Aktiviti Dakwah

Jean Choong, Mikail Jonathan Hayati Syahadah Menjelang Maulidur Rasul SAW

𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗟𝗨𝗠𝗣𝗨𝗥, 𝟮𝟰 𝗢𝗚𝗢𝗦 𝟮𝟬𝟮𝟲— Menjelang Maulidur Rasul SAW 1448H di Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan hari ini berlangsung penuh bermakna apabila dua individu memilih untuk memeluk Islam dalam suasana penuh keberkatan dan kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Lebih istimewa, detik bersejarah itu disaksikan 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗣𝗮𝗵𝗮𝗻𝗴, 𝗬𝗕𝗵𝗴. 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗦𝗿𝗶 𝗛𝗮𝘀𝗮𝗻 𝗔𝗿𝗶𝗳𝗶𝗻 yang hadir bersama 10 ahli keluarga serta menyaksikan sendiri pengislaman dua saudara baharu, 𝗝𝗲𝗮𝗻 𝗖𝗵𝗼𝗼𝗻𝗴 𝗠𝗼𝗼𝗻, 𝟯𝟳 dan 𝗠𝗶𝗸𝗮𝗲𝗹 𝗝𝗼𝗻𝗮𝘁𝗵𝗮𝗻 𝗖𝗵𝗿𝗶𝘀𝘁𝗼𝗽𝗵𝗲𝗿, 𝟱𝟵 di Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, di sini, pagi tadi.

Jean Choong terlebih dahulu melafazkan dua kalimah syahadah dalam Bahasa Arab diikuti dalam Bahasa Inggeris disusuli Mikael Jonathan, dengan kedua-duanya dibimbing 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝟰 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗦𝘂𝗹𝗮𝗶𝗺𝗮𝗻 𝗗𝗶𝗻𝗴 𝗬𝘂 𝗭𝗵𝗼𝗻𝗴.

Lafaz syahadah kedua-dua saudara baharu itu berlangsung penuh syahdu dan menyentuh hati apabila disaksikan ahli keluarga Dato’ Sri Hasan serta kakitangan PERKIM yang hadir.

Pengislaman Jean Choong turut mempunyai nilai kekeluargaan yang tersendiri apabila beliau merupakan kakak kepada menantu Dato’ Sri Hasan, Casey Suleiman Choong yang terlebih dahulu memeluk Islam di Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan pada 13 Januari 2023 lalu.

Jean Choong sebelum ini sudah membuat persediaan untuk memeluk Islam sebelum mendirikan rumah tangga bersama pasangannya, seorang warganegara Mesir yang bekerja di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Mikael Jonathan yang merupakan warganegara British tertarik dengan Islam kerana hasil penghayatannya terhadap nilai moral, etika dan falsafah yang terkandung dalam ajaran agama berkenaan.

Lebih bermakna, beliau merupakan bakal menantu Dato’ Sri Hasan apabila dijadualkan mendirikan rumah tangga bersama anak beliau, Farahiyah Hasan, pada penghujung tahun ini.

Terdahulu, Ustaz Sulaiman memberikan penerangan secara menyeluruh kepada kedua-dua bakal saudara baharu itu mengenai pengertian dua kalimah syahadah, Rukun Islam, Rukun Iman, asas fardu ain, tugas dan tanggungjawab seorang Muslim serta perkara asas berkaitan halal dan haram.

Penerangan berkenaan turut diikuti bersama ahli keluarga Pengerusi PERKIM Negeri Pahang sebagai sebahagian daripada usaha memastikan proses pengislaman Jean Choong dan Mikael Jonathan disertai kefahaman asas yang kukuh mengenai kehidupan sebagai seorang Muslim.

Ustaz Sulaiman turut menggalakkan kedua-dua saudara baharu itu supaya terus mempertingkatkan ilmu dan kefahaman agama dengan menghadiri Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) yang dibuka setiap hari.

