Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Aktiviti KebajikanAktiviti Kelab PERKIM

PERKIM, JPP, UMK Anjur Program Kemasyarakatan

Oleh : SUARIZA @ HIDAYAH MUHAMMAD
Susunan: MOHD. SYAHRIL ROSDI AHMAD ZAHUDI

Baru-baru ini Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Kebangsaan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Unit Penyelarasan dan Perlaksanaan Jabatan Perdana Menteri serta Universiti Malaysia Kelantan telah menganjurkan Program Kemasyarakatan Perkim-JPP-UMK bertempat di Kampung Lakota, Jeli, Kelantan pada 30 dan 31 Mac 2014 yang lalu.

Program tersebut dihadiri seramai 400 orang terdiri daripada masyarakat setempat, Perkim Bahagian Negeri Kelantan, Wanita Perkim Kelantan, Persatuan Wanita Islam Kelantan, Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita) Cawangan Negeri Kelantan, mahasiswa Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP), UMK, Politeknik Jeli, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Pejabat Tanah Jajahan Jeli dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Jeli merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) YB Dato’ Sri Mustapa Mohamed bersama isterinya Datin Sri Khamazran Ahmed Meah, Bendahari Kehormat PERKIM; Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim, Mufti Kerajaan Kelantan; YB Sahibul Samahah Dato’ Hj Mohamad Shukri Mohamed, Pengarah Kampus UMK Jeli, Prof. Dr. Ibrahim Che Omar, Pengerusi Puspanita Cawangan Negeri Kelantan; Datin Hajah Ros Aini Hj Ghazali dan Naib Persatuan Wanita Islam Kelantan, YM Tengku Ramizan Tengku Abdul Aziz.

mustapa-mohamedMustapa Mohamed dalam ucapan aluannya mengucapkan penghargaan terima kasih yang tidak terhingga kepada Tunku Noor Hayati kerana sudi bersama-sama menganjurkan program di Kampung Lakota, Jeli.

Beliau turut menyatakan bahawa Perkim sebagai sebuah pertubuhan yang aktif melakukan kerja-kerja dakwah dan kebajikan di bawah kelolaan Tunku Noor Hayati yang sudi bersama dan membantu masyarakat setempat.

“Kali ini merupakan kali yang ke sembilan Perkim mengadakan program berbentuk kebajikan dan dakwah di daerah Jeli di mana salah satu program tersebut saya diberi peluang untuk mengetuai program pengislaman Orang Asli di Kampung Sungai Rual,” jelas Mustapa Mohamed.

Jelasnya lagi, Perkim telah melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan cemerlang dan diharap agar Perkim terus aktif melakukan kerja-kerja dakwah dan kebajikan.

Program sebelum itu telah dirasmikan oleh YM Tengku (Puan) Temenggong Kelantan, YTM Tunku Dato’ Hajjah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

tunkuTunku Noor Hayati yang juga Naib Yang DiPertua Perkim dalam titah ucapannya, menyatakan sebagai anakanda Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (Pengasas Perkim), beliau merasa bertanggungjawab meneruskan amanat ayahanda beliau dalam melakukan kerja-kerja dakwah dan kebajikan.

“Antara matlamat asal penubuhan Perkim pada 19 Ogos 1960 ialah melakukan kerja-kerja dakwah dan kebajikan dengan tumpuan utama kepada Saudara Muslim atau mualaf. Memandangkan perubahan zaman alaf baharu, tekanan hidup serta peningkatan gejala sosial dalam masyarakat seperti murtad, penderaan, jenayah penyalahgunaan dadah maka Perkim mengorak langkah mengembangkan perkhidmatan kemasyarakatan bagi manfaat semua pihak,” jelasnya.

“Objektif program ini antara lain adalah untuk membantu golongan yang mempunyai tempat tinggal tetapi tidak tidak memiliki kemudahan dan infrastruktur asas yang sempurna, usang dan memerlukan penambahbaikan,” ujar Tunku Noor Hayati yang juga Ketua Wanita Perkim.

Mereka terdiri daripada warga emas, fakir miskin serta orang kurang upaya (OKU). Sebanyak lima buah rumah telah dibaiki dalam program tersebut iaitu sebuah di Kampung Lakota, Seberang Jeli dan Kampung Gemang serta, dua buah rumah di Ayer Lanas.

