Aktiviti Dakwah

PERKIM Jayakan Program Khatan Mualaf Yayasan As-Siddiqin

ᵒˡᵉʰ: ᴹᴼᴴᴰ. ˢʸᴬᴴᴿᴵᴸ ᴿᴼˢᴰᴵ ᴬᴴᴹᴬᴰ ᶻᴬᴴᵁᴰᴵ

CHIANG RAI, 14 OKTOBER 2025
 – “Inilah dakwah yang sebenar, turun padang, naik gunung dan membimbing insan dengan kasih sayang.”

Demikian ungkapan penuh makna oleh Naib Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YBhg. Dr. Haji Mohd Ridhuan Tee Abdullah ketika mengetuai Program Jaulah Dakwah dan Khatan PERKIM 2025 di Madrasah Yayasan As-Siddiqin, Mae Pao, dekat sini, baru-baru ini.

Program bermula pada 12 hingga 14 Oktober yang penuh barakah itu menyaksikan lebih 50 orang kanak-kanak mualaf pelbagai suku kaum dari pergunungan utara Thailand seperti Hmong, Akha, Muser, Lahu, Lisu, Yao dan Karen menjalani ibadah khatan secara beramai-ramai menggunakan kaedah laser moden.

Majlis khatan yang dikendalikan secara profesional oleh 20 orang doktor dan petugas perubatan daripada MediCOM Malaysia, Yayasan Amal Malaysia (Kedah) serta Jariyatham Ruampat Krabi Hospital (JRH) itu diadakan dengan penuh tertib melalui lapan stesen rawatan bagi memastikan proses berjalan lancar dan selamat.


Menurut Dr. Ridhuan Tee, khatan beramai-ramai tersebut bukan sekadar amalan kesihatan atau adat, sebaliknya merupakan lambang kesepaduan dakwah rentas sempadan yang menghubungkan masyarakat Islam di Malaysia dengan komuniti minoriti Islam di utara Thailand.

“Program ini bukan sekadar upacara perubatan, tetapi simbol semangat kebersamaan dan kasih sayang sesama umat Islam. Kita datang bukan untuk menunjuk, tetapi untuk bersama membantu dan berkongsi rezeki serta ilmu,” ujar beliau.

Beliau menegaskan bahawa pendekatan dakwah berasaskan kasih sayang dan turun padang amat penting dalam membina kefahaman Islam sebenar dalam kalangan masyarakat pedalaman.

“Anak-anak ini datang dari kawasan pergunungan yang jauh seperti anak-anak Orang Asli di Malaysia, namun hati mereka dekat dengan Islam. Mereka ini ialah generasi harapan yang bakal menyebarkan dakwah ke seluruh Asia Tenggara,” katanya penuh harapan.

Dalam majlis yang penuh rasa syukur itu, kanak-kanak Yayasan As-Siddiqin dilihat begitu berani dan ceria menjalani proses khatan biarpun dalam suasana serba sederhana.

Bagi Dr. Ridhuan Tee, keberanian itu mencerminkan keazaman mereka menempuh jalan Islam dengan hati yang suci.

“Khatan bukan sekadar tuntutan syarak, tetapi juga tanda permulaan seorang Muslim meniti kehidupan berdisiplin, bersih dan berakhlak. Dari sinilah mereka mula memahami erti pengorbanan dan ketaatan kepada Allah SWT,” jelas beliau.

Sebagai tanda sokongan dan kasih sayang, Dr. Ridhuan Tee turut menyampaikan sumbangan saguhati dan barangan kebersihan diri kepada setiap peserta yang menjalani khatan.

Beliau berkata, walaupun bantuan itu kecil, namun besar maknanya kepada anak-anak yang jauh daripada keluarga dan membesar di asrama madrasah.

“Kita mahu mereka tahu bahawa umat Islam di Malaysia tidak melupakan mereka. Inilah makna sebenar ukhuwah Islamiah,” tambah beliau.

Selain program khatan, kanak-kanak Yayasan As-Siddiqin turut didedahkan dengan latihan teori dan praktikal pengurusan jenazah di Masjid As-Siddiqin di mana ia merupakan satu usaha memperkukuh ilmu fardu kifayah dan tanggungjawab sosial mereka terhadap masyarakat Islam.

“Ilmu ini penting untuk melengkapkan kefahaman Islam mereka. Kita tidak mahu mereka hanya tahu membaca al-Quran, tetapi juga memahami tanggungjawab mereka terhadap ummah,” ujar Dr. Ridhuan Tee.

Menambahkan keceriaan, aktiviti sukan dan riadah turut diadakan pada sebelah petang dikendalikan oleh Ustaz Muhammad Farhan Tee Abdullah dan Mohd Aizat Rosli selaku urus setia dari PERKIM Kebangsaan.

