Siri Kuliah Dakwah Perdana Ke-22 Kukuhkan Peranan Saudara Baharu Dalam Penyatuan Ummah
ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ
𝐊𝐀𝐍𝐆𝐀𝐑, 𝟐 𝐎𝐊𝐓𝐎𝐁𝐄𝐑 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Lebih 200 peserta terdiri daripada saudara baharu, mahasiswa dan pelajar institusi pengajian Islam negeri ini membanjiri Dewan Residensi Kediaman Menteri Besar Perlis hari ini sempena penganjuran Siri Kuliah Dakwah Perdana (SKOP) Ke-22 anjuran bersama Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
SKOP yang bertemakan “Peranan Saudara Baharu dan Masyarakat Dalam Penyatuan Ummah” itu mendapat kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Perlis.
SKOP menghimpunkan peserta dari pelbagai latar belakang termasuk saudara baharu di bawah bimbingan PERKIM Perlis, mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), pelajar Institut Pengajian Tinggi Islam Perlis (IPTIP) dan Maahad Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI).
Turut hadir ialah Setiausaha Kehormat, Tuan Haji Abdul Shukor Shamsuddin; Bendahari Kehormat, Tuan Haji Mohd Arshad Daud serta pimpinan PERKIM dan wakil agensi agama.
Majlis dimulakan dengan ucapan aluan pengerusi majlis oleh Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah selaku Eksekutif Dakwah PERKIM Kebangsaan sebelum bacaan doa dipimpin oleh Ustaz Abdulmubeen Yanya, Eksekutif Dakwah PERKIM Bahagian Negeri Perlis.
𝐏𝐞𝐧𝐠𝐞𝐫𝐮𝐬𝐢 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐁𝐚𝐡𝐚𝐠𝐢𝐚𝐧 𝐍𝐞𝐠𝐞𝐫𝐢 𝐏𝐞𝐫𝐥𝐢𝐬, 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐊𝐡𝐚𝐢𝐫𝐢 𝐇𝐚𝐬𝐚𝐧 dalam ucapan aluannya menzahirkan kesyukuran kerana dengan izin Allah SWT, SKOP ke-22 dapat dilaksanakan dengan jayanya di negeri Perlis.
Beliau merakamkan penghargaan kepada PERKIM Kebangsaan kerana memilih Perlis sebagai tuan rumah bagi program yang berlangsung selama tiga hari ini.
“Harapan saya agar program ini dijadikan acara tahunan di Perlis kerana manfaatnya sangat besar, khususnya kepada mahasiswa universiti dan saudara baharu yang sentiasa dahagakan bimbingan.
“Insya-Allah, penganjuran sebegini akan memperkukuh kefahaman Islam dan mengeratkan ukhuwah dalam masyarakat,” katanya.
Dato’ Khairi turut merakamkan terima kasih kepada Menteri Besar Perlis, YAB Tuan Haji Shukri, kerana memberi kebenaran menggunakan Dewan Residensi yang menjadi simbol sokongan kerajaan negeri terhadap dakwah PERKIM.
Beliau menjelaskan, PERKIM Perlis kekal aktif dengan pelbagai program harian termasuk kelas Al-Quran, pengajian fardu ain serta aktiviti kebajikan seperti lawatan ke rumah saudara baharu hampir setiap minggu.
“Walaupun program dakwah memerlukan kos besar, PERKIM Perlis tetap berusaha mencari dana agar kesinambungan kerja murni ini dapat diteruskan,” ujarnya.
Menyentuh mengenai cadangan penubuhan cawangan PERKIM di setiap Parlimen, beliau menjelaskan bahawa Perlis sebagai negeri kecil dengan jarak perjalanan yang singkat tidak memerlukan cawangan tambahan buat masa ini kerana ia hanya menuntut kos lebih tinggi. Sebaliknya, tumpuan akan diberikan kepada pengukuhan program di peringkat bahagian.
