Street Dakwah PERKIM Di Masjid Kapitan Keling Raih Respon Positif Pengunjung Dalam dan Luar Negara
ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
GEORGETOWN, 𝟐𝟏 𝐒𝐄𝐏𝐓𝐄𝐌𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Program Street Dakwah anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Pulau Pinang berlangsung meriah di perkarangan Masjid Kapitan Keling pagi tadi.
Program bersempena bulan Maulidur Rasul SAW itu berjaya menarik perhatian masyarakat setempat serta pelancong luar negara sekali gus memperlihatkan wajah Islam sebenar yang penuh kasih sayang dan kesantunan.
𝐏𝐞𝐧𝐲𝐞𝐥𝐚𝐫𝐚𝐬 𝐩𝐫𝐨𝐠𝐫𝐚𝐦, 𝐍𝐮𝐫 𝐒𝐲𝐚𝐡𝐢𝐫𝐚𝐡 𝐌𝐮𝐬𝐚 berkata, Street Dakwah dianjurkan bagi menyampaikan mesej Islam dalam bentuk yang ringkas, mudah dan menyentuh hati.
Katanya, kaedah mesra seperti pengedaran cenderahati dan risalah Islam lebih dekat di jiwa masyarakat berbanding pendekatan kaku.
Beliau menjelaskan, program itu juga bertujuan mengukuhkan kefahaman masyarakat bukan Islam mengenai peribadi Nabi Muhammad SAW sebagai contoh teladan sepanjang zaman.
Melalui cara ini, pengunjung dapat melihat Islam sebagai agama rahmat dan sistem kehidupan menyeluruh.
Selain itu, katanya, program ini memberi peluang kepada mahasiswa dan sukarelawan PERKIM mendekati masyarakat pelbagai latar belakang.
Ia juga melatih mereka menyampaikan dakwah dengan adab dan hikmah, selaras dengan tuntutan Islam.
“Program sebegini penting kerana kita tidak menunggu orang datang mencari Islam, sebaliknya kita pergi kepada mereka dengan penuh keramahan,” kata Nur Syahirah yang juga Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan.
Beliau juga menegaskan, Street Dakwah akan terus diperkasakan pada masa hadapan kerana ia terbukti memberi kesan positif terhadap imej Islam di mata dunia.
Program kali ini disertai lebih 20 orang peserta termasuk urus setia PERKIM, mahasiswa Kelab PERKIM Universiti Sains Malaysia (KPU-USM) serta sukarelawan PERKIM Pulau Pinang. Mereka bergerak dalam pasukan kecil mendekati pengunjung di sekitar kawasan masjid bersejarah itu.
Antara pelancong yang ditemui datang dari Amerika Syarikat, Australia, Beijing, Shanghai, Jepun, Korea, Perancis selain rakyat tempatan berbilang bangsa.
Kehadiran mereka membuka ruang luas untuk interaksi dakwah berasaskan toleransi serta saling menghormati.
Jelas Nur Syahirah lagi, menurut sejarah Masjid Kapitan Keling telah dibina pada awal abad ke-19 oleh komuniti Muslim India dikenali sebagai salah satu mercu tanda warisan di Pulau Pinang.
Masjid ini didirikan oleh Cauder Mohudeen, seorang ketua komuniti India Muslim yang digelar ‘Kapitan Keling’ ketika itu.
Dengan seni bina Moghul dan kubah besar berwarna putih, masjid tersebut bukan sahaja menjadi pusat ibadah umat Islam tetapi juga destinasi pelancongan yang popular.
Lokasinya di tengah kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO, George Town, menjadikannya tumpuan pengunjung dalam dan luar negara yang ingin mengenali sejarah Islam di Pulau Pinang.
Suasana masjid yang terbuka kepada pelawat bukan Islam untuk melihat senibina dan mendapatkan maklumat mengenai Islam menjadikannya lokasi sesuai bagi pelaksanaan program Street Dakwah.
Turut sama turun padang ialah 𝐊𝐞𝐭𝐮𝐚 𝐏𝐞𝐠𝐚𝐰𝐚𝐢 𝐄𝐤𝐬𝐞𝐤𝐮𝐭𝐢𝐟 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐘𝐁𝐡𝐠. 𝐃𝐫. 𝐒𝐮𝐚𝐫𝐢𝐳𝐚 @ 𝐇𝐢𝐝𝐚𝐲𝐚𝐡 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 bersama 𝐄𝐤𝐬𝐞𝐤𝐮𝐭𝐢𝐟 𝐊𝐚𝐧𝐚𝐧 𝐃𝐚𝐤𝐰𝐚𝐡 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐘𝐁𝐡𝐠. 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐑𝐚𝐳𝐚𝐥𝐢 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐒𝐡𝐚𝐡𝐚𝐛𝐮𝐝𝐢𝐧.
Kedua-dua tokoh berkenaan beramah mesra sambil menyampaikan beg cenderahati eksklusif PERKIM sekali gus bergambar bersama pengunjung.
Kehadiran mereka menyuntik semangat sukarelawan muda untuk lebih berani berinteraksi dengan masyarakat Malaysia dan antarabangsa.
Beg cenderahati yang diagihkan mengandungi bunga ros, risalah Islam mengenai Nabi Muhammad SAW, coklat dan payung sempena bulan Maulidur Rasul SAW.
Dato’ Razali dalam ucapannya menegaskan dakwah mesti dilakukan dengan hikmah dan pendekatan mesra.
Katanya, simbol pemberian bunga ros serta coklat adalah lambang kelembutan Islam, manakala risalah pula sebagai panduan memahami ajaran Nabi Muhammad SAW.
