PERKIM Baharu, PERKIM Maju Mantapkan Jati Diri Kakitangan
oleh : SRZ
SUNGKAI, 28 JULAI 2023 – Bagi meningkatkan tahap kualiti kerja, tanggungjawab, jati diri dan motivasi kakitangan, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan telah mengadakan Retreat Pemantapan Organisasi PERKIM Kebangsaan bertempat di Felda Residence Hot Springs, Sungai Klah dekat sini.
Program itu menghimpunkan seramai 43 orang peserta terdiri daripada pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan serta Insititut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL).
Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Mohamad Nordin Ibrahim telah menyampaikan taklimat dan makluman berkenaan aktiviti sepanjang dua hari satu malam kepada peserta program.
Kata Datuk Nordin, program tersebut diadakan bertujuan untuk membina silaturahim di antara pegawai dan kakitangan bersama kepimpinan tertinggi PERKIM bagi membincangkan segala permasalahan atau cadangan mereka secara langsung.
Sejurus itu, Pemudah cara Program, YBhg Ustaz Haji Muhammad Fitri Abdullah telah menyampaikan slot pertama bertajuk Pemantapan Pengurusan Organisasi kepada peserta.
Fitri juga merupakan Naib Yang Dipertua PERKIM merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Selangor turut berkongsi bersama peserta mengenai kisahnya sepanjang bergelar saudara baharu.
Beliau menyarankan peserta supaya menambah ilmu pengetahuan dan mengasah kemahiran bagi meningkatkan kebolehan yang sedia ada.
Fitri juga menyarankan peserta supaya membina keyakinan diri, semangat kerjasama berpasukan di dalam kerjaya.
Fitri berharap program tersebut membantu organisasi meningkatkan tahap kemajuan perkhidmatan selaras dengan misi dan visi PERKIM.
Jurulatih Retreat, YBhg Tuan Haji Mohamed Ibrahim Haji Hussain turut menyampaikan slot motivasi kepada peserta.
Haji Ibrahim merupakan jurulatih berpengalaman luas selama lebih 30 tahun di dalam latihan kursus pengurusan, motivasi, seminar, persidangan serta berkongsi banyak ilmu pengetahuan kepada peserta.
Bagi menambah keyakinan diri kepada diri peserta, Haji Ibrahim turut mengadakan permainan sebutan nombor tanpa gandaan tiga, aktiviti menyambung sembilan titik dengan empat garisan lurus dan lain-lain.
Haji Ibrahim yang juga merupakan Setiausaha Kehormat PERKIM Bahagian Negeri Selangor berkata, retreat merupakan satu peluang kakitangan untuk mengeratkan hubungan ukhuwah, bebas dari kerja di pejabat, bebas dari tugasan harian serta mereka mendapat pengalaman pembelajaran, aktiviti pengukuhan pasukan serta masa berkomunikasi dua hala secara tidak formal.
Peserta dibahagikan kepada enam kumpulan iaitu ‘extreme’, ‘green tea’, ‘brotherhood’, ‘excellent’, cari akal dan kejora.
Peserta kumpulan kemudiannya diberi tugasan dan pembentangan dalam sesi masalah kerja serta cara penyelesaiannya.
Pada sebelah petang pula, peserta diberi kesempatan untuk berendam di kolam air panas semulajadi dan mandi di kolam air bergelongsor.
Peserta juga melaksanakan ibadah solat fardu Maghrib dan Isyak pada sebelah malam disusuli dengan bacaan Yasin dan tahlil dipimpin oleh Pengarah Kanan Dakwah PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin.
Haji Ibrahim meneruskan slot terakhir pada malam dengan tajuk ‘Kelebihan Berorganisasi dengan Berkesan dan Tadbir Urus’.
Pada hari kedua pula, peserta dihimpunkan dalam solat Subuh berjemaah dipimpin oleh Pegawai Unit Pembangunan Dakwah dan Operasi PERKIM Kebangsaan, Muhammad Jais Mariappan Abdullah.
Seusai solat, Datuk Nordin menyampaikan tazkirah Subuh bertajuk ‘Waktu Mustajab Doa’.