Dato’ Khairi turut menyentuh tentang perubahan kepimpinan di peringkat kebangsaan apabila YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad melepaskan jawatan Yang Dipertua PERKIM dan digantikan oleh 𝐏𝐫𝐞𝐦𝐢𝐞𝐫 𝐒𝐚𝐫𝐚𝐰𝐚𝐤, 𝐘𝐀𝐁 𝐃𝐚𝐭𝐮𝐤 𝐏𝐚𝐭𝐢𝐧𝐠𝐠𝐢 𝐓𝐚𝐧 𝐒𝐫𝐢 𝐃𝐫 𝐀𝐛𝐚𝐧𝐠 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥 𝐑𝐚𝐡𝐦𝐚𝐧 𝐙𝐨𝐡𝐚𝐫𝐢 𝐓𝐮𝐧 𝐃𝐚𝐭𝐮𝐤 𝐀𝐛𝐚𝐧𝐠 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐎𝐩𝐞𝐧𝐠.
Katanya, dengan kepimpinan baharu, PERKIM diyakini terus diperkasa dengan idea segar dan kepimpinan muda yang berwibawa.
Ucapan perasmian disempurnakan oleh 𝐊𝐞𝐭𝐮𝐚 𝐏𝐞𝐠𝐚𝐰𝐚𝐢 𝐄𝐤𝐬𝐞𝐤𝐮𝐭𝐢𝐟 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌 𝐊𝐞𝐛𝐚𝐧𝐠𝐬𝐚𝐚𝐧, 𝐘𝐁𝐡𝐠 𝐃𝐫 𝐒𝐮𝐚𝐫𝐢𝐳𝐚 @ 𝐇𝐢𝐝𝐚𝐲𝐚𝐡 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐦𝐦𝐚𝐝 yang menekankan kepentingan kerjasama erat antara PERKIM dengan kerajaan negeri, Jabatan Agama Islam, Majlis Agama Islam dan institusi zakat.
“Sebagai sebuah NGO, PERKIM berperanan besar menyokong agenda kerajaan negeri dalam aspek dakwah, kebajikan dan pendidikan, khususnya pembangunan saudara baharu.
“Hubungan baik ini perlu diperkukuh agar masyarakat Islam terus mendapat manfaat menyeluruh,” katanya yang berucap mewakili 𝐒𝐞𝐭𝐢𝐚𝐮𝐬𝐚𝐡𝐚 𝐀𝐠𝐮𝐧𝐠 𝐊𝐞𝐡𝐨𝐫𝐦𝐚𝐭 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌, 𝐘𝐁𝐡𝐠 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐃𝐫 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐌𝐚𝐫𝐳𝐮𝐤𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐎𝐦𝐚𝐫.
Dr Suariza menjelaskan bahawa SKOP menjadi platform penyebaran syiar Islam di seluruh negara dengan sokongan penuh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
Menurutnya, pelaksanaan dakwah tidak boleh diseragamkan, sebaliknya perlu disesuaikan dengan uruf dan latar belakang setempat.
“Sebagai contoh, pendekatan dakwah di Perlis yang bersempadan dengan Thailand mungkin berbeza dengan negeri lain.
“Justeru, PERKIM menyesuaikan strategi dakwah mengikut keperluan agar lebih efektif,” jelasnya.
Dalam kesempatan itu, beliau mengajak hadirin menghadiahkan bacaan al-Fatihah buat para aktivis kemanusiaan di Gaza.
Katanya, walaupun sebahagian mereka bukan Muslim, namun keberanian mereka memperjuangkan hak asasi wajar dihormati. Doa kecil daripada umat Islam di Malaysia diharap dapat memberi kekuatan kepada mereka yang sedang berjuang.
Dr Suariza turut menzahirkan harapan agar forum kali ini yang membincangkan peranan saudara baharu dapat memberi manfaat dan membuka ruang kefahaman Islam lebih luas.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, beliau merasmikan SKOP Ke-22.
