Aktiviti Kebajikan

PERKIM Santuni 75 Asnaf Sempena Ramadan

Alhamdulillah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan terus mengagihkan sebanyak 75 set Program Bantuan Makanan PERKIM kepada golongan asnaf melalui Pasukan Kebajikan PERKIM pada 3 Mei 2020.

Pasukan dibahagikan kepada empat kumpulan dan kawasan iaitu pasukan pertama ke Lembah Pantai manakala pasukan kedua Ampang Selatan dan pasukan ketiga Ampang Utara serta pasukan keempat ke Subang Jaya dan Puchong.

Menurut Pegawai Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan (UPPP) PERKIM, Muhammad Farhan Tee Abdullah, berkat doa semua, program hari ini berjalan dengan lancar dan dipermudahkan Pasukan Kebajikan PERKIM mengagihkan barangan makanan dan kebersihan kepada golongan asnaf mengikut seperti yang telah ditetapkan.

Maklum balas yang diterima daripada penerima sumbangan, mereka bersyukur dan gembira kerana keprihatinan PERKIM dalam meringankan bebanan golongan asnaf mualaf, fakir dan miskin yang kehilangan sumber pendapatan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan penularan wabak penyakit COVID-19.

Air mata kegembiraan terpancar di wajah setiap asnaf di saat tangan mereka menerima kotak tertulis Program Bantuan Makanan PERKIM.

Anak-anak mereka tidak sabar-sabar untuk membuka kotak seolah-olah membuka kotak hadiah hari jadi dan apabila kotak dibuka lantas mereka bersyukur dan mengucapkan terima kasih kerana tidak menyangka mereka diberi makanan yang banyak seperti beras, tepung, gula, sardin, krimer, biskut, kopi, teh, kurma, kordial, mi segera, bihun, minyak masak, sos cili, kicap dan garam.

Selain itu, terdapat juga barangan kebersihan seperti ubat gigi, pencuci pinggan, sabun badan, sabun pencuci baju, topeng muka dan pencuci tangan (hand sanitizer).

Ada di antara salah seorang asnaf mengadu hanya dapat minum air teh O sahaja untuk bersahur dan mereka kemudiannya bersyukur kepada Allah Yang Maha Kaya.

Namun yang pasti bantuan ini sememangnya sangat membantu mereka. Walaupun di dalam keadaan berpuasa, petugas dan sukarelawan juga bersemangat serta berpuas hati melihat mereka yang menerima sumbangan ini.

Antara petugas dan sukarelawan PERKIM yang terlibat ialah Muhammad Farhan Tee Abdullah, Mohd Jogi Maruli Panjaitan, Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan, Hamidah Ismail, Aizat Rosli, Rahman Ismail, Amran Anbarasu Abdullah, Jamilatun Noor Hamid@ Hashim, Siti Fatimah Ladda Abdullah, Azura Abdul Rahman, Umizah Wanir Mohd. Anuar, Mua’lish Shah Mohd. Anuar, Umi Musfirah Abdul Ghani, Mohd. Nazly Ismail, Abdul Razak, Md. Yusop Suboh, Khairul Anuar Mohd. Subari, Mohd. Noor Hamim Suntong.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Hasbullah L Isa mengucapkan tahniah dan syabas kepada Pasukan Kebajikan PERKIM serta berharap terus berkhidmat dan mengharumkan nama PERKIM. Semoga PERKIM sentiasa mendapat tempat di hati masyarakat.

Manakala Pengarah Komunikasi PERKIM, Datuk Abdul Hanif Harun juga mengucapakan tahniah kepada barisan hadapan Pasukan Kebajikan PERKIM dan mendoakan supaya diberi keselamatan dan dilindungi oleh Allah SWT.

Related Articles

Back to top button