PERKIM Isytihar Menentang Keras Genosid Terhadap Palestin, Israel Tamatkan Serangan Serta Merta – Tun Dr Mahathir
oleh: SRZ
BANGI, 29 JUN 2024 – “Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) mengisytiharkan menentang sekeras-kerasnya genosid terhadap rakyat Palestin dan Israel mesti tamatkan serangan dengan serta merta!” ucap YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad, Yang Dipertua PERKIM.
Tun Mahathir berucap ketika selesai membuat ucapan penggulungan bersempena Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-63 bertempat di Hotel Tenera dekat sini.
Mesyuarat yang dihadiri seramai 350 orang itu terdiri daripada perwakilan dan pemerhati PERKIM Bahagian Negeri-negeri seluruh Malaysia termasuk Persatuan Islam Seluruh Sabah (USIA), Majlis Belia PERKIM dan Kelab PERKIM Universiti (KPU).
Ia disusuli dengan nyanyian lagu Negaraku dan lagu PERKIM Pacu Kemajuan serta bacaan doa dipimpin oleh Mufti Negeri Melaka merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Melaka, Datuk Wira Haji Abdul Halim Tawil serta majlis diacarakan oleh Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan, Muhammad Farhan Tee Abdullah.
Tun Dr Mahathir dalam ucapan dasarnya berkata, kita mempunyai masalah yang amat besar di mana dalam kita bersidang di dalam dewan dengan penuh selamat, tetapi setiap hari kita dapati orang Islam dibunuh beramai-ramai dan tiada siapa pun yang dapat menolong mereka bahkan seluruh dunia tidak dapat hendak menghentikan serangan Israel membunuh orang Islam.
Pada zaman dahulu, Islam adalah satu agama yang berkembang dengan pesat dari China hingga ke Sepanyol dan mereka memeluk Islam serta menghormati agama Islam serta tidak ada sesiapa yang menghina agama Islam ataupun menjatuhkan orang Islam.
Katanya, kita lihat di zaman ini bukan sahaja orang Islam boleh dibunuh dengan sewenang wenangnya di merata-rata tempat bahkan orang Islam juga diherdik, ditekan, dihina dan sebagainya.
“Saya berpendapat bahawa kita sebenarnya tidak amal ajaran Islam yang datang kepada kita melalui Al-Quran iaitu wahyu daripada Allah SWT kepada Nabi Muhammad untuk disampaikan kepada manusia.
“Kita akui bahawa kita adalah orang Islam, tetapi banyak daripada ajaran Islam yang kita ketepikan dan kebanyakannya ada dalam al-Quran.
“Selain daripada menunaikan ibadat tertentu, kita perlu ingat bahawa ayat pertama yang disampaikan kepada Nabi ialah Iqra’ bermaskud bacalah.
“Jadi yang perlu kita kejar bukan sahaja ilmu agama tetapi ilmu-ilmu lain juga amat penting. Kalau kita perhatikan satu daripada kewajipan kita ialah melindungi umat Islam.
“Bagaimana hendak melindungi umat Islam? Kita cuma boleh melindungi umat Islam jika kita mempunyai tentera yang kuat dan senjata yang canggih. Ini disuruh iaitu kita perlu ada kuda perang dan alatan-alatan tertentu supaya kita dapat mempertahankan keselamatan orang Islam.
“Perlindungan tersebut bukan sahaja dapat menjadikan orang Islam boleh hidup aman makmur tetapi dapat mengembangkan agama Islam ke seluruh dunia pada masa ini.
“Sekarang ini, kita kekurangan ilmu dan tidak dapat mencipta atau membentuk senjata-senjata yang boleh menangkis senjata musuh-musuh kita.
“Mengejar ilmu untuk mempertahankan umat kita adalah satu kewajipan dan mempelajari agama Islam bukan sahaja mendapat pahala, tetapi dapat mempelajari cara-cara mempertahankan umat Islam sekali gus mati dalam peperangan di anggap sebagai syahid.
“Tuhan memberi kepada orang Islam ini banyak rezeki dan kemudahan untuk menolong orang Islam serta menyelamatkan agama Islam,” kata Tun Dr Mahathir.
Jelas beliau, hari ini, negara Islam begitu kaya sekali dengan sumber minyak yang terdapat di kawasan milik orang Islam di mana setiap hari 25 juta tong minyak dikeluarkan oleh negara-negara Islam.
“Satu tong harganya USD80 bersamaan RM500 dan setiap pagi orang Islam memperolehi 25 juta tong. Fikirkanlah jumlah kekayaan yang terdapat pada orang Islam. Sepatutnya kita gunakan wang itu untuk melihara agama Islam supaya tidak dihina dan ditekan oleh pihak lain.
“Duit yang begitu banyak yang dikurniakan oleh Allah SWT bukan kita guna untuk mempertahankan agama Islam atau jauh sekali mengembangkan agama Islam, sebaliknya kita lebih seronok dengan mengadakan istana-istana yang besar, cantik, disalut dengan emas bahkan kita mempunyai pesawat terbang khas berharga jutaan ringgit.
