Mesyuarat Majlis Kebangsaan

Mesyuarat Majlis Julung Kali Dipengerusikan Abang Johari, Tegaskan Prinsip Piagam Madinah

ᵒˡᵉʰ: ˢᴿᶻ

𝐊𝐔𝐀𝐋𝐀 𝐋𝐔𝐌𝐏𝐔𝐑, 𝟏𝟒 𝐉𝐔𝐋𝐀𝐈 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Melakar sejarah dalam kepimpinan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), 𝐘𝐀𝐁 𝐓𝐚𝐧 𝐒𝐫𝐢 𝐃𝐚𝐭𝐮𝐤 𝐏𝐚𝐭𝐢𝐧𝐠𝐠𝐢 𝐃𝐫. 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐀𝐛𝐚𝐧𝐠 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥 𝐑𝐚𝐡𝐦𝐚𝐧 𝐙𝐨𝐡𝐚𝐫𝐢 𝐓𝐮𝐧 𝐃𝐚𝐭𝐮𝐤 𝐀𝐛𝐚𝐧𝐠 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐎𝐩𝐞𝐧𝐠, 𝐏𝐫𝐞𝐦𝐢𝐞𝐫 𝐒𝐚𝐫𝐚𝐰𝐚𝐤 yang juga 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐃𝐢𝐩𝐞𝐫𝐭𝐮𝐚 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌, telah hadir dan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan PERKIM Bil. 1/64 buat pertama kalinya di Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, dekat sini pada petang Isnin.

Ketibaan beliau tepat jam 3.15 petang disambut oleh barisan kepimpinan tertinggi PERKIM serta lebih 70 hadirin yang terdiri daripada Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, Pengerusi dan Setiausaha PERKIM Bahagian Negeri-negeri, kakitangan PERKIM Kebangsaan, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIPKL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok (SCORE) PERKIM.

Turut hadir memberikan sokongan ialah empat Naib Yang Dipertua PERKIM: YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim, YBhg Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, YBhg Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah dan YBhg Datuk Haji Mohd Nakhaie Haji Ahmad; serta Ketua Wanita PERKIM Kebangsaan, YTM Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Tidak ketinggalan, Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Pengerusi PERKIM Sarawak, YB Dato’ Hajjah Hanifah Hajar Taib turut sama hadir dalam majlis bersejarah ini.

Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu rasmi PERKIM, ‘PERKIM Pacu Kemajuan’ disusuli dengan bacaan doa dipimpin oleh Penolong Pegawai Dakwah IDIPKL, Abdul Qawi Navine Abdullah.

Sesi bergambar rasmi bersama Premier Yang Dipertua turut diadakan di Dataran Dakwah Bangunan PERKIM sebelum tetamu kehormat diiringi ke Aras 22 untuk mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bil. 1/64.

Mesyuarat dibuka dengan bacaan doa oleh Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim Tawil, Mufti Kerajaan Negeri Melaka merangkap Pengerusi PERKIM Melaka.


Abang Johari dalam amanat khasnya menzahirkan kesyukuran kerana diberi kesempatan bertemu kepimpinan PERKIM buat pertama kali secara rasmi sejak dilantik sebagai Yang Dipertua PERKIM pada 10 Mei 2025 yang lalu di Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali ke-64 di ILIM Bangi.Beliau berkongsi bahawa mesyuarat ini sepatutnya diadakan lebih awal, namun terpaksa ditangguhkan berikutan pemergian isteri tercinta, Allahyarhamah Puan Sri Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tuanku Haji Bujang pada 23 Jun 2025.

Dalam suasana penuh hormat, beliau turut menyatakan harapan agar pertemuan ini dapat menjadi titik tolak kepada sinergi baharu dalam menjayakan misi PERKIM.

Sebagai latar belakang, Abang Johari berkongsi penglibatan awal beliau dalam gerakan dakwah Islam melalui Angkatan Nahdatul Islam Bersatu (BINA), yang kini dikenali sebagai Harakah Islamiah (HIKMAH).

Beliau turut menceritakan pertemuan bersejarahnya bersama Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Pulau Pinang ketika beliau berusia 30-an, serta pertemuannya dengan Almarhum Tun Datu Mustapha Datu Harun dan Allahyarham Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud.

“Meskipun saya tidak terlibat secara langsung dalam PERKIM sebelum ini, saya percaya pada perjuangan dakwah dan perpaduan ummah.

