Aktiviti Dakwah

Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Rasmikan SKOP Ke-20

ᵒˡᵉʰ:ˢᴿᶻ

𝐊𝐔𝐀𝐋𝐀 𝐋𝐔𝐌𝐏𝐔𝐑, 𝟐𝟖 𝐎𝐆𝐎𝐒 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah menganjurkan Siri Kuliah Dakwah Perdana (SKOP) ke-20 bertempat di Dataran Dakwah, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini pada pagi Khamis.

Program tersebut dihadiri seramai lebih 220 peserta terdiri daripada ahli-ahli PERKIM Cawangan Selayang Baru, PERKIM Cawangan Ampang, pelajar Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), mahasiswa Universiti Islam Selangor (UIS), pelajar PERKIM Cawangan Datuk Keramat, dan pelajar Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) dan saudara baharu.

Antara saudara baharu yang hadir terdiri pelbagai bangsa seperti Cina, India, Iban, Kadazan, Murut, Melanau, Sikh serta warga negara Filipina, Myanmar, Indonesia dan Kemboja.

Majlis membuka tirai dengan ucapan pengerusi majlis disampaikan oleh Muhammad Farhan Tee Abdullah disusuli dengan bacaan doa dipimpin oleh Muhammad Jais Mariappan Abdullah.

Turut hadir, Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

SKOP ke-20 itu telah disempurnakan perasmiannya oleh 𝐒𝐞𝐭𝐢𝐚𝐮𝐬𝐚𝐡𝐚 𝐀𝐠𝐮𝐧𝐠 𝐊𝐞𝐡𝐨𝐫𝐦𝐚𝐭 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌, 𝐘𝐁𝐡𝐠 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐃𝐫 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐌𝐚𝐫𝐳𝐮𝐤𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐎𝐦𝐚𝐫.


Dato’ Dr Marzuki dalam ucapannya menekankan konsep hijrah dalam kehidupan manusia yang bermula sejak lahir, iaitu perpindahan daripada alam rahim ke dunia yang penuh cabaran.

Beliau mengaitkan hijrah ini dengan usaha memperbaiki diri, menunaikan amanah Allah dan menghayati peranan sebagai seorang Muslim berjati diri.

Dato’ Dr Marzuki menjelaskan bahawa kemerdekaan hakiki bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal seperti kemerdekaan Malaysia pada tahun 1957 atau penubuhan Malaysia pada tahun 1963, tetapi merangkumi pembebasan minda dan jiwa daripada belenggu pemikiran lama.

Tambahnya, selagi umat Islam tidak merdeka secara rohani dan akhlak, kemajuan sukar dicapai.

Oleh itu, setiap Muslim harus berani berhijrah menuju kejayaan yang cemerlang dalam masyarakat majmuk.

Dato’ Dr Marzuki menegaskan bahawa hijrah Rasulullah SAW bukan sekadar perpindahan fizikal dari Mekah ke Madinah, tetapi satu strategi untuk menegakkan syiar Islam apabila Baginda dan para sahabat ditekan dan diancam di Mekah.

Masyarakat Madinah yang menerima baginda dengan hati terbuka menjadi contoh perpaduan dan toleransi yang perlu diteladani.

Seterusnya, beliau menyentuh peranan PERKIM sejak penubuhannya dalam mengangkat misi dakwah di mana tugas pendakwah adalah menyampaikan risalah Islam, manakala hidayah datang daripada Allah.

Beliau juga berkongsi pengalaman keduanya mengislamkan saudara baharu Cina dari Sabah yang bekerja di Singapura dan menekankan betapa pentingnya usaha dakwah berterusan di Malaysia.

Dato’ Dr Marzuki turut menyorot keperluan melahirkan pendakwah melalui institusi seperti IDIP dan memperkukuh peranan organisasi seperti Majlis Dakwah Islamiah Serantau Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP).

Beliau memberi contoh bagaimana pembinaan masjid di luar negara memerlukan kos minimum tetapi memberi impak besar kepada masyarakat.

Mengakhiri ucapan, beliau mengajak semua pihak berhijrah ke arah minda merdeka, berakhlak mulia, dan terus memperjuangkan dakwah demi memartabatkan Islam.

Dengan lafaz Bismillah, beliau merasmikan Siri Kuliah Dakwah Perdana Ke-20 PERKIM yang bertemakan “Pengorbanan Hijrah Menuju Kemerdekaan Hakiki”.

Sejurus itu, Pengacara rancangan siaran TV9 Tanyalah Ustaz, Aiman Sufyan Aezman atau lebih dikenali sebagai Da’i Aiman selaku moderator membuka tirai SKOP ke-20 PERKIM dengan mengajak peserta menyanyikan bersama lagu ‘Jalur Gemilang’, ‘Warisan’ dan ‘Tanggal 31’ bagi menghayati semangat kemerdekaan yang akan tiba pada 31 Ogos ini.

