Genius Naik Grab Sejauh 54KM Untuk Masuk Islam
oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 29 OGOS 2023 – “Saya naik Grab dari Nilai sejauh 54 kilometer ke sini untuk memeluk Islam,” kata Genius Carnelius.
Genius menuju ke Ibu Pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menerusi saranan rakannya.
Beliau yang bekerja di sebuah bengkel tayar di Nilai telah memohon cuti daripada majikannya semata-mata memenuhi hasrat yang tersimpan sejak sekian lama.
Menurutnya, walau jauh mana pun beliau akan rentasi jua demi impian menjadi Muslim.
Genius hadir bersendirian kemudiannya mengikrarkan dua kalimah syahadah dalam Bahasa Arab diikuti Bahasa Melayu dengan bimbingan Pegawai Dakwah dan Pembangunan Insan, Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah.
Setelah mengucapkan syahadah, Jais lantas bangun terus memeluk Genius kerana beliau telah menjadi seorang daripada saudara seagama.
“Kini, kamu adalah seagama dengan orang Islam, jagalah Islam dengan baik-baik dan buat apa yang Allah suruh serta banyakkan mempelajari agama Islam supaya kamu faham,” nasihat Jais kepada Genius.
Beliau yang berasal dari Tambunan, Sabah menyatakan dirinya lebih tenang dan ringan selepas memeluk Islam serta perasaan teramat gembira selepas bergelar seorang Muslim.
Genius yang berusia 26 itu memilih nama Muhammad Taufiq Genius Carnelius sebagai nama Islamnya.
Kata Taufiq Genius, beliau ingin belajar solat, puasa dan mengikut suruhan Allah SWT serta meninggalkan segala larangan-Nya.
Beliau turut berkongsi kisahnya beberapa tahun lalu pernah mengikut rakan-rakannya di kampung pergi ke surau dan mengaji.
Pemuda yang berasal dari keturunan Dusun itu merasakan dirinya lebih ringan, tenang dan terbuka hati apabila bersama dengan mereka sehingga ada kemahuan untuk memeluk Islam pada ketika itu.
Sebelum ke Ibu Pejabat PERKIM, Taufiq Genius telah mendapat sokongan dan persetujuan daripada abang-abang, bapa saudara dan rakan-rakan mengenai niatnya untuk kembali kepada agama fitrah.
Sebelum beliau melafazkan kalimah toyyibah, Jais memberikan penerangan mengenai Rukun Islam, Rukun Iman dan kewajipan sebagai sebagai seorang Islam kepada Taufiq Genius.
Selain itu, beliau turut diberi penerangan mengenai tanggungjawab terhadap keluarga bukan Islam serta larangan menyembah selain Allah dan larangan membuat perkara yang ditegah dalam Islam.
Jais turut berpesan supaya Taufiq Genius mengikuti kelas agama Islam di PERKIM Cawangan Nilai atau Pejabat Agama Islam Cawangan Seremban (Nilai).
Di akhir majlis pengislaman, menyampaikan beg Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengandungi kit pengislaman kepada Taufiq Genius.
Genius melafazkan dua kalimah syahadah di hadapan Jais.
Genius tersenyum kerana gembira dan tenang selepas mengikrarkan kalimah toyyibah.
Jais memimpin doa kesyukuran selepas pengislaman.
Kebahagiaan dan ketenangan Taufiq Genius selepas bacaan doa.
Jais meminta Taufiq Genius untuk melengkapkan butir-butir diri pada borang pengislaman.
Jais menyampaikan beg MAIS yang mengandungi kit pengislaman kepada Taufiq Genius.
Jais dan Taufiq Genius merakamkan gambar kenang-kenangan selepas pengislaman.