Aktiviti Dakwah

PERKIM Kebangsaan Sambut Kunjungan Pimpinan Wilayah Muhammadiyah Riau

Oleh: SRZ

KUALA LUMPUR, 30 JANUARI 2024 – Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor telah menerima kunjungan Rombongan Rihlah Dakwah Pimpinan Wilayah Muhammadiyah Riau bertempat di Ibu Pejabat PERKIM Kebangsaan, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini, pada pagi Selasa.


Dr Yusof Noor turut berbesar hati dan menyambut mesra kehadiran 18 ahli rombongan dari Indonesia ke PERKIM Kebangsaan.

Majlis tersebut telah diacarakan oleh Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan (UDPI), Muhammad Farhan Tee Abdullah manakala bacaan doa pembuka majlis dipimpin oleh Pegawai UDPI, Muhammad Jais Mariappan Abdullah.

Kata Dr Yusof Noor, tidak ada perbezaan di antara kita kerana kita serumpun dan tidak asing bagi kita kerana rupa paras, pakaian, bahasa dan budaya hampir serupa seperti sebuah keluarga malah hubungan ukhuwah itu bertambah utuh jika Islam dianutinya.

Jelas beliau, penubuhan sesebuah organisasi seperti PERKIM adalah satu keperluan kerana Pengasas PERKIM, Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada ketika menjadi Perdana Menteri Malaysia pertama memikirkan pentingnya orang-orang Islam menjalankan kegiatan agama atas nama pertubuhan untuk bekerjasama dan memberi khidmat kepada masyarakat tanpa mengira agama.

“Ilham penubuhan PERKIM bukanlah sembarangan, ia muncul di Mekah ketika Almarhum Tunku menunaikan ibadah fardu haji, beliau melihat jemaah dari pelbagai negara dan berbeza-beza warna kulit tetapi bersatu dan mengucapkan kalimah serta solat yang sama.

“Maka Almarhum Tunku terfikir ketika berada di Malaysia terdapat pelbagai bangsa dan boleh disatukan di PERKIM dan tercetuslah ia sehingga ke hari ini.

“Setelah PERKIM ditubuhkan, Almarhum Tunku menyerahkan PERKIM dengan melantik Allahyarham Tan Sri SOK Ubaidullah Kadir Basha dengan memimpin jawatan Yang Dipertua PERKIM pada tahun 1960 hingga 1964.

“Pada ketika itu, Almarhum Tunku juga memilih bangsawan Inggeris untuk memegang jawatan Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, Allahyarham Tan Sri Haji Datuk Haji Dr. Abdul Mubin Sheppard pada tahun 1960 hingga 1964.

“Orang kanan yang kuat membantu Almarhum Tunku merupakan orang Cina iaitu Allahyarham Tun Omar Yoke Lin,” ujar Dr Yusof Noor.

Ketika Almarhum Tunku mempengerusikan mesyuarat penubuhan PERKIM pada ketika itu, ahli jawatankuasanya mestilah terdiri daripada pelbagai kaum iaitu British, India, Cina termasuk wakil bangsa Melayu berketurunan Arab.

Yang bertujuan untuk berusaha mencantumkan semua bangsa menerusi agama Islam seperti Almarhum Tunku lihat orang Islam beribadah di sekeliling Kaabah.

Dr Yusof Noor mengucapkan tahniah kepada pimpinan Muhammadiyah kerana sebuah organisasi yang mempunyai lebih 100 universiti dalam melahirkan puluhan ribu generasi baru.

Di setiap negeri di Malaysia terdapat institusi agama Islam di bawah naungan pemerintahan Sultan yang menjadi tunggak bagi memayungi agama Islam.

“Saya bangga dengan pencapaian Muhammadiyah dan sudah tentu kita harapkan orang-orang Islam dapat berpandukan dengan kebijaksanaan kerana Allah SWT yang menyelamatkan dalam menguruskan agama dan organisasi kita,” ucapnya.

Katanya lagi, sambil memetik firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, ayat 269 bermaksud: “Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak.”

Pencapaian ahli Islam di Indonesia juga hebat kerana saya diberitahu oleh seorang rakan bahawa Persatuan Islam Tionghua Indonesia mempunyai 1 juta ahlinya.

Kita harap di Malaysia ini mudah-mudahan kita dapat melalui cabaran yang agak besar, kerana jumlah orang memeluk Islam yang berasal daripada agama lain walaupun ada belum mencapai sasaran sedangkan usaha hebat untuk mengubah warna agama di rantau ini sedang berjalan secara halus.

“Saya berharap Allah SWT memberi jalan yang lebih mudah kepada kita sebagai umat Islam bagi mengharungi cabaran ini bersama-sama,” kata beliau mengakhiri ucapan.

Sementara itu, Ketua Pimpinan Wilayah Muhammadiyah Riau, YBhg Dr Hendri Sayuti dalam ucapannya pula berkata, kunjungan rombongannya di Malaysia bermula pada 29 Januari hingga 1 Februari 2024 bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan kerjasama dengan organisasi-organisasi Islam di Malaysia.


Kata Dr Hendri, Pimpinan Pusat Muhammadiyah telah ditubuhkan di Jogjakarta 1967, selepas beberapa tahun Indonesia merdeka Muhammadiyah di Riau pula ditubuhkan menjadi salah satu pimpinan wilayah di Indonesia.

Seperti di Indonesia, maka di Muhammadiyah Riau itu adalah dalam rangka untuk merealisasikan dan melaksanakan apa yang telah dirancang bersama bersama Pimpinan Pusat Muhammadiyah.