Da’i Aiman bersama dua ahli panelnya YB Senator Tuan Shahrol Wizan Sulong selaku Ahli Dewan Negara dan Juara Da’i Milenia, Da’i Nor Adibah Rozain mengupas tajuk “Pengorbanan Hijrah Menuju Kemerdekaan Hakiki”.

YB Senator Shahrol memulakan bicara dengan menekankan bahawa kemerdekaan hakiki perlu dilihat dari tiga aspek utama: spiritual, emosi, dan pemikiran.

Dari sudut spiritual, beliau menjelaskan bahawa hijrah adalah usaha mempersiapkan diri untuk “check out” dari dunia dan “check in” ke akhirat, sama ada ke syurga atau neraka.

Tambahnya, untuk mencapai ke syurga, seseorang perlu melakukan pengorbanan sama ada harta, masa, mahupun tenaga.

Beliau yang juga selaku Pengerusi Persatuan Pendakwah Orang Asli Islam Malaysia (PENDOA Malaysia) menegaskan bahawa setiap pengorbanan, walaupun kecil seperti hadir ke majlis ilmu, adalah bermakna di sisi Allah SWT.

Dari aspek emosi, YB Shahrol menyeru umat Islam agar berhijrah daripada sifat cepat marah dan suka menyumpah seranah kepada sikap yang lebih sabar, tenang, dan positif.

Beliau memberi contoh situasi ketika menghadapi kesesakan lalu lintas sebagai ujian emosi yang memerlukan kawalan diri.

Dari sudut pemikiran, beliau menekankan pentingnya keluar daripada belenggu pemikiran negatif, dengki, dan fitnah kepada pemikiran besar seperti yang diteladani Rasulullah SAW.

Baginda berfikir bagaimana umat manusia dapat melaksanakan perintah Allah, terselamat daripada azab, mati dalam iman, dan menjadikan dakwah sebagai tujuan hidup.

YB Shahrol turut mengingatkan bahawa dakwah adalah benteng daripada kemurtadan. Beliau memetik ayat 7 di dalam Surah Muhammad sebagai formula kejayaan yang bermaksud: “Jika kamu menolong agama Allah, nescaya Allah menolong kamu dan meneguhkan pendirian kamu.”

Menurut beliau, saudara baharu, orang asli dan seluruh umat Islam perlu bersama dalam kerja dakwah untuk mengukuhkan iman.

Beliau memberi penegasan bahawa hijrah sebenar adalah perubahan menyeluruh dalam diri, melibatkan pengorbanan demi agama, kawalan emosi dan pemurnian pemikiran agar hidup berlandaskan visi dakwah seperti yang dicontohi Rasulullah SAW.

Da’i Adibah memulakan bicara dengan menekankan kepentingan ilmu sebagai asas hijrah.

Beliau yang juga merupakan Juara Da’i Milenia musim pertama mengingatkan bahawa Allah SWT menunjukkan tanda kebaikan kepada seseorang apabila diberikan kefahaman agama, sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesiapa yang Allah kehendaki kebaikan padanya, maka Allah memberinya kefahaman agama.”

Justeru, usaha menuntut ilmu seperti menghadiri majlis SKOP ini adalah satu langkah awal menuju pengorbanan dan perubahan yang diredai Allah.

Menurut beliau, permulaan hijrah Rasulullah SAW juga bermula dengan ilmu, apabila wahyu pertama turun dengan perintah “Iqra” (Bacalah). Selepas itu, dakwah disampaikan kepada keluarga terdekat secara terang-terangan, walaupun baginda berdepan tentangan hebat.

Penentangan bukan sekadar kerana soal akidah, tetapi kerana perubahan Islam menggugat cara hidup dan kepentingan ekonomi golongan Quraisy yang selama ini bebas melakukan maksiat seperti zina, tilik nasib, dan menindas hamba.

Da’i Adibah menegaskan bahawa hijrah menuntut pengorbanan besar, sebagaimana dialami Rasulullah SAW dan para sahabat yang berhijrah ke Madinah sehelai sepinggang setelah dipulaukan bertahun-tahun.

Mereka sanggup menanggung lapar, hilang harta dan berhadapan risiko nyawa. Kesusahan ini menjadi bukti bahawa perubahan ke arah kebaikan memerlukan mujahadah.

Beliau menambah bahawa zaman kini tidak lagi memerlukan hijrah fizikal, tetapi hijrah dalam bentuk niat, ilmu, jihad, dan dakwah.

Dalam konteks Malaysia, kemerdekaan hakiki bagi seorang Muslim bermaksud bebas mengamalkan syariat dan merdeka daripada pengaruh ideologi yang menjauhkan diri daripada agama.

