Aktiviti Dakwah

Usrah Pertemuan Bulan April Bersama Kakitangan PERKIM: Hindari Sifat Marah

Oleh: UMI MUSFIRAH ABDUL GHANI

KUALA LUMPUR | 6 APRIL 2021 – “Marah ini bukan satu sifat yang baik kerana marah ini salah satu ciri-ciri sifat syaitan dan sebab itu apabila Rasulullah menyampaikan pesanan dalam keadaan tidak marah,” kata Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

Tambah beliau, Rasulullah juga mengetahui sifat marah itu boleh menimbulkan pelbagai masalah seperti peperangan, penceraian dan ketidakstabilan. Rasulullah juga mempunyai sifat marah, namun Baginda hanya marah pada perkara yang tertentu sahaja.


YBhg Tan Sri Setiausaha Agung Kehormat PERKIM menyampaikan ucapannya di hadapan lebih 40 kakitangan PERKIM Kebangsaan, PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM – Kuala Lumpur (IDIP-KL) dan Pusat Komuniti Strok PERKIM (SCORE) bertempat di ruang legar Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini.

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim; Pengarah Unit Perhubungan Awam Dalam dan Luar Negara PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Setiausaha Kerja Program dan Pentadbiran PERKIM, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik; Setiausaha Kerja PERKIM Bahagian dan Cawangan; Encik Zulkefli Arifin serta Pengarah IDIP-KL, YBhg Dr Suariza Hidayah Muhammad.

Sebelum itu, hadirin bersama-sama menyanyikan lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan dipimpin oleh Pasukan Koir PERKIM.

Bacaan doa dipimpin oleh YBrs Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah manakala majlis dipengerusikan oleh YBrs Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah.

Kata Dr Yusof Noor, marah merupakan sifat lumrah yang ada pada semua manusia di muka bumi ini. Sekiranya kita mengambil iktibar daripada kisah wanita muda yang menghimpit wanita tua bersama barang-barangnya tanpa sebarang rungutan, ia jelas bahawa wanita tua itu memiliki jiwa Islam iaitu bersikap penyabar.

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ أَنَّ رَجُلًا قَالَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَوْصِنِي قَالَ لَا تَغْضَبْ فَرَدَّدَ مِرَارًا قَالَ لَا تَغْضَب                 

Dari Abu Hurairah RA bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: “Berilah aku wasiat?” baginda bersabda: “Janganlah kamu marah.” Lelaki itu mengulangi pertanyaannya, baginda tetap menjawab: “Janganlah kamu marah.” (HR Bukhari No: 5651)

Oleh yang demikian antara doa yang dianjurkan oleh agama kita ialah :

اَللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ عُمْرِي آخِرَهُ، وَخَيْرَ عَمَلِي خَوَاتِيمَهُ، وَخَيْرَ أَيَّامِي يَوْمَ أَلْقَاكَ فِيهِ

“Ya Allah, jadikanlah sebaik-baik umurku pada penghujungnya, dan jadikan sebaik-baik amalku pada akhir hayatku, dan jadikan sebaik-baik hariku pada saat aku bertemu dengan-Mu (di hari kiamat).”

Kata Tan Sri Dr Yusof Noor lagi, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana dapat berjumpa lagi dalam sesi perhimpunan bulanan di waktu pagi walaupun diawalkan sedikit kerana sebab-sebab tertentu dan beliau memaklumkan bahawa perjumpaan tersebut merupakan pertemuan yang terakhir sebelum menyambut Ramadan yang akan menjelang beberapa hari lagi.

Jelasnya, beliau mempunyai satu harapan untuk dirinya dan juga kakitangan di Ibu Pejabat yang perlu berkasih-sayang antara satu sama lain tanpa persengketaan dalam pekerjaan.

Azam beliau, pertamanya sekiranya kita hendak perkenalkan Islam atau berdakwah kita perlu memulakan dengan kakitangan PERKIM ini.

Jikalau kita di PERKIM ini tidak dapat membuktikan bahawa sistem yang kita amalkan dari segi pergaulan, pemikiran dan sikap adalah tidak baik maka kita perlu baiki kerana perjalanan hidup kita ini amat singkat.