“Sebaliknya terdapat di dunia ini yang termiskin dan menderita majoritinya ialah orang Islam.
“Kita sebagai orang Islam perlu anggap semua orang Islam sebagai saudara-saudari kita kerana terdapat segilintir orang Islam yang kaya sehingga menunjukkan emas dan perak keluar daripada mulut dan telinga mereka tetapi mereka tidak sedar bahawa ramai orang Islam menderita serta miskin bahkan tidak dapat makan sehingga ada yang membunuh diri,” kata Tun Dr Mahathir.
Menurut beliau lagi, terdapat beberapa kes telah berlaku di Malaysia di mana orang Islam hilang punca dan hilang akal sehingga mereka membunuh diri, ibu bapa dan anak kecil mereka.
Ia berlaku kerana mereka menderita kekurangan makan dan mengalami tekanan hidup sehingga mereka tidak dapat memberi makan kepada anak anak mereka.
“Sepatutnya tidak ada satu orang pun yang miskin jika kita agihkan hasil 25 juta tong minyak kepada umat Islam dan kita mempunyai wang yang cukup untuk menentukan 1.4 bilion manusia yang menganuti agama Islam hidup sempurna dan dapat menunaikan segala yang diwajibkan ke atas mereka membuat ibadat serta menentukan mereka hidup sebagai orang Islam.
“Saya sudah tidak ada banyak lagi masa dan berharap PERKIM selalunya ingat tanggungjawab kita kepada agama kita, kepada orang Islam.
“Kalau kita tidak tunjuk contoh yang terbaik siapakah yang akan mencontohi dan akan menunjuk contoh yang terbaik. PERKIMlah yang patutnya menunjuk bagaimana orang Islam hidup mengikut cara hidup orang Islam dan mereka juga dapat mengejar kejayaan dalam penguasaan ilmu dan kejayaan dalam usaha mereka supaya mereka tidak jadi orang yang miskin serta meminta-minta.
Inilah yang sepatutnya kita lakukan oleh orang Islam, bukan hasil kekayaan itu untuk memiliki pesawat besar atau pun istana, sebaliknya orang Islam menggunakan duit dengan bijak dengan cara seperti mana dianjurkan oleh agama kita.
“Saya sedih apabila kita lihat negara Islam yang kaya memberi dollar bon daripada Amerika di mana membeli dollar bon bermakna memberi hutang kepada Amerika.
“Apa perlunya kita beri hutang kepada mereka sedangkan ramai orang Islam memerlukan bantuan di waktu ini?
“Saya harap ia juga menjadi perhatian kepada PERKIM di mesyuarat ini dan banyaklah pendapat pendapat yang akan disuarakan demi kebaikan PERKIM,” jelas beliau.
Ujarnya, PERKIM hanya sebagai satu badan tidak akan mendatangkan manfaat melainkan ia mempunyai usaha dan matlamat untuk menghapuskan tindakan-tindakan seperti yang telah berlaku di Gaza di mana setiap hari ratusan rakyat serta umat Islam di Gaza dibunuh oleh Israel.
Tidak ada satu negara pun termasuk negara Islam yang dapat menolong mereka dan kita lihat orang Islam dibunuh depan mata kita tetapi kita kecewa tidak boleh berbuat apa-apa disebabkan kita lemah kerana tidak mengikut cara hidup Islam.
“Saya berharap di masa depan PERKIM dapat berusaha untuk menukar fahaman supaya kita bukan sahaja tertumpu kepada ibadat untuk akhirat tetapi juga untuk bahagian kita di dunia kerana dunia ini juga bukan hak orang bukan Islam tetapi juga hak orang Islam,” kata Tun Dr Mahathir mengakhiri ucapannya.
Sebelum itu, Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor menyampaikan ucapan aluannya di mesyuarat tersebut.
Beliau merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada seluruh perwakilan dan pemerhati dari seluruh Malaysia termasuk Sarawak serta badan gabungan PERKIM dari Sabah yang hadir pada mesyuarat kali ini.
Dr Yusof Noor turut mengumumkan jumlah kehadiran adalah seramai 167 orang daripada jumlah yang layak hadir seramai 220 orang di mana jumlah tahun ini antara yang tertinggi berbanding peratusan yang lalu.
Katanya, kita masih lagi berada di dalam bulan Zulhijjah iaitu bulan orang Islam mengerjakan ibadah fardu haji dan berharap keberkatan bulan tersebut akan melimpah kepada kita semua.
Menurut Dr Yusof Noor, pada mulanya PERKIM bercadang untuk mengadakan mesyuarat di Bangunan PERKIM sendiri di mana bangunan induk yang kini hampir 67 peratus daripada ruangnya kosong akibat daripada perpindahan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang telah berpindah ke bangunan asal yang telah dibangunkan semula.
Di saat akhir, kita tidak dapat bermesyuarat di Bangunan PERKIM dan dengan izin Allah pada masa akan datang kita akan bersidang di situ kerana ia memerlukan sedikit pengubahsuaian untuk menempatkan seramai 220 orang perwakilan.