Da’i Adibah mengingatkan bahawa walaupun Allah boleh mempermudahkan urusan umat Islam, setiap kejayaan menuntut usaha, seperti mana peristiwa Perang Khandaq yang memerlukan penggalian parit sepanjang 5.5 km dalam tempoh dua minggu sebelum kemenangan tiba dengan pertolongan Allah.

Kata beliau, “Hijrah dan kemerdekaan menuntut pengorbanan, jihad dan istiqamah dalam perjuangan.”

Pada pusingan kedua pula, YB Shahrol mengajak hadirin mencontohi semangat hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat, yang berani meninggalkan cara hidup jahiliyah demi kebenaran.

Pada zaman Rasulullah, masyarakat Arab menyembah berhala sebagai tuhan dan menjadikan patung sebagai idola yang dipuja. Menurut beliau, cabaran zaman kini juga mempunyai bentuk jahiliyah tersendiri iaitu jahiliyah moden.

Beliau menjelaskan bahawa jahiliyah moden bukan lagi berbentuk berhala fizikal, tetapi dalam bentuk keterikatan terhadap hiburan, media sosial dan pengaruh budaya popular.

Ujar YB Shahrol, ramai yang terlalu mengagungkan selebriti atau influencer sehingga menghabiskan masa untuk mengikuti kandungan yang tidak memberi manfaat.

Beliau menegur fenomena ini dengan contoh bagaimana akaun media sosial yang sarat dengan ilmu dan dakwah seperti milik PERKIM atau JAKIM sering kurang mendapat perhatian berbanding kandungan hiburan.

Justeru, beliau mengajak agar umat Islam berani berhijrah daripada budaya suka kepada kandungan yang melalaikan kepada kandungan bermanfaat yang memberi nilai dunia dan akhirat. Sikap ini adalah satu bentuk hijrah spiritual dan mental dalam menghadapi arus moden.

Beliau menegaskan bahawa perubahan ini memerlukan kesedaran dan keberanian. Hijrah bukan sekadar berpindah tempat, tetapi berpindah daripada sesuatu yang membawa mudarat kepada sesuatu yang mendatangkan kebaikan.

Dengan mengikuti platform dakwah dan ilmu, masyarakat bukan sahaja menambah pengetahuan agama tetapi juga memupuk gaya hidup yang lebih seimbang dan berpaksikan iman.

Mengakhiri bicara, beliau menyeru agar setiap individu menjadikan media sosial sebagai alat memperkukuh iman, bukan laluan kepada kelalaian.

“Kita mesti berani berubah,” katanya, mengajak hadirin mengambil tindakan praktikal menukar minat daripada kandungan hiburan kepada konten dakwah yang memberi manfaat dunia dan akhirat.

Menurut Da’i Adibah dalam pusingan keduanya berkata bahawa, hijrah mesti dilakukan secara realistik dengan memahami cabaran zaman ini.

Beliau berkongsi kisah Abu Dharr al-Ghifari, seorang sahabat Nabi SAW yang dahulu terkenal dengan sifat keras dan ganas pada zaman jahiliyah, namun berubah menjadi pendakwah hebat selepas memeluk Islam.

Perubahan ini bermula dengan niat yang ikhlas kerana Allah, sebagaimana sabda Nabi SAW: “Sesungguhnya setiap amalan bergantung kepada niat”.

Beliau menekankan bahawa niat adalah asas kepada hijrah. Jika niat kerana Allah dan Rasul, maka ganjarannya adalah reda Allah. Namun, jika niat kerana dunia atau sebab lain, maka hanya itulah yang diperolehi.

Ulas Da’i Adibah lagi, dalam konteks hari ini, cabaran terbesar ialah penyakit al-wahan yang bermaksud ‘cinta dunia dan takut mati’ di mana ia membuatkan manusia lebih mementingkan hiburan, keseronokan dan harta dunia daripada akhirat.

Beliau turut menekankan bahawa media sosial menjadi cabaran besar, kerana ia memaparkan kejayaan palsu dan mempengaruhi gaya hidup sehingga melalaikan.

Katanya, walaupun hiburan tidak salah, jika ia keterlaluan, ia akan merosakkan jiwa seperti masakan yang terlebih garam.

Beliau mengingatkan bahawa rasa sayang kepada Islam tidak lahir secara semula jadi malah ia perlu dipupuk dengan amal wajib, suasana yang baik, dan ilmu yang berterusan.

Beliau merumuskan tiga langkah praktikal untuk kekal dalam hijrah:

  1. Laksanakan yang wajib sebaik mungkin, seperti solat dan zakat, kerana ia asas yang mengikis sifat lalai dan kedekut.
  2. Lingkungi diri dengan sahabat yang baik dan mencintai agama, kerana persekitaran mempengaruhi istiqamah.
  3. Terus menuntut ilmu, hadir ke majlis ilmu secara konsisten kerana ia menyuburkan iman dan menguatkan rasa cinta kepada agama.

