Aktiviti KebajikanBerita PERKIM Bahagian & Cawangan

Sukaneka dan Ziarah Mahabbah Eratkan Hubungan PERKIM Dengan Komuniti India Kampung Sungai Puntar

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

𝗕𝗘𝗗𝗢𝗡𝗚, 𝟮𝟲 𝗝𝗨𝗡 𝟮𝟬𝟮𝟲 – Semangat perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum terus diperkukuhkan menerusi penganjuran Program Sukaneka dan Ziarah Mahabbah Bersama Komuniti Masyarakat Majmuk India Kampung Sungai Puntar bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Sungai Puntar, dekat sini, pada pagi Jumaat.

Program anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu dilaksanakan dengan kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Kedah, PERKIM Cawangan Daerah Kuala Muda serta Persatuan Dakwah Islamiah dan Kebajikan Saudara Baru India Se-Malaysia (Al-Hidayah) Kedah.


𝗣𝗲𝗻𝘆𝗲𝗹𝗮𝗿𝗮𝘀 𝗽𝗿𝗼𝗴𝗿𝗮𝗺, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗝𝗮𝗶𝘀 𝗠𝗮𝗿𝗶𝗮𝗽𝗽𝗮𝗻 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵 berkata program tersebut bertujuan memperkukuhkan hubungan perpaduan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama melalui pendekatan dakwah bil hal yang menekankan nilai kasih sayang, kebajikan serta semangat hidup bermasyarakat.

Menurut beliau lagi, aktiviti yang dirancang bukan sahaja memberi ruang kepada penduduk kampung beriadah bersama keluarga, malah menjadi platform untuk mewujudkan interaksi yang lebih mesra antara PERKIM dan komuniti setempat.

“Program ini bertujuan menyemarakkan semangat mahabbah dalam kalangan masyarakat majmuk, memperkukuhkan perpaduan komuniti, menyantuni penduduk tanpa mengira latar belakang agama serta menyampaikan mesej Islam yang membawa rahmat, kasih sayang dan kebajikan kepada semua.

“Melalui pendekatan santai seperti sukaneka dan ziarah rumah ke rumah, kita dapat mendekati masyarakat dengan lebih berkesan sambil mengeratkan hubungan yang telah lama terjalin,” katanya.

Seawal pukul 10 pagi, suasana dewan bertukar meriah apabila ratusan penduduk menyertai pelbagai acara sukaneka yang disediakan.

Antara aktiviti yang mendapat sambutan hangat ialah pertandingan makan epal tanpa guna tangan, ikat bunga melur, rebut kerusi, boling kelapa, cari gula-gula dalam tepung, dekorasi kolam dan pukul belanga.

Menurut Ustaz Jais Mariappan, penglibatan aktif golongan kanak-kanak, ibu bapa serta warga emas membuktikan program berteraskan komuniti seperti itu mampu menjadi medium terbaik dalam mengeratkan hubungan kekeluargaan dan kejiranan.

“Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Kami melihat anak-anak, ibu bapa dan seluruh penduduk kampung terlibat secara aktif dalam setiap acara yang dijalankan. Kemeriahan yang terhasil menunjukkan semangat kebersamaan masih kukuh dalam masyarakat,” katanya.

Antara aktiviti yang mencuri perhatian ialah pertandingan dekorasi kolam, seni tradisional masyarakat India yang lazimnya dihasilkan di hadapan rumah. Pada program tersebut, peserta menghasilkan pelbagai corak kolam yang berwarna-warni di kawasan hadapan dewan dengan penglibatan ibu bapa dan anak-anak secara bergotong-royong.

Selepas tamat sesi sukaneka pada pukul 12.30 tengah hari, program diteruskan dengan aktiviti ziarah mahabbah ke 50 buah rumah penduduk Kampung Sungai Puntar pada jam 3.30 petang.

Dalam sesi tersebut, para sukarelawan menyantuni setiap keluarga sambil menyampaikan sumbangan hamper makanan yang diamanahkan oleh MAIWP. Antara barangan yang disumbangkan termasuk beras, tepung gandum, sardin, bihun, teh, biskut serta keperluan asas lain.

