Aktiviti DakwahMesyuarat Agung PERKIM Kebangsaan

Persidangan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-57

MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PERKIM KEBANGSAAN KALI KE-57

oleh : MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI


“Kalau kita berpegang dengan al-Quran dan hadis kita tidak akan berpecah belah dan bermusuhan kerana Al-quran sendiri menyatakan bahawa orang Islam adalah bersaudara, maka bermusuhan sesama Islam itu adalah mereka yang menolak ajaran Islam,” kata Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Berhimpunnya kita di sini dengan matlamat membawa PERKIM bersama-sama untuk berusaha mengembangkan ajaran Islam, kata beliau ketika menyampaikan ucapan dasar selaku Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).

Dr Mahathir berucap di persidangan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-57 bertempat di Hotel Grand Seasons, Kuala Lumpur pada 7 dan 8 September 2018 lalu.

Ianya dihadiri seramai 250 ahli mesyuarat terdiri daripada perwakilan dan pemerhati dari PERKIM Bahagian Negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak dan Kelab PERKIM Universiti (KPU).

Turut hadir ialah pimpinan PERKIM, Naib Yang DiPertua, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim, Prof. Dr. Mohd. Ridhuan Tee Abdullah, Datuk Mohd. Nakhaie Ahmad; Bendahari Kehormat, Tan Sri Datuk Dr. Muhammad Rais Abdul Karim; Pengerusi Tetap, Datuk Dr. Abu Bakar Shaari; Timbalan Pengerusi Tetap, Wan Abd. Halim Wan Ismail dan Penolong Setiausaha Agung Kehormat, Datuk Hasbullah L. Isa.

Hadir sama ialah isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali.

Turut bersama, badan gabungan PERKIM seperti Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Harakah Islamiah Sarawak (Hikmah), Persatuan Islam Seluruh Sabah (Usia) dan Persatuan Darul Fitrah Malaysia.

Tambah Dr Mahathir lagi, kita berkumpul pada hari ini atas rasa tanggungjawab untuk menjelaskan agama Islam kepada orang Islam sendiri dan bukan Islam.

“Kita tidak akan berjaya mencapai matlamat jika kita terus tidak berusaha. Allah tidak akan memberi pertolongan kepada orang yang tidak berusaha.

“Kita masih tidak boleh berbangga dengan kejadian dalam dunia Islam. Sudah tidak ada kecermerlangan dalam tamadun seperti dahulu dan orang Islam kini suka berperang sesama Islam.

Menurut Dr Mahathir, majoriti negara Islam musnah dan hancur kerana peperangan dan anak-anak yang tidak berdosa dibom begitu sahaja serta segala kemudahan tidak dapat dilaksanakan malah bekalan makanan tidak dapat disalurkan dan penyakit berleluasa hingga membawa maut.

“Keadaan dalam dunia Islam seperti ini tidak seharusnya berlaku dan ia berlaku bukan kerana agama, tetapi kerana kita mengenepikan agama serta kita tidak berusaha untuk melakukan apa yang sebenarnya yang dituntut dalam Islam.

“Kenapa hal ini terjadi? Ini kerana kita tidak mendapat persepakatan dan persetujuan dalam sebuah kumpulan yang besar. Islam melarang penganutnya membunuh satu sama lain sebagai contoh, orang timur tengah berperang kerana mereka tidak bersetuju dengan pendapat ahli mereka sendiri,” ulas Dr. Mahathir.

Katanya, perpecahan berlaku kerana masing-masing mahukan kehendak dan pendapat mereka diterima serta dilaksanakan maka umat Islam tidak mampu untuk bergerak bersama secara serentak.

Jika kita kembali kepada ajaran al-Quran, sudah semestinya kita tidak akan berpecah malah bersatu hati dalam mengerjakan usaha dakwah Islamiyyah.

Bersyukur kerana Malaysia bersatu hati dan hanya berpegang kepada Ahli Sunnah Waljamaah.

Pelbagai agenda-agenda dan usul-usul telah dibentangkan oleh para perwakilan di mesyuarat tersebut serta diperdengar oleh pemerhati.


Sebelum itu, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Tan Sri Dr. Mohd. Yusof Noor mengajak ahlinya merenung nikmat yang ada pada PERKIM yang telah ditakdirkan untuk dipimpin oleh seorang pemimpin yang diidamkan oleh pelbagai pihak, lapisan peringkat dan negara iaitu di bawah pimpinan Tun Mahathir.

