Aktiviti DakwahAktiviti Kebajikan

Ekspedisi Ziarah Syahadah PERKIM Di Bumi Sabah

Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI 

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji) dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (ali-Imran: 104)

Dakwah di kawasan pedalaman bukanlah suatu yang asing bagi seorang daie kepada masyarakat pedalaman kerana mereka perlu menempuhi pelbagai cabaran, rintangan, pengorbanan, kesusahan, keperitan dan kesulitan semata-mata untuk menyampaikan risalah Islam serta menegakkan kalimah ‘Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu Rasulullah’.

Lantaran itu, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan menganjurkan ‘Ekspedisi Ziarah Syahadah Di Bumi Sabah’ di beberapa kawasan pedalaman iaitu di Keningau, Sepulut, Salong, Tinanduk, Pensiangan dan Kundasang, Sabah pada 13 hingga 20 Januari 2014 lalu. 

Program tersebut disokong oleh Pejabat Ketua Menteri Sabah, Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA).

siti-munirah-sayed-mohd-hamdans Penyelaras Program, Siti Munirah Sayed Mohd. Hamdan, aktiviti itu pada dasarnya adalah untuk membawa imej dan fikrah kepada masyarakat di pedalaman Sabah melalui pendekatan dakwah Islamiah serta pendekatan akhlak Islamiah.

Melalui pelbagai bentuk kerja kemasyarakatan, pendidikan, amal kebajikan dan sosial yang boleh membawa kepada kesefahaman, kemesraan, persahabatan dan persaudaraan bersama masyarakat berbilang kaum dan agama.

“Ini supaya segala prejudis dan salah sangka terhadap Islam dapat terhapus dan kehadiran Islam dapat diterima secara harmoni serta positif,” jelas Munirah.

Antara perkampungan pedalaman yang telah diziarahi sebelum ini ialah Perkampungan Orang Asli Sungai Chiong di Tasik Banding, Perak, Perkampungan Orang Asli Selaoi di Grik-Jeli, Perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan, Perkampungan Masyarakat India di Ladang Geddes, Negeri Sembilan, Perkampungan Masyarakat India di Ladang Kongsi 6 di Bedong, Kedah, Perkampungan Masyarakat Cina Pulau Ketam di Klang Selangor, Perkampungan Ulu Simunjan di Serian, Rayang dan Rodan di Pedawan, Kuching, Sarawak serta Perkampungan Masyarakat Siam di Sempadan Thailand.

Jelasnya lagi, program tersebut tercetus apabila Perkim dikunjungi oleh seorang pendakwah bebas dikenali Ustaz Mohd. Fadli Yusof bertanyakan mengenai prosedur dan pendaftaran pengislaman sebelum berdakwah ke pedalaman Sabah. Hal itu tersebar dengan meluas di media sosial apabila beliau telah mengislamkan 166 orang di pedalaman Sabah pada 2011 dan kini kawasan pedalaman tersebut telah dibina masjid yang menggerakkan Perkim untuk menyertainya bersama.

Selain tujuan program melihat pendekatan dan perkembangan dakwah Sahabat Perkim, ia juga turut menjalankan kerja-kerja dakwah susulan di kawasan terbabit serta menjalinkan ikatan ukhwah silaturahim bersama masyarakat di sana.

Program itu juga memperkenalkan Islam sebagai Rahmatan Lil ‘Alamin iaitu ‘memberi rahmat kepada seluruh alam’ dengan kerja nyata, ikhlas dan bersungguh-sungguh untuk perubahan masyarakat serta meneguhkan dan menguatkan akidah masyarakat Muslim di pedalaman agar tidak terpengaruh dengan ajaran-ajaran lain.

