Aktiviti Dakwah

Malam Mufti Bermuzakarah Perkukuh Agenda Wakaf Dakwah

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝗞𝗨𝗔𝗟𝗔 𝗟𝗨𝗠𝗣𝗨𝗥, 𝟮𝟲 𝗝𝗨𝗟𝗔𝗜 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Program Malam Mufti Bermuzakarah Sempena Pra-Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 berjaya menghimpunkan barisan mufti, ilmuwan, ahli akademik, pentadbir institusi agama, wakil agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat Islam dalam satu platform ilmiah bagi memperkukuh agenda wakaf dakwah sebagai instrumen pembangunan ummah secara mampan.

Program yang berlangsung di Hotel Grand Continental, Kuala Lumpur selepas pukul 7.50 malam itu merupakan acara pra-konvensyen kepada Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 yang bertujuan mewujudkan kesepakatan pemikiran dalam kalangan para ilmuwan sebelum cadangan dan resolusi berkaitan wakaf dakwah dibentangkan pada konvensyen utama.

Program yang dihadiri seramai 155 orang itu merupakan anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Majlis dimulakan dengan ucapan pengacara majlis sebelum diteruskan dengan bacaan doa oleh Muhammad Jais Mariappan Abdullah, Eksekutif Dakwah 1 PERKIM Kebangsaan.


Dalam ucapan alu-aluannya, 𝗡𝗮𝗶𝗯 𝗬𝗮𝗻𝗴 𝗗𝗶𝗽𝗲𝗿𝘁𝘂𝗮 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗬𝗕 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗦𝗲𝗿𝗶 𝗗𝗿. Shahidan Kassim menegaskan bahawa penganjuran pra-konvensyen melalui muzakarah bersama para mufti merupakan pendekatan yang amat penting bagi memastikan setiap cadangan berkaitan pembangunan wakaf dan dakwah disandarkan kepada pandangan ilmiah serta kefahaman syariah yang menyeluruh.

Menurut beliau, PERKIM sengaja menghimpunkan para mufti, pensyarah universiti, ahli akademik serta pakar dalam bidang pengajian Islam bagi membolehkan setiap isu dibincangkan secara terbuka melalui sesi muzakarah dan soal jawab.

“Muzakarah merupakan medan terbaik untuk memperhalusi sesuatu idea sebelum diterjemahkan kepada tindakan. Setiap kali kita menganjurkan konvensyen yang melibatkan hal ehwal Islam, pra-konvensyen perlu dimulakan dengan muzakarah supaya segala pandangan dapat diselaraskan bersama para mufti,” katanya.

Beliau berkata, walaupun urusan agama Islam berada di bawah bidang kuasa negeri dan mungkin terdapat sedikit perbezaan dari sudut pentadbiran, namun asas syariat tetap sama dan perlu diperkukuhkan melalui perbincangan yang berterusan.

Sehubungan itu, beliau memaklumkan bahawa PERKIM bercadang menjadikan Malam Mufti Bermuzakarah sebagai program berkala yang akan diadakan setiap tiga bulan dengan tema-tema semasa yang berkaitan kepentingan umat Islam.

Mengulas mengenai konsep wakaf dakwah, Dr. Shahidan menjelaskan bahawa masyarakat tidak seharusnya memahami dakwah hanya sebagai aktiviti menyampaikan ceramah atau mengislamkan seseorang semata-mata.

Sebaliknya, menurut beliau, wakaf dakwah perlu dilihat sebagai satu ekosistem lengkap yang memastikan golongan mualaf dan komuniti sasaran terus menerima bimbingan agama, pendidikan, pembangunan ekonomi serta kemudahan asas selepas menerima Islam.

“Wakaf dakwah bukan sekadar pergi berdakwah kemudian pulang. Ia perlu menyediakan kesinambungan kehidupan kepada saudara baharu supaya mereka dapat menghayati Islam secara menyeluruh. Mereka memerlukan pendidikan, prasarana, pembinaan komuniti dan bimbingan yang berterusan,” katanya.

Beliau turut menghuraikan beberapa bentuk wakaf termasuk wakaf khusus, wakaf umum dan wakaf bersyarat serta menjelaskan beberapa cabaran berkaitan pembangunan tanah wakaf, khususnya melibatkan tempoh pajakan atau syarat penggunaan tanah yang boleh menimbulkan isu pada masa hadapan.

Dalam masa sama, beliau mengemukakan beberapa cadangan strategik bagi memperkasakan agenda wakaf dakwah negara.

