Aktiviti Dakwah

Program Street Dakwah Semarakkan Bandaraya Bersejarah Melaka

ᵒˡᵉʰ: ˢᴿᶻ

𝐌𝐄𝐋𝐀𝐊𝐀, 𝟏𝟕 𝐎𝐆𝐎𝐒 𝟐𝟎𝟐𝟓 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dengan kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Melaka telah melaksanakan Program Street Dakwah kepada Non-Muslim di sekitar Bandaraya Bersejarah Melaka.


𝗣𝗲𝗻𝘆𝗲𝗹𝗮𝗿𝗮𝘀 𝗽𝗿𝗼𝗴𝗿𝗮𝗺, 𝗡𝘂𝗿 𝗦𝘆𝗮𝗵𝗶𝗿𝗮𝗵 𝗠𝘂𝘀𝗮 yang juga Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan berkata, penganjuran program ini bertujuan untuk berinteraksi secara langsung dengan masyarakat bukan Islam selain menyampaikan mesej Islam yang sebenar sebagai agama yang menekankan kedamaian, kasih sayang serta perpaduan sejagat.

Beliau menjelaskan, bandar Melaka dipilih sebagai lokasi utama kerana kedudukannya sebagai destinasi pelancongan popular yang menjadi tumpuan pengunjung berbilang budaya dari seluruh dunia.

Justeru, program ini menjadi medan strategik untuk memperkenalkan Islam secara lebih inklusif dan harmoni kepada masyarakat umum, termasuk penduduk tempatan yang kurang memahami Islam serta para pelancong antarabangsa.

“Pelbagai reaksi dan gelagat para pelancong apabila menerima beg cenderahati PERKIM yang kami hulurkan. Ada yang tersenyum lebar, mengucapkan terima kasih, menunjukkan rasa terharu serta rasa dihargai.

Tidak kurang juga yang pada awalnya berasa terkejut atau ragu, namun akhirnya menerima dengan mesra,” katanya ketika ditemui di hadapan Bangunan Stadthuys, lokasi tumpuan utama program dakwah berkenaan.

Menurut Nur Syahirah, lebih 20 orang kakitangan dan sukarelawan terdiri daripada PERKIM Kebangsaan, PERKIM Bahagian Negeri Melaka serta Wanita PERKIM Bahagian Negeri Melaka telah turun padang mengagihkan lebih 100 beg cenderahati di sekitar Bangunan Stadhuys, A Famosa dan Jonker Street.

Beg cenderahati tersebut mengandungi risalah Islam dalam pelbagai bahasa, coklat, bunga ros serta payung sebagai simbol kelembutan, kasih sayang dan perlindungan.

“Kami berusaha menyampaikan risalah dakwah dalam bentuk ringkas, mudah difahami, dan penuh dengan kemesraan agar ia dapat diterima oleh manusia daripada pelbagai latar belakang budaya dan agama,” ujarnya.

Nur Syahirah menegaskan bahawa usaha ini perlu diteruskan agar umat Islam di Malaysia lebih proaktif dalam mendekati masyarakat berbilang kaum dengan penuh hikmah.

“Dakwah tidak semestinya disampaikan di masjid atau dewan kuliah, malah ia boleh dilakukan di jalanan, di pasar, di kawasan pelancongan di mana sahaja manusia berkumpul. Yang penting, mesej Islam itu sampai dengan penuh kelembutan dan kasih sayang,” ujarnya.

Beliau menambah, interaksi sebegini juga mampu menggalakkan sikap saling menghormati dan bertolak ansur antara penganut pelbagai agama. “Dengan pendekatan lembut melalui pemberian bunga, coklat dan risalah kami ingin menunjukkan bahawa Islam ialah agama yang mesra, penuh kasih sayang dan menyentuh hati manusia,” ujarnya lagi.

Antara pelancong yang menerima cenderahati terdiri daripada warga Finland, Britain, Georgia, Singapura, Netherland, Chile, Perancis, Mauritius, Hong Kong, Thailand, China, Jepun, India, Indonesia serta rakyat tempatan bersempena sambutan bulan Kemerdekaan Malaysia.


Sebelum turun ke lapangan, peserta berkumpul di Pejabat PERKIM Bahagian Negeri Melaka, Jalan Munshi Abdullah bagi mengikuti sesi taklimat khas yang disampaikan oleh 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗮𝗿𝗮𝗵 𝗣𝗲𝗻𝗱𝗶𝗱𝗶𝗸𝗮𝗻 𝗱𝗮𝗻 𝗣𝗲𝗺𝗯𝗮𝗻𝗴𝘂𝗻𝗮𝗻 𝗜𝗻𝘀𝗮𝗻 𝗣𝗘𝗥𝗞𝗜𝗠 𝗞𝗲𝗯𝗮𝗻𝗴𝘀𝗮𝗮𝗻, 𝗬𝗕𝗵𝗴 𝗗𝗿 𝗦𝘂𝗮𝗿𝗶𝘇𝗮 @ 𝗛𝗶𝗱𝗮𝘆𝗮𝗵 𝗠𝘂𝗵𝗮𝗺𝗺𝗮𝗱.

Dalam taklimat bertajuk “Do & Don’ts”, beliau menekankan adab serta pendekatan yang perlu diamalkan para pendakwah ketika berhadapan dengan masyarakat bukan Islam.

Antaranya, setiap daie diingatkan supaya:

  • Menyampaikan mesej dengan senyuman, bahasa mudah dan penuh sopan santun.
  • Mengelakkan perdebatan yang boleh menimbulkan salah faham.
  • Memberikan penjelasan berdasarkan fakta serta ajaran Islam yang sebenar.
  • Menghormati sensitiviti agama, budaya dan adat penerima.
  • Menjadikan pemberian cenderahati sebagai simbol kasih sayang dan tanda hormat, bukan sekadar pemberian material.

