PERKIM UniKL, UIAM Ziarah Pesakit Hospital Tung Shin
Oleh: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI
“Sesungguhnya Allah tidak sekali-kali menganiaya (seseorang) sekali pun seberat zarah (debu) dan kalaulah (amal yang seberat zarrah) itu amal kebajikan, nescaya akan menggandakannya dan akan memberi dari sisi-Nya, pahala yang amat besar.” (an-Nisa’: 40)
Islam sentiasa menyuruh umatnya hidup berkasih sayang. Suruhan itu pula bukan setakat berkasih sayang sesama Muslim tetapi kepada sesama manusia yang lain dengan salah satu caranya ialah kebajikan sama ada memberi bantuan, sokongan mahu pun dengan menziarah.
Peranan inilah yang dimainkan oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan.
Baru-baru ini, mereka bersama-sama Kelab Perkim Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Sekretariat Perkim Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menziarahi 130 pesakit di Hospital Tung Shin, Jalan Pudu, Kuala Lumpur pada 23 April 2015 lalu.
Rombongan ziarah itu diketuai Pegawai Unit Dakwah dan Inovasi Perkim, Muhammad Farhan Tee Abdullah, 13 mahasiswa UniKL dan 12 mahasiswa UIAM serta empat kakitangan Perkim.
Perkim menziarahi sambil menyampaikan 130 buah tangan kepada pesakit di wad perubatan moden 8A, 8B, 9 dan 3A sambil diiringi oleh Ketua Jururawat, Helen Wong dan Penolong Pengurus Pemasaran, Greg Cheah.
Farhan berkata, program ziarah hospital diadakan bertujuan untuk memperkenalkan Perkim disamping mempunyai hubungan baik di antara hospital dan Perkim.
Ianya merupakan aktiviti yang sering dilakukan di Lembah Klang, malah juga di seluruh Malaysia menerusi bahagian-bahagian Perkim bersama Majlis Permuafakatan Kelab Perkim Universiti (MAMPU).
“Program kebajikan hospital seumpama ini merupakan hasrat utama dan tanda keprihatinan Perkim kepada golongan pesakit hospital yang harus diperkembangkan serta diperluaskan ke seluruh Malaysia selain dakwah dan pendidikan,” jelas Farhan.
Program pada kali ini beliau memilih Hospital Tung Shin adalah kerana ianya merupakan di antara hospital yang tertua di Malaysia yang mempunyai keunikannya yang tersendiri iaitu pakar dalam perubatan moden dan pakar perubatan tradisional Cina iaitu masih mengekalkan perubatan herba dan akupuntur.
Kata Farhan lagi, hospital swasta tersebut merupakan badan bukan kerajaan (NGO) yang mendapat dana dengan bergantung pada saluran orang ramai dan kos yang dicaj berbanding dengan hospital kerajaan yang menerima dana dari pihak berwajib.
“Program seperti ini bukan sahaja merapatkan silaturahim dan perpaduan, malah mengeratkan ukhwah tidak kira agama, bangsa dan keturunan,” jelas Farhan.
Beliau berharap supaya program ziarah itu dapat diteruskan lagi kerana pada kali ini rombongan ziarah tidak berkesempatan menziarahi dan melihat kaedah perubatan tradisonal.
Sebelum itu rombongan ziarah turut diberikan taklimat oleh Pengurus Pemasaran Hospital Tung Shin, Dahari Masud.
Dahari dalam ucapannya melahirkan kegembiraan atas kunjungan rombongan Perkim dan sedikit sebanyak telah memberikan keceriaan dan kesyukuran kepada pesakit-pesakit.
Menurut Dahari, Hospital Tung Shin, dahulunya dikenali Pooi Shin Thong telah ditubuhkan oleh Kapitan Cina, Yap Kwan Seng pada tahun 1881 yang terletak Sultan Street, Kuala Lumpur yang menyediakan rawatan perubatan tradisional Cina kepada pesakit.
