Pasukan PERKIM Pusat Bersihkan Rumah Mangsa Banjir Di Kampung Jawa

oleh : UMI MUSFIRAH ABDUL GHANI
HULU LANGAT, 28 DISEMBER 2021 : Seramai 9 orang kakitangan PERKIM Kebangsaan meneruskan Misi Bantuan Mangsa Banjir PERKIM Pusat bertempat di Kampung Jawa, dekat sini.
Pasukan PERKIM Kebangsaan bersama dua sukarelawan bertolak ke lokasi terjejas bermula pada jam 9.30 pagi bagi membantu membersihkan rumah mangsa dikenali Hazazi Sanusi yang terkesan teruk dengan banjir tempoh hari.
Proses pembersihan di sekitar rumah mangsa tersebut bermula jam 11.00 pagi sehingga jam 3.30 petang.
Selain membersihkan rumah, pasukan PERKIM turut membantu tuan rumah meratakan tanah yang dibawa arus banjir di sekitar kawasan rumah mangsa banjir tersebut.
Selain itu, pasukan PERKIM turut mencuci baju serta pinggan mangkuk yang dipenuhi lumpur kesan daripada banjir yang berlaku melebihi paras kepala.
Hazazi turut memaklumkan bahawa kawasan tersebut tidak pernah banjir selama 20 tahun beliau menginap di situ.
Beliau turut memaklumkan kerja-kerja pembersihan serta pemulihan rumah seperti sediakala mungkin mengambil masa selama sebulan.
Hazazi turut mengucapkan terima kasih kerana kesudian pihak Pasukan PERKIM Kebangsaan membantu mereka untuk meringankan kerja-kerja pembersihan yang perlu dilakukan.
Turut serta dalam Misi Bantuan Banjir PERKIM Kebangsaan ialah Muhammad Jais Mariappan Abdullah, Muhammad Farhan Tee Abdullah, Mohd Syahmi Fitri Yaakob, Riduan Zali, Nazly Ismail, Firdaus Abdullah, Nur Syahirah Musa, Siti Fatimah Abdullah, Jamilatun Noor Hashim Hamid dan Umi Musfirah Abdul Ghani.