Taklimat Projek Pertanian Bandar Inovasi Urbankit MARDI

26 OGOS – KUALA LUMPUR. Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan menyambut mesra dalam menerima kunjungan hormat Timbalan Pengarah Program Pengurusan Kualiti dan Inovasi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Encik Mohd Johaary Abdul Hamid di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat PERKIM, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah di sini pagi tadi.
Mohd Johaary bersama dua orang pegawainya Encik Azizul Azman dan Cik Nur Erna Syakila Ahmad Jais ke PERKIM Kebangsaan bertujuan untuk menyampaikan taklimat Kerjasama Penganjuran Projek Pertanian Bandar Menggunakan Inovasi Urbankit Untuk Komuniti B40, Gelandangan dan Asnaf.
Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Dato’ Haji Mohd Nakhaie Haji Ahmad; Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor; Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim; Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa; Pengarah Unit Komunikasi PERKIM, YBhg Datuk Haji Abdul Hanif Harun; Timbalan Pengarah Unit Perancangan, Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM, YBhg Ustaz Mohd Yusoff Ahmad dan Penyelaras Unit Penerbitan dan Media Baru PERKIM, Encik Firdaus Lokman Tah.
Mohd Johaary menerangkan kepada hadirin mengenai kaedah akuaponik iaitu konsep gabungan akuakultur dan hidroponik dengan menggunakan teknologi urbankit yang menghasilkan ternakan ikan dan sayuran atau buah-buahan yang dapat membangunkan produk pertanian bandar serta menjimatkan kos barangan dapur malah mengindahkan persekitaran.
Teknologi urbankit bukan sahaja menjimatkan kos tetapi teknologi pertanian bandar membantu pengguna mendapatkan sumber makanan di kediaman terhad.
Teknologi tersebut telah mendapat sambutan meluas di sekolah-sekolah, masjid-masjid, syarikat-syarikat dan orang awam.