Aktiviti Dakwah

PERKIM Kebangsaan Anjur Forum Perdana Ma’al Hijrah 1445 | 2023

oleh : SRZ

KUALA LUMPUR, 26 JULAI 2023 – Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan telah menganjurkan Forum Perdana Maal Hijrah 1445H bertempat di Surau PERKIM, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, dekat sini.

Seramai lebih 70 hadirin mengikuti forum tersebut terdiri daripada saudara baharu berketurunan Cina, India, Iban, Kadazan, Dusun serta warganegara dari Filipina, Indonesia dan Thailand.

Forum bertajuk ‘Sirah dan Erti Perjuangan Rasulullah SAW’ itu dipengerusikan oleh Juara Dai Pendakwah Nusantara TV3, Muhammad Adam Muhibullah Abdullah.

Barisan ahli panel forum tersebut ialah Peserta Dai Musim Ke-5, Aiman Sufyan Aezman (Dai Aiman); pendakwah bebas, Ustaz Muhammad Shah Shanmugam dan Pemegang Tauliah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Ros Annurleeana Abdullah.

Dai Aiman selaku panelis pertama berkata, Nabi Muhammad SAW telah menyuntik satu elemen yang cukup luar biasa kepada sahabat ketika penghijrahan Baginda dari kota Mekah ke kota Madinah iaitu elemen kasih sayang.

Ustaz Shah pula dalam forum tersebut menjelaskan kepada para hadirin betapa pentingnya memuliakan ilmu di mana kebijaksanaan Rasulullah SAW dalam menyusun strategi dan persiapan ketika diperintahkan oleh Allah SWT untuk berhijrah.

Katanya, tiada manusia yang paling hebat selain Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Baginda yang telah menempuh pelbagai ujian daripada Allah SWT.

Ros Annurleeana pula berkongsi kisah penghijrahan beliau memeluk Islam pada 1991 kerana perkahwinannya bersama suaminya.

Beliau sanggup meninggalkan agama asal dan berkorban kerana cinta kepada suaminya, namun pelbagai ujian dan dugaan yang menimpanya ketika bergelar mualaf.

Sebelum forum berlangsung, Kumpulan As-Sakinah dari Senawang telah mendendangkan beberapa buah Qasidah antaranya ialah Yahanana, Solatun Bissabilmubin, Selawat Nabi dan lain-lain.

Forum tersebut telah dirasmikan oleh Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin.


Dato’ Razali dalam ucapannya berkata, beliau mewakili Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menyampaikan salam takzim kepada hadirin kerana tidak dapat bersama di dalam forum kerana mempunyai urusan penting.

Menurutnya, kehidupan beliau lebih dekat dengan mualaf kerana isterinya merupakan seorang saudara baharu sewaktu awal perkahwinannya pada tahun 1983.

Jelas Dato’ Razali, penghijrahan Nabi Muhammad SAW dari kota Mekah ke kota Madinah merupakan penghijrahan yang telah diperintahkan oleh Allah SWT.

Katanya, nikmat yang telah dianugerahkan Allah SWT kepada kita adalah satu nikmat yang perlu kita syukuri sepanjang hidup kita di mana nilainya tidak dapat dihitung dengan apa jua benda waima dengan wang ringgit.

Beliau mengajak hadirin memanfaatkan segala kurniaan dan melaksanakan segala titah perintah serta meninggalkan larangan Allah SWT dengan mempersiapkan bekalan amal keimanan sebelum dipanggil kembali bertemu dengan-Nya.

Katanya, Allah SWT tidak akan menilai sesorang itu dengan melihat pada harta, pangkat atau kuasa tetapi keimanan dan ketakwaan kepada-Nya.

Ujar Dato’ Razali lagi, PERKIM akan terus melaksanakan tugas bagi menyampaikan apa juga yang membolehkan saudara baharu berada di dalam keadaan selesa.

Terdapat pelbagai aktiviti dan program disediakan oleh PERKIM untuk saudara baharu di antaranya ialah Kelas Pengajian Islam PERKIM Kebangsaan (KPIPK), majlis ilmu, kursus-kursus dakwah, program kader dai dan lain-lain.

Dato Razali menyarankan saudara baharu supaya menggunakan segala kemudahan yang disediakan di PERKIM untuk manfaat bersama.

Di akhir ucapan, Dato’ Razali menyampaikan saguhati kepada ahli panel forum.


Barisan panelis forum perdana sempena Ma’al Hijrah anjuran PERKIM Kebangsaan baru-baru ini.


Dai Adam Muhibullah mengacarakan Forum Perdana Ma’al Hijrah.


Dai Aiman menyifatkan Rasulullah SAW menyuntik elemen kasih sayang kepada sahabat-sahabat Baginda ketika berhijrah.


Ustaz Shah Shanmugam mengajak peserta menghayati kebijaksanaan Rasulullah SAW dalam menyusun strategi ketika berhijrah.


Ros Annurleeana berkongsi kisah penghijrahan beliau ketika memeluk Islam.


Antara saudara baharu yang hadir di forum itu.


Saudara baharu mendengar forum yang disampaikan.


Antara saudara baharu yang menyertai forum anjuran PERKIM Kebangsaan.


Dato’ Razali menyampaikan ucapan perasmian selepas forum berakhir.


Kumpulan As-Sakinah menyampaikan beberapa buah alunan qasidah.


Dato’ Razali dan Dato’ Abdul Hanif berkesempatan bergambar bersama panelis forum.

Related Articles

Back to top button