Bagaimana kita bermuamalah di PERKIM Kebangsaan ini akan menjadi satu contoh kepada PERKIM Bahagian Negeri-negeri dan cawangan PERKIM serta boleh menarik orang luar melihat cara muamalah kita.

Dr Yusof Noor turut berfikir, ia akan menjadi lebih mudah sekiranya warga PERKIM sendiri menghayati lagu PERKIM Pacu Kemajuan untuk meningkatkan kemesraan dalam mewujudkan kasih sayang.

Kita berdoalah kepada Allah SWT supaya mengurniakan kepada kita sentiasa bersikap mahmudah.

Beliau berpendapat, semua yang berpeluang untuk berkhidmat di PERKIM ini amat bertuah, namun pada hari ini salah seorang daripada kakitangan kita akan menamatkan perkhidmatannya iaitu Ketua Sekretariat Mesyuarat-Mesyuarat PERKIM merangkap bekas Penyelaras Unit Penerbitan PERKIM, YBhg Tuan Haji Mohd Zuber Zain.

“Zuber telah mendapat tawaran dari pihak lain dan saya ingin menyampaikan sedikit sumbangan dari PERKIM kepada beliau dan mengucapkan ribuan terima kasih kepada beliau kerana telah berjasa dan berbakti kepada PERKIM Kebangsaan,” kata Dr Yusof Noor.

“Saya juga ingin memaklumkan bahawa kita kekurangan satu kakitangan iaitu YBrs Ustaz Mohd Yusoff Ahmad selaku Timbalan Pengarah Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan (UPPP) kerana beliau diperlukan perkhidmatannya di PERKIM Bahagian Negeri Selangor buat sementara waktu sehingga satu tempoh yang akan ditetapkan,” jelas beliau.

Menurut pandangan Tan Sri Dr Yusof Noor, semua kakitangan di PERKIM mempunyai kualiti yang tersendiri dan berusahalah untuk menambah baik kualiti yang ada pada diri sendiri serta sentiasa perbaiki diri.

Beliau turut mengucapkan takziah dan menghadiahkan Al-Fatihah kepada bapa kepada Pegawai Kewangan PERKIM, Cik Riana Sukma Taslim, telah menemui Ilahi pada 25 Mac 2021 seterusnya menyampaikan sumbangan.

Di akhir majlis beliau turut mengucapkan Selamat Menyambut Ramadan Al-Mubarak kepada seluruh warga PERKIM dan meminta supaya berwaspada dalam meraikan Ramadan yang berbeza daripada tahun sebelumnya berikutan penularan wabak COVID-19 dan dalam negara yang masih dalam tempoh darurat.

Sama-samalah kita berdoa semoga segala amal ibadah kita diterima oleh Allah SWT.

Tan Sri Dr Yusof Noor turut menyampaikan sumbangan penghargaan perkhidmatan kepada YBhg Tuan Haji Mohd Zuber Zain.

Sebelum tamat majlis, Haji Zuber diminta untuk menyampaikan ucapan beliau.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri untuk perkataan yang baik ke atas diri saya.

“Saya ingin menyambung sedikit ucapan Tan Sri tadi berkenaan marah kerana sebenarnya marah ini adalah sifat Iblis. Sombongnya Iblis apabila diperintahkan untuk sujud pada Adam dan Iblis enggan mematuhi perintah Allah SWT lalu Iblis diusir dari Syurga,” katanya. 

Menurut Haji Zuber lagi, semua manusia memilki sifat marah, namun harus bijak mengawal sifat marah tersebut kerana marah membawa kepada banyak padahnya dan kita perlu banyak bersabar.

“Saya berkhidmat di PERKIM Kebangsaan pada tahun 2007 sehingga tahun ini 2021, lebih kurang 14 tahun. Saya merancang untuk bekhidmat di PERKIM sebagai pekerjaan terakhir saya namun ketentuan Allah itu lebih hebat. Saya diperlukan untuk berkhidmat di tempat lain,” ujarnya.

Kata Haji Zuber sebelum mengakhiri ucapan, beliau berharap akan terus memberi perkhidmatan kepada PERKIM sehingga akhir hayatnya kerana beliau hanya berhenti bekerja di PERKIM tetapi masih lagi seorang Ahli PERKIM.


 

 

Related Articles

Back to top button