PERKIM Adakan Bacaan Yasin, Tahlil, Doa Selamat Sempena Hari Penubuhan PERKIM Ke–64
KUALA LUMPUR, 19 OGOS 2024 – PERKIM Kebangsaan telah mengadakan Majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat bersempena Hari Penubuhan PERKIM yang ke-64 bertempat di Surau PERKIM, Bangunan PERKIM, Jalan Sultan Azlan Shah dekat sini.
Majlis yang berlangsung selepas solat fardu Zohor itu dipimpin oleh Imam Surau PERKIM, Ustaz Ahmad Muhamamad Al Ghafar.
Majlis tersebut dihadiri lebih 40 orang terdiri daripada pegawai dan kakitangan PERKIM Kebangsaan, PERKIM Bahagian Wilayah Persekutuan, Yayasan Taqwa MAIWP, Agensi Anti Dadah Kebangsaan Cawangan Sentul, Majlis Dakwah Islamiah Asia Tenggara dan Pasifik (RISEAP), penyewa Bangunan PERKIM serta jemaah Surau PERKIM.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha Agung Kehormat PERKIM, YBhg Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.
Hadir sama ialah Bendahari Kehormat PERKIM, YBhg Dato’ Haji Abdul Hanif Harun; Pengarah Kanan Dakwah, Dato’ Haji Razali Haji Shahabudin; Pengarah Unit Pembangunan dan Aset, YBhg Dato’ Ahmad Mustafa; Pengarah Pembangunan Pendidikan dan Operasi, YBhg Dr Suariza @ Hidayah Muhammad serta Setiausaha Kerja Eksekutif PERKIM Kebangsaan, Zulkefli Arifin.
Menurut sejarah Malaysia, Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) telah ditubuhkan di rumah rasmi Almarhum YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj iaitu rumah Perdana Menteri di Kuala Lumpur pada 19 Ogos 1960.
Pada hari itu, Tunku telah mengadakan perjumpaan dengan beberapa orang Islam yang berminat, dengan tujuan hendak menubuhkan sebuah badan yang akan berusaha mengembangkan agama Islam di Semenanjung Tanah Melayu (Malaya).
Pada hari itu, YTM Tunku berpendapat bahawa sungguhpun tujuan utama mereka hendak menyampaikan seruan Islam kepada mereka yang belum beragama Islam dari semua kaum di Malaya, terutamanya dari kalangan orang Cina.
Nama yang dipilih ialah Pertubuhan Kebajikan Islam Malaya – ringkasnya ‘PERKIM’. Beberapa tahun kemudian apabila lahir negara Malaysia, maka perkataan Malaya ditukar kepada Malaysia.
Pada perjumpaan tersebut, selain daripada YTM Tunku ialah Tan Sri S.O.K Ubaidulla, Tuan Haji Mohamed Ali Taib, Ustaz Nik Mahyudin Musa, Tuan Haji Ally Maricar, Tuan Sheikh Ahmad, Tuan Haji Ahmad Damanhuri, Tuan Syed Jaafar Albar, Tuan Haji Ali Raya, Tuan Wan Kadir dan Tan Sri Haji Abdul Mubin Sheppard.
Pada petang itu juga, YTM Tunku telah menyerahkan sekeping cek bernilai RM20,000 sebagai sumbangan pelancaran PERKIM.
Sebelum mesyuarat ditamatkan, YTM Tunku memberitahu bahawa beliau akan menyembahkan laporan berkenaan pertubuhan ini (PERKIM) ke bawah Duli Raja-Raja Melayu, dan meminta sokongan dari kerajaan- kerajaan negeri masing-masing.
Maka sebagaimana yang dijanjikan, YTM Tunku telah membawa laporan penubuhan PERKIM kepada Majlis-Majlis Raja-Raja dan telah mendapat restu dari Duli-Duli dan kerajaan negeri.
Ustaz Ahmad Muhammad Al-Ghafar memimpin bacaan Surah Yasin.
Dato’ Hanif menyertai Bacaan Yasin bersama-sama jemaah yang lain.
Zulkefli Arifin turut mengikuti Bacaan Yasin yang diadakan.
Sebahagian Pegawai dan Kakitangan PERKIM Kebangsaan daripada kalangan wanita yang menyertai majlis sempena memperingati Hari Penubuhan PERKIM yang ke-64.
Dr Yusof Noor mengaminkan doa selamat yang dibacakan oleh Ustaz Ahmad.
Dato’ Haji Razali turut menadah tangan dan mengaminkan doa dibacakan.
Jogi dan Amran menadah tangan bagi mengaminkan doa selamat yang dibacakan.