Tun Mahathir Sambut Kunjungan Korea Muslim Federation
oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 14 SEPTEMBER 2023 – Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad telah menerima kunjungan daripada Korea Muslim Federation (KMF) bertempat di Yayasan Al Bukhary, Jalan Perdana, petang tadi.
Kunjungan KMF itu terdiri daripada Presiden Korea Muslim Federation (KMF), Hussein Kim Dong Eok; Pengerusi Jawatankuasa Halal KMF, Ahmad Cho Min Haeng; Pengurus KMF, Dr Abdullah Ko Hee Song serta Ketua Jabatan Haji dan Umrah KMF, Safiya Kang Nayeon.
Kunjungan bersama Yang Dipertua PERKIM itu merupakan lawatan susulan KMF ke Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan pada pagi tadi.
Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dengan penuh sukacita telah mengaturkan pertemuan KMF bersama Tun Yang Dipertua PERKIM memandangkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum itu telah beberapa kali mengadakan lawatan kerja ke Korea Selatan.
Tun Mahathir dalam pertemuan singkatnya itu mengharapkan Islam di Korea Selatan lebih berkembang dan kerajaan Korea Selatan akan terus memberi sokongan terhadap perkembangan Islam di sana.
Katanya, memandangkan agama lain lebih berkembang pesat di sana, justeru orang Islam perlu menunjukkan akhlak yang baik sebagaimana yang dianjurkan Islam.
“Kini, seluruh dunia menghadapi perubahan iklim seperti panas dan sejuk tidak menentu, gempa bumi, gunung berapi, tsunami, banjir besar, puting beliung, taufan serta hutan-hutan yang terbakar yang menyebabkan ramai orang mati,” ujarnya.
Tambah Tun Mahathir lagi, kita sebagai umat Islam perlulah membantu negara-negara yang terlibat dalam bencana alam yang menimpa baru-baru ini seperti di Filipina, Morocco dan Libya.
“Kita perlu selalu bersyukur dan berterima kasih kepada Allah SWT kerana kita terselamat dari malapetaka yang belaku dan telah memberi banyak nikmat-Nya kepada kita.
Namun begitu, kita sebagai orang Islam perlulah mencapai kemajuan bagi memartabatkan Islam di persada dunia.
Sementara itu, Presiden KMF, Hussien Kim mengalu-alukan kehadiran Tun Mahathir ke KMF di Seoul, Korea Selatan untuk menyampaikan amanat Islam kepada Muslim di sana selaku tokoh Islam dunia yang disegani.
Beliau mewakili KMF sangat berterima kasih kepada Tun Mahathir kerana menerima kunjungan singkatnya serta mengharapkan Tun Mahathir dan PERKIM sentiasa menjalinkan kerjasama dakwah bersama KMF secara berterusan.
Di akhir pertemuan itu, Tun Mahathir telah menyampaikan sumbangan sebanyak USD5,000 kepada Hussien Kim bagi pembangunan dan perkembangan Islam KMF di Korea.
Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Operasi PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad serta Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan, YBhg Datin Hajah Mawanchik Che Jais.
Dr Yusof Noor membawa empat tetamu dari Korea Muslim Federation ke Yayasan Al-Bukhary untuk bertemu Yang Dipertua PERKIM.
Tun Mahathir mengalu-alukan kehadiran dan bersalaman dengan Hussien Kim selaku Presiden KMF.
Ahmad Cho bersalaman dengan Tun Mahathir ketika tiba di pejabatnya.
Tun Mahathir mengharapkan Islam di Korea Selatan akan lebih berkembang dengan bantuan KMF.
Tun Mahathir meminta umat Islam membantu negara-negara yang terlibat dengan bencana alam seperti di Filipina, Morocco dan Libya.
Tun Mahathir menyarankan umat Islam supaya mencapai kemajuan dan kekayaan bagi memartabatkan Islam di persada dunia.
Jelas Tun Mahathir, umat Islam perlu menunjukkan akhlak yang baik sebagaimana yang dianjurkan Islam.
Tun Mahathir sebelum ini telah mengadakan lawatan kerja di Korea Selatan selepas berakhirnya COVID-19.
Tun Mahathir telah menyampaikan sumbangan dana sebanyak USD5,000 kepada Hussien Kim bagi pembangunan Islam di Korea Selatan.
Hussien Kim menyampaikan cenderahati kepada Tun Mahathir.
Tun Mahathir dan barisan kepimpinan PERKIM merakamkan gambar kenang-kenangan bersama Korea Muslim Federation.