Aktiviti Dakwah

PERKIM Hulur Sumbangan Bagi Misi Dakwah Komuniti Kepulauan Visayas, Cebu Di Filipina

oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 12 SEPTEMBER 2023 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan melalui Setiausaha Agung Kehormat, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor telah menyampaikan sumbangan wang tunai berbentuk cek kepada Presiden Briged Bakti Malaysia, YBhg Dato’ Dr Abdul Razak Kechik bertempat di Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan, Jalan Sultan Azlan Shah, dekat sini.

Menurut Dr Yusof Noor, dalam pertemuan tersebut bertujuan untuk memberi sokongan PERKIM dalam bentuk sumbangan wang tunai kepada Briged Bakti Malaysia dalam Misi Pembangunan Komuniti Kepulauan Visayas dan Cebu di Filipina.

Turut hadir ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Abdul Hanif Harun.

“Ekoran daripada Pulau Cebu dan Pulau Visayas dilanda bencana Taufan Haiyan pada November 2013 lalu, Dr Abdul Razak telah memberi bantuan kemanusiaan seperti bekalan makanan, khemah, membaiki rumah dan pemulihan,” kata Dr Yusof Noor.

Tambahnya, selepas tiga tahun bersama dan mengenali masyarakat kepulauan itu yang majoritinya bukan Islam, Briged Bakti Malaysia menjalankan usaha dakwahnya memandangkan mereka berminat dengan Islam.

Selepas 10 tahun, Briged Bakti Malaysia telah berjaya mengislamkan lebih dari 250 ribu orang dengan program susulan termasuk kelas fardu ain, pembinaan masjid, bantuan sosioekonomi serta menubuhkan 26 pusat Islam di peringkat perbandaran dan 50 pusat Islam di wilayah kecil dan kampung.

Melihat kepada usaha dan kegiatan dakwah yang dijalankan, PERKIM bersedia menghulurkan sokongan serta dokongan melalui dana sebanyak RM100 ribu bagi pembangunan dan keperluan komuniti yang baharu memeluk Islam di Pulau Visayas dan Cebu.

Dr Abdul Razak pula berkata, beliau berhasrat untuk mengislamkan seramai setengah juta orang Pulau Cebu dalam tempoh 10 tahun bermula dari 2017 hingga 2026 di mana penduduk pulau tersebut sekitar lima juta orang.

Hasil usaha dakwah yang dilaksanakan, seramai 300 ribu orang penduduk Pulau Cebu telah diislamkan serta ada di antara mereka telah menjadi pendakwah di samping menjadikan Islam agama yang berkembang pesat di Pulau Visayas sekali gus menjadikan Islam sebagai agama majoriti dalam tempoh 10 tahun kedua.

Ujarnya lagi, pihaknya mempunyai 100 buah pusat kegiatan Islam termasuk 15 masjid, 42 pusat Islam bersama 40 orang pendakwah, 45 orang asatizah dan 40 orang imam.

Pulau Cebu dan Pulau Visayas merupakan program lawatan dwi bulanan saya,” kata Dr Abdul Razak di akhir pertemuannya bersama Dr Yusof Noor dan Dato’ Abdul Hanif.


Dr Abdul Razak (kanan) mengadakan pertemuan bersama Tan Sri Setiausaha Agung di Ibu Pejabat PERKIM bagi menyampaikan hasratnya dalam misi dakwah kepulauan di Filipina.


Dato’ Bendahari Kehormat (kiri) hadir bersama cek bagi misi dakwah di Pulau Visayas dan Cebu.


Dr Yusof Noor (kiri) menyokong usaha dakwah yang dilakukan oleh Briged Bakti Malaysia kerana telah berjaya mengislamkan lebih dari 250 ribu orang dalam masa 10 tahun.


Dr Yusof Noor (tengah) diiringi Dato’ Abdul Hanif (kiri) menyampaikan cek berjumlah RM100 ribu kepada Dato’ Abdul Razak (kanan).

Related Articles

Back to top button