Antaranya ialah cadangan penggunaan platform bank digital sebagai medium memudahkan masyarakat menyalurkan sumbangan wakaf secara lebih pantas, telus dan berkesan selaras dengan perkembangan teknologi kewangan masa kini.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan penubuhan Kementerian Wakaf dan Haji bagi memberikan fokus khusus terhadap pembangunan aset wakaf negara yang dianggarkan melebihi 35,000 hektar, namun sebahagian besarnya masih belum dimanfaatkan secara optimum.

“Jika diwujudkan sebuah kementerian yang memberi tumpuan khusus kepada wakaf dan haji, saya percaya potensi aset wakaf yang sangat besar dapat dibangunkan secara lebih sistematik demi manfaat umat Islam,” katanya.

Selain itu, beliau turut mengumumkan hasrat PERKIM menubuhkan Tabung Wakaf Dakwah sejurus selesai konvensyen agar segala sumbangan daripada institusi kewangan, agensi kerajaan, syarikat korporat dan masyarakat dapat disalurkan terus bagi membiayai program dakwah secara berterusan.

Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa institusi perbankan telah menyatakan komitmen awal untuk menyumbang kepada tabung tersebut, manakala PERKIM sendiri akan menjadi antara penyumbang utama bersama MAIWP.

Dalam pada itu, beliau turut menyuarakan hasrat menyelaras ratusan NGO dakwah di seluruh negara agar bergerak secara lebih tersusun, saling melengkapi dan menjadi sebahagian daripada arus perdana pembangunan dakwah negara.


Sementara itu, 𝗬𝗕 𝗦𝗲𝗻𝗮𝘁𝗼𝗿 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇𝗮𝗵 𝗠𝗮𝗿𝗵𝗮𝗺𝗮𝗵 𝗥𝗼𝘀𝗹𝗶 𝗧𝗶𝗺𝗯𝗮𝗹𝗮𝗻 𝗠𝗲𝗻𝘁𝗲𝗿𝗶 𝗱𝗶 𝗝𝗮𝗯𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗿𝗱𝗮𝗻𝗮 𝗠𝗲𝗻𝘁𝗲𝗿𝗶 (𝗛𝗮𝗹 𝗘𝗵𝘄𝗮𝗹 𝗔𝗴𝗮𝗺𝗮) ketika merasmikan program berkenaan menyifatkan idea wakaf dakwah yang diketengahkan PERKIM sebagai suatu gagasan baharu yang mempunyai potensi besar untuk memperkukuh pembangunan saudara baharu dan komuniti Islam di kawasan pedalaman.

Beliau yang mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hassan, berkata konsep wakaf dakwah sebenarnya menjawab satu isu besar yang sering dihadapi dalam gerakan dakwah iaitu ketiadaan kesinambungan selepas seseorang memeluk Islam.

Beliau berkongsi pengalaman ketika terlibat dalam kerja-kerja dakwah di Sabah apabila mendapati ramai saudara baharu berjaya diislamkan, namun berdepan kesukaran meneruskan kehidupan sebagai Muslim kerana kekurangan guru agama, imam, kemudahan asas serta bimbingan berterusan.

“Kadangkala kita membina surau, tetapi apabila kita kembali beberapa bulan kemudian, masih ada yang belum mampu menunaikan solat dengan sempurna kerana tiada guru yang membimbing mereka secara berterusan.

“Di sinilah pentingnya wakaf dakwah yang bukan sekadar membina fizikal, tetapi membina manusia, komuniti dan kesinambungan pendidikan Islam,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada PERKIM atas inisiatif memperkenalkan konsep tersebut dan menegaskan bahawa Kerajaan MADANI sentiasa komited menyokong segala usaha yang mampu memperkukuh pembangunan ummah tanpa mengira latar belakang politik.

Menurut beliau lagi, muzakarah seperti ini membuka ruang kepada para ilmuwan, mufti, pentadbir institusi agama dan masyarakat bertukar pandangan secara matang bagi mencari titik persamaan dalam setiap isu yang dibincangkan.

Selepas ucapan perasmian, program diteruskan dengan Malam Mufti Bermuzakarah yang dimoderatorkan oleh 𝗦𝗮𝗵𝗶𝗯𝘂𝘀 𝗦𝗮𝗺𝗮𝗵𝗮𝗵 𝗗𝗮𝘁𝘂𝗸 𝗪𝗶𝗿𝗮 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗛𝗮𝗹𝗶𝗺 𝗧𝗮𝘄𝗶𝗹, 𝗠𝘂𝗳𝘁𝗶 𝗞𝗲𝗿𝗮𝗷𝗮𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗠𝗲𝗹𝗮𝗸𝗮 𝗺𝗲𝗿𝗮𝗻𝗴𝗸𝗮𝗽 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗠𝗲𝗹𝗮𝗸𝗮.