Beliau turut mengajak para ahli PERKIM mendoakan agar Tun Mahathir di beri kekuatan, keselamatan, kesejahteraan, keimanan, kejayaan, kesabaran, kesihatan, keteguhan, kemenangan dalam perjuangan dan mendapat perlindungan Allah.

Dr. Yusof Noor melaporkan kehadiran ahli pada persidangan ini adalah seramai 51/70, perwakilan 136/182 dan pemerhati 53/90 termasuk Sabah dan Sarawak.

Katanya, memandangkan PERKIM telah berusia separuh abad, dua risiko yang besar yang dihadapi oleh PERKIM adalah kebergantungan yang keterlaluan kepada kerajaan untuk mendapat bantuan dan ketidakupayaan dalam mengukuhkan kegiatan yang disaingi oleh badan-badan yang yang sama seperti PERKIM.

“PERKIM perlu mengkaji risiko-risiko yang ditanggung bagi mengelak kelemahan-kelemahan pada masa akan datang,” ujarnya.

Beliau turut mengingatkan kepada ahli tentang pesanan yang bertubi-tubi oleh Yang Dipertua tentang pentingnya kita mengambil iktibar dari krisis yang melanda umat Islam.

“Pentingnya kita di PERKIM untuk mempamerkan Islam menerusi contoh kejayaan dan menggunakan pendekatan yang boleh menawan hati menerusi contoh yang baik dan bebas rasis sesama kita.

Tambahnya, kita perlu merasa malu jika dilihat oleh masyarakat awam khususnya generasi muda kalau kita tidak mengamalkan nilai yang boleh menarik perhatian mereka.

Dr. Mahathir bersama tetamu kehormat turut melancarkan buku berjudul Refleksi Kerjasama Kerajaan Libya dan Malaysia Dalam Dakwah di akhir majlis.

Hari sebelumnya telah diadakan Majlis Mesyuarat Kebangsaan PERKIM Bil 2/56 dan pada sebelah malamnya pula diadakan Majlis Makan Malam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-57.

Dr. Yusof Noor turut mengucapkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Wilayah Persekutuan kerana menaja majlis makan malam.

Beliau turut mengingatkan kepada semua ahli PERKIM agar tidak terlalu bergantung kepada kerajaan, tetapi perlu berusaha bersama nusa bangsa.

Ujarnya, majlis itu mengingatkan kembali kepada semua ahli PERKIM tentang matlamat penubuhan PERKIM.

Dr. Yusof Noor berkongsi kisah dua kumpulan sukarelawan menceritakan pendekatan dakwah selama tiga tahun dalam mengIslamkan lebih 2,000 orang.


Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad
dalam ucapannya menyeru pendakwah supaya mementingkan kebijaksanaan dengan melaksanakan kerja dakwah dalam menzahirkan kehebatan Islam dan perlu mewujudkan sikap keikhlasan dalam diri.

Jelasnya, PERKIM selaku badan yang menyampaikan kerja-kerja dakwah yang bersifat ‘Rahmatan Lil Alamin’ khususnya kepada orang bukan Islam.

Menurut Khalid, semua Muslim harus membuktikan bahawa Islam adalah agama yang membawa kepada keamanan, dan bukan satu agama yang membawa kebencian serta permusuhan kerana Islam merupakan agama keamanan, kejujuran, kesaksamaan dan keadilan.

Amat malang bagi umat Islam, apabila agama digunakan sebagai alat untuk melagakan sesama islam dan bukan Islam.

Beliau turut memetik firman Allah di dalam surah An-Nahr, ayat 125 yang bermaksud: “Serulah ke jalan tuhanmu dengan hikmah kebijaksaan nasihat, pengajaran yang baik. Berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik sesungguhnya Tuhan yang lebih mengetahui akal orang yang sesat dan mengetahui orang yang mendapat hidayah.”

“Pada 1960 lagi, PERKIM menjadi jambatan yang menghubungkan antara orang bukan Islam dengan agama Islam dan mendirikan pusat-pusat penerangan Islam yang dikenali sebagai Panjar Islam di kawasan majoriti bukan Islam seperti di Klang, Kepong, Petaling Jaya, Ipoh dan lain-lain.

“Kemuncak kepada usaha ini adalah pembinaan Bangunan PERKIM 23 tingkat yang menjadi ikon kepada saudara baru dan semua orang untuk mendapatkan maklumat mengenai Islam,” kata Khalid yang juga merupakan Ahli Parlimen Shah Alam.

