Jannah Theme License is not validated, Go to the theme options page to validate the license, You need a single license for each domain name.
Aktiviti Kebajikan

PERKIM Anjur Program Khidmat Masyarakat Cina Di Manjung

oleh: UMAG

SITIAWAN, 7 OKTOBER 2023 – “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).”

Bersesuaian dengan dalil di atas dari surah al-Hujurat ayat 13, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan dengan kerjasama PERKIM Bahagian Negeri Perak, PERKIM Cawangan Manjung serta wakil Kawasan Rukun Tertangga (KRT) daerah Seri Manjung telah mengadakan Program Khidmat Masyarakat Masyarakat Cina bertempat di Balai Pekan Gurney, dekat sini.

Program bermula seawal jam 8.00 pagi dengan kehadiran kira-kira 180 orang penduduk setempat yang terdiri daripada pelbagai kaum terutamanya masyarakat Cina.

Program itu bertujuan untuk memupuk semangat muhibbah dan silaturahim bersama masyarakat bukan Islam di situ.

Selain itu, pemeriksaan kesihatan percuma turut diadakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Manjung yang diketuai oleh Dr Yak Choo Soon bersama pasukan petugas kesihatan.

Senamrobik menjadi acara pilihan penduduk setempat di mana golongan kecil hingga warga emas turut menyertainya.

Acara tersebut telah dikendalikan oleh tiga wakil dari Pejabat Belia dan Sukan Daerah Manjung.

Pegawai Pejabat Belia dan Sukan turut berkongsi kebaikan dan manfaat senamrobik mengikut tatacara yang betul untuk melindungi kesihatan terutamanya bagi warga emas.

Acara sukaneka pula diadakan mengikut tiga kategori yang berbeza iaitu kanak-kanak, remaja dan dewasa.

Antara permainannya ialah mencari gula-gula dalam tepung bagi kategori kanak-kanak, manakala kategori remaja pula pijak belon hingga pecah dan permainan kerusi berirama pula diadakan bagi kategori dewasa.

Pelajar dari Persatuan Kebajikan Anak-Anak Yatim Rumah Wawasan Manjung turut bersama menyertai acara sukaneka yang dikendalikan oleh pegawai Jabatan Agama Islam Perak (JAIP) serta dibantu oleh Ahli Jawatankuasa PERKIM Bahagian Negeri Perak, PERKIM Cawangan Manjung serta guru dan pembantu Tadika PERKIM Kampung Koh.

Ceramah kesihatan bertajuk Gaya Hidup Sihat disampaikan oleh Pegawai Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Manjung, Dr Yak Choo Soon.

Dr Yak dalam ceramah Bahasa Mandarinnya menyampaikan tatacara gaya hidup yang sihat di samping menasihatkan peserta supaya mengambil pemakanan yang seimbang mengikut piramid makanan.

Selain itu, beliau berpesan agar mengurangkan pengambilan gula terutamanya bagi golongan warga emas.

Program diteruskan dengan penyampaian bantuan khas kepada 25 penduduk masyarakat Cina khususnya yang tinggal di sekitar kawasan Seri Manjung.

Bantuan khas tersebut mengandungi beras, minyak, tepung, kicap dan gula serta wang saguhati daripada PERKIM Kebangsaan, PERKIM Bahagian Negeri Perak dan PERKIM Cawangan Manjung.

Yayasan Perak turut menyampaikan bantuan kotak makanan kepada penduduk setempat.

Turut diadakan penyampaian hadiah sukaneka kepada pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga yang disempurnakan oleh Wakil KRT Daerah Seri Manjung.

Selain itu, program turut mengadakan acara cabutan nombor bertuah.

30 pemenang cabutan nombor bertuah masing-masing membawa pulang beras, minyak serta biskut.

Penduduk yang hadir menzahirkan rasa gembira dan berterima kasih dengan penganjuran daripada pihak PERKIM dalam menjalankan aktiviti bersama masyarakat setempat.

Majlis diakhiri dengan jamuan makan tengah hari.

Pihak PERKIM Kebangsaan bersama PERKIM Bahagian Negeri Perak, PERKIM Cawangan Manjung dan KRT sempat menziarahi serta menyampaikan sumbangan kepada 10 buah rumah masyarakat Cina di sekitar Pekan Gurney.

Turut hadir ialah Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Operasi, Dr. Suariza@Hidayah Muhammad dan Pengerusi PERKIM Cawangan Manjung, Tuan Haji Mohd Zainal Adnan.

Wakil daripada PERKIM Kebangsaan, PERKIM Bahagian Negeri Perak dan PERKIM Cawangan Manjung menyampaikan sumbangan kepada penduduk di Kawasan Pekan Gurney.
Pengerusi PERKIM Cawangan Manjung, Tuan Haji Mohd Zainal Adnan menyampaikan bantuan khas iaitu kotak makanan.
Pegawai Dakwah PERKIM Kebangsaan, Encik Muhammad Farhan Tee menyampaikan cabutan bertuah iaitu milo dan biskut.
Salah seorang peserta permainan mencari gula dalam tepung bagi kategori kanak-kanak.
Pegawai Kesihatan Pejabat Kesihatan Daerah Manjung, Dr Yak Choo Soon menyampaikan ceramah kesihatan berjudul ‘Tatacara Gaya Hidup Sihat’.
Pejabat Belia dan Sukan Daerah Manjung mengetuai senamrobik yang disertai oleh penduduk setempat.

Related Articles

Back to top button