Aktiviti Dakwah

PERKIM Kebangsaan Terima Kunjungan PERKIM Bahagian Negeri Johor, Kelantan

oleh: UMAG  |  susunan: SRZ

KUALA LUMPUR, 12 OKTOBER 2023 – Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor telah menerima kunjungan Naib Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Johor, YB Dato’ Haji Awang Mohamad dan Penolong Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Kelantan, Tuan Haji Mohd Nasir Che Ali bertempat Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL), Jalan Sultan Azlan Shah, dekat sini.

Dr Yusof Noor turut mengalu-alukan juga kehadiran seramai 80 rombongan dalam Majlis Lawatan Muhibbah PERKIM Bahagian Negeri Johor dan Kelantan.

Kunjungan itu bertujuan untuk mewujudkan hubungan yang lebih akrab di antara PERKIM Bahagian Negeri Johor dan Kelantan bersama PERKIM Kebangsaan di samping bertukar-tukar pandangan serta idea bagi menggarap usaha dakwah, kebajikan dan pendidikan kepada mualaf di PERKIM Bahagian Negeri khususnya.

Majlis tersebut telah diacarakan oleh Pegawai Perhubungan Awam Dalam dan Luar Negara, Safiyya Nur Sakeena Sallehuddin manakala Abdul Qawi Navine Abdullah selaku Penolong Pegawai Dakwah IDIP-KL memimpin bacaan doa pembuka majlis.

Ia disusuli dengan ucapan Naib Pengerusi 2 PERKIM Bahagian Negeri Johor, YB Dato’ Haji Awang Mohamad.

Dato’ Awang berkata, beliau mewakili Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Johor, YM Dato’ (Dr) Syed Ali Mohamed AlAttas kerana mempunyai urusan lain.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak PERKIM Kebangsaan yang sudi menerima kunjungan PERKIM Bahagian Negeri Johor ke PERKIM Kebangsaan di samping mengeratkan silaturahim dan beramah mesra serta kerjasama dalam mempergiatkan lagi program dakwah, kebajikan atau pendidikan PERKIM.

Penolong Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Kelantan, Tuan Haji Mohd Nasir Che Ali pula menyampaikan ucapan mewakili Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Kelantan, YAB Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Haji Daud.

Haji Mohd Nasir ucapannya mencadangkan agar kursus intensif pendakwah diadakan khusus buat pegawai dan ahli-ahli PERKIM.

Beliau dalam ucapannya berkata PERKIM Bahagian Negeri Kelantan akan bekerjasama dengan semua pihak sama ada agensi kerajaan atau badan-badan bukan kerajaan yang memberikan kekuatan kepada mereka dalam menggerakkan aktiviti dan program dakwah selaras dengan agenda kerajaan serta misi atau visi sejajar dengan objektif PERKIM dalam kebajikan, pendidikan serta kerjasama kepada saudara baharu.

Dr Yusof Noor dalam ucapan maklum balasnya berkata berkenaan peranan dan fungsi PERKIM, Institut Dakwah Islamiah PERKIM Kelantan, IDIP-KL, Asrama Darul Falah PERKIM, Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE), TASPUTRA, Tadika PERKIM yang bermanfaat kepada masyarakat.

Beliau berharap kunjungan dua hala tersebut memberi input-input yang segar bagi merancang serta menjalankan program serta aktiviti dakwah, kebajikan dan pendidikan kepada saudara baharu.

Dalam pada itu, Dr Yusof Noor berkesempatan membuat pelancaran Bicara Profesional Dakwah PERKIM menerusi gimik video.

Katanya, Bicara Profesional Dakwah PERKIM akan disampaikan oleh panel yang terpilih dan akan diadakan secara berkala di Dataran Dakwah, Bangunan PERKIM tidak lama lagi.

Beliau turut berharap pertemuan tersebut dapat mempergiatkan lagi program dan aktiviti kolaborasi di antara PERKIM Kebangsaan dengan PERKIM Bahagian Negeri Johor dan Kelantan di dalam meneruskan agenda PERKIM dari semasa ke semasa.

Dr Yusof Noor turut menyampaikan sebuah buku ‘Coffee Table’ Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM dan plak PERKIM kepada Dato’ Awang dan Haji Mohd Nasir.

Turut hadir ialah Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Prof Dr Ramle Abdullah; Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Johor, Tuan Haji Mohamad Shaiful Bahri Abdullah; Pengarah Dakwah Kanan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Ahmad Mustafa; Pengarah Pendidikan dan Pembangunan Operasi PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr. Suariza @ Hidayah Muhammad serta Pengarah Unit Komunikasi dan Media PERKIM Kebangsaan, Firdaus Lokman Tah.


Safiyya mengucapkan selamat datang kepada PERKIM Bahagian Negeri Johor dan Kelantan ketika mengacarakan majlis.


Abdul Qawi memimpin bacaan doa pembuka majlis.


Tetamu kehormat menadah tangan ketika doa dibacakan.


(Dari kiri:) Haji Mohd Nasir Che Ali, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dan Dato’ Haji Awang Mohamad di pentas Dewan Al-Ilm, IDIPKL.


Rombongan lawatan terdiri daripada PERKIM Bahagian Negeri Johor.


Rombongan terdiri daripada ahli-ahli PERKIM Bahagian Negeri Kelantan.


Penolong Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Kelantan, Tuan Haji Mohd Nasir Che Ali menyampaikan ucapan.


Rombongan PERKIM Bahagian sedang tekun mendengar ucapan yang disampaikan.


YB Dato’ Haji Awang Mohamad selaku Naib Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Johor menyampaikan ucapan.


Dr Yusof Noor turut menyampaikan ucapan maklum balas di majlis tersebut.


Rombongan PERKIM Bahagian Negeri Johor mendengar amanat yang disampaikan oleh Dr Yusof Noor.


Dr Yusof Noor menyampaikan cenderahati buku Warisan dan Wawasan 60 PERKIM kepada Haji Mohd Nasir.


Dato’ Awang menerima plak dan buku Warisan dan Wawasan 60 tahun PERKIM daripada Dr Yusof Noor.


Tetamu kehormat PERKIM bergambar kenang-kenangan bersama rombongan PERKIM Johor dan Kelantan di akhir majlis.

Related Articles

Back to top button