Ustaz Jais Mariappan berkata lagi, ziarah tersebut merupakan manifestasi keprihatinan PERKIM dan MAIWP terhadap kebajikan masyarakat setempat tanpa mengira kaum dan agama.

“Alhamdulillah, sebanyak 50 buah rumah berjaya diziarahi. Program ini dibantu oleh 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗝𝗮𝘄𝗮𝘁𝗮𝗻𝗸𝘂𝗮𝘀𝗮 𝗞𝗲𝗺𝗮𝗷𝘂𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗞𝗲𝘀𝗲𝗹𝗮𝗺𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗞𝗮𝗺𝗽𝘂𝗻𝗴 (𝗝𝗞𝗞𝗞) 𝗞𝗮𝗺𝗽𝘂𝗻𝗴 𝗦𝘂𝗻𝗴𝗮𝗶 𝗣𝘂𝗻𝘁𝗮𝗿, 𝗠𝗼𝗵𝗮𝗻 𝗥𝗮𝗷𝗮 𝗣𝗲𝗿𝘂𝗺𝗮𝗹 yang turut bersama-sama menyantuni penduduk dari rumah ke rumah.

“Sambutan yang diberikan amat membanggakan. Walaupun masyarakat terdiri daripada pelbagai agama dan bangsa, mereka hidup dalam suasana aman, harmoni dan sentiasa saling membantu antara satu sama lain,” katanya.


Sementara itu, Mohan Raja Perumal merakamkan penghargaan kepada PERKIM dan MAIWP atas keprihatinan yang ditunjukkan kepada penduduk kampung tersebut.

“Kami amat berterima kasih kepada PERKIM dan semua pihak yang terlibat kerana memilih kampung ini untuk program kebajikan dan kemasyarakatan. Aktiviti sukaneka pada sebelah pagi dan penyampaian hamper makanan kepada 50 keluarga pada sebelah petang amat bermakna kepada penduduk kampung,” katanya.

Program tersebut turut disertai 𝗧𝗶𝗺𝗯𝗮𝗹𝗮𝗻 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗞𝗲𝘄𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗔𝘇𝘂𝗿𝗮 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹 𝗥𝗮𝗵𝗺𝗮𝗻; 𝗣𝗲𝗻𝗼𝗹𝗼𝗻𝗴 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝟭, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗔𝗺𝗿𝗮𝗻 𝗔𝗻𝗯𝗮𝗿𝗮𝘀𝘂 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵; 𝗣𝗲𝗻𝗼𝗹𝗼𝗻𝗴 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝟮, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇𝗮𝗵 𝗦𝗶𝘁𝗶 𝗙𝗮𝘁𝗶𝗺𝗮𝗵 𝗟𝗮𝗱𝗱𝗮 𝗔𝗯𝗱𝘂𝗹𝗹𝗮𝗵; 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗮𝗻𝘁𝘂 𝗧𝗮𝗱𝗯𝗶𝗿, 𝗙𝗮𝘁𝗶𝗻 𝗔𝗸𝗺𝗮𝗹 𝗔𝗸𝘀𝗮𝗵 serta 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗮𝗱 𝗙𝗮𝗿𝗱𝗹𝘆 𝗝𝗼𝗵𝗮𝗻.

Hadir sama 𝗧𝗶𝗺𝗯𝗮𝗹𝗮𝗻 𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗞𝗲𝗱𝗮𝗵, 𝗛𝗮𝘇𝗶𝗿𝗮𝗵 𝗔𝘇𝗺𝗶; 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗮𝗻𝘁𝘂 𝗧𝗮𝗱𝗯𝗶𝗿 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗞𝗲𝗱𝗮𝗵, 𝗔𝗸𝗺𝗮𝗹 𝗔𝘇𝗿𝗮𝗺 𝗔𝗯𝘂 𝗭𝗮𝗿𝗶𝗺; 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗲𝗿𝘂𝘀𝗶 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗖𝗮𝘄𝗮𝗻𝗴𝗮𝗻 𝗗𝗮𝗲𝗿𝗮𝗵 𝗞𝘂𝗮𝗹𝗮 𝗠𝘂𝗱𝗮, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇 𝗜𝗺𝗿𝗼𝗻 𝗞𝗼𝗰𝗵𝗲𝗺 𝗛𝗮𝗷𝗶 𝗔𝗵𝗺𝗮𝗱; 𝗣𝗲𝗻𝗼𝗹𝗼𝗻𝗴 𝗦𝗲𝘁𝗶𝗮𝘂𝘀𝗮𝗵𝗮, 𝗨𝘀𝘁𝗮𝘇𝗮𝗵 𝗝𝘂𝗵𝗮𝗻𝗮 𝗛𝗮𝗹𝗶𝗺𝗮𝗵 𝗝𝗼𝗵𝗮𝗿𝗶, barisan Ahli Jawatankuasa dan pelajar latihan industri cawangan tersebut.

