Aktiviti Kebajikan

PERKIM Salur Bantuan Asnaf Mualaf COVID-19 Semasa PKP 2.0

Foto: Pasukan Kebajikan PERKIM

“Hari ini Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan melalui Pasukan Kebajikan PERKIM menyambung usaha semalam dengan mengagihkan sumbangan Bantuan Asnaf dan Mualaf COVID-19 PERKIM kepada golongan yang terkesan akibat pandemik tersebut,” kata Pegawai Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan (UPPP) PERKIM Kebangsaan, YBrs Ustaz Muhammad Jais Mariappan Abdullah.

Tambah Jais, PERKIM prihatin dengan nasib penerima sumbangan yang hilang mata pencarian, dibuang kerja, tanggungan ramai, orang kurang upaya (OKU), warga emas dan ibu tunggal disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 yang diumum Perdana Menteri bermula dari 13 hingga 26 Januari 2021 berikutan penularan wabak COVID-19 yang semakin tinggi kes jangkitannya sehingga mencecah angka lebih 4,000.

Katanya, sejak pagi tadi, Pasukan Kebajikan PERKIM Team B diketuai oleh beliau bersama pasukannya iaitu Mohd Aizat Rosli, Umi Musfirah Abdul Ghani dan Norlailialpin Suratman telah menyampaikan sumbangan Bantuan Asnaf dan Mualaf COVID-19 PERKIM kepada mualaf berbangsa India iaitu Noraini Abdullah dan mualaf OKU, Johan Abdullah di Taman Industri Lembah Jaya, Ampang, Selangor.

Rombongan ziarah meneruskan program ke perkarangan Hospital Ampang untuk menyampaikan bantuan sumbangan kepada mualaf India, Nur Amirah Abdullah yang mempunyai anak OKU.

Setelah itu, Pasukan Team B menghantarkan sumbangan ke rumah Fatimah Abdullah dan Jamilah Abdullah yang merupakan saudara baharu India di Wangsa Maju.

Di kawasan Chow Kit pula, Team B menyampaikan sumbangan kepada mualaf warganegara Thailand, Mashitah Abdullah.

Abdul Malek Abdullah seorang mualaf India di Sentul turut menerima sumbangan daripada PERKIM.

Jelasnya lagi, sepanjang PKP 2.0 peranan PERKIM lebih menjurus kepada memberi bantuan terutama mualaf yang terjejas.

Pasukan Kebajikan PERKIM menghantar bantuan sumbangan dengan menggunakan dua buah kereta dan sebuah kereta serbaguna (MPV) ke sekitar Lembah Klang.

Manakala Pasukan Kebajikan PERKIM Team C pula yang diketuai oleh Pegawai UPPP, YBrs Ustazah Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan bersama pasukannya iaitu Safiyya Nur Sakeenah Sallehuddin, Nur Syahirah Musa dan Hamidah Ismail telah menziarahi dan menyampaikan sumbangan kepada 13 saudara baharu.

Pandan Perdana, Cheras merupakan program ziarah pertama Munirah bersama pasukannya dengan menyampaikan bantuan kepada mualaf berbangsa Iban, Nur Asyulin Martin dan kemudiannya mereka meneruskan ke rumah Nur Alice Qistina di Pandan Mesra, Ampang.

Rombongan meneruskan ke rumah mualaf warganegara Filipina, Wani Saleha Abdullah dan Sarah Mendoza Abdullah di Pangsapuri Seri Nilam, Ampang, Selangor.

Nur Hidayah Ambiang dan Nurkhalishah Qistina Seheng yang merupakan mualaf berketurunan Sabahan dari Cheras turut menerima kunjungan serta sumbangan daripada PERKIM.

Perjalanan diteruskan ke kawasan Wangsa Maju di rumah saudara baharu berbangsa India, Nur Alesha Rao.