Forum SKOP Ke-22 dikendalikan oleh 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐀𝐝𝐢 𝐈𝐬𝐦𝐚𝐢𝐥, 𝐏𝐞𝐧𝐬𝐲𝐚𝐫𝐚𝐡 𝐈𝐏𝐓𝐈𝐏, dengan barisan panelis terdiri daripada 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐀𝐡𝐦𝐚𝐝 𝐒𝐢𝐫𝐚𝐣𝐮𝐝𝐝𝐢𝐧 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥 𝐒𝐚𝐭𝐚𝐫, 𝐊𝐞𝐭𝐮𝐚 𝐏𝐞𝐧𝐨𝐥𝐨𝐧𝐠 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐚𝐫𝐚𝐡 𝐉𝐀𝐈𝐏𝐬, 𝐁𝐫𝐨 𝐌𝐚𝐫𝐜𝐞𝐥𝐥𝐮𝐬 𝐌𝐨𝐮𝐫𝐢𝐧𝐞, 𝐏𝐞𝐧𝐠𝐮𝐫𝐮𝐬 𝐏𝐞𝐫𝐥𝐢𝐬 𝐂𝐞𝐧𝐭𝐫𝐞 𝐨𝐟 𝐖𝐢𝐬𝐝𝐨𝐦, 𝐌𝐀𝐈𝐏𝐬 dan 𝐔𝐬𝐭𝐚𝐳 𝐀𝐛𝐝𝐮𝐥 𝐌𝐮𝐡𝐚𝐢𝐦𝐢𝐧 𝐌𝐨𝐡𝐝 𝐑𝐚𝐩𝐢𝐧𝐠𝐢, 𝐏𝐞𝐠𝐚𝐰𝐚𝐢 𝐈𝐧𝐬𝐭𝐢𝐭𝐮𝐭 𝐒𝐮𝐧𝐧𝐚𝐡 𝐝𝐚𝐧 𝐈𝐫𝐬𝐲𝐚𝐝 (𝐈𝐒𝐍𝐀𝐃), 𝐉𝐚𝐛𝐚𝐭𝐚𝐧 𝐌𝐮𝐟𝐭𝐢 𝐏𝐞𝐫𝐥𝐢𝐬.
Dalam bicaranya, Ustaz Ahmad Sirajuddin menegaskan bahawa penyatuan umat berpaksikan tauhid.
Beliau mengupas perjuangan Rasulullah SAW dalam dua fasa besar dakwah iaitu di Mekah dengan misi menegakkan tauhid dan akhlak, serta di Madinah dengan misi membina sistem sosial dan keadilan yang merangkumi Muslim dan bukan Islam.
“Tauhid adalah asas penyatuan umat. Sabda Nabi SAW, ‘Al-Muslim akhul Muslim, la yazlimuhu wala yakhzuluh’ jelas menunjukkan Islam menghapuskan sempadan bangsa.
Rasulullah mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar, menegaskan dalam Haji Wada’ bahawa tiada kelebihan bangsa Arab ke atas bukan Arab kecuali dengan taqwa,” jelasnya.
Beliau menambah, akhlak mulia Rasulullah SAW menjadi faktor utama ramai memeluk Islam, manakala Piagam Madinah membuktikan Islam mengiktiraf keadilan dan kesamarataan semua pihak termasuk bukan Islam.
Sementara itu, Bro Marcellus Mourine berkongsi kisah pengislamannya pada usia 19 tahun setelah melalui pencarian dan kajian yang panjang.
Dahulu bercita-cita menjadi paderi, beliau akhirnya menemui kebenaran Islam setelah membaca terjemahan al-Quran, khususnya Surah al-Ikhlas dan al-Fatihah.
“Al-Quran menjadi titik perubahan terbesar dalam hidup saya. Saudara baharu perlu berperanan sebagai jambatan dakwah, mendekati keluarga dan masyarakat asal kerana latar belakang yang sama.
Jangan memutuskan hubungan keluarga, kerana di situlah ruang dakwah terbuka luas,” katanya.
Ustaz Abdul Muhaimin pula membicarakan cabaran keimanan dalam keluarga, berpandukan kisah Nabi Nuh, Nabi Ibrahim serta para sahabat seperti Sa‘ad bin Abi Waqas.
Beliau menegaskan bahawa memeluk Islam bukan alasan memutuskan hubungan kekeluargaan, sebaliknya Islam menuntut hubungan lebih erat berlandaskan kasih sayang, penghormatan dan hikmah.
“Dakwah harus penuh hikmah dan kesabaran, tanpa celaan. Semakin mendalami Islam, semakin tinggi keutamaan menjaga hubungan keluarga dan persaudaraan,” ujarnya.
Ustaz Farhan Tee yang juga selaku Penyelaras Program berkata penganjuran SKOP Ke-22 bukan sahaja memperkukuh kefahaman Islam dalam kalangan saudara baharu, malah menjadi wadah mempererat hubungan antara masyarakat Islam dengan masyarakat majmuk.
