Wanita PERKIM Anjur Sesi Perkongsian Pemerkasaan Dakwah Di Kampus
Oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 27 JANUARI 2024 – Lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT); pergaulan bebas; khidmat persundalan; sugar daddy-sugar baby; kemurungan merupakan antara faktor dan masalah kian meruncing dalam kalangan mahasiswa di kampus.
Sehubungan dengan itu, Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan telah menganjurkan Program Sesi Perkongsian Pemerkasaan Dakwah Di Kampus bertempat di Hotel De Moccis Boutique, dekat sini pada pagi Sabtu.
Seramai 28 orang peserta hadir di program tersebut terdiri daripada mahasiswa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Islam Selangor (UIS), Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI).
Program dimulakan dengan sesi taklimat, taaruf dan bacaan doa pembuka majlis disampaikan oleh Pensyarah Kanan Syariah Islamiah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), YBhg Dr Redwan Yasin.
Majlis diserikan lagi dengan ucapan Ketua Wanita PERKIM Kebangsaan, YTM Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
Tunku Noor Hayati dalam ucapannya merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih serta mengalu-alukan kehadiran peserta di dalam program tersebut walaupun sibuk dengan pembelajaran, peperiksaan mahupun aktiviti di kampus.
Menurutnya, PERKIM telah diasaskan dan ditubuhkan pada 19 Ogos 1960 oleh ayahandanya Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj untuk memberi bimbingan serta kebajikan kepada mualaf.
Jelas beliau, pada masa dahulu saudara baharu atau mualaf yang telah memeluk islam tiada tempat mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau baitulmal untuk mereka kunjungi untuk dibimbing dan menjaga kebajikan mereka sehinggalah tertubuhnya PERKIM.
PERKIM pada ketika merupakan organisasi yang kuat dan termasyhur dalam menyampaikan seruan dakwah dan kebajikan kepada saudara baharu.
Tunku Noor Hayati turut berkongsi kisah beliau seawal usia lima tahun telah melibatkan diri dengan PERKIM di mana rumah ayahandanya dijadikan tempat untuk rujukan, bimbingan dan kebajikan mualaf.
Pada usia 12 tahun, kecenderungan beliau pada kaunseling bermula ketika saudara baharu hadir untuk mendapatkan khidmat rundingan dan kaunseling di rumah Bapa Kemerdekaan Malaysia.
Jelas Tunku Noor Hayati lagi, walaupun beliau merupakan graduan perundangan di Queen Mary & Westfield College, University of London, beliau juga sebelum itu merupakan graduan Psikologi dan Kaunseling di UKM dan memperoleh Ijazah Sarjana Psikologi dari Universiti Malaya (UM) pada 2013.
Katanya, sebelum ini Wanita PERKIM telah menganjurkan Program Rundingan Meja Bulat Wanita Mualaf PERKIM di seluruh negeri bagi mengumpul data mengenai isu serta permasalahan wanita mualaf dan pada kali ini, kita mengadakan pertemuan dengan mahasiswa untuk mengetahui permasalahan yang berlaku di kampus.
Beliau turut meminta pandangan mahasiswa berkenaan situasi semasa di kampus kerana dengan pengumpulan data, maklumat dan kerjasama yang diberikan, gerakan dakwah mudah untuk dilaksanakan.
Sementara itu, Pegawai Wanita PERKIM Kebangsaan, Fatin Hamizah Ismail berkata, generasi belia khususnya golongan mahasiswa di zaman milenium ini dilihat sudah banyak terpengaruh dengan modenisasi ala barat, ini ternyata dari pakaian, gelaran, gaya hidup dan yang paling menyedihkan, pertukaran agama mereka.
Selain itu, mubaligh asing turut terbabit dalam menjalankan rancangan mereka untuk memesongkan akidah golongan intelektual yang berjaya menggugat keimanan dan ketaqwaan mereka yang masih muda dan mudah terpengaruh.
Kata Fatin lagi, berkemungkinan keadaan ini berlaku kerana mereka berada di tempat baru yang menyebabkan mengalami kejutan budaya, jauh daripada keluarga, tiada pegangan agama Islam yang kukuh dan masalah kewangan.