“Akhirnya PERKIM memilih Hotel Tenera iaitu anak syarikat di bawah Koperasi Permodalan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) Berhad dimiliki oleh syarikat Islam bertaraf lima bintang,” kata Dr Yusof Noor.
Perwakilan PERKIM Bahagian Negeri-negeri turut menyampaikan ucapan penangguhan pada mesyuarat tersebut diakhiri dengan ucapan penggulungan daripada Tun Yang Dipertua PERKIM.
Turut hadir ialah Timbalan Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abd. Halim; Naib Yang Dipertua PERKIM, YBhg Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, YBhg Tuan Haji Muhammad Fitri Abdullah dan YBhg Prof Dr Ramle Abdullah; Ketua Wanita PERKIM, YTM Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj; Timbalan Pengerusi Tetap, YBhg Tuan Haji Abd. Ghafar Mamat; Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun serta Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.
Hadir sama Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM, YBhg Dr Nur’azah Dato’ Abdul Manaf, YBhg Dato’ Haji Hasbullah L. Isa, YBhg Datuk Haji Ali Ab. Majid, YBhg Dato’ Kapt. (B) Haji Mohd Najmuddin Elias, YBhg Tuan Haji Hushim Haji Salleh, YBhg Prof Madya Dr Amin Malik Shah Abdul Majid, YBhg Tuan Haji Mohamad Shaiful Bahri Abdullah, YBhg Dato’ Haji Khairi Hasan, YBhg Datin Paduka Hajah Norsiah Harun, YBhg Dato’ Haji Mohd Nawawi Ismail, Tokoh Agama PERKIM, YBhg Datuk Dr Nooh Gadut, YBhg Dato’ Haji Dusuki Ahmad serta Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin.
Kepimpinan PERKIM bersalaman bersama Tun Dr Mahathir sebelum masuk ke dewan mesyuarat.
Perwakilan mendaftar kehadiran diri di ruang pendaftaran mesyuarat.
Gerai sumbangan dana dan wakaf bagi pembinaan Pusat Dakwah PERKIM Bahagian Pulau Pinang.
Kepimpinan Tertinggi PERKIM menyanyikan lagu Negaraku pada pembukaan mesyuarat.
Para perwakilan berdiri hormat sambil menyanyikan lagu Negaraku.
Ahli Majlis Kebangsaan PERKIM berdiri tegak menyanyikan lagu PERKIM Pacu Kemajuan.
Muhammad Farhan Tee selaku juru acara di mesyuarat agung tahunan kali ke-63.
Mufti Negeri Melaka merangkap Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Melaka, Datuk Wira Haji Abdul Halim Tawil memimpin bacaan doa.
Para perwakilan mengaminkan doa yang dibacakan.
Dr Yusof Noor menyampaikan ucapan aluan di mesyuarat tersebut.
Para perwakilan mendengar ucapan yang disampaikan.
Tun Dr Mahathir menyampaikan ucapan dasar di mesyuarat tersebut.
Tun Dr Mahathir berkata orang Islam lemah sehingga seluruh dunia tidak dapat hendak menghentikan serangan Israel membunuh orang Islam.
Perwakilan PERKIM Bahagian Negeri Pahang mendengar ucapan yang disampaikan.
Perwakilan PERKIM Bahagian Negeri Johor tekun mendengar ucapan.
Sidang delegasi mendengar ucapan yang disampaikan oleh Tun Dr Mahathir.
Haji Abdul Ghafar Mamat selaku Timbalan Pengerusi Tetap memulakan Mesyuarat Agung Tahunan PERKIM Kebangsaan Kali Ke-63.
Dr Yusof Noor membentangkan agenda dan laporan di mesyuarat.
Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun membentangkan anggaran pendapatan dan perbelanjaan PERKIM kepada sidang mesyuarat.
Dato’ Wira Mansor Haji Ismail selaku Pengerusi PERKIM Kedah menyampaikan ucapan penangguhan.
Wakil Wanita PERKIM Kebangsaan turut menyampaikan ucapan penangguhan.
Ucapan penangguhan dari wakil PERKIM Bahagian Negeri Sembilan.
PERKIM Wilayah Persekutuan turut menyampaikan ucapan penangguhan.
Ketua Wanita PERKIM Kebangsaan, YTM Tunku Puan Sri Dato’ Hajah Noor Hayati Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berkesempatan menyumbang ke dalam Tabung Pembinaan Asrama IDIP Kota Bharu.
“Saya sudah tidak ada banyak lagi masa dan berharap PERKIM selalunya ingat tanggungjawab kita kepada agama kita, kepada orang Islam,” rintih Tun Yang Dipertua PERKIM.
Sidang mesyuarat menepuk tangan bersetuju dengan pengisytiharan menentang sekeras-kerasnya genoside terhadap rakyat Palestin dan Israel mesti tamatkan serangan dengan serta merta.
Majlis Belia PERKIM berkesempatan bergambar bersama Tun Yang Dipertua di akhir mesyuarat.
Pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan turut merakamkan kenangan manis bergambar bersama Tun Dr Mahathir.