Datuk Nordin dalam tazkirahnya berkata, antara waktu mustajab doa ialah pada malam lailatul qadar, selepas solat, sepertiga malam, antara azan dan iqamah, keseluruhan malam, selepas Asar hari Jumaat, ketika minum air zam-zam dan ketika hendak tidur dalam keadaan bersuci.
Datuk Nordin turut menjelaskan antara doa yang tidak ditolak ialah doa orang dizalimi, doa kepada jenazah, doa kepada rakan, doa di Arafah, doa di bulan Ramadan, doa ketika menghadapi musibah, doa orang bermusafir, doa orang berpuasa, doa selepas melontar jamrah, doa ketika saie dan lain-lain lagi.
Haji Ibrahim mengambil tanggungjawab menyambung slot motivasi bertajuk ‘Organisasi Berkesan’ selaku pemudah cara.
Jelasnya, antara kelebihan organisasi berkesan ialah menjelaskan skop aliran kerja; mengelakkan pertindihan kerja; pembaziran sumber dan konflik terhadap tugas; memfokuskan usaha dengan mengaitkan aktiviti dengan objektif; menyediakan garis panduan untuk prestasi individu; perancangan dan kawalan bantuan; mewujudkan saluran untuk komunikasi serta membuat keputusan yang tepat.
Ulas beliau, di dalam tadbir urus pula peserta perlu memastikan tanggungjawab, ketelusan, responsif, kedaulatan undang-undang, kestabilan, kesaksamaan dan keterangkuman, pemerkasaan dan penyertaan menyeluruh.
Tambah Haji Ibrahim lagi, tadbir urus juga mewakili norma, nilai dan peraturan permainan di mana hal ehwal awam diuruskan dengan cara yang telus, praktikal, inklusif dan responsif.
Ujarnya, di antara elemen atau ciri tadbir urus yang baik ialah bertanggungjawab, telus, patuh kepada undang-undang, responsif, saksama, penyertaan yang inklusif serta berkesan dan cekap.
Haji Ibrahim turut memberi peluang kepada peserta setiap kumpulan untuk memberi maklum balas mengenai program motivasi yang dijalankan selama dua hari.
Bagi mengasah ketajaman fikiran enam kumpulan peserta, diadakan permainan ‘Tiga Hang’, ‘Lakaran Mengikut Arahan’, ‘Cabaran Kereta Telur’ dan ‘Bola Kertas Pantas’.
Haji Ibrahim turut berkongsi lima cara untuk membina imej organisasi yang lebih kukuh iaitu dengan memfokus pada membina identiti jenama bukan pengiktirafan nama; jangan silap pada penampilan yang konsisten bagi imej yang konsisten; menjelaskan nilai yang anda bawa ke pasaran; memilih media yang betul kerana perkara yang betul serta memisahkan jurang di antara pemasaran elektronik dan tradisional.
Aktiviti ‘Kad Ucapan Istimewa’ merupakan aktiviti terakhir di mana setiap peserta perlu menghasilkan sekeping kad ucapan yang perlu dihantar kepada peserta lain. Peserta dikehendaki membuat cabutan nama secara rawak, kemudian menulis kata-kata perangsang dan motivasi serta di hantar kepada peserta yang diambil daripada cabutan nama.
Peserta turut diberi peluang untuk berkongsi pengalaman mengenai ilmu bermanfaat dan hasil yang dicapai sepanjang program.
Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Yusof Noor berkesempatan menyampaikan ucapan di akhir program.
Dr Yusof Noor menegaskan kepada peserta bahawa mereka tidak boleh balik dari tempat ini sehingga mereka benar-benar berubah dan sekiranya keadaannya masih sama, mereka harus tinggal di situ.
Ini merupakan satu permulaan untuk menjadikan kita sebagai ‘PERKIM Baharu, PERKIM Maju!,’ laung Dr Yusof Noor sebanyak tiga kali sambil disambut oleh peserta.
Kata beliau, semangat yang ditunjukkan oleh peserta adalah untuk menghargai pemudah cara yang menjiwai dan berjasa pada PERKIM.