Antara acara yang mendapat sambutan ialah bola sepak untuk pelajar lelaki dan bola tampar untuk pelajar perempuan.

“Sukan bukan hanya hiburan, tetapi medium membentuk disiplin dan semangat ukhuwah,” kata Ustaz Farhan yang bertindak sebagai penyelaras lapangan program.

Selepas sesi khatan selesai, rombongan PERKIM bersama para doktor dan sukarelawan berpeluang menyertai sesi perkongsian khas oleh Mudir Yayasan As-Siddiqin, Ustaz Usman Che Din, yang menceritakan sejarah penubuhan dan perkembangan madrasah tersebut.


Menurut Ustaz Usman, Yayasan As-Siddiqin diasaskan lebih tiga dekad lalu di kawasan perbukitan terpencil yang ketika itu hanya dihuni oleh masyarakat pergunungan digelar “Orang Bukit” atau “Cao Doi” dalam bahasa tempatan.

Golongan ini, jelasnya, terdiri daripada pelbagai etnik yang berhijrah dari China akibat tekanan politik dan ancaman komunis, lalu menetap di kawasan sempadan Laos, Myanmar dan Thailand.

“Ketika itu, majoriti masyarakat di sini masih mengamalkan kepercayaan animisme dan sebahagian lagi dipengaruhi ajaran Kristian. Hanya segelintir mengenal Islam,” katanya.

Segalanya berubah apabila seorang pemuda bernama Yaakob menerima hidayah Islam selepas bertemu dengan seorang imam di daerah Dayak.

Kisah pengislaman Yaakob menjadi titik mula kebangkitan Islam di kalangan Orang Bukit di mana beliau pulang ke kampung dan mula berdakwah kepada penduduk setempat dengan sabar dan hikmah.

“Dari seorang, kemudian dua, kemudian puluhan yang memeluk Islam. Inilah keajaiban hidayah Allah SWT,” kata Ustaz Usman sebak.

Usaha itu kemudiannya disambung oleh rombongan pendakwah Tabligh dari Bangkok, termasuk beliau sendiri yang datang ke Chiang Rai pada usia 18 tahun.

“Ketika tiba, tiada sekolah, tiada surau cuma hanya hutan dan pondok kecil. Tetapi semangat untuk menyebarkan Islam mengatasi semua kekurangan,” ujarnya mengimbas detik awal perjuangan dakwahnya.

Daripada pondok kecil itu, kini berdiri megah Madrasah dan Yayasan As-Siddiqin, pusat tumpuan pelajar Islam pelbagai kabilah pergunungan.

Yayasan tersebut bukan sahaja menyediakan pendidikan agama dan akademik, tetapi turut menawarkan asrama, kemudahan kebajikan dan peluang dakwah kepada masyarakat setempat.

“Kalau dulu tiada siapa yang mengenal Islam, kini alhamdulillah setiap kampung sudah ada surau dan anak-anak yang boleh membaca al-Quran. Ini hasil usaha berterusan para pendakwah dan sokongan sahabat-sahabat dari Malaysia,” katanya.

Program Jaulah Dakwah dan Khatan 2025 anjuran PERKIM Kebangsaan dengan kerjasama Yayasan As-Siddiqin, Yayasan Amal Malaysia (Kedah), MediCOM Malaysia, serta Jariyatham Ruampat Krabi Hospital (JRH) merupakan manifestasi sinergi dakwah antara Malaysia dan Thailand.

Menurut Dr. Ridhuan Tee, program seumpama ini bukan sekadar kegiatan tahunan, tetapi strategi dakwah jangka panjang untuk memperkukuh hubungan antara dua negara melalui aspek pendidikan, kesihatan dan kebajikan Islam.

“Kita datang membawa mesej Islam yang rahmah. Setiap kali lawatan, ada ilmu yang disampaikan, ada insan yang dibantu, dan ada hati yang didekati,” tegas beliau.

Beliau turut menyeru agar umat Islam di Malaysia terus mendoakan kekuatan para pendakwah yang berjuang di bumi asing, kerana menurutnya, mereka inilah yang sedang menyambung kerja dakwah para nabi.

“Bayangkan, anak-anak kecil yang kita khatankan hari ini pada 10 atau 20 tahun akan datang, merekalah imam, guru dan pendakwah yang akan membawa Islam ke puncak-puncak pergunungan ini,” katanya penuh harapan.

Bagi PERKIM, misi ini merupakan kesinambungan daripada usaha dakwah lapangan yang telah lama dijalankan di luar negara, khususnya di kawasan yang mempunyai komuniti Islam minoriti.

Dr. Ridhuan Tee menegaskan bahawa dakwah tidak boleh terhenti di dewan atau masjid semata-mata, sebaliknya perlu dilaksanakan dengan pendekatan menyeluruh merangkumi pendidikan, kebajikan, kesihatan dan pembinaan sahsiah.

