Aktiviti Kebajikan

PERKIM Kebangsaan Dirai Dalam Majlis Makan Malam PERKIM Kuala Muda

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝐒𝐔𝐍𝐆𝐀𝐈 𝐏𝐄𝐓𝐀𝐍𝐈, 𝟔 𝐒𝐄𝐏𝐓𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Kehangatan ukhuwah Islamiah terjalin pada Majlis Makan Malam anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Daerah Kuala Muda apabila Dewan PERKIM Kuala Muda di Jalan Pegawai, Kampung Teroi dipenuhi para tetamu yang diraikan termasuk pimpinan dari Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan.

Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh mesra itu bukan sekadar medan jamuan, tetapi juga tanda penghargaan terhadap kehadiran rombongan kepimpinan PERKIM Kebangsaan yang turun padang bertemu warga PERKIM Cawangan Daerah Kuala Muda bersama saudara baharu.

Acara ini sekali gus menjadi simbolik kepada semangat perpaduan, kebersamaan dan kesepaduan misi dakwah antara pusat dan cawangan.

Doa pembuka majlis dipimpin oleh 𝗣𝗲𝗴𝗮𝘄𝗮𝗶 𝗨𝗻𝗶𝘁 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗱𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗮𝗻𝗴𝘂𝗻𝗮𝗻 𝗜𝗻𝘀𝗮𝗻 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗝𝗮𝗶𝘀 𝗠𝗮𝗿𝗶𝗮𝗽𝗽𝗮𝗻 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 yang memohon agar program ini diberkati Allah SWT serta memperkukuh kerjasama antara semua pihak dalam menjayakan agenda kebajikan dan dakwah.

Dalam ucapan ringkasnya, 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝘂𝗮𝗹𝗮 𝗠𝘂𝗱𝗮, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗜𝗺𝗿𝗼𝗻 𝗞𝗼𝗰𝗵𝗲𝗺 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 menyatakan rasa syukur atas kehadiran pimpinan dari pusat.

Beliau menegaskan bahawa sokongan berterusan daripada PERKIM Kebangsaan adalah dorongan penting untuk PERKIM Kuala Muda terus berperanan aktif dalam melaksanakan dakwah serta kebajikan di daerah ini selain sokongan yang padu daripada PERKIM Bahagian Negeri Kedah.

“Kehadiran pimpinan kebangsaan ke sini adalah bukti bahawa kita bergerak dalam satu barisan yang sama. Kami di peringkat cawangan akan terus memberi komitmen penuh dalam memastikan amanah ini dijayakan,” katanya.

𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝗿𝗮𝗵 𝗣𝗲𝗻𝗱𝗶𝗱𝗶𝗸𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗮𝗻𝗴𝘂𝗻𝗮𝗻 𝗜𝗻𝘀𝗮𝗻 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗬𝗕𝗵𝗴 𝗗𝗿 𝗦𝘂𝗮𝗿𝗶𝘇𝗮 @ 𝗛𝗶𝗱𝗮𝘆𝗮𝗵 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 yang mewakili 𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮 𝗔𝗴𝘂𝗻𝗴 𝗞𝗲𝗵𝗼𝗿𝗺𝗮𝘁 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠, 𝗬𝗕𝗵𝗴 𝗗𝗮𝘁𝗼’ 𝗗𝗿 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗠𝗮𝗿𝘇𝘂𝗸𝗶 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗢𝗺𝗮𝗿 turut merakamkan penghargaan tinggi kepada PERKIM Kuala Muda.

Beliau secara khusus menyampaikan ucapan terima kasih kepada Ustaz Imron Kochem atas undangan penuh hormat ini, yang mencerminkan semangat keterbukaan dan kekeluargaan dalam organisasi.

Katanya, undangan tersebut membuktikan bahawa hubungan erat antara PERKIM Kebangsaan dan cawangan sentiasa diperkukuh melalui jalinan silaturahim dan program kebersamaan.

“Majlis seperti ini bukan sekadar meraikan tetamu, tetapi lebih daripada itu kerana ia menjadi platform untuk mengeratkan hubungan, menyelami cabaran di peringkat akar umbi serta menghayati aspirasi bersama dalam perjuangan dakwah dan kebajikan,” katanya.

Secara tidak langsung penglibatan dan kerjasama PERKIM Kuala Muda dalam Program Ziarah Kebajikan Masyarakat Majmuk India pada hari ini di Pusat Penjagaan Fajar Gemilang dan Program Dialog Harmoni Bersama Komuniti India yang diadakan pada esok hari di Kampung Kongsi 6, Bedong membuktikan penyatuan dan sokongan padu terhadap usaha murni dalam memperkukuh hubungan sekali gus menjadi pendorong kepada lebih banyak inisiatif bersama pada masa hadapan, selaras dengan misi PERKIM sebagai organisasi penggerak terunggul di Malaysia.

Majlis makan malam ini turut menampilkan pelbagai juadah istimewa, antaranya Nasi Arab Mandy versi Thai, ayam goreng, sagu Thai, teh tarik, buah-buahan dan aneka hidangan lain. Para tetamu menikmati sajian sambil berinteraksi dengan suasana yang penuh mesra.