“Islam adalah agama kasih sayang, bukan kekerasan. Apabila kita sampaikan dengan wajah manis dan adab, hati mereka lebih mudah terbuka,” jelasnya.
Beliau turut menekankan peranan generasi muda sebagai agen dakwah masa depan. Menurutnya, penyertaan mahasiswa KPU-USM dalam program kali ini menjadi bukti bahawa semangat dakwah tidak hanya bergantung kepada golongan agamawan tetapi juga generasi muda yang kreatif dan berilmu.
Seorang peserta dari KPU-USM, 𝗡𝘂𝗿 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱 𝗠𝗼𝗵𝗱 𝗝𝘂𝘀𝗼𝗵, 𝟮𝟮, berkata pengalaman menyertai Street Dakwah memberi keyakinan baharu dalam berdakwah.
“Saya belajar bahawa senyuman dan sapaan mesra sudah cukup untuk membuka ruang perbualan. Ramai pelancong asing sudi bertanya lanjut tentang Islam selepas menerima cenderahati,” katanya.
Rakannya, 𝗥𝗮𝗯𝗶𝗮𝘁𝘂𝗹 𝗔𝗱𝗮𝘄𝗶𝘆𝗮𝗵 𝗜𝗯𝗿𝗮𝗵𝗶𝗺, 𝟭𝟵, pula menyifatkan penglibatan ini memberi peluang berharga untuk mempraktikkan ilmu dakwah yang dipelajari di universiti. “Ia bukan sekadar teori dalam kuliah, tetapi aplikasi sebenar dalam masyarakat pelbagai latar,” ujarnya.
Mereka berpendapat, pendekatan santai di kawasan tumpuan pelancong lebih berkesan kerana pengunjung tidak merasa tertekan, malah selesa mendengar penjelasan mengenai Islam.
𝗘𝗸𝘀𝗲𝗸𝘂𝘁𝗶𝗳 𝗗𝗮𝗸𝘄𝗮𝗵 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗕𝗮𝗵𝗮𝗴𝗶𝗮𝗻 𝗡𝗲𝗴𝗲𝗿𝗶 𝗣𝘂𝗹𝗮𝘂 𝗣𝗶𝗻𝗮𝗻𝗴, 𝗦𝗶𝘁𝗶 𝗡𝗮𝘀𝘆𝗿𝗮𝗵 𝗥𝗼𝘀𝗹𝗶, menyifatkan program Street Dakwah kali ini antara yang paling berjaya.
Menurutnya, pelancong asing serta masyarakat bukan Islam memberikan respon positif, malah ramai yang terharu menerima bunga ros dan coklat.
Respon sebegini menunjukkan Islam boleh diperkenalkan melalui kasih sayang dan kelembutan sekali gus memperkenalkan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW dalam bulan Rabiul Awal,” jelasnya.
Beliau turut berterima kasih atas kerjasama erat antara PERKIM Kebangsaan, MAIWP dan PERKIM Pulau Pinang yang menjadikan program ini lebih tersusun dan berkesan.
Secara keseluruhannya, penganjuran ini bukan sahaja berjaya menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul SAW, malah mengangkat imej Islam di persada antarabangsa.
Kehadiran pelancong pelbagai negara membuktikan Pulau Pinang sebagai lokasi strategik memperkenalkan keindahan Islam.
Program yang berlangsung sepanjang pagi itu berakhir dengan doa penutup yang dipimpin sukarelawan PERKIM sebelum peserta bersurai dengan azam untuk terus melaksanakan dakwah di lapangan secara berterusan.
Turut hadir urus setia program iaitu Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah, Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong, Mohamad Azrol Mohd Azmi, Umi Musfirah Abdul Ghani, Nur Syahira Ismail dan Mualish Shah Haji Mohd Anuar.
Masjid Kapitan Keling menjadi lokasi program Street Dakwah PERKIM bersempena bulan kelahiran Nabi Muhammad SAW.
Dato’ Razali (kiri) memberi taklimat berkenaan Street Dakwah kepada urus setia.
Ustaz Sulaiman Ding bersalaman sambil menyampaikan cenderahati PERKIM kepada pelancong Australia serta memperkenalkan Rasulullah SAW.
Tiga pelancong Australia berkesempatan bergambar kenangan bersama barisan urus setia program di hadapan Masjid Kapitan Keling.
Ahli Kelab PERKIM USM menimba pengalaman dalam menyertai program Street Dakwah.
Mahasiswa KPU USM menyampaikan cenderahati PERKIM sambil memperkenalkan Nabi Muhammad SAW kepada pemuda setempat.
Pelancong dari Beijing (tiga dari kanan) berkesempatan bergambar kenangan bersama urus setia setelah menceritakan mengenai Nabi Muhammad kepadanya.
Ustaz Sulaiman Ding memperkenalkan Nabi Muhammad SAW kepada pengunjung setempat dalam Bahasa Mandarin selepas mengedarkan risalah kepadanya.
Pelancong asing dari luar negara berbangga ketika bergambar bersama urus setia PERKIM.
Pelancong dari China diberi risalah sambil memperkenalkan Nabi Muhammad oleh Ustaz Sulaiman Ding.
Ustaz Farhan Tee (kiri) memberi penerangan kepada pelancong mengenai risalah PERKIM.
Pelancong asing berkesempatan bergambar bersama kepimpinan PERKIM di hadapan Masjid Kapitan Keling.
Dato’ Razali meminta pandangan ahli Kelab KPU USM berdasarkan pengalaman mereka dalam Street Dakwah.
Urus setia bersama mahasiswa Kelab PERKIM USM bergambar kenang-kenangan pada akhir program.