Tambahnya, program ini juga memberi peluang kepada peserta muda menimba ilmu, berdialog dan memahami cabaran dakwah semasa.
Ustaz Farhan Tee berharap, dengan kerjasama erat antara PERKIM Kebangsaan, MAIWP dan PERKIM Perlis, SKOP ke-22 membuktikan kesungguhan semua pihak dalam memperkukuh ukhuwah Islamiah dan memupuk kefahaman sejagat berlandaskan al-Quran dan sunnah.
Majlis berakhir dengan penyampaian plak cenderahati PERKIM kepada barisan panelis dan sesi fotografi serta jamuan makan tengah hari.
SKOP ke-22 diadakan di Dewan Residensi Kediaman Menteri Besar Perlis, Kangar dekat sini pada pagi Khamis.
Peserta saudara baharu dari sekitar Kangar dan Arau menandatangani borang dalam sesi pendaftaran.
Mahasiswa UniSIRAJ mengisi borang pendaftaran SKOP ke-22.
Pelajar dari IPTIP dan MATRI turut mengisi butir-butir peribadi semasa sesi pendaftaran.
Tetamu kehormat dan panelis yang hadir menikmati sarapan pagi.
Ustaz Farhan Tee mengacarakan majlis SKOP ke-22.
Ustaz Abdulmubeen memimpin bacaan doa pembuka majlis.
Mahasiswa UniSIRAJ menadah tangan ketika doa dibacakan.
Tetamu kehormat, (dari kiri:) Haji Abdul Shukor, Dr Suariza dan Dato’ Khairi mengaminkan doa yang dibacakan.
Dato’ Khairi selaku Pengerusi PERKIM Perlis menyampaikan ucapan aluannya.
Menurut Dato’ Khairi, dengan kepimpinan baharu, PERKIM diyakini terus diperkasa dengan idea segar dan kepimpinan muda yang berwibawa.
Mahasiswa daripada IPT mendengar ucapan yang disampaikan.
Dr Suariza menyampaikan ucapan perasmian mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.
Dr Suariza menzahirkan harapan agar forum yang disampaikan dapat memberi manfaat dan membuka ruang kefahaman Islam lebih luas.
Dr Suariza menyampaikan plak cenderahati PERKIM kepada Dato’ Khairi sambil diiringi Haji Abdul Shukor.
Ustaz Adi (tengah) menjayakan forum SKOP ke-22 bersama barisan panelis iaitu Ustaz Sirajuddin (kiri) dan Bro Marcellus (kanan).
Ustaz Sirajuddin selaku panel pertama menegaskan bahawa akhlak mulia Rasulullah SAW menjadi faktor utama ramai memeluk Islam manakala Piagam Madinah membuktikan Islam mengiktiraf keadilan dan kesamarataan.
Ustaz Sirajuddin menegaskan bahawa penyatuan umat adalah berpaksikan tauhid.
Bro Marcellus berkongsi kisah pengislamannya pada usia 19 tahun yang bercita-cita menjadi seorang paderi.
Menurut Bro Marcellus, saudara baharu perlu berperanan sebagai jambatan dakwah, mendekati keluarga dan masyarakat asal kerana latar belakang yang sama.
Ustaz Muhaimin yang menggantikan Ustaz Sirajuddin pula membicarakan cabaran keimanan dalam keluarga berpandukan kisah Nabi Nuh, Nabi Ibrahim serta para sahabat iaitu Sa‘ad bin Abi Waqas.
Mahasiswa mendengar dan mencatat ilmu yang disampaikan menerusi buku catatan dan gajet.
Ilmu yang disampaikan dicatat oleh para pelajar IPT.
Dato’ Khairi menyampaikan plak cenderahati PERKIM kepada Ustaz Adi.
Ustaz Muhaimin menerima plak cenderahati PERKIM dan al-Quran Edisi Khas PERKIM daripada Dato’ Khairi.
Dato’ Khairi menyampaikan plak cenderahati PERKIM kepada Bro Marcellus.
Tetamu kehormat dan barisan panelis bergambar kenang-kenangan bersama peserta di akhir SKOP ke-22.
Peserta beratur untuk mengambil makanan dan lauk yang diagihkan.
Peserta terdiri daripada saudara baharu dan pelajar IPT menikmati makanan yang disediakan.