Beliau menutup bicara dengan penegasan bahawa sayang kepada Islam adalah sebesar-besar anugerah.

Dengan melaksanakan perkara wajib, menambah amalan sunat, dan sentiasa dekat dengan ilmu, umat Islam akan mampu merdeka daripada pengaruh akhir zaman yang merosakkan.

Selepas sesi soal jawab antara peserta, Dato’ Dr Marzuki berkesempatan menyampaikan plak PERKIM dan Al-Quran Edisi Khas kepada barisan panelis dan di akhiri dengan sesi fotografi serta jamuan makan tengah hari.

 


Urus setia SKOP menjalankan tugasan mereka dalam sesi pendafaran.

 


Ketibaan kepimpinan PERKIM ke SKOP ke-20 di Dataran Dakwah Bangunan PERKIM.

 


Farhan Tee Abdullah selaku juru acara majlis mengemudikan SKOP ke-20.

 


Hadirin terdiri daripada pegawai dan kakitangan RISEAP turut menyertai SKOP.

 


Barisan tetamu kehormat yang hadir di SKOP anjuran PERKIM Kebangsaan dan MAIWP.

 


Jais Mariappan memimpin bacaan doa pembuka majlis.

 


Tetamu kehormat menadah tangan ketika doa dibacakan.

 


Mualaf dan saudara baharu mengaminkan doa yang dibacakan.

 


YBhg Dato’ Dr Haji Mohamad Marzuki Mohamad Omar selaku Setiausaha Agung Kehormat PERKIM menyampaikan ucapan perasmian SKOP ke-20.

 

 


Hadirin terdiri daripada saudara baharu mendengar ucapan yang disampaikan.

 

 


Menurut Dato’ Dr Marzuki, kemerdekaan hakiki bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal tetapi merangkumi pembebasan minda daripada belenggu pemikiran lama.

 

 


Pelajar Darul Quran JAKIM turut hadir dalam Siri Kuliah Dakwah Perdana PERKIM.

 


(Dari kiri:) Da’i Aiman, YB Senator Shahrol Wizan dan Da’i Adibah menjayakan SKOP bertajuk Pengorbanan Hijrah Menuju Kemerdekaan Hakiki.

 


Da’i Aiman selaku moderator membuka tirai dengan mengajak hadirin menyanyikan lagu kemerdekaan dengan penuh semangat.

 


YB Senator Shahrol menekankan bahawa kemerdekaan hakiki perlu dilihat dari tiga aspek utama: spiritual, emosi, dan pemikiran.

 

 


Menurut YB Shahrol, saudara baharu, orang asli dan seluruh umat Islam perlu bersama dalam kerja dakwah untuk mengukuhkan iman.

 


Menurut Da’i Adibah, usaha menuntut ilmu seperti menghadiri majlis SKOP ini adalah satu langkah awal menuju pengorbanan dan perubahan yang diredai Allah.

 

 


Da’i Adibah menekankan bahawa media sosial menjadi cabaran besar kerana ia memaparkan kejayaan palsu dan mempengaruhi gaya hidup sehingga melalaikan.

 


Pelajar Darul Quran mencatat intipati SKOP yang dibicarakan.

 

 


YB Senator Shahrol menegur fenomena medsos dakwah seperti PERKIM atau JAKIM kurang mendapat perhatian berbanding kandungan hiburan.

 


Saudara baharu mengajukan soalan kepada panelis dalam sesi soal jawab.

 


Saudara baharu berbangsa India daripada PERKIM Cawangan Selayang Baru bertanyakan soalan kepada ahli panel.

 

 


Hadirin bersemangat ketika mengemukakan pendapat beliau dalam sesi soal jawab.

 


Dato’ Dr Marzuki menyampaikan plak cenderahati PERKIM dan Al-Quran Edisi Khas kepada YB Senator Shahrol.

 

 


Da’i Adibah menerima plak cenderahati PERKIM dan Al-Quran Edisi Khas daripada Dato’ Dr Marzuki.

 

 


Da’i Aiman gembira dan terharu ketika menerima cenderahati Al-Quran Edisi Khas PERKIM daripada Setiausaha Agung Kehormat PERKIM.

 

 


Barisan kepimpinan PERKIM bergambar bersama para hadirin selepas berakhirnya SKOP ke-20.

 

 


Pelajar Darul Quran mengambil kesempatan bergambar bersama selebriti dakwah, Da’i Aiman dan Da’i Adibah.

 


Mahasiswa UIS turut tidak terkecuali bergambar bersama ikon dakwah mereka, Da’i Aiman dan Da’i Adibah.

 


Peserta mengambil juadah makanan yang disediakan secara bufet.

 

Related Articles

Back to top button