Lebih menarik, jamuan ini turut diserikan dengan tayangan video korporat PERKIM Cawangan Daerah Kuala Muda.

Tayangan tersebut memaparkan sejarah penubuhan cawangan, perkembangan pengubahsuaian fasiliti serta pelbagai program yang dijayakan termasuk dakwah, kebajikan, pendidikan, kerjasama dan pembangunan komuniti.

Persembahan visual itu memberi gambaran jelas tentang dedikasi cawangan tersebut dalam melaksanakan misi PERKIM di peringkat daerah.

Majlis diserikan lagi dengan penyampaian plak cenderahati PERKIM Kebangsaan dan buku meja kopi Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM disampaikan oleh Dr Suariza kepada Ustaz Imran Kochem.

Ustaz Imran Kochem turut menyampaikan plak cenderahati PERKIM Kuala Muda dan buah tangan balas kepada Dr. Suariza.

Seusai jamuan, rombongan PERKIM Kebangsaan dibawa meninjau fasiliti yang dimiliki PERKIM Kuala Muda oleh Ustaz Imron Kochem bersama Penolong Setiausaha Kehormat, Ustazah Juhana Halimah Johari.

Antara lokasi yang dilawati termasuk pejabat pentadbiran PERKIM Kuala Muda, rumah transit keluarga, transit lelaki dan wanita serta dewan serbaguna yang kerap digunakan untuk kuliah, program dakwah dan aktiviti kebajikan mualaf.

Rombongan turut dibawa melawat gerai Kopi Tamu yang berfungsi sebagai ruang santai dan interaksi sosial bersama penduduk sekitar.

Fasiliti-fasiliti ini menzahirkan bahawa PERKIM Kuala Muda tidak hanya menumpukan kepada usaha dakwah, bahkan turut memainkan peranan sosial dalam membina jaringan mesra dengan masyarakat majmuk.

Keberadaan fasiliti yang pelbagai itu membuktikan kesungguhan PERKIM Kuala Muda dalam memperkasa fungsi organisasi.

Ia menonjolkan peranan menyeluruh bukan sekadar sebagai pusat dakwah tetapi juga sebagai institusi pembangunan insan yang menghubungkan masyarakat dengan nilai Islam yang rahmatan lil ‘alamin.

Bagi PERKIM Kebangsaan, lawatan ini membuka ruang untuk lebih memahami keperluan di peringkat daerah, selain mengiktiraf usaha murni cawangan dalam menguruskan pelbagai cabaran setempat.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pengerusi Tetap PERKIM Kuala Muda, Dato’ Dr Zahari Noor dan Bendahari Kehormat PERKIM Kuala Muda, Tuan Haji Abdul Raof Mohd Zain.

Kehadiran mereka memperlihatkan komitmen padu dalam menyokong usaha kepimpinan Kebangsaan yang sentiasa memberi ruang dan dorongan kepada cawangan daerah.

Majlis makan malam juga merupakan satu wadah pengukuhan ukhuwah serta memperlihatkan sinergi yang erat antara PERKIM Kebangsaan dan cawangan.

Melalui majlis sebegini, hubungan silaturahim dapat terus dipelihara, sekali gus memantapkan lagi perjuangan bersama dalam usaha memperkasa dakwah, kebajikan, pendidikan dan kerjasama.

Hadir sama, urus setia PERKIM Kebangsaan, Azura Abdul Rahman, Norlailialpin Suratman dan Mualish Shah Haji Mohd Anuar, bersama sukarelawan Mohd Firdaus Pompeyo Abdullah.

 


Ustaz Imron Kochem dalam ucapannya menyatakan rasa syukur atas kehadiran pimpinan dari pusat.

 


Dr Suariza menzahirkan ucapan terima kasih kepada PERKIM Kuala Muda atas undangan penuh hormat yang mencerminkan semangat keterbukaan dan kekeluargaan dalam organisasi.

 


Dr Suariza menyampaikan plak cenderahati PERKIM kepada Ustaz Imron Kochem.

 


Ustaz Imron Kochem menerima Buku Meja Kopi Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM daripada Dr Suariza.

 

 


Ustaz Imron Kochem menyampaikan buah tangan balas kepada Dr Suariza.

 


Ustaz Jais Mariappan memimpin bacaan doa selamat sebelum menjamu selera.

 

 


Rombongan PERKIM Kebangsaan diraikan dengan hidangan istimewa juadah nasi Arab Thai dan lain-lain.

 


Rombongan PERKIM Kebangsaan menikmati makan malam sambil disajikan video korporat PERKIM Kuala Muda.

 

 


Dr Suariza melawat salah sebuah rumah transit mualaf lelaki.

 

 


Ustaz Imron Kochem menunjukkan beberapa fasiliti yang terdapat di Kompleks PERKIM Kuala Muda.

 

 


Kopi Tamu antara salah satu kedai kopi yang menjadi tarikan masyarakat di sekeliling.

 

 


Rombongan PERKIM Kebangsaan bergambar bersama warga PERKIM Kuala Muda dan mualaf.

Related Articles

Back to top button