Aktiviti Kebajikan

Pegawai, Kakitangan Gotong-Royong Masak dan Edar Bubur PERKIM Kepada Orang Ramai

Foto : FIRDAUS LOKMAN TAH, UMI MUSFIRAH ABDUL GHANI

KUALA LUMPUR, 30 APRIL 2021 – Seramai lebih 30 pegawai dan kakitangan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Kebangsaan mengadakan Aktiviti Gotong-Royong Memasak dan Mengedar Bubur PERKIM di perkarangan Bangunan PERKIM dan jalan utama di Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini.

Sebanyak 430 bungkus bubur PERKIM telah diedarkan kepada orang ramai yang berada di kawasan sekitar Bangunan PERKIM selepas selesai solat fardu Jumaat.

Pada 23 April yang lalu, kakitangan PERKIM Kebangsaan mengadakan aktiviti yang sama tetapi berbeza menu makanan iaitu bubur lambuk dan pada kali ini pula mereka sekali lagi bekerjasama berganding bahu untuk menyediakan menu bubur candil PERKIM.

Kakitangan PERKIM telah menyediakan bahan-bahan untuk membuat bubur candil PERKIM yang istimewa di mana resepinya ialah lebih mudah daripada resepi bubur lambuk iaitu tepung pulut, tepung gandum, bahan pewarna, santan, gula melaka, gula, garam, santan, daun pandan, keledek, labu, sagu dan lain-lain.

Antara kakitangan yang terlibat ialah Muhammad Farhan Tee Abdullah, Muhammad Jais Mariappan Abdullah, Ahmad Hasaidi Said, Mohd Aizat Rosli, Amran Anbarasu Abdullah, Siti Munirah Sayed Mohd Hamdan, Nur Syahirah Musa, Safiyya Nur Sakeena Sallehuddin, Hamidah Ismail, Fatin Hamizah Ismail, Noor Aini Jamat, Syahmi Fitri, Mualish Shah Mohd Anuar, Nazli Ismail, Siti Nor Aishawati Mamat, Jamilatun Noor Hashim @ Hamid, Umizah Wanir Mohd Anuar, Suria Abdullah, Norlailialpin Suratman, Fatin Akmal Aksah dan Umi Musfirah Abdul Ghani.

Sementara itu, petugas lain turut memasang khemah; memotong keledek dan labu manakala yang lain menguli tepung pewarna untuk dijadikan bulat lesung serta menyediakan alat perkakasan memasak serta bekas makanan.

Program tersebut kali kedua diadakan gotong-royong memasak penglibatan antara ke semua pegawai dan kakitangan di perkarangan Bangunan PERKIM di bulan Ramadan di mana sebelum ini Program Ihya’ Ramadan anjuran PERKIM hanya memesan melalui katering sahaja.

Program tersebut bertujuan untuk mendekatkan lagi masyarakat masyarakat sekeliling kawasan dan yang melalui jalan bersebelahan Bangunan PERKIM sekali gus memupuk sifat bersedekah lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang banyak ganjarannya.

Ia bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Al-Tirmidzi: “Barangsiapa memberi makan untuk berbuka kepada orang yang berpuasa maka baginya pahala yang sama seperti pahala orang yang berpuasa itu tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun.”

Gotong-royong memasak dilakukan seawal jam 8.00 pagi dengan penambahan kakitangan yang bertugas di PERKIM Kebangsaan, PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan dan Institut Dakwah Antarabangsa PERKIM Kuala Lumpur (IDIP-KL).

Turut menyertai ialah YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad, Firdaus Lokman Tah, Sulaiman Ding Yu Zhong, Nur Shazleen R. Samsul Bahari, Muhammad Hizam Abdul Rahim, Abdul Qawi Navine Abdullah, Norazlifah Haji Haron, Siti Fatimah Ladda Abdullah, Mohd Saufi Razali, Riduan Zali, Muhammad Fardly Johan dan Firdaus Pom Peyo Abdullah.

Penolong Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Datuk Haji Hasbullah L. Isa dan Pengarah Unit Perhubungan Awam Dalam dan Luar Negara PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun serta Setiausaha Kerja Program dan Pentadbiran, YBhg Tuan Haji Mamat Che Chik  turut turun padang melihat sendiri semangat kerjasama dan perpaduan di antara pegawai dan kakitangan PERKIM dalam gotong-royong memasak bubur candil PERKIM.

Datuk Hasbullah berkesempatan mengagihkan bubur PERKIM kepada jemaah solat Jumaat dan orang ramai yang menaiki motosikal, kereta dan bas melalui Jalan Sultan Azlan Shah.

Turut serta dalam pengagihan bubur PERKIM selepas solat Jumaat ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dato’ Dr Muhammad Rais Abdul Karim dan Setiausaha Kerja PERKIM Bahagian dan Negeri, Encik Zulkefli Arifin.

Related Articles

Back to top button