Abang Johari menegaskan bahawa prinsip yang digariskan dalam Piagam Madinah amat relevan dengan peranan PERKIM sebagai organisasi dakwah dan kebajikan yang merentas kaum dan agama.

Piagam Madinah yang diasaskan oleh Rasulullah SAW adalah dokumen sosiopolitik pertama dalam sejarah Islam yang menjamin hak-hak pelbagai kaum dan agama di bawah satu pemerintahan yang adil.

Konsep itu menekankan nilai-nilai kerjasama, keadilan sosial, kebebasan beragama, keamanan dan tanggungjawab bersama antara umat Islam dan bukan Islam.

Menurut beliau, pendekatan yang berteraskan Piagam Madinah ini harus dijadikan panduan dalam setiap tindakan PERKIM bukan sekadar dalam program dakwah kepada mualaf dan bukan Islam tetapi juga dalam mengukuhkan hubungan sesama ahli serta jalinan kerjasama dengan agensi kerajaan dan masyarakat awam.

“Malaysia adalah masyarakat majmuk yang sangat kompleks. Maka, PERKIM mesti terus tampil sebagai model organisasi Islam yang memupuk keharmonian dan saling memahami.

Kita bukan sahaja menyantuni mereka tetapi juga memperlihatkan Islam sebagai agama rahmah untuk seluruh alam,” ujar beliau dengan penuh yakin.

Beliau menambah, pengalaman beliau sebagai pemimpin negeri yang berbilang bangsa dan agama membentuk pendekatan inklusif dalam pentadbiran dan yakin pendekatan ini boleh diperkasa dalam struktur PERKIM.

Selain itu, PERKIM di peringkat Kebangsaan dan negeri-negeri meneliti model Sarawak ini sebagai satu contoh tadbir urus wakaf dan baitulmal yang cekap dan berintegriti.

Melalui kerjasama strategik dengan institusi agama negeri dan sektor swasta, PERKIM boleh menjadi pemegang amanah wakaf atau rakan pelaksana kepada projek-projek wakaf berskala besar seperti wakaf pendidikan, wakaf kesihatan, wakaf pertanian dan wakaf untuk mualaf.

Kita harus melihat potensi wakaf bukan sekadar instrumen tradisional, tetapi sebagai alat pembangunan umat Islam masa kini, yang dapat menjana manfaat berkekalan kepada asnaf, mualaf dan perkembangan agama Islam.

Sudah tiba masanya PERKIM bergerak ke hadapan sebagai organisasi Islam yang bukan hanya memberi kebajikan tetapi juga menjadi peneraju pembangunan ummah melalui aset wakaf dan dana baitulmal yang diurus secara profesional.

Dalam kesempatan itu juga, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada mantan Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad di atas segala jasa, bakti dan sumbangannya kepada PERKIM dari 2006 hingga 2025.

Sumbangan beliau selama hampir dua dekad bukan sahaja mencorak hala tuju PERKIM malah menjadi teladan kepada generasi akan datang bahawa kepimpinan Islam yang berprinsip dan berpandangan jauh mampu membina umat yang kuat, berilmu dan berjiwa besar.

Beliau juga turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada mantan Setiausaha Agung Kehormat, YBhg Tan Sri Dr Yusof Noor dan mantan Bendahari Kehormat, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun di atas sumbangan dan jasa bakti mereka kepada PERKIM.

Abang Johari turut mengumumkan pelantikan YBhg Dato’ Dr Haji Mohamad Marzuki Mohamad Omar sebagai Setiausaha Agung Kehormat PERKIM manakala YBhg Datu Haji Mersal Abang Rosli pula sebagai Bendahari Kehormat PERKIM.

Beliau juga turut menyatakan penghargaan kepada semua Ahli Majlis Kebangsaan yang terdahulu atas jasa dan sumbangan yang besar dalam membawa PERKIM ke tahap hari ini dan berharap barisan kepimpinan baharu dapat terus melangkah maju mengikut aspirasi perjuangan asal.

Mesyuarat diteruskan dengan pembentangan dan pengesahan Minit Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bilangan 1/63 pada 27 September 2024, Mesyuarat Khas pada 20 Februari 2025 dan Mesyuarat Khas bagi urusan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan pada 10 Mei 2025. Turut dibentangkan ialah Draf Minit Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-64, laporan kewangan semasa sehingga 30 Jun 2025 serta laporan perkara-perkara berbangkit dan hal-hal lain.

