Aktiviti Dakwah

Setiausaha Agung Kehormat PERKIM Islamkan Pemuda Cina Sabah

ᵒˡᵉʰ: ˢᴿᶻ

𝐊𝐔𝐀𝐋𝐀 𝐋𝐔𝐌𝐏𝐔𝐑, 𝟐𝟓 𝐎𝐆𝐎𝐒 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Niat murni seorang pemuda Cina berasal dari Tawau, Sabah untuk memeluk agama Islam akhirnya terlaksana di Surau Jumaat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia PERKIM, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, pada tengah hari tadi.

Majlis penuh keberkatan itu disempurnakan oleh 𝐒𝐞𝐭𝐢𝐚𝐮𝐬𝐚𝐡𝐚 𝐀𝐠𝐮𝐧𝐠 𝐊𝐞𝐡𝐨𝐫𝐦𝐚𝐭 𝐏𝐄𝐑𝐊𝐈𝐌, 𝐘𝐁𝐡𝐠 𝐃𝐚𝐭𝐨’ 𝐃𝐫 𝐇𝐚𝐣𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐌𝐚𝐫𝐳𝐮𝐤𝐢 𝐌𝐨𝐡𝐚𝐦𝐚𝐝 𝐎𝐦𝐚𝐫 yang membimbing pengislaman 𝐂𝐡𝐨𝐧𝐠 𝐊𝐮𝐢 𝐂𝐡𝐞𝐧, 𝟐𝟕, dalam suasana tenang dan penuh rasa syukur.

Chong yang bekerja sebagai ahli mikrobiologi (microbiologist) di Singapura, hadir bersama empat orang rakannya.

Dua orang rakannya, Muhammad Rusydi Mohd Zawawi, 30, dan Muhammad Sawatullah Aniq Abdullah, 27, yang bertindak sebagai saksi bagi pengislamannya manakala dua rakannya hadir sebagai tanda sokongan moral terhadap keputusan Chong.

Dato’ Dr Marzuki memimpin Chong untuk melafazkan dua kalimah syahadah dalam bahasa Arab dengan jelas, sepatah demi sepatah, sebelum beliau mengulangi terjemahan dalam Bahasa Inggeris sebagai tanda kefahaman terhadap ikrar suci tersebut.

“Ashhadu alla ilaha illallah, wa ashhadu anna Muhammadar Rasulullah,” dilafazkan Chong dengan penuh keyakinan, menandakan dirinya kini secara rasmi bergelar seorang Muslim.

Selesai melafazkan syahadah, Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah memimpin bacaan doa dalam suasana majlis diselubungi rasa terharu, diiringi ucapan tahniah serta pelukan daripada para hadirin yang menyaksikan detik bersejarah itu.

Dato’ Dr Marzuki menzahirkan rasa syukur atas hidayah yang dikurniakan kepada Chong. Beliau menekankan bahawa memeluk Islam adalah satu perjalanan yang memerlukan bimbingan berterusan. “Islam adalah agama fitrah yang membawa rahmat kepada seluruh alam. Kami di PERKIM sentiasa bersedia membantu saudara baharu memahami ajaran Islam dengan lebih mendalam,” katanya.

Chong yang mengambil cuti beberapa hari dari tugasnya di Singapura menjelaskan bahawa keputusannya memeluk Islam dibuat atas kesedaran sendiri tanpa paksaan mana-mana pihak. “Saya memilih Islam kerana saya percaya kepada keagungan Allah SWT dan kebenaran ajaran yang dibawa oleh Rasul-Nya,” katanya ketika ditemui selepas majlis.

Menurutnya, minat mendalami Islam sudah lama terbit dalam dirinya setelah banyak bergaul dengan rakan-rakan Muslim. “Saya lihat ajaran Islam menekankan disiplin hidup, keikhlasan, dan kasih sayang sesama manusia. Itu yang menguatkan hati saya,” tambahnya dengan senyuman.

Chong turut berkongsi bahawa beliau gembira dapat mengislamkan diri di Malaysia, negara yang terkenal dengan keharmonian antara kaum. Beliau turut disarankan agar mendapat bimbingan pelajaran agama Islam di Muslim Converts’ Association of Singapore (MCAS) selepas waktu bekerja.

Setibanya Chong di Malaysia, beliau dianjurkan untuk mengikuti kelas agama di Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK) di Bangunan PERKIM yang di buka pada setiap hari.

Sejurus selesai pengislaman, Chong menerima penerangan khusus daripada Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Ustaz Sulaiman Ding Yu Zhong mengenai asas-asas agama Islam.

Penerangan tersebut meliputi maksud dua kalimah syahadah, Rukun Iman, Rukun Islam, tanggungjawab dan kewajipan sebagai seorang Muslim yang disampaikan dalam Bahasa Mandarin bagi memudahkan pemahaman beliau.

“PERKIM memastikan setiap saudara baharu mendapat bimbingan awal sebaik sahaja memeluk Islam. Penerangan dalam bahasa ibunda penting agar mesej Islam difahami dengan jelas dan tepat,” ujar Ustaz Sulaiman ketika ditemui.

Selain itu, Chong menerima beg pengislaman sumbangan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang mengandungi pelbagai keperluan asas ibadah seperti Al-Quran, sejadah, buku Fardu Ain, panduan solat, Iqra’, kopiah, dan tasbih. Langkah ini bertujuan memberi panduan praktikal dalam memulakan kehidupan baharu sebagai seorang Muslim.

Majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama pimpinan PERKIM. Suasana harmoni yang terjalin mencerminkan misi PERKIM untuk terus memartabatkan Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam melalui pendekatan yang penuh hikmah.

Majlis turut disaksikan oleh barisan kepimpinan PERKIM Kebangsaan termasuk Penolong Setiausaha Agung Kehormat, YBhg Datuk Mohamad Nordin Ibrahim; Pengarah Kanan Dakwah, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Pengarah Pembangunan dan Aset, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Institut Dakwah Islamiah PERKIM Kota Bharu, YBhg Dr Ramle Abdullah; Pengarah Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur, YBhg Haji Mamat Che Chik, Pengarah Pendidikan dan Pembangunan Insan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad serta Setiausaha Kerja, Zulkefli Arifin.

 


Dato’ Dr Marzuki mensyahadahkan Chong dalam Bahasa Arab sepatah demi sepatah, sebelum beliau mengulangi terjemahan dalam Bahasa Inggeris sebagai tanda kefahaman terhadap ikrar suci tersebut.

 


Seusai melafazkan dua kalimah syahadah, Ustaz Jais Mariappan (kiri) memimpin bacaan doa kesyukuran.

 


Dato’ Dr Marzuki memeluk Chong sambil mengucapkan tahniah kerana telah menjadi seorang Muslim.

 


Chong dan kepimpinan PERKIM bergambar kenang-kenangan sambil mengisyaratkan jari telunjuk yang menunjukkan syahadah.

 


Ustaz Sulaiman Ding memberi penerangan berkenaan Rukun Islam, Rukun Iman dalam Bahasa Mandarin.

 


Chong juga mendengar penerangan daripada Ustaz Sulaiman Ding mengenai halal dan haram dalam Islam.

 


Ustaz Sulaiman Ding menyerahkan beg pengislaman MAIS kepada Chong sambil ditemani rakan-rakannya.

Related Articles

Back to top button