PERKIM telah bekerjasama dengan pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam menjayakan projek kebajikan iaitu Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).

Jelasnya, pihak DBKL sentiasa bersedia memberi bantuan kepada PERKIM dan organisasi Islam yang lain yang berhajat kepada bantuan kerana menyedari pihak kerajaan tidak mampu untuk melakukan semua kerja serta memerlukan kerjasama agar semua rakyat memperolehi manfaat daripada aktivit-aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan.

Khalid menyeru kepada umat Islam dan khususnya warga PERKIM supaya berpegang teguh dengan cogankata ‘Islam itu persaudaraan’ serta sentiasa mempamerkan dan mengamalkan gaya hidup Islam yang aman damai kepada rakyat yang bukan Islam di Malaysia.

Majlis berakhir dengan penyampaian Anugerah Ahli Kehormat PERKIM kepada Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad. Penerima anugerah masing-masing menerima pingat kehormat beserta plak penghargaan disampaikan oleh Pengerusi Tetap PERKIM, Datuk Dr. Abu Bakar Shaari dan Dr. Yusof Noor.

Tetamu menikmati juadah makan malam seperti udang goreng tepung, kambing lada hitam, daging salai, nenas masak lemak, filet masam manis, ayam masak merah dan buah-buahan sambil mendengar persembahan kumpulan gamelan Anjung Tradisi.


Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bermesyuarat bersama Ahli Majlis Kebangsaaan PERKIM.

 


Pelbagai agenda dibincangkan dan dipersetujui sebulat suara di dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan PERKIM Bil 2/56.

 


Prof. Nor ‘Azah Datuk Abdul Manaf (kanan) turut melontarkan idea dan memberikan pandangan.

 


Dr Mahathir (tengah) tersenyum apabila mendengar pandangan dan hujah daripada para ahli mesyuarat.

 


Saudara baru turut diraikan bersempena majlis makan malam.

 


Tetamu PERKIM diraikan di Majlis Makan Malam Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-57.

 

 


Ucapan aluan Dr. Yusof Noor menegaskan kepada ahlinya supaya mengingatkan kembali mengenai matlamat penubuhan PERKIM.

 


Khalid menyampaikan ucapan selaku Menteri Wilayah Persekutuan dan menaja majlis makan malam tersebut.

 


Dr Abu Bakar (tengah) mengalungkan pingat Ahli Majlis Kehormat kepada Khalid (kiri) sambil disaksikan Dr. Yusof Noor (kanan).

 


Khalid (kiri) menerima plak penghargaan Ahli Kehormat PERKIM daripada Dr. Abu Bakar (tengah).

 


Tun Ahmad Sarji (dua dari kiri) menerima pingat Ahli Kehormat PERKIM daripada Pengerusi Tetap PERKIM, Dr. Abu Bakar Shaari (dua dari kanan).

 


Dr. Yusof Noor dan Dr. Abu Bakar menyampaikan plak penghargaan Ahli Kehormat PERKIM kepada Tun Ahmad Sarji.

 


Tetamu kehormat PERKIM bergambar bersama penerima Anugerah Ahli Kehormat PERKIM.

 


Ahli PERKIM Bahagian Negeri Sembilan berkesempatan bergambar kenangan bersama Menteri Wilayah Persekutuan.


Perdana Menteri menandatangani kehadiran Mesyuarat Agung PERKIM.

 


Kepimpinan tertinggi PERKIM menyanyikan lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kejayaan

 


Perwakilan menadah tangan ketika doa dibacakan.

 


Dr Mahathir menyampaikan ucapan dasar Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM.

 

 


Ahli PERKIM mendengar amanat dan nasihat daripada Yang Dipertua PERKIM, Tun Dr Mahathir Mohamad.

 


Dr. Mahathir berkesempatan melancarkan buku berjudul ”Refleksi Kerjasama Kerajaan Libya dan Malaysia Dalam Dakwah

 


Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM bergambar kenang-kenangan bersama Yang Dipertua PERKIM dan isteri.

 


Perwakilan menyampaikan perbahasan di Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM.


Perwakilan Wanita PERKIM Kebangsaan turut menyampaikan perbahasan di mesyuarat tersebut.


Pentingnya usaha dakwah kepada saudara baru merupakan perbahasan yang diketengahkan oleh Muhammad Fitri Abdullah.

 


Pimpinan tertinggi PERKIM bersama ahli-ahlinya bergambar kenang-kenangan di akhir mesyuarat.

 

Related Articles

Back to top button