Ahli panel utama ialah 𝗦𝗮𝗵𝗶𝗯𝘂𝘀 𝗦𝗮𝗺𝗮𝗵𝗮𝗵 𝗗𝗮𝘁𝘂 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗞𝗵𝗮𝗹𝗶𝗱𝗶 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗜𝗯𝗿𝗮𝗵𝗶𝗺, 𝗠𝘂𝗳𝘁𝗶 𝗞𝗲𝗿𝗮𝗷𝗮𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗦𝗮𝗿𝗮𝘄𝗮𝗸.

Perbincangan bertemakan “Bagaimana Memperkembangkan Wakaf dan Zakat dalam Memperkasa Ekonomi Masyarakat” memberi penekanan kepada maqasid syariah dalam pensyariatan zakat dan wakaf serta bagaimana kedua-dua instrumen tersebut mampu menjadi pemangkin pembangunan ekonomi dan dakwah secara lestari.

Dalam pembentangannya, Datu Haji Khalidi menjelaskan bahawa zakat bukan sekadar instrumen agihan kekayaan, malah merupakan mekanisme memelihara agama, memperkukuh akidah serta membangunkan kehidupan masyarakat, khususnya golongan mualaf.

Beliau menegaskan bahawa agihan zakat kepada asnaf mualaf merupakan manifestasi maqasid syariah dalam memelihara agama (hifz al-din), sekali gus memastikan saudara baharu terus mendapat bimbingan sehingga mampu berdikari dan menjadi pendakwah dalam komuniti masing-masing.

Beliau turut menekankan bahawa kejayaan institusi zakat hari ini adalah hasil proses pendidikan yang panjang dalam membudayakan kesedaran berzakat, selain menyifatkan potongan zakat melalui gaji sebagai antara penyumbang utama kutipan zakat di beberapa negeri termasuk Sarawak.

Moderator turut mengupas pelbagai isu berkaitan persepsi masyarakat terhadap zakat, kepentingan menggalakkan budaya berinfak, pengurusan harta mustaghallat serta peranan institusi zakat dalam memperkasakan pembangunan sosioekonomi umat Islam.

Program turut diserikan dengan sesi soal jawab yang mendapat sambutan menggalakkan daripada para peserta terdiri daripada pensyarah universiti, penyelidik, pegawai institusi agama, NGO serta wakil agensi berkaitan yang mengemukakan pelbagai pandangan dan cadangan konstruktif.

Sebagai tanda penghargaan, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim turut menyampaikan plak penghargaan PERKIM kepada YB Senator Ustazah Marhamah Rosli, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim Tawil dan Sahibus Samahah Datu Haji Khalidi Haji Ibrahim atas sumbangan mereka menjayakan program tersebut.

Turut hadir bersama dalam muzakarah ialah Naib Yang Dipertua PERKIM, Dr. Haji Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Tuan Haji Muhammad Fitri Abdullah dan Datuk Haji Mohd Nakhaie Haji Ahmad; Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP,  Datuk Mohd Nizam Haji Yahya; Pengarah Jabatan Mufti Sarawak, Tuan Haji Ahmad Sukarno Haji Saini; bekas Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob; Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Perlis, Dato’ Khairi Hasan; Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Kedah, Dato’ Haji Abd. Rahman Haji Ismail; Pengerusi Tetap, Haji Abdul Ghafar Mamat; Timbalan Pengerusi Tetap, Mahadi Haji Deraman; Timbalan Mufti Negeri Sembilan, Tuan Haji Mohd Raizalani Mohd Rais; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis, Maizura Shamsuddin serta Pengarah Pentadbiran PERKIM Kebangsaan, Dr. Suariza @ Hidayah Muhammad.

Penganjuran Malam Mufti Bermuzakarah ini dilihat berjaya meletakkan asas yang kukuh kepada Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 dengan menghimpunkan pandangan para ilmuwan, pentadbir dan penggubal dasar dalam usaha merangka pendekatan baharu bagi memperkasa wakaf, zakat dan dakwah secara lebih bersepadu demi kesejahteraan ummah serta pembangunan Islam di Malaysia dan peringkat antarabangsa.

