tarafan sebagai universiti penuh, UNIMEL sedang dalam proses untuk mendapatkan program pelajar Islam pada peringkat antarabangsa serta mempeluaskan jaringan ke peringkat global.
Kunjungan dua hala tersebut diharap memberikan input-input yang segar bagi merancang serta peluang kerjasama di dalam pelbagai bidang terutamanya dalam bidang penyelidikan, penerbitan dan jaringan usahasama dalam pembangunan dakwah terutama kepada golongan mualaf sekali gus bersama-sama membantu perjuangan untuk meningkatkan lagi martabat universiti untuk anak-anak Islam.
Dalam pada itu, Ketua Program SALAM Institut Kajian Dakwah Nusantara Fakulti Keilmuan Islam (FKI) UNIMEL, Adam Badhrulhisham turut membentang Sijil Asas Pengajian Islam Mualaf (SALAM).
Katanya, program pensijilan kerjasama antara Universiti Islam Melaka (UNIMEL) melalui Institut Kajian Dakwah Nusantara (IKAD) dengan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) melalui Bahagian Balai Islam khusus kepada golongan mualaf yang telah melepasi pendidikan tahap 1 hingga 3 Sistem Pendidikan Bimbingan Mualaf MAIM.
Jelas Adam, satu kajian telah dilakukan oleh penyelidik FKI UNIMEL pada 2017 khusus berkaitan hal ehwal mualaf di negeri Melaka di mana kajian tersebut bertujuan untuk meninjau isu dan permasalahan yang dihadapi oleh golongan mualaf khususnya di negeri Melaka.
Antara modul SALAM ialah Akidah, Fiqh Interaksi Mualaf, Sirah Nabawiyyah, Hadis, Kemahiran Al-Quran dan Bahasa Arab Asas.
Dr Yusof Noor dalam ucapannya turut memberi penerangan mengenai sejarah dan latarbelakang PERKIM kepada warga UNIMEL.
Beliau dalam ucapannya berkata PERKIM akan bekerjasama dengan UNIMEL yang memberikan kekuatan kepada kami dalam menggerakkan aktiviti dan program pendidikan selaras dengan objektif PERKIM dalam kebajikan, pendidikan serta kerjasama kepada saudara baharu.
Diharap pertemuan tersebut dapat mempergiatkan lagi program dan aktiviti kolaborasi di antara PERKIM Kebangsaan dan UNIMEL menjelang tahun 2024.
Di akhir kunjungan, Dr Yusof Noor berkesempatan menyampaikan plak cenderahati PERKIM dan buku Wawasan dan Warisan 60 tahun PERKIM kepada Dr Mohd Taib.
Dr Mohd Taib turut menyampaikan cenderahati balas berupa plak dan ucapan penghargaan UNIMEL kepada Dr Yusof Noor.
Dr Mohd Taib juga menyerahkan ucapan penghargaan kepada Dr Yusof Noor di atas tajaan makanan dan minuman PERKIM Kebangsaan kepada peserta Dialog Citra Negara bersempena Festival UNIMEL 2024 yang diadakan baru-baru ini.
Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Pengarah Unit Pembangunan dan Aset PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa serta Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin.
Dr Yusof Noor (kanan) menyambut kehadiran Naib Canselor Universiti Islam Melaka (UNIMEL), YBhg Prof Datuk Dr Haji Mohd Taib Haji Dora ke PERKIM.
Dr Yusof Noor memperkenalkan PERKIM dengan penerangan mengenai sejarah dan latarbelakang kepada warga UNIMEL.
Dr Mohd Taib memperkenalkan sejarah dan latar belakang UNIMEL kepada Dr Yusof Noor.
Dr Mohd Taib berharap usahasama ini dapat dijayakan bagi pembangunan pendidikan dakwah terutama kepada golongan mualaf.
Adam Badhrulhisham membentang Sijil Asas Pengajian Islam Mualaf (SALAM) kepada kepimpinan PERKIM.
Kepimpinan PERKIM Kebangsaan bergambar kenang-kenangan bersama delegasi UNIMEL.
Dr Yusof Noor menyampaikan plak cenderahati PERKIM kepada Dr Mohd Taib.
Dr Mohd Toha menyampaikan cenderahati balas berupa plak UNIMEL kepada Dr Yusof Noor.
Dr Mohd Taib menyerahkan ucapan penghargaan kepada Dr Yusof Noor di atas tajaan makanan sempena Festival UNIMEL 2024.