Ziarah terakhir di rumah mualaf berbangsa Cina, Elina Louis di dan yang lain-lainnya disebabkan tiada di rumah, pasukan telah menyalurkan sumbangan melalui pindahan akaun bank.

Tambah Munirah, antara mualaf yang diziarahi ialah mereka yang hilang pendapatan, ibu tunggal, sakit dan mempunyai ramai tanggungan.  Ada juga di antara mereka yang telah diberhentikan kerja dan bercerai kerana tidak bersefahaman, pasangan yang mempunyai sakit kritikal dan lain-lain.

Jelas Munirah lagi, program Bantuan Asnaf dan Mualaf COVID-19 PERKIM ini bukan sahaja dapat meringankan beban mereka malah ia dapat menunjukkan rasa perihatin PERKIM terhadap mualaf yang memeluk Islam di PERKIM Kebangsaan dan mualaf yang menerima bimbingan fardu ain di PERKIM Kebangsaan sejak awal mereka memeluk Islam.

Katanya, PERKIM menerima maklumat masalah yang dihadapi oleh saudara baharu itu daripada mereka sendiri dan masyarakat setempat menerusi laman sesawang, emel dan media sosial.

YBrs Ustaz Haji Amran Anbarasu Abdullah turut menyampaikan sumbangan kepada mualaf yang terjejas, Harry Sim Abdullah dan Eyas Zainal di Pusat Perkhidmatan PERKIM, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, ibu negara.

Semalam, Pasukan Kebajikan PERKIM Team A yang diketuai oleh YBrs Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah telah menyampaikan sebanyak tujuh sumbangan kepada asnaf mualaf di sekitar Puchong, Cheras, dan Bandar Tun Razak.

Farhan Tee bersama pasukannya, Siti Fatimah Ladda Abdullah dan Jamilatun Noor Hashim @ Hamid hari ini, meneruskan program bantuan ke rumah pertama iaitu dua saudara baru berbangsa India, Seeny Mydin Shawkat Ali dan Faisal Abdullah di Rawang, Selangor.

Kemudian rombongan meneruskan serahan sumbangan ke rumah mualaf Cina OKU penglihatan, Jasmin Masyitah Yong Abdullah di Kepong, Kuala Lumpur.

Pada sebelah malam pula rombongan ziarah menyampaikan tiga bantuan sumbangan di Sentul, Kuala Lumpur iaitu ke rumah Hafizuddin Kanaga Abdullah, Siti Aisyah Abdullah dan Zainal Abidin Abdullah.

Destinasi Pasukan Team A berakhir di rumah mualaf berbangsa Cina, Aishah Chan Abdullah di Taman San Peng, Cheras, Kuala Lumpur.

“Walaupun pelbagai jabatan dan organisasi telah menyampaikan barang keperluan makanan dan keperluan harian, kali ini PERKIM hanya memberikan sumbangan wang tunai bergantung kepada masalah yang mereka hadapi,” jelas Farhan Tee yang juga Penyelaras Program Bantuan Asnaf dan Mualaf COVID-19 PERKIM.

Katanya lagi, Pasukan Kebajikan PERKIM ini juga telah menyampaikan sebanyak lebih 1000 set barangan makanan dan kebersihan serta wang tunai kepada asnaf di sekitar Lembah Klang bermula di awal bermula PKP pada 18 Mac hingga 12 Mei 2020 lalu dan disusuli Program Bantuan Makanan PERKIM kepada golongan asnaf sepanjang bulan Ramadan Al-Mubarak 1441H.

Kata beliau, sesungguhnya sumbangan pasukan amat besar ertinya bukan sahaja kepada PERKIM malah kepada penerima bantuan dapat manfaat.

Tambahnya apa yang kita mengharapkan ialah keredaan dan keberkatan daripada Allah SWT.

Beliau sekali lagi mengucapkan penghargaan dan terima kasih di atas sumbangan dan kerjasama yang pasukan berikan.

– Unit Penerbitan dan Media Baru PERKIM Kebangsaan

Related Articles

Back to top button