Tambahnya, retreat itu merupakan permulaan yang baik bagi kita untuk melangkah satu langkah ke hadapan sebelum kita mencipta ribuan langkah yang lain.
Ujar Dr Yusof Noor lagi, program motivasi itu insya-Allah akan kita tradisikan sebahagian daripada perancangan PERKIM bagi membangunkan pasukan pengurusan untuk bergerak memajukan dakwah kerana itu tujuan kita.
Beliau sekali lagi merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Haji Ibrahim kerana telah mengubah minda, persepsi serta perubahan dilihat di dalam semangat kerjasama antara peserta.
Dr Yusof Noor berkesempatan menyampaikan cenderahati kepada Haji Ibrahim di akhir program.
Turut hadir ialah Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor; Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Setiausaha Kerja PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM Kebangsaan, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Operasi PERKIM Kebangsaan, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad serta Pengarah Unit Penerbitan dan Media Baru, Firdaus Lokman Tah.
Datuk Nordin mengalu-alukan kehadiran peserta dan menyampaikan taklimat program.
Fitri menyarankan peserta supaya menambah ilmu pengetahuan dan mengasah kemahiran bagi meningkatkan kebolehan yang sedia ada.
Fitri juga berkongsi kisah pengalamannya memeluk Islam sewaktu di PERKIM Kebangsaan.
Haji Ibrahim merupakan pemudah cara berpengalaman sepanjang program retreat.
Program tersebut merupakan satu peluang kakitangan untuk mengeratkan hubungan ukhuwah.
Turut diadakan permainan sebutan nombor tanpa gandaan tiga.
Peserta kumpulan membuat perbincangan dalam tugasan yang diberi.
Jais Mariappan mewakili kumpulan Extreme menyampaikan pembentangan.
Esa mewakili kumpulan Green Tea menyampaikan pembentangan.
Hamidah dari kumpulan Kejora turut memberi penjelasan dan pencerahan dalam sesi pembentangan.
Farhan Tee menyuarakan pendapat kumpulan Brotherhood melalui sesi pembentangan.
Peserta Retreat Pemantapan Organisasi PERKIM Kebangsaan mengambil gambar kenang-kenangan.
Muhammad Hizam memimpin solat fardu Maghrib dan Isyak secara berjemaah.
Turut diadakan majlis bacaan Yasin dan tahlil dipimpin oleh Dato’ Razali (dua dari kanan).
Peserta wanita turut menjayakan majlis bacaan Yasin dan tahlil.
Haji Ibrahim menyampaikan tajuk slot Kelebihan Berorganisasi dengan Berkesan dan Tadbir Urus’ kepada peserta.
Jais Mariappan memimpin solat Subuh berjemaah bersama peserta.
Datuk Nordin menyampaikan tazkirah Subuh bertajuk ‘Waktu Mustajab Doa’.
Peserta kumpulan menyiapkan sebuah kenderaan menggunakan bahan terbuang dalam aktiviti ‘Cabaran Kereta Telur’.
Peserta kumpulan Excellent bergambar dengan kenderaan yang dihasilkan.
Kenderaan yang dihasilkan oleh kumpulan Extreme.
Kumpulan Green Tea menjuarai ‘Cabaran Kereta Telur’.
Peserta kumpulan bekerjasama dalam aktiviti ‘Bola Kertas Pantas’.
Lokman dan Dr Suariza menunjukkan ‘Kad Ucapan Istimewa’.
Mua’lish Shah menyampaikan ‘Kad Ucapan Istimewa’ yang kreatif kepada Nor Azlifah.
Proses Pemikiran Kreatif merupakan tajuk terakhir disampaikan oleh Haji Ibrahim.
Hasaidi memberikan maklum balas dan kesimpulan keseluruhan retreat.
Dr Yusof Noor berkesempatan menyampaikan ucapan di akhir retreat.
‘PERKIM Baharu, PERKIM Maju’ dilaungkan sebanyak tiga kali oleh Dr Yusof Noor yang menjadi pembakar semangat kepada peserta.
Dr Yusof Noor menyampaikan cenderahati kepada pemudah cara, Haji Ibrahim.
Sebahagian peserta mengambil gambar kenang-kenangan dengan Haji Ibrahim.