Selain itu, program kali ini turut membina jaringan dan kerjasama dakwah yang baik bersama sukarelawan seperti Sahabat Perkim, mahasiswa dari Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Selangor (UniSEL) dan bekas mahasiswa Universiti al-Azhar, Mesir.

ustaz-mohd-fadli-yusofsMenurut Pendakwah Pedalaman Sabah, Ustaz Mohd. Fadli Yusof, pada mulanya beliau bersama isterinya telah pergi ke Kampung Padang Iningaan, Sepulut atau nama asalnya Kampung Padang Inirwanan yang majoritinya penduduknya berbangsa Murut pada Oktober tahun 2011 lalu untuk dijadikan suatu tapak bagi membina dakwah di pedalaman Sabah.

Jelas beliau, sepanjang misi ziarah dari satu kampung ke satu kampung dalam tempoh beberapa kali sambil memberikan sumbangan makanan ianya secara tidak langsung membuka hati masyarakat untuk menerima kedatangan kami hingga ada di antara mereka yang mengikuti dan memeluk Islam.

Ada di antara masyarakat kampung yang bertanyakan kepada Ustaz Fadli, apakah yang di cari beliau sehingga sanggup datang jauh di pedalaman? Lantas Ustaz Fadli menjawab, “saya mencari saudara.” Lalu masyarakat kampung menyambung, “Mustahil saudara kamu berada di sini kerana di sini majoritinya berbangsa Murut.”

Tambah Ustaz Fadli, kami mencari saudara yang seIslam kerana wajib kami datang untuk bimbing, ajar, bantu dan didik mereka.

“Dalam beberapa minggu kemudian, mereka menelefon saya dan bersedia menjadi saudara seIslam serta mengajar mereka mengucap dua kalimah syahadah, solat dan fardu ain,” ujar Ustaz Fadli.

“Tidak ada seorang pun yang bersaksi bahawa Tiada sembahan yang hak kecuali Allah dan bahawa Muhammad itu Utusan Allah benar dari hatinya melainkan Allah haramkan atasnya neraka”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

“Apabila jumlah memeluk Islam di kampung tersebut semakin bertambah, maka timbullah cadangan daripada masyarakat kampung untuk membina masjid,” ujarnya.

“Jika kamu bina masjid kamu sendiri, kamu akan solat di dalamnya,” itulah ungkapan dari Ustaz Fadli yang membuatkan penduduk kampung bersungguh-sungguh membina masjid dengan bergotong-royong menebang pokok balak di dalam hutan yang jaraknya dua batu untuk dijadikan tiang, dinding, lantai, dan atap di mana tanah masjid tersebut telah diwakafkan oleh penduduk kampung bernama Juliah Lindas.

Jelasnya lagi, penduduk kampung dianggarkan membawa sepuluh tan kayu dan papan secara berulang alik bagi pembinaan masjid melalui jambatan gantung sejauh 400 meter sehingga ianya siap sepenuhnya pada Mei 2013 dan dinamakan Masjid As-Syahadah sempena berlakunya ibadah pengislaman ketika pembukaan masjid tersebut.

Jelasnya lagi, kita haruslah menjaga saudara Muslim memeluk Islam itu umpama benih yang baru bercambah dan ianya perlu disiram, dibaja, digembur, disuburkan dan dipagar.

“Sesungguhnya orang-orang yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang yang benar (pengakuan imannya).” (al-Hujurat: 15)

muhammad-rais-abdul-karim Sementara itu, Bendahari Kehormat Perkim, Tan Sri Dato’ Dr. Muhammad Rais Abdul Karim berkata, kampung yang mempunyai pertemuan dua anak sungai itu sungguh istimewa kerana ianya mempunyai jambatan gantung serta mempunyai pemandangan cantik dan masjid yang tersergam indah.

“Ini merupakan peluang Perkim untuk menjalankan aktiviti dan program dakwah serta kebajikan di pedalaman Sabah melalui Sahabat Perkim,” jelasnya.

“Saya berasa gembira kerana aktiviti seperti ini mendapat sokongan daripada Pejabat Ketua Menteri Sabah, Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA),” ujarnya.

Dr. Muhammad Rais turut mengalu-alukan lebih ramai lagi belia dan muda-mudi di Sabah menyertai Sahabat Perkim supaya dapat memperkembangkan dakwah di sana.