Jelas beliau program tersebut diadakan untuk memberi kesedaran akan kewujudan unsur yang boleh memesongkan akidah golongan mahasiswa di kampus dan di dunia luar.
Selain itu, ia memberi kesedaran bahawa golongan mahasiswa merupakan agen terpenting dalam penentuan masa depan ummah di samping mengenalpasti segala dakyah yang boleh menjerumuskan mereka dan cara mengatasinya.
Beliau berharap program tersebut dapat memupuk golongan mahasiswa supaya dapat menyebarkan kesedaran ini kepada rakan taulan di kampus dan luar kampus.
Peserta kemudiannya dibahagikan kepada empat kumpulan bagi melaksanakan tugasan serta pembentangan berkenaan ‘Isu, Permasalahan Di Kampus dan Cara Penyelesaian.’
Antara isu dan permasalahan yang dibentangkan oleh kumpulan empat ialah pergaulan bebas, LGBT, sugar daddy, merokok dan kesihatan mental manakala pembentangan kumpulan tiga berkenaan khalwat, seks bebas, pengabaian amalan fardu, masalah kewangan, sugar baby dan pergaulan bebas.
Isu sosial di kampus seperti khidmat persundalan, LGBT dan perbuatan tidak sopan di khalayak ramai menjadi topik pembentangan bagi kumpulan dua manakala kumpulan satu membentangkan mengenai isu seniority, ragging, plagiat, perbalahan mazhab serta lantikan non-Muslim sebagai pengerusi bersama masyarakat Islam.
Keempat-empat kumpulan turut mengemukakan pandangan serta cadangan kaedah penyelesaian dan solusi di program tersebut.
Di akhir program, Tunku Noor Hayati berkesempatan menyampaikan sijil penyertaan dan cenderahati kepada peserta.
Turut hadir, Ahli Majlis Wanita PERKIM Kebangsaan, YBhg Datin Hajah Mawanchik Che Jais serta YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad; Dekan Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM, Prof Dr Mohd Afandi Mat Rani; Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar UiTM, Prof Madya Dr Azli Bhari serta Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam dan Kontemporari UiTM, YBhg Dr Nadiah Ramlan.
Sesi pendaftaran peserta di kalangan mahasiswa universiti.
Dr Redwan memulakan program dengan menyampaikan taklimat.
28 mahasiswa pelbagai universiti hadir di program tersebut.
Sesi taaruf di kalangan mahasiswa.
Tunku Noor Hayati menyampaikan ucapannya di program tersebut.
Tunku Noor Hayati melakarkan tugasan yang perlu dilaksanakan oleh mahasiswa.
Tunku Noor Hayati turut mendapatkan data dan maklumat berkenaan isu dan permasalahan yang melanda di kampus daripada mahasiswa.
Datin Mawanchik turut membantu mahasiswa menyiapkan tugasan yang diberikan.
Kumpulan empat membentangkan tugasan yang diberikan.
Muhammad Alif Amri Mohd, mahasiswa UPNM memberikan pandangan beliau berkenaan isu yang dibentangkan.
Isu dan permasalahan di kampus dibentangkan oleh kumpulan tiga.
Mahasiswa UPNM, Muhammad Solihin Mohd Zaini membentangkan isu semasa di kampus.
Kumpulan dua menyampaikan pembentangan yang ditugaskan.
Muhammad Sahisal Adam Sahisal Aznoor (kanan) membentangkan penyelesaian yang perlu dilaksanakan.
Tugasan yang dibentangkan oleh kumpulan satu.
Pembentangan mahasiswa UPNM, Muhammad Imran Danial Zakaria dari kumpulan satu.
Tunku Noor Hayati menyampaikan sijil penyertaan kepada mahasiswa UPNM, Mohd Adil Mat Awang Ghani.
Tunku Noor Hayati berkesempatan merakamkan gambar bersama dekan dan pensyarah UiTM Shah Alam.
Pensyarah dan mahasiswa UPNM turut merakamkan gambar kenangan bersama Tunku Noor Hayati.
Peserta bergambar kenang-kenangan bersama Ketua Wanita PERKIM Kebangsaan di akhir program.