Hospital tersebut menukar nama kepada Tung Shin selepas menyertai badan bukan kerajaan (NGO) pada tahun 1894 dan berpindah ke Jalan Pudu, Kuala Lumpur dan bangunan satu tingkat telah dibina pada tahun 1917 selepas pesakit bertambah.
Pada tahun 1959, mereka menambah bangunan menjadi dua tingkat dan wad perubatan berbentuk u disempurakan pada tahun 1961 yang dibina oleh Loke Yim Ward dan ianya dinamakan wad kebajikan manakala wad wanita pula telah dibina pada tahun 1962.
Dewan yang dibina di bangunan Har Par telah dijadikan klinik pesakit luar, perubatan Cina, pejabat, asrama dan pusat pakar moden pada tahun 1935. Kini bangunan tersebut menjadi pepustakaan Unit Perubatan Cina serta pusat aktiviti sukan dan kelab rekreasi untuk kakitangan.
Melihat kepada bilangan pesakit bertambah dan kemudahan infratsruktur hospital perlu dinaik taraf, Lee Yan Lian Ward telah mengambil keputusan untuk melaksanakan pembinaan Bangunan Perubatan Cina 12 tingkat yang mempunyai keluasan 180,000 kaki persegi dan ianya telah disiapkan pada Julai 2005 dan beroperasi pada Januari 2006.
Bangunan tersebut mempunyai Pusat Perubatan Moden, klinik pesakit luar, wad pesakit, wad bersalin bilik pembedahan, pejabat pentadbiran, Akedemi Tung Shin, asrama untuk kakitangan dan lain-lain.
Hospital tersebut juga menawarkan pakej pemeriksaan kesihatan iaitu pemeriksaan asas, pemeriksaan pertengahan dan pemeriksaan komprehensif. Selain itu kemudahan lain yang disediakan di bahagian perubatan moden ialah 24 jam kecemasan kemalangan, perundingan diet, hemodialisis, radiologi, pusat kanser, farmasi, unit fisioterapi, klinik pakar, bilik pembedahan, tabung darah dan makmal manakala di bahagian perubatan Cina pula mempunyai kemudahan klinik pesakit luar, klinik pakar, simpanan ubat dan ubat-ubatan herba.
Hospital tersebut turut membantu memberikan rawatan perubatan percuma kepada pesakit miskin, membantu pesakit tua yang melarat dan menguruskan pengebumian pesakit.
Dahari turut berharap, kerjasama yang terjalin di antara Hospital Tung Shin dengan Perkim akan berterusan demi memberi sokongan kepada mereka yang memerlukan dan berharap agar Perkim dapat mendedahkan aktivitinya kepada masyarakat khususnya kepada bukan Islam.
Hospital Tung Shin yang terletak di tengah ibu negara ditubuhkan pada tahun 1881.
Petugas meletakkan buah tangan ke dalam troli untuk di bawa ke wad-wad sambil dibantu oleh Greg Cheah (kanan).
Dahari Masud (berdiri) memberikan taklimat mengenai sejarah dan peranan Hospital Tung Shin kepada rombongan ziarah.
Farhan (kiri) menyampaikan cenderahati Perkim kepada Pengurus Pemasaran Hospital Tung Shin, Dahari Masud (kanan).
Rombongan ziarah membawa buah tangan ke wad perubatan moden 8A, 8B, 9 dan 3A.
Helen Wong (dua dari kiri ) menyampaikan panduan dan tatacara semasa melawat kepada rombongan ziarah.
Farhan (dua dari kanan) bersama mahasiswa menziarahi dan menyampaikan buah tangan kepada pesakit.
Rombongan ziarah mengambil gambar kenang-kenangan bersama kakitangan Hospital Tung Shin.
Rombongan ziarah bergambar di hadapan pusat perubatan tradisional Hospital Tung Shin.