“Islam akan bertambah berkembang di mana masjid menjadi pusat tumpuan dan penyebaran agama Islam serta bimbingan dan didikan daripada pendakwah di sini,” hasrat Dr. Muhammad Rais yang ingin berkunjung lagi.

“Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang dia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya dia telah berpegang kepada simpulan (tali agama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.” (Luqman: 22)

Sebelum itu, rombongan ziarah mengadakan pertemuan bersama Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Sahibus Samahah Hj Bungsu @ Aziz Hj. Jaafar bertempat di Pejabat Mufti Negeri Sabah di Wisma Majlis Agama Islam Sabah (MUIS), Kota Kinabalu dan mendengar pembentangan pengenalan, visi dan misi Hidayah Centre Sabah di Kota Kinabalu disampaikan oleh Ustaz Nurul Ihsan Ismail selaku Pegawai Dakwah Hidayah Centre Sabah.

Turut hadir ialah Penolong Setiausaha Agung Kehormat Perkim; Datuk Hj Hasbullah L Isa, Timbalan Pengarah Dakwah dan Inovasi Perkim; Hj Abdul Hanif Harun dan Pegawai Khas di Pejabat Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Hj Wan Abd Hamid Wan Teh.

Rombongan seterusnya menziarahi dan beramah mesra bersama Saudara Muslim Murut di Masjid ar-Rahim, Pekan Keningau. Rombongan turut menziarahi rumah penduduk Kampung Nentayap yang telah terbakar dan memberikan sumbangan berbentuk wang tunai.

Keesokkan harinya pula, rombongan ziarah meneruskan perjalanan dengan melalui kawasan bukit yang bertanah merah, berlecak, sempit dan tidak rata menggunakan kenderaan pacuan empat roda ke Kampung Salung selama dua jam.

Setibanya di Kampung Salung, rombongan berkumpul dan mengajar ilmu fardu ain kepada sebahagian penduduk kampung di Surau al-Nusrah.

Selesai ziarah dan menyampaikan sumbangan makanan kepada tujuh buah keluarga, rombongan ziarah meneruskan perjalanan mereka selama dua jam melalui beberapa batang sungai yang deras arusnya ke Kampung Tinanduk, Pagalungan dengan menaiki lima buah bot yang diberi nama ‘Pahakaku’ yang bermaksud saudaraku dalam Bahasa Murut.

Setelah beramah mesra dan menziarahi sembilan keluarga di Kampung Tinanduk, rombongan meneruskan jelajah mereka selama dua jam ke Kampung Pensiangan melalui jalan sungai. Setibanya rombongan di kampung tersebut, kami disambut dengan gembira dan penuh mesra.

Pada sebelah malamnya pula, diadakan aktiviti pembelajaran fardu ain, bacaan dan praktikal solat kepada penduduk kampung.

Turut diadakan solat berjemaah, kuliah, tazkirah dan perkongsian ilmu bersama penduduk kampung.

Keesokan harinya, rombongan ziarah meneruskan penjelajahan menemui tiga keluarga di Kampung Tampanon, Pagalungan dan dua keluarga di Kampung Sevenite dengan menyampaikan sumbangan berbentuk makanan.

Rombongan ziarah dihimpunkan bersama penduduk Kampung Mesilou di Masjid al-Hikmah, Kundasang.

Pegawai Hal Ehwal Minoriti Islam Perkim, Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah dan Pegawai Dakwah dan Inovasi Perkim, Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah turut berkongsi penghijrahan mereka bersama penduduk kampung mengenai tajuk ‘Kisah Memeluk Islam’.

“Sesiapa sahaja yang bersaksi dengan benar dari hatinya bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Muhamad itu Rasulullah (pesuruh Allah), maka Allah akan haramkannya daripada neraka”. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Muhammad Jais dalam perkongsiannya berkata, beliau tertarik untuk memeluk Islam ketika berumur sembilan tahun disebabkan kecantikan adab dan akhlak orang Melayu sejak beliau berpindah dengan ibunya ke perkampungan di Johor setelah bapanya meninggal dunia.