“Dakwah yang sebenar bukan sekadar di atas pentas. Di sinilah dakwah hidup bila kita turun padang, bertemu manusia, menyantuni mereka dan mendidik dengan kasih sayang,” katanya.

Beliau menutup ucapannya dengan doa agar segala usaha kecil ini diterima oleh Allah SWT dan menjadi penyambung kepada perjuangan Rasulullah SAW.

“Marilah kita berdoa agar kerja dakwah ini berjaya dan terus berkembang. Mudah-mudahan Allah memberkati setiap langkah kita dan mengangkat usaha ini sebagai amal soleh,” katanya mengakhiri ucapan dengan lafaz Insya-Allah.

Majlis berakhir dengan suasana penuh harmoni apabila para pelajar Yayasan As-Siddiqin mempersembahkan nasyid “Allah-Allah Aghisna Ya Rasulullah” dan “Allahummarhamna Bil Quran” sebagai tanda terima kasih kepada tetamu dan para sukarelawan.

Turut hadir dalam program itu ialah Pengasas Bersama Yayasan As-Siddiqin, Tuan Haji Abdullah Othman dan Pengasas Jom Buat Baik, Ustaz Azatul Ridzuan Hassan.

Program Jaulah Dakwah dan Khatan PERKIM 2025 bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam kepada anak-anak madrasah, malah membuka mata dunia bahawa Islam mampu menyatukan hati manusia walau berbeza bahasa, bangsa dan sempadan, asalkan dakwah disampaikan dengan kasih, hikmah dan keikhlasan.

 


Dr Ridhuan Tee bersama anak-anak Madrasah Yayasan As-Siddiqin yang akan berkhatan.

 


Dr Ridhuan Tee beramah mesra bersama kanak-kanak As-Siddiqin sebelum program berkhatan bermula.

 


Dr Ridhuan Tee melihat keadaan anak As-Siddiqin yang sedang menjalani proses berkhatan.

 


Dr Ridhuan Tee berada di Dewan As-Siddiqin di mana kanak-kanak madrasah sedang menjalani proses berkhatan.

 

 


Sukarelawan dari Yayasan Amal Malaysia (Kedah), MediCOM Malaysia dan Jariyatham Ruampat Krabi Hospital melaksanakan proses berkhatan kepada anak-anak As-Siddiqin.

 


Sebanyak lapan stesyen disediakan bagi memastikan proses berjalan lancar dan selamat.

 


Majlis khatan yang dikendalikan secara profesional oleh 20 orang doktor dan petugas perubatan.

 


Anak-anak As-Siddiqin yang selesai menjalani pembedahan khatan secara laser, direhatkan sementara di sudut dewan.

 


Turut diadakan latihan teori dan praktikal pengurusan jenazah di Masjid As-Siddiqin

 


Anak-anak As-Siddqin ditunjuk ajar cara mengkafankan mayat.

 


Dr Ridhuan Tee bersama kanak-kanak As-Siddiqin berpeluang melihat cara pengurusan jenazah.

 


Jenazah yang sempurna dikafankan kemudiannya diikat dengan rapi.

 


Ustaz Usman berkongsi sejarah penubuhan Yayasan As-Siddiqin kepada tetamu dan sukarelawan perubatan yang hadir.

 


Dr Ridhuan Tee, Ustaz Farhan Tee dan sukarelawan perubatan mendengar perkongsian disampaikan oleh Ustaz Usman.

 


Kanak-kanak As-Siddiqin menyampaikan persembahan nasyid “Allah-Allah Aghisna Ya Rasulullah”.

 


Allahummarhamna Bil Quran menjadi lagu persembahan nasyid dari kanak-kanak As-Siddiqin.

 


Dr Ridhuan Tee menyampaikan sumbangan kepada kanak-kanak Yayasan As-Siddiqin yang telah selesai berkhatan.

 


Kanak-kanak yang berkhatan diberi saguhati istimewa daripada Dr Ridhuan Tee selaku Naib Yang Dipertua PERKIM.

 


Dr Ridhuan Tee bersama Ustaz Farhan Tee bergambar bersama sebahagian kanak-kanak yang telah selesai berkhatan.

 


Sukarelawan Yayasan Amal Malaysia (Kedah) dan MediCOM berpeluang bergambar bersama Dr Ridhuan Tee di akhir program.

 


Anak-anak Yayasan As-Siddiqin bergambar bersama-sama sukarelawan perubatan di akhir program.

 


Sukan bola tampar menjadi kegemaran kanak-kanak perempuan As-Siddiqin.

 


Bola sepak menjadi antara kegemaran kanak-kanak di Yayasan As-Siddiqin.

Related Articles

Back to top button