PERKIM Terima Kunjungan Korea Muslim Federation
oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 14 SEPTEMBER 2023 – Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor telah menerima kunjungan Presiden Korea Muslim Federation (KMF), Hussein Kim Dong Eok bertempat di Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan, Jalan Sultan Azlan Shah, pagi tadi.
Dr Yusof Noor turut mengalu-alukan kunjungan Pengerusi Jawatankuasa Halal KMF, Ahmad Cho Min Haeng; Pengurus KMF, Dr Abdullah Ko Hee Song serta Ketua Jabatan Haji dan Umrah KMF, Safiya Kang Nayeon.
“PERKIM telah diasaskan oleh Perdana Menteri Malaysia pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj serta kini, PERKIM diterajui pimpinan oleh Yang Dipertuanya, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad yang merupakan bekas Perdana Menteri keempat dan ketujuh,” ucap Dr Yusof Noor.
Jelasnya lagi, PERKIM mempraktikkan penyebaran syiar dakwah Islamiah berdasarkan kerja-kerja kebajikan yang terbukti telah memberi manfaat kepada semua kelompok masyarakat, sekaligus dapat meningkatkan imej Islam serta menghapuskan sebarang prasangka buruk terhadap Islam.
Pada tahun 1961, Almarhum Tunku telah menghantar rombongan PERKIM ke Korea Selatan untuk meninjau hal ehwal Islam dan kebajikan mualaf Islam di sana.
Tambah beliau, setelah menerima laporan lawatan PERKIM ke Korea Selatan, Almarhum Tunku telah memberikan geran bantuan sebanyak RM300,000 bagi pembangunan Islam di Korea Selatan.
Ekoran itu, seramai 13 orang Islam Korea telah datang ke Malaya untuk mendapatkan latihan dakwah PERKIM selama enam bulan di Kolej Islam Malaya pada tahun 1962.
Ujar Dr Yusof Noor, rombongan PERKIM sekali lagi melawat Korea Selatan pada tahun 1975 bagi meninjau kemajuan pembinaan Masjid Seoul yang menerima bantuan dana PERKIM.
Hussein Kim dalam ucapannya merakamkan penghargaan dan terima kasih di atas kunjungan tidak rasmi ke PERKIM serta disambut dan diterima baik dengan penuh penghormatan.
Meskipun jadual padat dalam menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) bagi mempromosikan makanan halal Korea, namun kunjungan kami ke PERKIM tidak menjadi halangan.
Selain MIHAS, kami telah berkunjung ke Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Lembaga Tabung Haji serta Majlis Dakwah Islam Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP).
Kunjungan itu adalah bertujuan untuk melihat sendiri dan bertukar pandangan serta idea bagi menggarap usaha dakwah, kebajikan dan pendidikan KMF terutamanya kepada orang Islam serta saudara baharu di Korea Selatan.
Tambahnya, pada bulan lalu, KMF telah dikunjungi rombongan dari Malaysia terdiri daripada RISEAP dan Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan, YBhg Datin Hajah Mawanchik Che Jais serta Pengerusi Wanita PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan merangkap Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Operasi PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad.
Kunjungan pada hari ini, merupakan kunjungan balas KMF kepada PERKIM.
Ujarnya, Muslim di Korea Utara mengerjakan ibadah dan aktiviti Islam di lapan buah masjid dan 21 buah musolla atau surau.
Tambahnya, beliau merupakan generasi keempat mualaf Korea Selatan yang memeluk Islam di mana generasi kedua mualaf Korea dahulu pernah mendapat didikan dan bimbingan Islam di Malaysia.
Beliau sekali lagi berterima kasih kepada PERKIM kerana telah memberikan sokongan melalui pandangan dan buah fikiran bagi menggerakkan pembangunan Islam di Korea Selatan.
Semoga kunjungan itu mendapat input-input yang segar bagi pihak KMF merancang dan menjalankan program serta aktiviti dakwah dan pendidikan umat Islam serta saudara baharu di Korea Selatan.
Diharap pertemuan tersebut dapat mempergiatkan lagi program-program dakwah kolaborasi di antara PERKIM dan KMF di masa-masa akan datang.
Di akhir kunjungan, Dr Yusof Noor berkesempatan menyampaikan cenderahati sebuah buku Warisan dan Wawasan 60 PERKIM dan plak PERKIM kepada Hussien Kim manakala Hussien Kim menyampaikan sebuah buku berjudul ‘Islam In Korea’ kepada Dr Yusof Noor.
Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim; Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Encik Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Unit Komunikasi dan Media PERKIM Kebangsaan, Encik Firdaus Lokman Tah.
Dr Yusof Noor (dua dari kanan) mengalu-alukan kehadiran empat orang pelawat dari Korea Muslim Federation.
(Dari kiri:) Dr Abdullah, Ahmad Cho, Hussien Kim dan Safiya Kang dari Korea Muslim Federation.
Dr Yusof Noor memberitahu KMF bahawa, pada tahun 1961, Almarhum Tunku telah menghantar rombongan PERKIM ke Korea Selatan untuk meninjau hal ehwal Islam di sana.
KMF berterima kasih kepada PERKIM kerana telah memberikan sokongan padu melalui pandangan dan buah fikiran bagi menggerakkan pembangunan Islam di Korea Selatan.
Presiden KMF, Hussein Kim merupakan generasi keempat mualaf Korea Selatan yang memeluk Islam di sana.
Dr Yusof Noor menyampaikan buku Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM kepada Hussein Kim.
Dr Yusof Noor menunjukkan Pengasas PERKIM dan Yang Dipertua PERKIM kepada Hussien Kim.
Hussien Kim menerima cenderamata plak PERKIM daripada Dr Yusof Noor.
Hussien Kim menyerahkan buku berjudul ‘Islam In Korea’ kepada Dr Yusof Noor.
Hussien Kim menulis butir-butir diri serta menurunkan tandatangannya di buku pelawat.