Aktiviti Kebajikan

PERKIM Agih 200 Kurma Kepada Penduduk PPR Jalan Peel

Oleh : SAFIYYA NUR SAKEENA SALLEHUDDIN
Foto: UMI MUSFIRAH ABDUL GHANI

KUALA LUMPUR, 26 APRIL 2021 – Aktiviti Pengagihan Kurma Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan sepanjang bulan Ramadan diteruskan lagi.

Pada kali ini, urus setia mengagihkan kurma di Pejabat Persatuan Penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) Laksamana di Jalan Peel dekat sini.

Urus setia yang terlibat ialah Pegawai Pejabat Bendahari Kehormat, Riana Sukma Taslim; Pegawai Unit Perancangan Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM, Nur Syahirah Musa; Pegawai Unit Perhubungan Awam Dalam dan Luar Negara PERKIM, Safiyya Nur Sakeena Sallehuddin; Pembantu Tadbir PERKIM, Umi Musfirah Abdul Ghani; Pemandu PERKIM, Mualish Shah Mohd Anuar dan ia diketuai oleh Pembantu Pegawai Unit Perancangan Penyelarasan dan Pelaksanaan PERKIM, YBhg Ustaz Haji Amran Anbarasu Abdullah.

‘Mensyukuri Nikmat Allah SWT’ merupakan slogan yang digunapakai oleh PERKIM Kebangsaan sepanjang aktiviti pengedaran kurma di bulan mulia ini.

Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Laksamana, YBhg Tuan Haji Muslim Ismail, mengalu-alukan kehadiran warga PERKIM ke kawasan tersebut.

Katanya, terdapat sebanyak 724 buah rumah di PPR Laksamana ini dan mengikut peratusan kaum ialah secara purata 70 peratus berbangsa Melayu manakala 20 peratus berbangsa Cina dan 10 peratus berbangsa India.

Jelas Muslim lagi, ke semua penduduk di sini adalah golongan terendah 40 peratus (B40) yang terkesan dengan penularan wabak COVID-19 terutamanya mereka yang berniaga.

Tambahnya, terdapat juga beberapa badan bukan kerajaan (NGO) serta orang perseorangan yang membantu memberikan sumbangan kepada kami.

Beliau bersyukur kepada Allah SWT kerana menerima kunjungan daripada pihak PERKIM Kebangsaan dan berterima kasih kerana dapat menyampaikan sesuatu sumbangan di bulan yang penuh barakah ini.

Sebelum itu, Ustaz Haji Amran Anbarasu Abdullah mewakili pihak PERKIM Kebangsaan memohon maaf kerana Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor tidak dapat hadir kerana mempunyai urusan kerja di luar kawasan dan beliau menyampaikan salam kepada penduduk PPR Laksamana.

Haji Amran memaklumkan bahawa program tersebut diadakan kerana adanya sumbangan dari badan-badan korporat serta dermawan yang berbesar hati untuk menyumbang kepada pihak PERKIM Kebangsaan seperti Naib Yang Dipertua PERKIM, YB Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim.

Tambahnya, pihak PERKIM Kebangsaan juga sentiasa sedia membantu golongan yang memerlukan terutamanya asnaf dan mualaf.

Amran berharap dengan sedikit bantuan yang diberikan dapat menggembirakan penduduk di PPR Laksamana dalam menjalani ibadah puasa pada tahun ini.

Di akhir majlis, Haji Amran menyampaikan sekotak kurma kepada Haji Muslim dan Pengerusi Surau Abbas Al Habsyi, Abdul Halim Abdul Aziz sebagai simbolik pengagihan kurma kepada semua penduduk PPR Laksamana.

Urus setia PERKIM turut mengagihkan kepada orang ramai di luar kawasan Jalan Peel.

Related Articles

Back to top button