Turut serta Setiausaha Al-Hidayah Kedah, Ustaz Mohd Firdaus Abdullah, Bendahari Al-Hidayah Kedah, Ustazah Nurasiqin Abdullah serta tiga wakil daripada Hidayah Centre Foundation Kedah.

Program yang berlangsung sepanjang hari itu membuktikan bahawa pendekatan dakwah melalui kebajikan, kesukarelawanan dan interaksi sosial mampu menjadi jambatan terbaik dalam memupuk persefahaman serta memperkukuhkan keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

 


Kanak-kanak sedaya upaya memakan epal yang tergantung dalam acara sukaneka ‘makan epal tanpa guna tangan’ yang diadakan.

 


Kanak-kanak berusaha memakan buah epal yang tergantung.

 


Kaum wanita pula menyertai acara sukaneka ‘ikat bunga melur’.

 


Jais Mariappan menunjukkan ikatan bunga melur yang paling panjang.

 


Remaja lelaki yang menyertai acara sukaneka ‘rebut kerusi’.

 


Apabila muzik berhenti dimainkan, kaum wanita merebut tempat duduk dalam acara sukaneka ‘rebut kerusi’.

 


Boling kelapa merupakan acara sukaneka tradisional yang diadakan.

 


Antara penduduk kampung yang meraih tinggi menjatuhkan botol dalam acara sukaneka ‘boling kelapa’.

 


Antara sukaneka yang menarik perhatian kanak-kanak iaitu acara ‘cari gula-gula dalam tepung’.

 


‘Belon beracun’ juga merupakan acara sukaneka yang diminati kanak-kanak kampung.

 


Dekorasi kolam merupakan acara tradisi yang terkenal di kalangan masyarakat kaum India.

 


Peserta sukaneka dekorasi kolam bergambar bersama urus setia sejurus tamatnya pertandingan.

 


Sukaneka ‘pukul belanga’ juga merupakan acara tradisi yang terkenal dalam masyarakat India.

 


Kaum wanita tidak terkecuali menyertai acara ‘pukul belanga’ dalam keadaan mata ditutup.

 


Rombongan PERKIM Kebangsaan, PERKIM Kedah dan PERKIM Kuala Muda menziarahi 50 penduduk Kampung Sungai Puntar.

 


Jais Mariappan bersama rombongan menziarahi penduduk kampung Uthiya Kumar Ramachandran sambil menyampaikan sumbangan hamper berbentuk makanan.

 


Penduduk kampung menerima hamper makanan daripada rombongan PERKIM.

 


Imron dan Juhana bersama urus setia menyampaikan sumbangan beras dan hamper makanan kepada penduduk Kampung Sungai Puntar.

 


Jais Mariappan menyampaikan hamper makanan yang diamanahkan oleh MAIWP seperti beras, tepung gandum, sardin, bihun, teh, biskut serta keperluan asas lain ketika menziarahi penduduk kampung.

 


Mohan Raja bersama PERKIM turut menyampaikan sumbangan hamper makanan kepada penduduk kampung.


Anbalagan Warasamy gembira ketika menerima sumbangan hamper makanan tajaan MAIWP daripada urus setia.

 


Penduduk kampung berterima kasih kerana menziarah dan memberikan hadiah berbentuk makanan keperluan asas kepada mereka.

 


Jais Mariappan dan Firdaus Abdullah bersama urus setia menyampaikan sumbangan makanan kepada penduduk kampung.


Urus setia PERKIM, Al-Hidayah dan Hidayah Centre bersama-sama menyampaikan sumbangan makanan sambil bergambar di rumah ke-50 iaitu di kediaman Mohan Raja.

 

Related Articles

Back to top button