“Saya dihina, diperlekehkan dan dimalukan kerana masuk masjid, tidak berkhitan dan azan di rumah kerana cintanya saya kepada Islam,” jelas Jais atau nama asalnya Mariappan A/L Muniandian berasal dari Bukit Jelutong Subang, Selangor yang mempunyai sepuluh orang adik beradik.

Kata Jais lagi, selepas menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), beliau memeluk agama Islam secara rasminya di Selangor dan menyambung pengajian Islam di Pondok Pasir Tumbuh, Kelantan pada tahun 1998 selama tiga tahun.

Kerana cintanya kepada ilmu agama, beliau mengambil semula SPM kali kedua dalam aliran agama Islam dan menyambung pengajiannya di Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) di Pengkalan Chepa, Kelantan selama tiga tahun.

Kemudian beliau mendapat tawaran melanjutkan pengajian dalam kursus Pengajian Islam dan Adab di Universiti Sains dan Teknologi Sana’a, Yaman selama empat tahun dan sebelumnya beliau mendapat pendidikan Bahasa Arab di Jami’atul Iman selama dua tahun.

“Sesiapa yang mati, sedangkan dia mengetahui bahawa tiada tuhan melainkan Allah, maka dia akan masuk syurga”. (Hadis Riwayat Muslim).

Farhan atau nama asalnya Tee Cheng Peng anak kelahiran suku kaum Cina Hokkien yang berasal dari Kampung Kota Setia, Teluk Intan, Perak turut berkongsi penghijrahannya bersama penduduk Kampung Mesilou.

Katanya, beliau dilahirkan dan dibesarkan di perkampungan yang penduduknya 99 peratus berbangsa Melayu serta mendapat pendidikan di sekolah dan kelas yang majoritinya berbangsa Melayu sehingga beliau dapat menghafal surah al-Fatihah sewaktu kanak-kanak lagi.

Setelah itu, beliau menyambung persekolahannya dan mengambil Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dalam jurusan Pentadbiran dan Perniagaan. Ketika berusia 20 tahun, beliau membantu keluarga menyara hidup dengan bekerja di kilang pembuatan atap dan kilang pemprosesan kelapa sawit hingga membuatkan beliau bernekad untuk memeluk Islam.

Sehinggalah Farhan dipertemukan dengan guru agama di kampung tersebut dan meluahkan segala perasaan untuk belajar mengenai Islam sekali gus memeluk agama Islam di Pejabat Agama Islam Daerah Kampung Gajah dengan membawa guru tersebut menjadi saksi. Beliau sebelum itu diajar kitab Muqaddam dan cara panduan bersolat oleh guru tersebut.

Kemudian beliau menyambung pengajiannya dalam kursus Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah. Beliau bertambah lebih selesa dan yakin dalam mendalami Islam apabila rakan-rakan membantunya menunaikan solat, mengajar agama, mengajak ke masjid, menyertai rakan masjid serta belajar di pondok.

Pesannya, carilah masa dan peluang untuk menuntut ilmu walau sesibuk mana sekali pun agar tidak rugi serta bertambah pengetahuan dalam pelbagai bidang serta agama dan dapat disebarkan atau disampaikan ilmu tersebut kepada orang lain.

Sebelum itu, Ustaz Mohd. Fadli Yusof turut menyajikan persembahan ceramah multimedia bertajuk ‘Dakwah Pedalaman Sabah’ kepada penduduk kampung sempena sambutan tarikh kelahiran Nabi Muhammad SAW atau Maulidur Rasul.


Rombongan ziarah Perkim bergambar bersama Mufti Kerajaan Negeri Sabah, Sahibus Samahah Hj Bungsu @ Aziz Hj. Jaafar (tengah duduk) di Pejabat Mufti Negeri Sabah, MUIS, Kota Kinabalu.