Ujarnya, Muhammadiyah hari ini memiliki pimpinan wilayah atau bahagian di seluruh wilayah yang ada di Indonesia termasuk salah satunya di Wilayah Riau.

Muhammadiyah terkenal dengan gerakan dakwah, tetapi dalam masa yang sama ia juga menjadi suatu tanda ikonik pendidikan, kesihatan, kebajikan sosial dan ekonomi.

Jelas beliau, setelah muktamar kali ke 48 di Surakarta lalu, Muhammadiyah telah mewujudkan jabatan dan lembaga yang mengendalikan isu awam.

Melalui pertemuan ini, kami berharap mendapat informasi terbaik mengenai Islam terkini dan akan datang di Malaysia.

Dr Hendri juga berharap pertemuan tersebut merupakan pertemuan pertama dan beliau akan mengadakan pertemuan susulan.

Tambahnya, Pimpinan Muhammadiyah Riau lebih berbesar hati sekiranya pihak PERKIM mengunjungi mereka di mana jarak Malaysia ke Riau melalui pengangkutan udara memakan masa lebih kurang 50 minit.

Beliau berharap pimpinan PERKIM mengunjungi kami ke Riau untuk mengekalkan ukhuwah Islamiah dan mengadakan program kerjasama.

Menurut Dr Hendri, kami memiliki sebanyak 173 buah universiti di bawah kelolaan Muhammadiyah di mana ia merupakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) terbesar di Indonesia dan mempunyai universiti lebih banyak berbanding Kerajaan Indonesia.

Kami juga membantu dengan memberi sokongan dari segi hal ehwal pendidikan kepada universiti milik kerajaan Indonesia.

Ulas beliau lagi, pertubuhan tersebut juga menjaga kebajikan sosial di bawah Panti Asuhan Muhammadiyah serta Lembaga Amil Zakat, Infak dan Sedekah Muhammadiyah (LAZISMU).

“Baru-baru ini, kami bertemu dengan Ketua Majlis Wakaf Pimpinan Pusat Muhammadiyah di mana di dalam mesyuarat tersebut dimaklumkan bahawa kami akan memperolehi tanah wakaf lima kali ganda daripada Singapura.

“Masyarakat mempercayai Muhammadiyah kerana kami menguruskan wakaf, bantuan dan sumbangan derma yang diamanahkan oleh mereka untuk kemaslahatan umat di Indonesia,” kata beliau mengakhiri ucapannya.

Di akhir pertemuan, Dr Yusof Noor menyampaikan plak cenderahati dan Buku Warisan dan Wawasan 60 Tahun PERKIM kepada Dr Hendri Sayuti.

Turut hadir ialah Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Pendidikan dan Pembangunan Insan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad; Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Komunikasi dan Media PERKIM Kebangsaan, Firdaus Lokman Tah; Ketua Ketua Pimpinan Cabang Istimewa Muhammadiyah (PCIM) Malaysia, Ustaz Muhammad Ali Imran manakala Dr Afrizal Nur, Dr Baidarus Muhammad, Ir H. Yusman Yusuf, Dr H. M. Rasyad Zain, Dr H Sutarmo dan Dr Agus Mandar mewakili Pimpinan Wilayah Muhammadiyah Riau.


Dr Yusof Noor bersalaman dengan salah seorang Pimpinan Wilayah Muhammadiyah Riau.


Muhammad Farhan Tee Abdullah mengalu-alukan ahli rombongan ketika mengacarakan majlis.


Muhammad Jais Mariappan Abdullah memimpin bacaan doa pembuka majlis.


17 ahli rombongan Pimpinan Wilayah Muhammadiyah Riau menadah tangan ketika doa dibaca.


Dr Yusof Noor menyampaikan ucapannya sambil menyambut mesra kehadiran ahli rombongan.


Dr Yusof Noor berkata kepada ahli rombongan bahawa tidak ada perbezaan di antara kita kerana kita serumpun dan tidak asing bagi kita kerana rupa paras, pakaian, bahasa dan budaya hampir serupa seperti sebuah keluarga.


Ucap Dr Yusof Noor bahawa Almarhum Tunku terfikir ketika menunaikan fardu haji di mana terdapat pelbagai bangsa dan boleh disatukan di PERKIM.


Dr Yusof Noor mengucapkan tahniah kepada pimpinan Muhammadiyah yang mempunyai lebih 100 universiti dalam melahirkan puluhan ribu generasi baru.


Pimpinan Muhammadiyah mendengar ucapan yang disampaikan.


Dr Hendri Sayuti merupakan Ketua Pimpinan Wilayah Muhammadiyah Riau menyampaikan ucapannya.


Dr Hendri turut menyampaikan sejarah dan penubuhan Pimpinan Wilayah Muhammadiyah Riau di dalam ucapannya.


Dr Hendri dalam ucapannya berkata bahawa rombongannya berada di Malaysia dalam beberapa hari untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan kerjasama dengan organisasi-organisasi Islam di Malaysia.


Dr Yusof Noor menyampaikan cenderahati berupa plak PERKIM kepada Dr Hendri.


Dr Hendri turut menyampaikan cenderahati balas berupa plak Muhammadiyah Riau kepada Dr Yusof Noor.


Ahli rombongan menikmati juadah makan tengah hari yang disediakan sambil disajikan tayangan video korporat PERKIM.


Kepimpinan PERKIM merakamkan gambar bersama Pimpinan Wilayah Muhammadiyah Riau di akhir pertemuan.


Kepimpinan PERKIM dan Pimpinan Muhammadiyah Riau bersama-sama menunjukkan isyarat ‘bagus’ ketika merakamkan gambar kenang-kenangan di akhir kunjungan.

Related Articles

Back to top button