PERKIM Hasrat Wujudkan Tadika Di Setiap Bahagian
oleh: SRZ
KUALA LUMPUR, 9 OKTOBER 2023 – “Bersyukur kepada Allah SWT kerana kita dapat bertemu lagi di tempat yang sama pada bulan yang baharu dalam usaha untuk menceriakan Dataran Dakwah,” kata Setiausaha Agung Kehormat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM), YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Katanya, berhubung dengan perpindahan pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) pada Ogos 2023 lalu, pelanggan baharu yang berminat untuk menyewa di Bangunan PERKIM dialu-alukan untuk melihat ruang pejabat selepas bulan Disember kelak.
Dr Yusof Noor berkata ketika menyampaikan amanatnya di Majlis Perhimpunan Bulanan Warga PERKIM Kebangsaan diadakan di Dataran Dakwah, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah, pada pagi Isnin.
Seramai lebih 40 orang hadir terdiri daripada pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan termasuk Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL) dan Pusat Pemulihan Komuniti Strok PERKIM (SCORE).
Majlis dimulakan dengan nyanyian lagu Negaraku dan PERKIM Pacu Kemajuan dipimpin oleh Pasukan Nasyid PERKIM serta bacaan doa oleh Penolong Pegawai Dakwah IDIP-KL, Abdul Qawi Navine Abdullah.
Majlis tersebut diacarakan oleh Pegawai Unit Dakwah dan Pembangunan Insan (UDPI), Muhammad Farhan Tee Abdullah.
Menurut Dr Yusof Noor, PERKIM Kebangsaan telah turun ke PERKIM Bahagian-bahagian serta melaksanakan program kerjasama dakwah dan kebajikan di Pulau Pinang pada bulan lalu, Perak pada minggu lepas dan di negeri-negeri lain pada masa akan datang.
“Kerjasama di antara PERKIM Kebangsaan dan PERKIM Bahagian Negeri-negeri telah menampakkan suasana ceria apabila gandingan antara dua badan dakwah.
“Suasana ceria itu bertambah seri lagi dengan kehadiran kanak-kanak di Tadika PERKIM Pulau Pinang dan Tadika PERKIM Kampung Koh, Perak, ujarnya.
Tambah beliau, kita ada Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Operasi, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad yang bukan sahaja menggalas dan bertanggungjawab berkenaan hal ehwal pendidikan saudara baharu tetapi juga berperanan dalam pendidikan awal kanak-kanak.
Katanya, Suariza juga akan diberi tugasan untuk memikir dan mewujudkan Tadika PERKIM di setiap PERKIM Bahagian Negeri-negeri.
“Ini merupakan satu usaha yang digagaskan oleh Pengasas PERKIM, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj.
“Ia menjadi satu tanggungjawab PERKIM untuk meneruskan ilham daripada Almarhum Tunku kerana untuk menguatkan dakwah Islam adalah didikan sejak dari awal usia lagi.
“Walaupun ia mengambil masa yang panjang untuk mewujudkan Tadika PERKIM di setiap PERKIM Bahagian Negeri-negeri dengan melibatkan dana, tetapi kita perlu usaha untuk mewujudkan taman didikan Islam untuk kanak-kanak,” ulas Dr Yusof Noor.
Ucapnya lagi, kita dapat lihat PERKIM akan disambut dengan baik di mana-mana sahaja kerana kita ada rangkaian termasuk Sabah dan Sarawak.
PERKIM Kebangsaan mestilah ada hubungan yang baik di antara PERKIM Bahagian Negeri-negeri bagi memperkukuhkan objektif PERKIM iaitu dakwah, kebajikan, pendidikan, kerjasama dan lain-lain.
Mengikut Perlembagaan PERKIM, PERKIM bukan hanya boleh menyampaikan dakwah di dalam Malaysia sahaja tetapi dengan kemampuan yang kita ada dapat memberi penerangan hal ehwal Islam di luar Malaysia dari semasa ke semasa.
Jelas beliau, melihat sedikit ruang yang ada di Dataran Dakwah ini, kita memanfaatkan dengan mewujudkan Perpustakaan Mini PERKIM bagi memberi kemudahan dan galakan kepada saudara baharu mahupun orang awam yang menitikberatkan ilmu pengetahuan Islam.
Kita akan tetapkan jadual penggiliran bagi kakitangan yang bertugas di perpustakaan mini atau melantik pustakawan.
Katanya lagi, PERKIM dalam proses menjadikan kakitangannya sebagai pendakwah seperti mana kata Yang Dipertua PERKIM, YABhg Tun Dr Mahathir Mohamad, “berdakwah menerusi contoh.”
Walaupun kita tidak mampu menjadi pendakwah seperti mana takrif dakwah iaitu mengusai Al-Quran, ilmu Tafsir dan berdakwah tetapi sekurang-kurangnya menerusi akhlak yang baik dan pertuturan yang lemah lembut menjadikan mereka tertarik dengan Islam.
“Kita tidak boleh berdakwah jika kita menunjukkan contoh yang tidak baik,” tegas beliau.
Kita boleh membuktikan kepada masyarakat bahawa kita juga boleh berdakwah dengan cara kita walaupun tidak memenuhi kriteria dakwah daripada segi akademik, tetapi tutur kata, bahasa yang digunakan mampu menarik mereka kepada Islam.
Di akhir majlis, Dr Yusof Noor bersama Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun berkesempatan memotong riben perasmian Perpustakaan Mini PERKIM sekaligus melawat perpustakaan sambil membaca beberapa buah buku dan kitab Islam.
Turut hadir ialah Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Encik Zulkefli Arifin; Pengarah Unit Aset dan Pembangunan PERKIM, YBhg Dato’ Haji Ahmad Mustafa; Pengarah UDPI, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad serta Pengarah Unit Penerbitan dan Media Baru PERKIM Kebangsaan, Encik Firdaus Lokman Tah.
Pasukan Nasyid PERKIM memimpin lagu Negaraku dan Lagu PERKIM Pacu Kemajuan.
Farhan Tee mengacarakan majlis perhimpunan bulanan.
Abdul Qawi memimpin bacaan doa pembuka majlis.
Warga PERKIM menadah tangan ketika doa dibacakan.
Dr Yusof Noor menyampaikan amanat pada majlis perhimpunan bulanan.
Lebih 40 warga PERKIM mendengar amanat disampaikan oleh Tan Sri Setiausaha Agung Kehormat.
“PERKIM berhasrat untuk mewujudkan Tadika PERKIM di setiap PERKIM Bahagian Negeri-negeri, kata Dr Yusof Noor.
Kakitangan PERKIM menghayati amanat yang disampaikan.
Dr Yusof Noor menegaskan warganya untuk menjadi pendakwah menerusi akhlak dan pertuturan yang baik.
Dr Yusof Noor bersama Dato’ Abdul Hanif membelek kitab tafsir al-Quran selepas merasmikan Perpustakaan Mini PERKIM
Perpustakaan Mini PERKIM sesuai untuk saudara baharu dan orang awam yang berkunjung di sini.
Warga PERKIM mengunjungi perpustakaan mini selepas perasmian.
Kakitangan PERKIM memilih dan membaca buku agama Islam di Perpustakaan Mini PERKIM.