 


Peserta dan tetamu kehormat mengisi butir-butir pada borang ketika sesi pendaftaran.

 


Peserta muzakarah hadir bersama bekas Menteri Besar Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob.

 


Muhammad Jais Mariappan mengacarakan Malam Mufti Bermuzakarah sempena Pra-Konvensyen Wakaf Dakwah Antarabangsa 2026 di Kuala Lumpur.

 


Tetamu kehormat mengalu-alukan ketibaan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Ustazah Marhamah Rosli.

 


Peserta menadah tangan ketika doa dibacakan.

 


Peserta mengaminkan doa yang dibacakan oleh Muhammad Jais Mariappan.

 


Dr. Shahidan turut mencadangkan supaya kerajaan mempertimbangkan penubuhan Kementerian Wakaf dan Haji bagi memberikan fokus khusus terhadap pembangunan aset wakaf negara.

 


YB Marhamah mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata konsep wakaf dakwah sebenarnya menjawab satu isu besar yang sering dihadapi dalam gerakan dakwah iaitu ketiadaan kesinambungan selepas seseorang memeluk Islam.

 


Menurut Marhamah, muzakarah seperti ini membuka ruang kepada para ilmuwan, mufti, pentadbir institusi agama dan masyarakat bertukar pandangan secara matang bagi mencari titik persamaan dalam setiap isu yang dibincangkan.

 


Malam Mufti Bermuzakarah yang dimoderatorkan oleh 𝗦𝗮𝗵𝗶𝗯𝘂𝘀 𝗦𝗮𝗺𝗮𝗵𝗮𝗵 𝗗𝗮𝘁𝘂𝗸 𝗪𝗶𝗿𝗮 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗛𝗮𝗹𝗶𝗺 𝗧𝗮𝘄𝗶𝗹, 𝗠𝘂𝗳𝘁𝗶 𝗞𝗲𝗿𝗮𝗷𝗮𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗠𝗲𝗹𝗮𝗸𝗮 𝗺𝗲𝗿𝗮𝗻𝗴𝗸𝗮𝗽 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗠𝗲𝗹𝗮𝗸𝗮 bersama Ahli panel utama ialah 𝗦𝗮𝗵𝗶𝗯𝘂𝘀 𝗦𝗮𝗺𝗮𝗵𝗮𝗵 𝗗𝗮𝘁𝘂 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗞𝗵𝗮𝗹𝗶𝗱𝗶 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗜𝗯𝗿𝗮𝗵𝗶𝗺, 𝗠𝘂𝗳𝘁𝗶 𝗞𝗲𝗿𝗮𝗷𝗮𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗦𝗮𝗿𝗮𝘄𝗮𝗸.

 


Peserta mendengar muzakarah yang disampaikan.

 


Peserta mendengar muzakarah dengan penuh khusyuk.

 


Datu Haji Khalidi menegaskan bahawa agihan zakat kepada asnaf mualaf merupakan manifestasi maqasid syariah dalam memelihara agama (hifz al-din) sekali gus memastikan saudara baharu terus mendapat bimbingan sehingga mampu berdikari dan menjadi pendakwah dalam komuniti masing-masing.

 


Menurut Mufti Sarawak, kejayaan institusi zakat hari ini adalah hasil proses pendidikan yang panjang dalam membudayakan kesedaran berzakat selain menyifatkan potongan zakat melalui gaji sebagai antara penyumbang utama kutipan zakat di beberapa negeri.

 


Moderator turut mengupas pelbagai isu berkaitan persepsi masyarakat terhadap zakat, kepentingan menggalakkan budaya berinfak, pengurusan harta mustaghallat serta peranan institusi zakat dalam memperkasakan pembangunan sosioekonomi umat Islam.

 


Peserta mengajukan soalan dan pendapat di dalam sesi soal jawab.

 


Dr. Shahidan menyampaikan cenderamata penghargaan kepada YB Senator Ustazah Marhamah selaku perasmi.

 


Dato’ Wira Abdul Halim menerima plak cenderamata PERKIM dan hadiah daripada Dr. Shahidan.

 


Dato’ Seri Dr. Shahidan menyampaikan plak cenderamata PERKIM dan hadiah kepada Mufti Sarawak, Datu Haji Khalidi Haji Ibrahim.

 


Tetamu kehormat bersama peserta Malam Mufri Bermuzakarah bergambar kenang-kenangan di akhir program.

Related Articles

Back to top button