“Street Dakwah bukanlah medan untuk berhujah panjang atau menunjukkan siapa betul dan siapa salah. Ia adalah ruang untuk membina jambatan, menyentuh hati serta memancarkan imej Islam sebagai agama yang penuh kelembutan dan kasih sayang,” jelas Dr Suariza.

Program ini turut mendapat sokongan penuh daripada Mufti Kerajaan Negeri Melaka merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Melaka, Sahibus Samahah Datuk Wira Haji Abdul Halim Tawil yang telah memberikan kebenaran dan dorongan untuk menjayakan program lapangan tersebut.

Turut serta menyampaikan cenderahati dan risalah ialah Bendahari Kehormat PERKIM Melaka, YBhg Dr Adam Wong Yun Kang; Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan PERKIM Kebangsaan, Muhammad Farhan Tee Abdullah dan Muhammad Jais Mariappan Abdullah; Pegawai TK Unit Kewangan PERKIM Kebangsaan, Mohd Aizat Rosli; Pegawai Kerja PERKIM Melaka, Rukiah Sungip; Penolong Pegawai Dakwah PERKIM Melaka, Muhammad Shahril Abdul Rahman serta barisan sukarelawan PERKIM.

Menurut Dr Suariza, dakwah jalanan ini bukan sekadar menghulurkan hadiah kecil, malah membuka ruang dialog mesra mengenai ajaran Islam.

Beberapa pelancong yang berminat dengan risalah Islam telah diberi penerangan ringkas mengenai konsep asas agama Islam seperti tauhid (keesaan Tuhan), akhlak mulia serta peranan Nabi Muhammad SAW sebagai suri teladan.

“Ramai yang terkesan apabila kami jelaskan bahawa Islam mengajar nilai-nilai kemanusiaan yang boleh diterima oleh semua. Secara tidak langsung, ia dapat menghapuskan salah tanggapan yang mungkin timbul akibat laporan media atau sumber maklumat yang tidak tepat,” katanya.

“Program ini melatih serta memperkasakan pendakwah dengan pengetahuan dan kemahiran praktikal. Ia bukan sahaja memberi keyakinan kepada para daie dan sukarelawan untuk menyampaikan dakwah, malah turut menambah bilangan penggerak sukarelawan PERKIM di seluruh negara,” katanya.

Bahasa perantaraan yang digunakan para daie meliputi Bahasa Inggeris, Mandarin, Kantonis, Hokkien dan lain-lain bagi memastikan mesej Islam dapat disampaikan dengan lebih efektif kepada pelancong daripada pelbagai negara.

Program berakhir dengan sesi fotografi kenangan di hadapan bangunan bersejarah Melaka, sekali gus menutup tirai program dengan semangat ukhuwah, kepuasan dan kesyukuran.

Secara keseluruhan, Program Street Dakwah PERKIM–MAIWP bersama PERKIM Melaka berjaya memberi impak positif bukan sahaja kepada masyarakat bukan Islam, malah turut menyuntik semangat baru kepada para pendakwah muda untuk terus aktif berdakwah.

 


Dr Suariza menyampaikan taklimat “Do & Don’ts” kepada para pendakwah.

 


Para pendakwah mendengar taklimat yang disampaikan di Pejabat PERKIM Bahagian Negeri Melaka.

 


Dr Suariza berdakwah sambil memberikan makanan kepada warga tempatan.

 

 


Booth PERKIM yang telah tersedia dan siap dipasang di perkarangan Bangunan Stadhuys.

 

 


Jais Mariappan (memakai topi) memberikan beg cenderahati mengandungi risalah, bunga, coklat dan payung kepada pengunjung.

 

 


Pelancong dari China menerima beg cenderahati PERKIM daripada Farhan Tee.

 

 


Warga India menerima beg cenderahati PERKIM disampaikan oleh Jais Mariappan.

 

 


Pengunjung kaum Cina menerima beg cenderahati PERKIM selepas menjawab soalan kemerdekaan.

 


Farhan Tee berdakwah sambil menyampaikan beg cenderahati PERKIM kepada pelancong luar negara.

 

 


Warga Malaysia berlainan bangsa menerima beg cenderahati PERKIM daripada Jais Mariappan.

 

 


Warga India mengambil beg cenderahati PERKIM selepas menjawab soalan kemerdekaan.

 


Gadis berbangsa Iban dari Sarawak menerima beg cenderahati PERKIM disampaikan oleh Jais Mariappan selepas menjawab soalan kemerdekaan Malaysia.

 

 


Dr Adam Wong Yun Kang (kiri) menyampaikan beg cenderahati PERKIM sambil berdakwah kepada mad’u.

 

 


Pendakwah PERKIM Melaka berbual sambil berdakwah kepada pelancong asing.

 

 


Pelancong asing menerima beg cenderahati PERKIM daripada pendakwah PERKIM Melaka.

 

 


Akram berswafoto bersama pelancong asing selepas bersuai kenal sambil berdakwah.

 

 


Pendakwah PERKIM Melaka berswafoto bersama pelancong asing setelah menyampaikan beg cenderahati.

 

 


Jais Mariappan menyampaikan beg cenderahati yang mengandungi risalah kepada kaum India.

 


Pendakwah dan sukarelawan PERKIM bergambar setelah selesai misi dakwah jalanan kepada non-Muslim.

Related Articles

Back to top button