1
Dr. Muhammad Rais (tiga dari kiri) menyampaikan cenderamata kepada wakil JHEAINS.

3
Rombongan Perkim berkunjung ke Hidayah Centre, Kota Kinabalu, Sabah.

4
Perjumpaan Perkim bersama rombongan Ustaz Fadli Yusof.

5
Pertemuan rombongan ziarah bersama Saudara Muslim di Masjid ar-Rahim, Pekan Keningau.

6
Rombongan ziarah merentasi jambatan gantung ke Kampung Padang, Sepulut dan Masjid as-Syahadah yang tersergam indah.

7
Pertemuan Saudara Muslim bersama rombongan Perkim di Dewan Mini, Kampung Padang, Sepulut.

8
Penduduk kampung bergotong-royong bersama-sama bagi menyiapkan masakan.

9
Dr. Muhammad Rais (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada mangsa rumah terbakar di Kampung Nentayap.

10
Penduduk Kampung Padang bersama-sama memeriahkan majlis bersama tetamu kehormat.

11
Dr. Muhammad Rais (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Mahmud, wakil Ketua Kampung Padang, Sepulut.

12
Dr. Muhammad Rais (kiri) menyampaikan cenderamata tanda penghargaan kepada Ustaz Fadli kerana telah banyak membantu Perkim dalam usaha-usaha dakwah.

13
Tetamu Kehormat bergambar kenang-kenangan bersama penduduk Kampung Padang, Sepulut.

14
Rombongan Perkim menziarahi penduduk Kampung Padang yang telah mewakafkan tanahnya untuk dijadikan masjid, Juliah Lindas.

15
Aktiviti bersuai kenal sambil menziarahi penduduk Kampung Padang, Sepulut.

16
Rombongan ziarah berkenal-kenalan di rumah penduduk Kampung Padang, Sepulut.

17
Mahasiswi UIA membantu Saudara Muslim memperbetulkan bacaan dan praktikal dalam solat.

18
Ustaz Fadli menziarah dan menyampaikan sumbangan berbentuk makanan kepada penduduk Kampung Salung.

19
Muslimah turut tidak ketinggalan menziarahi sambil menyampaikan sumbangan berbentuk makanan kepada penduduk Kampung Salung.

20
Rombongan menziarahi sambil menyampaikan sumbangan berbentuk makanan kepada penduduk Kampung Salung.

21a
Rombongan menggunakan bot sebagai kenderaan air walaupun terpaksa mengharungi arus sungai yang deras semata-mata menyampaikan dakwah.

21
Rombongan ziarah menyampaikan sumbangan makanan kepada penduduk Kampung Tinanduk.

22
Farhan menyampaikan sumbangan makanan dan wang tunai kepada Saudara Muslim yang mengalami cacat penglihatan.

23
Rombongan ziarah bergambar kenang-kenangan bersama penduduk, guru dan murid Kampung Tinanduk.

24
Muhammad Fida Udin (berbaju biru) mengajar bacaan al-Fatihah kanak-kanak Kampung Pensiangan.

25
Ustaz Suffiyan (berserban) mengajar Saudara Muslim bacaan al-Fatihah dengan sebutan yang betul.

26
Sukarelawan mahasiswa UIA, Azimah tidak ketinggalan menyertai ziarah dan menyampaikan sumbangan kepada penduduk Kampung Tampanon, Pegalungan.

27
Rombongan ziarah bergambar kenang-kenangan bersama penduduk Kampung Pensiangan.

28
Rombongan menunaikan solat apabila tiba waktunya.

29
Ustaz Fadli turut menyajikan persembahan ceramah multimedia bertajuk ‘Dakwah Pedalaman Sabah’ kepada penduduk Kampung Mesilou.

30
Jais (kanan) dan Farhan (kiri) turut berkongsi penghijrahan mereka bersama penduduk kampung mengenai tajuk ‘Kisah Memeluk Islam’.

Related Articles

Back to top button