Turut memeriahkan majlis ialah Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, antaranya YBhg Prof Dato’ Dr Haji Mohd Farid Ravi Abdullah, YBrs Tuan Haji Hushim Haji Salleh, YBhg Dr Ann Wan Seng, Tuan Haji Saiful Bahri Abdullah, YBhg Dato’ Sri Hajah Rohani Abdul Karim, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa, YBhg Dr Nur’azah Dato’ Abdul Manaf, YBhg Dr Amin Malik Shah Abdul Majid, YBhg Datin Paduka Hajah Norsiah Haron, YBhg Dato’ Haji Khairi Hasan, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim Tawil dan Haji Turedy Abdullah serta kepimpinan Kerajaan Negeri Sarawak.

Dengan berakhirnya mesyuarat ini pada jam 4.45 petang, PERKIM memasuki era baharu kepimpinan di bawah teraju tokoh berwibawa dari Bumi Kenyalang. Segala amanat, pengalaman dan pandangan yang dikongsikan oleh Abang Johari dijangka akan memberi arah tuju baharu yang dinamik kepada gerakan dakwah PERKIM di seluruh negara.

Majlis penutup berlangsung dalam suasana penuh mesra, di mana Abang Johari berkesempatan beramah mesra dan bergambar bersama kakitangan PERKIM Kebangsaan di Dataran Dakwah Bangunan PERKIM sebelum beredar.


Ketibaan Premier Sarawak merangkap Yang Dipertua PERKIM di perkarangan Dataran Dakwah, Bangunan PERKIM.
Abang Johari bersalaman sambil bertemu Ahli Majlis Kebangsaan.
Kakitangan PERKIM Kebangsaan berkesempatan bertemu dan bersalaman bersama Premier Yang Dipertua.
Kepimpinan Tertinggi PERKIM berdiri hormat ketika menyanyikan lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan.
Abdul Qawi memimpin bacaan doa pembuka majlis.

Ahli Majlis Kebangsaan menadah tangan dan mengaminkan doa yang dibaca.

Sesi bergambar rasmi bersama Premier Yang Dipertua bersama Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM.
Abang Johari mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bil.1/64 di Aras 22, Bangunan PERKIM.

Ahli Majlis Kebangsaan mengucapkan Selamat Datang kepada Premier Sarawak selaku Yang Dipertua PERKIM baharu.

SS Dato’ Wira Abdul Halim mempimpin bacaan doa ketika sidang mesyuarat dimulakan.

Premier Yang Dipertua bersama Naib-Naib Yang Dipertua PERKIM mengaminkan doa yang dibacakan.

Premier Yang Dipertua menyampaikan amanat khas kepada sidang ahli mesyuarat.
Dato’ Seri Shahidan menyampaikan pandangan beliau kepada Premier Yang Dipertua.

Tunku Noor Hayati mengutarakan pandangannya mengenai hal ehwal wanita.

Haji Hushim pula berpendapat supaya usaha dakwah diperkasa dan diperkembangkan lagi.

Ahli Majlis Kebangsaan mendengar segala pandangan dan idea dalam mesyuarat tersebut.

Setiap pendapat dan buah fikiran yang dilontarkan diambil peduli oleh Ahli Majlis Kebangsaan.

Prof Dato’ Farid Ravi turut mencatat intipati mesyuarat sambil berkongsi pandangan beliau.

Dr Amin Malik menyatakan idea dan buah fikiran kepada sidang mesyuarat.

Datuk Nakhaie turut mengemukakan pandangannya.

Premier Yang Dipertua mencatat pandangan yang dikemukan oleh Ustaz Fitri.

Dato’ Haji Abdul Hanif Harun turut mengikuti dalam persidangan mesyuarat.

YB Datuk Dr Haji Abdul Rahman Haji Junaidi (tengah) selaku Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak bagi Penyelarasan Hal Ehwal Islam turut hadir bersama Timbalan Menteri Ekonomi merangkap Pengerusi PERKIM Sarawak, YB Dato’ Hajjah Hanifah Hajar Taib (kanan).

Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor mengucapkan terima kasih kerana telah meringankan tugas yang selama ini dipikulnya selaku Setiausaha Agung Kehormat.

Pegawai dan kakitangan berkesempatan merakamkan sesi fotografi khas bersama Premier Yang Dipertua PERKIM.

Premier Yang Dipertua PERKIM dilihat melambai tangan kepada lensa media PERKIM setelah selesai mesyuarat majlis.

Related Articles

Back to top button