Rumah- rumah yang dibaiki mempunyai pelbagai kerosakan yang perlu dibaiki seperti memasang dinding rumah yang baru, memasang lantai, membina tandas serta membaiki bumbung yang rosak.

Maka dengan bantuan sebegini akan memberi perlindungan yang lebih sempurna dan selesa kepada golongan yang memerlukan.

Kerja penambahbaikan rumah dijalankan selama dua hari termasuk membantu menyediakan kawasan persekitaran yang bersih dan kemas dibantu bersama oleh penduduk kampung dan mahasiswa IDIP, UMK, serta ATM.

Program tersebut dilakukan secara berperingkat-peringkat sehingga September 2014 ini melibatkan sebanyak 15 buah rumah.

Di samping itu, Program Kemasyarakatan Perkim-JPP-UMK ini juga menyediakan khidmat pemeriksaan kesihatan percuma kepada mereka yang uzur dan tidak berkemampuan untuk ke klinik atau hospital, menjalinkan hubungan serta kesinambungan dan sistem sokongan sosial di antara masyarakat setempat bersama mahasiswa UMK.

Tunku Noor Hayati turut mengadakan penyerahan anak angkat kepada keluarga angkat di sekitar Jeli di mana ia melibatkan penyertaan seramai 40 mahasiswa UMK dan 10 mahasiswa IDIP.

Harapan beliau supaya hubungan anak angkat dan keluarga angkat dapat dijalinkan dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang seiring dengan sabda Rasulullah SAW : “Bukan dari kalangan umatku yang sempurna; jika ianya yang tidak mengasihi yang kecil dari kalangan kami, dan tidak mengenal kemuliaan orang yang tua di kalangan kami.” (Hadith Riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

Tunku Noor Hayati turut melancarkan penubuhan Kelab Perkim UMK Kampus Jeli dan Politeknik Jeli serta menerima borang permohonan daripada 100 mahasiswa.

Katanya, dengan tertubuhnya Kelab Perkim UMK Jeli dan Politeknik Jeli akan mempergiatkan lagi program kemasyarakatan yang dapat memberi manfaat kepada semua pihak.

Golongan OKU dan orang miskin turut diraikan dalam program tersebut di mana Tunku Noor Hayati telah menyampaikan sumbangan hamper berbentuk keperluan asas seperti beras, tepung gandum, minyak, gula, peralatan tidur (bantal, selimut dan sebagainya) serta sejumlah wang kepada 15 orang OKU dan 21 orang miskin.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada agensi yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan program tersebut.

 

 01
Gabungan mantap antara kerabat istana, pemimpin rakyat dan tenaga akademik yang menjadi tulang belakang  Program Kemasyarakatan  Perkim-JPP-UMK.

02
Tunku Noor Hayati menyampaikan ucapan perasmian.

03
Gimik pelancaran perasmian Program Kemasyarakatan PERKIM-JPP-UMK yang telah disempurnakan oleh Tunku Noor Hayati (kanan) sambil disaksikan oleh Mustafa Mohamed (kiri).

05
Tunku Hjh Noor Hayati diiringi Mustapa Mohamed dan Dr Ibrahim menyerahkan anak angkat di kalangan mahasiswa UMK dan Politeknik Jeli kepada penduduk kampung.

06
Penyerahan sumbangan disampaikan oleh Tunku Noor Hayati berbentuk wang tunai dan hamper seperti beras, gula, tepung dan keperluan asas yang lain kepada OKU dan orang miskin.

11
Prof Dr. Ibrahim (kanan) menyampaikan potret lukisan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bersama puterinya Tunku Noor Hayati ketika berusia lima tahun, kenangan ketika menaiki feri Pulau Langkawi.

07
Tunku Noor Hayati turut serta membacuh simen bersama Dr Ibrahim untuk penyediaan pembinaan tandas.

09
Tunku Noor Hayati menziarahi rumah salah seorang penduduk kampung yang tidak mempunyai tandas.

10
Tunku Noor Hayati meletakkan plak cenderamata dari Perkim di rumah yang telah dibaiki.

Related Articles

Back to top button