Menurut beliau, sokongan berterusan daripada keluarga, masyarakat dan organisasi amat penting bagi membantu saudara baharu menyesuaikan diri dengan kehidupan sebagai seorang Muslim.

“Adalah menjadi satu tanggungjawab kita untuk memberi sokongan dan dorongan kepada Jean Choong dan Mikail Jonathan yang kini dianggap sebagai saudara dalam agama, terutama dalam bentuk kebajikan, moral serta pendidikan,” katanya.

Beliau berkata, pengislaman bukan sekadar satu perubahan pada lafaz dan identiti, sebaliknya merupakan permulaan kepada sebuah perjalanan kehidupan yang memerlukan bimbingan, ilmu, kasih sayang serta sokongan berterusan daripada seluruh masyarakat Islam.

Majlis kemudiannya diakhiri dengan penyampaian beg pengislaman daripada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengandungi kit pengislaman kepada Jean Choong dan Mikael Jonathan.

Sesi fotografi bersama ahli keluarga kedua-dua saudara baharu turut diadakan sebagai kenangan bersejarah yang akan terus terpahat dalam perjalanan kehidupan mereka sebagai Muslim.

Turut hadir Penolong Eksekutif Dakwah 1 PERKIM Kebangsaan, Ustaz Amran Anbarasu Abdullah.

Pengislaman dua saudara baharu itu sekali gus menzahirkan peranan berterusan PERKIM dalam melaksanakan amanah dakwah, bimbingan dan kebajikan saudara baharu, selain memperkukuh institusi kekeluargaan dan ukhuwah Islamiah tanpa mengira latar belakang.

Dalam suasana menjelang Maulidur Rasul SAW 1448H, detik dua insan memilih Islam itu menjadi simbol bahawa dakwah yang dilaksanakan dengan hikmah, ilmu, kasih sayang dan pendekatan berhikmah mampu membuka ruang kepada lebih ramai insan untuk mengenali, memahami dan menghayati keindahan Islam.

 


Sulaiman Ding (kiri) mengalu-alukan Dato’ Sri Hasan (dua dari kiri) bersama tetamunya yang berhasrat untuk memeluk Islam.

 


Ahli keluarga Dato’ Sri Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Pahang turut hadir di Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan bagi menyaksikan majlis pengislaman.

 


Jean Choong mengisi butir-butir peribadi pada borang pengislaman.

 


Michael Jonathan menandatangani pada borang pengislaman yang telah lengkap diisi butiran peribadi.

 


Ustaz Sulaiman Ding memberikan penerangan secara menyeluruh kepada kedua-dua bakal saudara baharu itu mengenai pengertian dua kalimah syahadah, Rukun Islam, Rukun Iman dan asas fardu ain.

 


Dato’ Sri Hasan Arifin mendengar penerangan yang disampaikan oleh Sulaiman Ding.

 


Jean Choong melafazkan dua kalimah syahadah sambil disaksikan Dato’ Sri Hasan dan para tetamu.

 


Jean Chong bergembira setelah selesai melafazkan dua kalimah syahadah dalam Bahasa Arab diikuti dalam Bahasa Inggeris.

 


Giliran Mikail Jonathan pula mengikrarkan dua kalimah syahadah dengan fasih dalam Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris.

 


Sulaiman Ding memimpin doa kesyukuran selepas kedua-dua saudara baharu dengan mudah melafazkan kalimah toyyibah.

 


Sulaiman Ding menyampaikan beg sandang MAIS yang mengandungi kit pengislaman kepada Mikail Jonathan Christopher.

 


Jean Choong Moon turut menerima beg sandang MAIS daripada Sulaiman Ding.

 


Ahli keluarga Dato’ Sri Hasan Arifin bersama Jean Choong dan Mikail Jonathan bergambar kenang-kenangan dengan Sulaiman Ding selepas selesai majlis pengislaman.

Related Articles

Back to top button